Iklaneka

Pengikut

Rabu, 16 Mei 2012

Keanak-anakan


Dan sesiapa yang Kami (yakni Allah) panjangkan umurnya, Kami kembalikan kepada asal kejadiannya (serba lemah). Mengapa mereka tidak mahu memikirkannya   Quran Surah Yaasin, ayat 68

Sewaktu kecil pada awal usia kanak-kanak dan/atau ketika masih dibangku sekolah rendah pasti ramai di antara kita pernah apabila marah kepada seseorang akan menunjukkan punggung kita kepada orang tersebut. Inilah antara ciri-ciri keanak-anakan. Ciri-ciri sikap yang masih mentah. Tidak dapat memikirkan persepsi negatif orang lain di atas tindakbalas yang kita lakukan.

Pagi semalam satu ‘acara senaman punggung’ oleh sekumpulan kecil dari Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) diadakan di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga dengan tujuan untuk mengaibkan beliau.

Saya tidak menyetujui tindakan mereka yang saya anggap keterlaluan dengan menonggeng mengarahkan punggung-punggung mereka ke rumah Ambiga.

Nyata sekali yang patut merasa keaiban itu bukannya Ambiga tetapi sebaliknya mereka dari kumpulan ini yang sepatutnya merasa malu atas tindakan bodoh dan keanak-anakan itu. Inilah yang dinyatakan oleh Allah di dalam ayat yang saya paparkan di atas. ‘Kami (yakni Allah) kembalikan asal kejadiannya’. Allah kembalikan mereka menjadi lemah fikiran seperti kanak-kanak. Tidak dapat memikirkan natijah atas apa yang mereka lakukan.

Di manakah letaknya nilai keperibadian bangsa Melayu yang penuh dengan sikap toleransi dan budi pekerti mulia. Di manakah letaknya jati diri bangsa Melayu yang kaya dengan peradaban luhur dan tinggi.

Banyak cara kita boleh sampaikan bantahan atas perkara yang kita tidak berpuas hati. Dari sekecil-kecil demontrasi kepada sebesar-besar demontrasi masyarakat Malaysia mempertontonkan kepada generasi muda kita. Demonstrasi dibalas dengan demonstrasi. Cacian disambut cacian. Kata-kata kesat diiring pula dengan kata nista.

Di mana titik perhentiannya.

Selasa, 15 Mei 2012

Bertemu Rakan Lama


Minggu lepas aku berada di Melaka selama 3 hari kerana menghadiri majlis pernikahan anak saudara isteriku di Bukit Baru, Melaka. Sepanjang berada di Melaka aku tinggal di sebuah homestay di Lorong Bukit Piatu 4, Bukit Piatu. Biliknya sederhana besar, bersih dan amat selesa. Ianya sangat sesuai untuk kami bertiga aku, isteri dan anak perempuanku.
Homestay Warisan
Kami bertolak dari Kuala Lumpur pada hari Jumaat jam 11.00 pagi dan tiba di rumah iparku lebih kurang jam 1.10 tengahari. Di rumah iparku, beliau sudah sedia menanti untuk membawaku ke masjid yang berdekatan untuk solat Jumaat. Di masjid ini juga majlis akad nikah pengantin akan diadakan pada sebelah petang selepas solat asar nanti. Setelah selesai solat Jumaat sewaktu berjalan bersendirian aku ditegur dari arah belakang oleh seseorang.
Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru, Melaka
‘Mail’ aku berpusing menoleh kearah panggilan tersebut.

‘Eh, Zali’, aku membalas tegurannya.

‘Engkau tinggal di mana’, Zali bertanyaku.

‘Aku tinggal di KL’.

‘Habis kau datang sini buat apa’, Zali meminta kepastian.

‘Anak saudara isteri aku nak nikah, ipar aku duduk di Bukit Baru’.

Ghazali ialah salah seorang sahabat lama sewaktu berkhidmat di dalam TLDM dahulu. Kami juga sama-sama menghadiri kursus asas Radio Komunikasi di KD Pelandok, Woodlands, Singapura. Beliau adalah dari kelas lain. Satu kelas ‘junior’ dariku. Namun kami tinggal di berek yang sama di ‘Y’ Blok.

Oleh kerana iparku sudah agak lama menunggu di keretanya untuk pulang, aku terpaksa meminta diri untuk sementara dan berjanji akan bertemu pada lain waktu. Sebelum berpisah Zali sempat memberiku kad perniagaannya untuk dihubungi nanti.

Setelah selesai acara pernikahan di masjid pada sebelah petang dan diikuti pula majlis kenduri doa selamat selepas solat isya’ di rumah iparku, aku mengambil peluang untuk menemui Ghazali di sebuah restoran di hadapan masjid tempat kami bertemu.

Aku menunggunya untuk beberapa ketika. Tidak lama kemudian Ghazali tiba ditemani isterinya. Beliau kemudian mengajakku menaiki keretanya dan dibawaku ke suatu tempat untuk ditemukan pula dengan kawan-kawan lain. Di dalam kereta Ghazali sibuk membuat beberapa panggilan kepada kawan-kawan lama yang tinggal berdekatan.

Kami tiba di sebuah gerai di Serkam, Melaka. Hanya seorang sahaja yang dapat datang untuk menemuiku iaitu Hassan dari pengambilan 131. Rahmat yang sama pengambilan dengan Ghazali berada di Muar dan tidak dapat datang. 
Namun aku sempat berbual seketika dengannya menerusi telepon bimbit. Rahmat juga amat baik denganku ketika sama-sama mengikuti kursus.

Kami berbual-bual mengimbau kisah-kisah lampau sewaktu di dalam TLDM dan juga hal-hal semasa. Sebenarnya aku tidak begitu ingat tentang Hassan. Namun setelah lama cuba mengingati akhirnya dapat juga mengingati sedikit akan diri beliau sewaktu di dalam TLDM. Kami bertiga telah tidak bertemu lebih 28 tahun.
Bersama Hassan (kiri) dan Ghazali (kanan)
Kami berbual sehingga hampir jam 12.00 tengah malam. Aku terpaksa meminta Ghazali menghantarku pulang kerana bimbang isteriku sedang menanti untuk pulang ke homestay.

Beginilah kehidupan manusia. Allah swt telah menentukan untuk aku bertemu semula dengan teman-teman seperjuangan TLDM suatu ketika dahulu.

Alhamdulillah. Segala puja dan puji bagi Allah.



Sabtu, 12 Mei 2012

Pagi Yang Indah Di Bukit Piatu, Melaka

Jam 5.48 pagi. 

Maha suci Allah
Yang menjadikan malam dan siang
Bulan dan bintang
Gelap dan terang
Jam 6.51 pagi
Maha suci Allah
Yang menjadikan pagi dan petang
Langit yang meninggi
Awan yang berkepul-kepulan
Cahaya kesiangan

Maha suci Allah yang menjadikan semua ini
Tidak dengan sia-sia



Rabu, 25 April 2012

Hasil Perhimpunan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen di Putrajaya


Pagi tadi saya ke Putrajaya dengan satu tujuan utama selain tujuan sampingan untuk bertemu teman lama saya ketika sama-sama berkhidmat di kapal KD Jerai lebih 25 tahun lalu.

Tujuan utama pula ialah untuk melihat, meninjau dan mengetahui permasalahan sebenar yang dialami oleh bekas veteran tentera tidak berpencen yang mengadakan perhimpunan aman di Dataran Masjid Putrajaya demi menuntut beberapa perkara yang bersabit dengan janji Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak berhubung peruntukan RM50juta kepada pesara tentera tidak berpencen di dalam Bajet 2012.
Kain rentang KVTTB
Saya difahamkan bahawa perhimpunan ini telah mendapat kelulusan dari pihak PDRM. Kumpulan ini yang dinamai Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen (KVTTB) mendatangkan dua buah bas yang penuh dengan ahli mereka. Selain itu puluhan kereta dari kalangan ahli KVTTB turut sama menyertai perhimpunan ini. Saya anggarkan lebih kurang 200 ahli KVTTB mengambil bahagian.
Dua buah bas membawa ahli KVTTB
Sebelum ini saya tidak mengetahui tentang kewujudan KVTTB. Saya hanya mengetahui bahawa satu perhimpunan oleh kumpulan ini melalui satu grup 'Kami Bekas Tentera' di dalam laman sosial Facebook yang banyak mengundang salah faham di antara anggota-anggota bekas tentera berpencen dan tidak berpencen.

Sejurus selepas PM Dato’ Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman bahawa pesara tentera tidak berpencen diperuntukan RM50 juta untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka, saya dikhabarkan bahawa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) telah diberi sebahagian kecil (kecil pun RM jutaan juga) dari peruntukan tersebut untuk melaksanakan aktiviti demi kepentingan warga bekas tentera tidak berpencen dengan mengadakan kursus yang menjurus kepada penubuhan syarikat oleh peserta kursus.

Kebanyakan peserta kursus yang sudah berumur merasakan bahawa usaha ini oleh PBTM tidak praktikal. Ini kerana faktor usia yang telah menjelang senja, usia yang hanya menunggu saat dipanggil oleh Sang Pencipta. Mungkin bagi pesara ATM yang relatifnya masih muda boleh dipraktikkan. Mereka masih bertenaga dan layak membuat pinjaman bank.

KVTTB juga merasa curiga terhadap organisasi lain seperti JHEV, PERHEBAT dan PBTM yang cuba ingin mengambil kesempatan dari peruntukan tersebut. KVTTB tidak mahu pihak lain mengambil kesempatan dan inginkan agar pesara ATM tidak berpencen memanfaatkan sepenuhnya peruntukan tersebut sama ada secara langsung ataupun tidak langsung melalui mereka yang terdiri dari kalangan pesara ATM tidak berpencen sendiri.

Oleh itu, maka pada 1hb Mac, 2012 atas inisiatif warga pesara ATM tidak berpencen dari Negeri Sembilan dan Melaka telah menubuhkan Koperasi Veteran Tentera Tidak Berpencen dan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen yang diketuai oleh saudara Mohd Sabri.
Saudara Mohd Sabri sedang menjelaskan sesuatu kepada wartawan yang hadir.
Perhimpunan pagi tadi berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Saya kira pihak berwajib seperti PDRM amat berpuas hati dengan perjalanan perhimpunan tersebut.

Lebih kuran jam 10.00 pagi saudara Mohd Sabri dan beberapa ahli lain berserta beberapa wartawan telah dibawa oleh seorang bernama Razman (Peg. JPM) ke Pejabat Perdana Menteri untuk dipertemukan dengan seorang SetiaUsaha Politik kepada Perdana Menteri iaitu Dato’ Fahmi untuk berbincang mengenai perhimpunan tersebut dan menyampaikan tuntutan KVTTB kepada beliau.

Kami menunggu kesudahan pertemuan tersebut selama hampir dua jam. Lebih kurang jam 12.00 tengahari, saudara Mohd Sabri dan rombongan kembali menemui kami dan beberapa wartawan lain yang sedang menunggu dengan berbagai pertanyaan di fikiran.
Sebahagian dari ahli KVTTB bergambar diambil oleh wartawan-wartawan.
Dalam pertemuan tersebut saudara Mohd Sabri memaklumkan bahawa PM telah bersetuju untuk memberi sejumlah wang RM1juta daripada peruntukan RM50juta kepada Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen untuk menjalankan acara ‘Road Show’ bagi memaklumkan fungsi dan matlamat KVTTB ke seluruh Semenanjung Malaysia serta negeri Sabah dan Sarawak. Tujuan ‘road show’ juga adalah untuk memaklumkan kepada seluruh warga pesara ATM tidak berpencen di seluruh negara memandangkan bahawa terlalu ramai warga ATM tidak berpencen tidak mengetahui tentang kewujudan KVTTB.

Beliau juga memaklumkan bahawa baki wang peruntukan tersebut akan diberikan kepada Koperasi Veteran Tentera Tidak Berpencen untuk tujuan melaksanakan aktiviti demi manfaat ahlinya. Satu pengumuman rasmi akan dibuat oleh PM sendiri dalam satu acara perhimpunan besar pada satu tarikh yang akan ditentukan sebelum pilihanraya akan datang.

Pada perhimpunan ini juga saya telah diberikan beberapa helai borang untuk menjadi ahli. Keahlian adalah PERCUMA.

Namun demikian segala ini adalah perencanaan manusia. Ada manusia berhati jujur dan ada pula bersifat sebaliknya. Sebagai seorang Islam, seseorang itu harus memandang positif dan bersangka baik. Manusia merencana, Allah swt jua menentukan.

Secara peribadi saya berpandangan jangan terlalu mengharap.

Renungan Hari Rabu - 1


Hari ini baru saya ketahui bahawa anak orang kedua terkaya negara kita seorang sami buddha dan giat menjalankan aktiviti keagamaannya.

Secara peribadi saya kagum dengan kesungguhan beliau meninggalkan kemewahan dunia yang dimiliki oleh bapanya yang bernilai billion ringgit dan bergiat untuk kepentingan agama yang diyakini beliau.

Bukan calang-calang orang sanggup berbuat demikian. Sanggup meninggalkan segala kemewahan dan kekayaan yang menjadi kegilaan manusia tua dan muda serta rela hidup ala kadar.

Namun, saya masih ingat suatu ketika guru agama saya pernah berkata dalam satu pengajian,

‘Suatu hari sewaktu Amirulmukminin Saidina Umar ra dan sahabat sedang berjalan di kota, mereka terserempak (melihat) beberapa orang rahib dalam keadaan tidak terurus’.

‘Saidina Umar ra. lantas berkata dengan petikan firman Allah swt, 
88:3
88:4

‘Yang bekerja, berpenat lelah,
Akan terpanggang di api yang sangat panas’
(Quran Surah Al Ghasiyah, Ayat 3 dan 4)

Saya kira banyak pengajaran yang boleh kita dapati dari ulasan Saidina Umar Al-Khattab ra. Sama-sama kita fikirkan.

Ahad, 22 April 2012

Menghitung Hari


Di dalam kandungan
Ibu menghitung hari
Kapan bisa menatap wajah anak ini

Ketika anak-anak
Mulai pandai
Membaca, menulis dan menghitung
Ibu menghitung hari lagi
Kapan bisa dihantar anak ke sekolah

Ketika anak ini meningkat remaja
Dengan bangga
Ibu menghitung hari
Agar anak digelar mahasiswa mahasiswi

Ketika usia anak meningkat dewasa
Segulung sarjana tanda berjaya
Ibu menghitung hari lagi
Kapan anakku bisa jadi pegawai tinggi

Ketika anak ini
Menjawat jawatan penting lagi tinggi
Ibu tidak henti-henti
Menghitung hari
Kapan pula bisa ibu bermenantu

Ibu masih lagi menghitung hari
Kali ini.....
Kapan pula ibu bisa menimang cucu
Demi kelangsungan zuriat si ibu

Ibu kini masih menghitung hari
Untuk tidak lagi menghitung hari-hari
Ibu tidak lagi menghitung hari
Kerna hitungan hari terakhir telah dikunjungi....

Kini ibu serahkan
Penghitungan hari
Dan hari-hari seterusnya
Kepada sang anak
Yang dikasihi

Nukilan ini khas buat ibuku yang telah pergi 10 tahun yang lalu. Tidak lupa juga untuk semua ibu-ibu yang telah membesarkan anak-anak mereka dengan jerih dan payah sehingga berjaya menjadi manusia yang dapat menaburkan bakti kepada ibubapa mereka, bangsa dan juga negara.

Semuga mereka (ibu-ibu dari kalangan muslimat) yang masih hidup mahupun yang telah pergi diampuni Allah swt dan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang diredhaiNYA dan dirahmati jua hendaknya.

Amin.

Selasa, 17 April 2012

TLDM hasilkan produk makanan daging salai


Pastinya penggemar makanan daging salai ternanti-nanti untuk menikmati hidangan daging salai ciptaan TLDM yang akan dijual di pasar raya sebaik sahaja ianya dikomersilkan.

Linknya di sini.

Bagaimanakah rasanya. Enak ke....

Saya antara penggemar makanan daging salai. Andaikata kami (seisi keluarga) pulang dari rumah Mak Ngah di Serting, kami akan singgah di satu gerai di Batu Kikir untuk membeli beberapa keping daging salai yang pada pendapat saya sedap dirasai. Dagingnya lembut, enak dan tidak liat.

Masakan yang seisi rumah saya gemari pastinya masak lemak cili api.
Gambar Hiasan
Sama-samalah kita (penggemar daging salai) menanti kemunculan hidangan daging salai ciptaan TLDM ini. Pastinya kena cuba.

Insya’Allah.