Pengikut

Isnin, 15 November 2010

Merungkai Kisah Sebenar KD Sri Perak 2

Pelampong Penyelamat...Gambar Hiasan
Di dalam pelampong terdapat satu bungkusan besar yang mengandungi peralatan 'survival' saperti VHF  Auto Distress transmitter, air dalam tin, makanan (concentrated biscuit), alat memancing, 'flares' dan beberapa bahan lain.

Perkara utama yang kami lakukan adalah mengambil alat komunikasi dan mengaktifkannya dengan harapan agar ada yang mendengar dan memberi bantuan kepada kami.   Makanan dan minuman serta lain-lain barang kami simpan kembali untuk digunakan apabila keadaan memerlukan.

Kami harungi malam yang pertama di laut luas dengan pelbagai perasaan.   Masing-masing dengan pelbagai fikiran tersendiri.   Kebanyakan anak-anak kapal masih bujang.   Hanya barangkali ada tujuh atau lapan orang sahaja yang telah berumah tangga.   Mereka yang telah berumah tangga ini mungkin lebih banyak bermain perasaan dan fikiran dari mereka yang belum berkahwin.   Aku masih belum berkahwin ketika itu.   Masih bujang trang tang tang.....

Oleh yang demikian, aku tidak banyak memikirkan perkara yang bukan-bukan.   Tidak terlintas langsung di fikiran aku tentang kematian.   Barangkali memang sukar untuk orang lain mempercayai kenyataan aku ini.   Mungkin ini kerana aku belum berumah tangga.   Kerana sekiranya aku mati, aku tidak meninggalkan sebarang kesulitan buat sesiapa.   Aku tidak punyai isteri dan anak untuk difikirkan tentang masa hadapan mereka.    Namun, sekiranya aku sudah berumah tangga mungkin fikiran aku tentu berlainan sekali.   Itulah hakikatnya.

Masa berlalu dengan cepat sekali.   Waktu malam menjelang tiba dan diikuti dengan hujan serta alunan ombak yang masih kuat.   Kami dibawa oleh alun ombak entah ke mana arah tujuannya.   Dalam pada itu, beberapa orang di antara kami membuat 'look-out' di tepian pelampong untuk melihat kalau-kalau ada kapal melintas.   Di luar, atas kanopi pelampong, terdapat lampu kecil yang bernyala dengan agak terang, tetapi tidak lama.    Tidak berapa lama kemudian ia padam.   Suasana menjadi gelap.    Lampu ini dinyalakan dengan menggunakan kuasa bateri yang disambongkan dengan wayar ke dalam air laut yang dilekatkan di bawah pelampong.   Air laut akan membuatkan bateri tersebut di'charge' berterusan.   Oleh yang demikian, salah seorang dari kami terpaksa menyelam di bawah pelampong untuk memeriksa dan  membetulkan kedudukan bateri tersebut.   Lampu tersebut bernyala semula.
Flare(s)...Gambar Hiasan

Tidak berapa lama kemudian, kami melihat suatu cahaya terang di kejauhan.   Sabuah kapal dagang sedang bergerak seakan menghampiri kami.   Lalu aku sendiri sebagai orang yang dipertanggongjawabkan dalam urusan komunikasi mengambil 'flare(s)' dan cuba menyalakannya.   Beberapa batang 'flares(s) aku cuba, tetapi akhirnya dapat menyalakan satu daripada beberapa batang flare(s) tersebut untuk menarik perhatian kapal tersebut.   Beberapa rakan yang lain menjerit-jerit meminta tolong, walau pun kami tahu bahawa mereka tidak dapat mendengar kami.    Alun yang tinggi di lautan yang luas membuatkan pelampong yang kami naiki terlalu kecil.   Tambahan pula di waktu malam hari.   Kapal tersebut berlalu pergi tanpa menyedari kami berada tidak jauh dari mereka.   Kami merasa sungguh kecewa.   Namun apakan daya, takdir menentukan bahawa pertolongan belum tiba.   Dalam pada itu, alun dan ombak yang kuat membuatkan percikan air laut masuk ke dalam pelampong dengan banyak.   Kami bergilir-gilir membuang air yang membanjiri di dalam pelampong keluar.   Masa terus berlalu sehingga ke pagi hari.   Mungkin ada yang dapat terlena seketika dan ada pula masih terus berjaga memikirkan tentang nasib yang bakal menimpa.

Pada pagi hari 9hb Jan, 1984 cuaca mulai beransur baik.   Hujan telah berhenti pada awal paginya.   Air laut kelihatan tenang sekali. Angin pula bertiup perlahan.   Sang suria telah menampakkan dirinya.   Itulah keindahan alam yang dicipta oleh Allah s.w.t.   Aku masih ingat, aku secara sukarela menjadi 'look-out' merasa saperti tiada kejadian buruk berlaku.   Aku duduk di tepian pelampong dan sekali-sekali berdiri melihat ke kiri dan ke kanan, kalau-kalau ada kapal yang melintas.   Aku buat seperti saolah-olah sedang berpesiaran.   Aku juga teringat akan seorang rakan di dalam pelampong ABEM Muzaffar.   Dia adalah anak saudara Timbalan Panglima Tentera Laut ketika itu (Laksamana Dato' Abdul Wahab Hj. Nawi), bersama-sama cuba menceriakan keadaan dengan kata-kata semangat kepada rakan-rakan yang lain.

Satu lagi peristiwa yang tidak dapat kami lupakan adalah mengenai ikan lumba-lumba yang sentiasa mengiringi kami.   Satu kumpulan dalam tiga atau empat ekor.   Satu kumpulan pergi dan tidak lama kemudian satu kumpulan lain akan datang berenang-renang begitu hampir dengan pelampong yang kami naiki.

Pada pagi hari itu juga, kami membuka air tin dan 'concentrated biscuit' untuk dimakan dan diminum.   Air tin hanya ada beberapa tin sahaja, manakala biskut juga tidak banyak.  Tetapi alangkah terkejutnya aku, air dalam tin tersebut telah lama luput tarikhnya.   Aku tidak pasti sama ada rakan-rakan yang lain masih ingat atau tidak akan perkara ini.   Tetapi aku tidak akan lupa sampai bila-bila.   Kalau tarikh luputnya satu atau dua bulan, barangkali masih boleh diterima.   Tetapi tarikh luputnya pada tin tersebut menunjukkan sudah bertahun-tahun.   Pada biskut pula, aku tidak dapat melihat tarikh luputnya kerana ia dibalut menggunakan kertas alluminium tebal.   Ada di antara kami meminumnya dan ada di antara kami juga tidak sanggup meminumnya.   Aku tidak sanggup meminumnya untuk seketika.   Akan tetapi, biskut tersebut aku ambil juga dan memakannya kerana terlalu lapar.   Walaupun biskut ini dimakan sedikit, tetapi ia dapat menampong perut sehingga beberapa jam kerana ia diadun dan dibuat khas untuk kecemasan.

Perkara seperti ini menunjukkan bahawa pihak yang bertanggongjawab untuk memeriksa pelampong-pelampong penyelamat secara berkala tidak membuat kerja mereka dengan betul dan jujur.   Barangkali, mereka memeriksa pelampong-pelampong penyelamat hanya pada pelampong sahaja.   Tidak pada isi kandungan bungkusan yang mengandungi bahan-bahan keperluan kecemasan.   'Flare(s) tidak dapat berfungsi, bateri lampu juga tidak berfungsi dengan baik.   Begitu juga dengan makanan dan minuman yang telah lama tamat tarikh luputnya.

Ingin aku tekankan sekali lagi bahawa aku tidak ada-adakan cerita seperti ini.   Kenyataan ini adalah benar belaka.   'The whole Truth, nothing BUT the whole Truth'.   Perkara ini telah lama aku simpan.   Kami sebagai anggota LAIN-LAIN PANGKAT sama sekali tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan.   Kami adalah LAIN-LAIN PANGKAT bukan PEGAWAI.   Oleh yang demikian, mereka yang tidak amanah dalam mengendalikan kerja mereka telah melibatkan lebih banyak kesengsaraan terhadap orang lain.

Kembali semula kepada kisah di dalam pelampong.  Hari kedua di dalam pelampong ini tidak banyak dapat aku ceritakan kerana tidak banyak insiden besar yang berlaku.   Cuaca di laut silih berganti.   Hujan lebat dan angin kuat juga kembali semula.   Aku dan beberapa rakan lain yang tidak meminum air tin tadi menadah air hujan melalui corong di atas kanopi dan meminumnya.   Bagi aku ia lebih selamat dan dapat juga aku tahu bagaimana rasanya air hujan.   Manakala lampu yang malam tadi bernyala kini sudah tidak dapat digunakan lagi.   Kami berada di dalam kegelapan sepanjang malam.   Apa yang membimbangkan kami terus-terusan di waktu malam agar tidak dilanggar kapal kerana pelampong tiada berlampu.   Dan kami bernasib baik kerana masih dilindungi oleh Allah s.w.t.

Sekian untuk 'post' kali ini.   Akan disambong pada 'post' akan datang Insya'Allah.

4 ulasan:

  1. Pakmail, thank for producing this fine work, I really appreciate your effort. Keep it up

    BalasPadam
  2. Sebak dada membaca seolah-olah saya sendiri yang mengalaminya. Apa pun, setiap kejadian tentu ada rahmat tersembunyi. Mungkin ia lebih merapatkan kita dengan pencipta. Teruskan cerita pengalaman unik saudara.

    BalasPadam
  3. Terima kasih kerana terus membaca dan prihatin terhadap kejadian ini.

    BalasPadam