Pengikut

Ahad, 21 November 2010

Merungkai Kisah Sebenar KD Sri Perak 3

Alhamdulillah.  Segala puja dan puji bagi Allah yang telah memberikan aku sedikit kekuatan ingatan untuk aku menyambong kembali mencoretkan sebahagian lagi dari pengalaman hidup ku bersama rakan-rakan lain di tengah Laut China Selatan di dalam pelampong hampir 27 tahun yang lalu.

Di dalam kegelapan malam serta cuaca yang tidak menentu dan alunan ombak serta angin yang kuat kami terus terapong di laut tanpa mengetahui di mana kami berada.  Kami pasrah dengan ketentuan Illahi.  Pada siang hari tadi, aku seperti tiada merasa kesusahan, namun kini pada waktu malam seperti ini kekuatan hati aku mulai tercabar.  Aku mulai dibayangi kebimbangan.  Anak-anak kapal secara fizikal dan mental sudah mulai kelihatan letih.  Suasana begitu amat sepi.  Sekali-sekala kedengaran batuk-batuk kecil memecah kesunyian oleh sesaorang dari kalangan kami.

Tiba-tiba salah seorang dari kami menjerit.
"Ada kapal.....ada kapal", sambil menunjukkan ke arah suatu cahaya kecil jauh di ufuk dunia.  Cahaya tersebut kelihatan mendekati kami serta membesar dan bertambah terang.  Kami menaruh harapan yang begitu tinggi agar dapat diselamatkan.  Aku mencari sisa-sisa 'flares'.  Mana tahu mungkin dapat berfungsi dan dinyalakan.  Beberapa rakan lain cuba juga membantu untuk menyalakannya.  Namun nasib kami tidak begitu baik.  Kesemua 'flares' tidak dapat berfungsi dan digunakan.  Kami begitu hampa sekali.  Kapal tersebut berlalu pergi jua.

Jam digital Casio yang satu ketika sangat 'popular' di tangan ku terus menghambat waktu.  Aku masih ingat, aku duduk bersebelahan dengan Juragan kami bernama Wahab (POSM Wahab).  Beliau berasal dari Kelantan dan telah berkeluarga dan telah mempunyai beberapa orang anak.  Dalam nada yang begitu sedih dan murung, beliau berbicara kepada aku.
"Kalau saya mati, apa akan jadi pada anak dan isteri saya nanti", beliau menyuarakan isi hatinya.
Aku hanya dapat mendiamkan diri sahaja kerana aku juga tidak tahu apa akan terjadi pada kami seterusnya.

Ada beberapa lagi rintihan sedih dengan nada pilu dan wajah muram seumpama ini yang tak dapat aku coretkan kerana terasa sebak di dada ini untuk terus menceritakan.  Biar pun berat mata aku memandang mereka ketika itu, namun berat lagi bahu mereka memikul serta memikirkan orang-orang yang mereka sayangi.  Allah s.w.t. jua yang Maha Mengetahui apa yang mereka fikirkan.

Oleh kerana bilangan kami yang ramai, melebihi kapasiti yang ditetapkan di dalam pelampong, kami terpaksa duduk berhimpit-himpitan dalam keadaan satu posisi sepanjang masa.  Tiada banyak ruang untuk kami bergerak-gerak dan meluruskan kaki kami.  Ini membuatkan kaki kami merasa kejang.  Dan dalam keadaan itu jugalah kami cuba untuk tidur atau sekadar melepaskan pedih di mata kerana kekurangan tidur.  Kami tertanya-tanya sesama sendiri mengapa sudah hampir masuk hari ketiga kami terapong, masih juga belum kami ditemui oleh pasukan pencari dan penyelamat (SAR Team).  Begitulah keadaan kami di dalam pelampong sehingga terbit matahari keesokan hari.

Pada hari ketiga tanggal 10hb Jan, 1984 keadaan pelampong sudah mulai kelihatan tidak dapat bertahan lama.  Pecahan pada bawah pelampong membuatkan tempat kami duduk tidak rata.  Kami sedang duduk di atas air berlapik getah pada permukaan pelampong bahagian dalam.  Oleh yang demikian, kami tidak boleh bergerak terlalu banyak.  Ini akan membuatkan pelampong menjadi bertambah rosak.

Sementara itu, sisa air minuman yang hanya tinggal beberapa tin itu kami buka dan berikan kepada mereka yang menghendaki.  Oleh kerana terlalu dahaga, aku juga mengambilnya sedikit buat sekadar membasahkan tekak.  Begitu juga dengan biskut sebesar coklat 'Cadbury' bersaiz besar itu kami bahagi-bahagikan sedikit seorang.  Itulah makanan dan minuman yang terakhir buat kami.  Kami hanya dapat berserah kepada Allah s.w.t. akan nasib diri kami seterusnya.

Pada hari ketiga ini juga cuaca begitu baik sekali, disertai dengan angin laut panas yang meniup perlahan.  Keindahan alam ciptaan Allah s.w.t. ini begitu indah sekali.  Di sekililing kami air laut seluas mata memandang tanpa sebarang pulau.  Namun dalam menghayati keindahan alam ini, kami masih tidak berputus asa mengharap agar kami ditemui.   Kami masih terus mengharap...mengharap ... dan terus mengharap sehingga malam tiba.  Pada malam ketiga seperti dua malam yang lalu, kami melayan perasaan dan fikiran masing-masing.  Mungkin ada yang tertidur atau ada yang masih tak dapat tidur.  Aku duduk tidak jauh dari Pegawai Memerintah (PM), hanya dipisah oleh tiga atau empat rakan sahaja.  Tiba-tiba, aku terdengar, atau mungkin juga beberapa rakan di antara kami juga terdengar PM berkata-kata secara bersendirian.  Aku tidak dapat memahami apa yang diperkatakan kerana agak perlahan ucapannya.  Aku percaya rakan-rakan yang duduk berhampiran beliau juga pasti mendengar bahawa PM ada berkata-kata secara bersendirian.  Tetapi kami tidak berani untuk bertanya atau menegurnya.  Maklum sahaja, beliau seorang PM.  Perkara ini terjadi bukan  sekali sahaja tetapi berkali-kali pada malam itu.  Kami juga tidak pasti sama ada beliau (PM) sedar atau tidak akan apa yang diperkatakannya itu.  Mungkin sahaja oleh kerana beliau seorang PM yang memikul tanggong jawab yang besar dan pastinya bebanan serta tekanan yang dipertanggong jawabkan itu terlalu berat  untuk dipikulnya.  Malam terus berlalu hingga ke pagi hari.

Pada pagi hari 11hb Jan, 1984 kelihatan awan mendung meliputi sebahagian langit seperti akan hujan, biar pun alun dan ombak tidak kuat.  Sejak pagi semalam kami tidak makan dan minum kerana kehabisan bekalan.  Biar pun lapar dan dahaga, kami tidak begitu hirau sangat kerana memikirkan masalah besar yang akan dihadapi.  Keadaan pelampong bertambah membimbangkan.  Udara di dalam sedikit demi sedikit berkurangan.  Tampak ketara akan perbezaan pelampong berbanding pada hari pertama.  Menjelang hampir tengah hari, hujan sederhana lebat mulai turun.  Kami ambil kesempatan menadah air hujan melalui corong kanopi dengan tin kosong untuk diminum.  Alhamdulillah..... Allah s.w.t. menurunkan rahmatnya.  Segala puja dan puji kami berikan kepada NYA yang telah memberikan kami sedikit harapan untuk terus berjuang demi meneruskan kehidupan.  Tidak ada apa lagi yang kami boleh lakukan selain menunggu....menunggu dan terus menunggu.

Tiba-tiba....(sebak dada penulis ketika menulis 'draft' bahgian ini).  Kami terdengar deruan enjin.....(Menitis airmata penulis ketika menulis dan mengenangkan detik ini...) berbunyi dengan kuat di luar.  Kami melihat di luar.  Sebuah pesawat dari jenis ORION milik Tentera Udara Australia sedang terbang rendah, sangat rendah di atas kami (bertambah sebak dada penulis).  Kami melambai-lambai ke arah juruterbang.  Juruterbang membalas lambaian kami.  Kemudian, juruterbang tersebut membuat satu pusingan dan kembali kepada kami semula sambil menjatuhkan empat 'flares' di setiap penjuru tempat kami berada.  Ini bertujuan supaya mana-mana kapal yang datang membantu kami dapat melihat lokasi kami melalui tanda asap 'flares' tersebut.  Juruterbang itu sekali lagi membuat satu pusingan dan kembali kepada kami lalu menjatuhkan beberapa beg plastik berisi makanan dan minuman buat kami, lalu pergi.  Kami mengambil bungkusan-bungkusan tersebut dan membahagi-bahagikan sesama kami sementara menunggu bantuan tiba.

Lebih kurang satu jam kemudian, sebuah kapal dagang MV Thunderhead yang berada tidak jauh dari lokasi kami tiba untuk mengambil kami lebih kurang jam 5.00 petang.  Keadaan kaki kami ketika itu amat lemah dan kejang.  Ini kerana darah tidak dapat mengalir dengan lancar kebahagian kaki kami.  Oleh yang demikian, kami dipapah untuk menaiki kapal dagang tersebut.  Sebaik sahaja kami bergerak keluar dari pelampong, keadaan pelampong telah sama sekali renyuk dan tidak boleh digunakan lagi.

Di dalam kapal tersebut, kami diberi makan dan minuman sementara menunggu bantuan seterusnya.  Pada tengah malam itu, lebih kurang jam 12.00 tengah malam, kapal KD Mahawangsa yang diperintah oleh Kept Muhammad Yassin datang mengambil kami pula.  ABRO Abas datang bertemu aku dan memberi kepada ku sepasang pakaian untuk dipakai .  Terima kasih kepada sahabat ku ini.  Budi baik mu akan dikenang sepanjang hayat.  Begitu juga dengan pegawai dan anak-anak kapal yang lain, diberi bantuan yang sewajarnya dan terus bermalam di situ.

Sejurus selepas turun dari pesawat TUDM. Gambar penulis dihadapan sekali.

Keratan akhbar The Star bertarikh 13hb Jan 1984
Pada keesokan hari, tanggal 12hb Jan, 1984 dua buah helikopter Nuri mengambil kami untuk dihantar ke Kuching sebelum membawa kami menaiki Hercules milik TUDM terbang ke Ipoh.  Di Ipoh, Panglima Tentera Laut, Laksamana Mohd Zain dan pegawai-pegawai lain menunggu ketibaan kami untuk beramah mesra dan mengadakan upacara doa selamat.  Kemudian kami dipertemukan bersama sanak saudara yang juga sedang menunggu ketibaan kami.

Esoknya tanggal 13hb Jan, 1984 anak-anak kapal KD Sri Perak yang kehilangan BAT C 10 diberi Kad Pengenalan Tentera Sementara dan seterusnya semua pegawai dan anak-anak kapal diberi cuti tanpa rekod selama dua minggu untuk bersama keluarga.

Demikianlah secara ringkas yang dapat aku ceritakan tentang pengalaman aku serta rakan-rakan lain sewaktu mengharungi detik-detik sebelum dan selepas tenggelamnya kapal KD Sri Perak.

Insya'Allah, pada 'post' akan datang aku akan tuliskan sedikit ulasan dan pandangan terhadap peristiwa ini secara peribadi.  Di samping itu juga, saudara/i pengunjung blog ini, boleh memberi komen, pandangan, teguran atau apa saja yang difikirkan sesuai terhadap peristiwa ini demi kebaikan kita bersama.

Coretan atau kisah yang aku paparkan ini hanyalah satu daripada dua puluh enam yang lain.  Maksudnya, ada dua puluh lima lagi cerita yang lain dari rakan-rakan di dalam pelampong ketika kejadian.  Mereka juga mempunyai pengalaman dan pandangan dari sudut pengamatan mereka berdasarkan peristiwa ini.

Sekian untuk 'post' kali ini.

71 ulasan:

  1. Pak Mail, I sincerely wish to express my appreciation and recognition to the hard work that you had put into getting your past true life experience in a readable format for all readers.

    I take my hat off for you and you earn my salute for your determination.

    BalasPadam
  2. Pak Mail, masa kejadian, porthole - 14 sebelah port dan 14 sebelah starboard - masih wujud atau sudah di welding? Atau penutupan porthole itu dilakukan selepas tragedi KD Sri Perak?

    BalasPadam
  3. Saudara Lading, saya tidak perasan tentang porthole itu kerana KD Sri Perak merupakan kapal PC pertama saya ditugaskan. Tambahan pula saya hanya sempat berada di PC tsb dalam 2 - 3 minggu sahaja.

    BalasPadam
  4. Naikiew, Thank you very much for your kind expression. I can't do it without you and Lading's encouragement and support.

    BalasPadam
  5. Salam..Malang orang tidak nampak pengorbanan seramai 26 pelaut malang ini ketika itu.. cukupkah sekadar 2 minggu cuti unrecorded sebagai ganjaran menyabong nyawa begini..Adakah perjuangan ini sekadar lecehan jika diukur dari jasa seorang olahragawan yg disanjung dan di anugerah 'Datok'. Murahnya harga nyawa seorang pejuang bangsa. Maaf

    BalasPadam
    Balasan
    1. memang murah nILAI DIRI KAMI anggota tentera,,,,, dah berhenti lagi lah murah,,,,

      Padam
    2. kalau dh berhenti, dipandang rendah oleh masyarakat,seumpama bekas tentera seperti seorang banduan yang telah melakukan jenayah berat, walaupun berhenti kerana tidak menyambung perkhidmatan...mungkin khidmat dan jasa anggota tentera dapat dinilai sekiranya negara berada dalam keadaan seperti di negara bergolak..

      Padam
  6. Saudara Pak Mail,

    Terima kasih kerana menceritakan apa yang berlaku pada KD Sri Perak. Saya percaya 2 buah Nuri yang mengambil krew PC tersebut ialah dari No 7 Skn, TUDM Kuching. Ketika insiden, saya bertugas sebagai Ketua No 5 Skn, TUDM Labuan. Kami tidak terlibat dalam ops SAR. Apa pun, Syukur Alhamdulillah, 26 pelaut terselamat. Kepada yang 3 orang lagi...Al-Fatihah.

    BalasPadam
  7. Tuan,

    Terima kasih juga kepada tuan kerana pautkan blog tuan ke blog saya. Saya percaya masih ramai yang tidak tahu tentang bagaimana peristiwa itu berlaku. Dengan ini saya juga sokong penuh sekiranya tuan teruskan niat untuk membukukan kisah-kisah ATM. Saya berdoa semuga cita-cita terkabul. Insya'Allah.

    BalasPadam
  8. Salam saudara mail, terima kasih kerana memberikan maklumat tentang tumpasnya KD Seri Perak. Sebagai seorang yang terlibat dengan permuziuman saya memang tertarik dengan cerita sebegini kerana ianya adalah merupakan bahan sejarah yang harus didokumentasi untuk pengetahuan generasi akan datang terutama anggota TLDM. Salam perkenalan pak mail - Mej baharudin Kurator Muzium RAJD.

    BalasPadam
  9. Saudara Mej Baharudin,

    Salam perkenalan juga kepada saudara. Pertama-tama saya ucapkan terima kasih kerana sudi membaca coretan pengalaman saya ketika peristiwa tsb berlaku. Saya bersetuju dengan pendapat saudara supaya peristiwa seperti ini didokumentasikan oleh ATM. Tetapi malangnya setelah hampir 27 tahun berlalu pihak terlibat khususnya TLDM seperti tidak mahu ambil tahu dan ambil pengajaran dari peristiwa tersebut.

    Terima kasih sekali lagi.

    BalasPadam
  10. Ex Navy ( Mat Pedu )23 Februari 2011 7:23 PTG

    Salam Pak Mail..

    Sedih teramat bila membaca dan mendengar pengalaman pak mail serta 25 anggota mengharungi cabaran di lautan yang tiada berpenghujung... saya dapat bayangkan mcmana peritnya peristiwa itu terjadi kepada krew KD Seri Perak ketika itu... Pengalaman saya menjadi krew KD Seri Inderasakti dan KD Mutiara (walaupun tidak berlaku seperti Pak Mail) sudah cukup bg saya memahami erti sebenar keperitan Pak Mail dan rakan2 seperjuangan ketika itu... Hanya Allah yang tahu apa yg telah DIA tetapkan... Al- Fatihah kepada semua rakan2 seperjuangan dari ketiga2 cabang perkhidmatan yg telah dulu gugur di medan...

    BalasPadam
  11. Saudara Mat Pedu (Ex-Navy),

    Salam kembali buat saudara.

    Terima kasih kerana membaca coretan saya. Dan terima kasih juga kerana menghayati serta memahami pengalaman kami dalam mengharungi detik2 cemas ketika insiden KD Sri Perak.

    BalasPadam
  12. Salam pak mail, terima kasih di atas coretan iklhas kisah kd sri perak. sy secara peribadi amat bersimpati dengan kejadian yang telah berlaku. utk pengetahuan, sy mmg sdh lama mencari kisah cerita ini, namun tiada siapa pn mmpu cerita yg sbnrnya. tetapi hari ini, setelah 7 thn dlm pkhdmatan tldm, sy ketahui akhirnya. trma ksh bnyk2. smga pak mail sekeluarga sentiasa sihat diberkati Illahi.
    Lt Tldm

    BalasPadam
  13. Saudara Lt TLDM,

    Terima kasih juga kerana singgah dan membaca coretan saya.

    Saya juga berdoa semuga saudara peroleh kesejahteraan dari Allah s.w.t dan juga semuga berjaya dalam kerjaya TLDM.

    BalasPadam
  14. Salam Pak Mail,
    Siapakah PM pada masa tu ye?
    Saya bertugas di New Zeakand pada masa itu dan tidak berapa mengikuti perkembangan insiden ini.

    BalasPadam
  15. Saudara Zabs,

    Terima kasih kerana membaca coretan saya ini.

    PM ketika itu ialah Lt Chandran. KDSP merupakan kapal pertama beliau memerintah. Beliau mengambil alih pemerintahan kapal dari Lt Matsom.

    BalasPadam
  16. Salam Pak Mail,
    Saya minat juga membaca cerita2 nostalgia ini. Malahan saya pun ada menulis serba sedikit di blog saya. Tp sekarang dsh lsms tak menulis di blog. Sesekali tu adalah cuba menulis semula.

    BalasPadam
  17. Saudara Zabs,

    Salam kembali. Saya telah melawat kedua-dua blog saudara sebentar tadi.

    Kalau ada entri baru, Insya'allah saya akan kunjung juga.

    BalasPadam
  18. salam buat pak mail...
    saya mmg terharu akan kejadian yang menimpa kepada krew kapal KD sri Perak. waktu kejadian tu saya yg ketika itu berumur 12thn dan perkhabaran berita didengar dari bapa saya 804737 BDI hj Othman(bersara)yang ketika itu bertugas di KD Hang tuah. sejak dari itu saya terpanggil ingin mengetahui kejadian sebenar dan saya telah menyertai TLDM pd thun 1992. tp selama dlm perkhidmatan berita yang saya perolehi tidaklah memuaskan hati saya, sehingga lah saya terbaca ruangan blog pak mail ini... cukup-cukup terharu...... cukup-cukup menyayat hati... jasa yang diberikan ketika berkhidmat dan menyambung nyawa ditengah lautan, tinggi nilainya... akan tetapi tiada sumbangan jasa yg sepatutnya diberi.... hanyalah... hari ini dalam sejarah....
    terima kasih....

    BalasPadam
  19. Saudara ex-navy,

    Terima kasih kerana membaca kisah silam ini.

    Apakah bapa saudara berasal dari Air Baloi, Johor. Kerana saya dahulu mempunyai seorang senior di kapal KD Perantau atau KD Ledang (saya tidak ingat) yang bernama Othman seorang BDI.

    BalasPadam
  20. Salam pak mail.

    Sy telah membaca blog pak mail sejak 2 ari yg lalu. Untuk pengetahuan pak mail, TLDM baru sahaja menubuhkan Pusat Sumber Maritim dan Sejarah dan saya merupakan salah seorang warga bagi unit baru ini. Tugas unit ini adalah mencari kisah2 sejarah dalam TLDM, operasi dan rondaan kapal serta banyak lagi. Blog pak mail telah saya ceritakan kepada pegawai atasan saya dan beliau dengan sukacitanya ingin menemui pak mail. Kalau ada telefon atau alamat rumah pak mail, amatlah menggembirakan kami.

    Untuk pengetahuan pak mail, kami telah menemubual PW1 PRI Hamzah Hashim dan AB Seaman Ramli.

    BalasPadam
  21. Pak Mail boleh menghubungi Lt Kdr Azwan atau Lt Melissa di talian 03-31694416/4487. Pak mail juga boleh menghantar nombor telefon dan alamat ke apple_254782@yahoo.com

    BalasPadam
  22. hai nampak mcm gambar dekat muzium tldm melaka je. mesti tangkap gambar pakai kamera heeee

    BalasPadam
  23. Pak Mail..semasa kejadian tu ,tiada kah usaha mencari dan menyelamat(SAR) dilakukan?

    BalasPadam
  24. staf upm,

    Terima kasih kerana melawat blog saya dan membaca coretan ini.

    Sebenar usaha mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan sebaik sahaja menyedari kehilangan kami dari keesokan harinya setelah tenggelam. Setelah kami ditemui di hari ke4, usaha mencari 3 yang hilang masih diteruskan sehingga beberapa hari lagi melalui pesawat di udara dan kapal di laut.

    BalasPadam
    Balasan
    1. as salam PakMail....

      ending cerita tak habis lagi....3 yg masih hilang tu bagaimana?....dapat jumpa atau hilang terus?....

      Padam
    2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

      Padam
    3. as salam PakMail....
      ending nya belum habis lagi...apa kesudahan pada 3 yg masih hilang itu?

      Padam
    4. koloGnyer,

      Terima kasih kerana mengikuti coretan saya ini.

      Sedia maklum bahawa operasi mencari 3 yang hilang itu diteruskan sehingga beberapa hari lagi. Namun setelah semua sektor carian telah digarap dan masih tidak bertemu, maka mereka diistiharkan mati atau hilang tanpa kesan...

      Padam
    5. sama2 PakMail....

      noted...mudah2 mereka yg hilang tersebut dirahmati oleh Allah...

      Padam
  25. terharu... sedih... Beginilah nasib kita sebagai pelaut.... Ketika rakyat malaysia tidur dengan aman damai, kita berjaga dan mengawal peraiaran negara, kadang2 di pandang rendah oleh segelintir manusia.... TAHNIAH kepada warga Tentera laut yang bertugas di kapal yang beroperasi.....

    ex-sailor...

    BalasPadam
  26. Salam pak Mail,setelah menamatkan perhidmatan selepas 13 tahun baru hari ni terbaca coretan Pak Mail yg begitu comprehensive dan amat wajar pehak TLDM mengambil langkah yang efektif bagi melengkapkan dokumentari sebenar kesah ceritera yang begitu eksklusif dari fakta sejati untuk diNational Geografikan dlam bentuk dokumentari nolstagia dari mereka mereka yang masih lagi survive.Tahniah atas usaha dan kerajinan Pak Mail kerana ingat saya waktu itu saya ikut terlibat dalm usaha pencarian semasa berhidmat diatas KHD Mutiara.

    BalasPadam
  27. semasa kejadian KD SRI PERAK tenggelam, saya berada di blok D5, masa tu masih askar susu,pernah berkhidmat di KD RAJA JAROM, MUTIARA, BAUNG dan LEKIR.Alhamdulillah sekarang dah pencen.harap pak mail dapat menyiapkan buku catatan pengalaman pak mail.....

    BalasPadam
  28. salam pak mail
    saya ex(LME)dari Produk DTM yg Navy anjurkan dan skang sy berhenti dari perkhidmatan disebabkan nasib sy tidak terbela.. dari pendapat saya lah kan Navy bagus dari segi JENAMA sahaja tapi orang2 yang memimpin Navy tu sendiri haprak.. x pernah nak hargai jasa dan pengorbanan anggota bawahan..pasal kes pak mail x di dokumentasikan mungkin orang mcm pak mail dari kalangan(LLP)x perlu bg mereka..cukup la pegawai2 jek yang meluahkan perasaan dan keadaan ketika itu..semasa sy di KD Pelandok sy ada jgk mencari sejarah2 Old Navy di liabry sbb ms 2 sy mmg bersemangat nk jadi anggota Tentera Laut yang bagus tapi hampehhh..cerita dari negara2 barat banyak lah... mungkin sekarang pak mail dah luahkan pengalaman dlm blog,baru ada usaha2 untuk mendokumenkan cerita nie..itu pun pasal depa dah terasa agaknya.. maaf la kepada yang terasa.. tapi sy ttp rindu dgn kehidupan bersama kawan2 TLDM..

    BalasPadam
  29. Saudara Anonymous 9.20ptg,

    Terima kasih atas komen saudara. Seperti saudara, saya juga terasa rindu dengan kehidupan bersama teman2 TLDM. Terutama kehidupan di kapal.

    Apa pun semuga saudara maju dan jaya dalam menempuh kehidupan baru sebagai orang awam.

    BalasPadam
  30. saya amat tertarik dengan penulisan pak mail, walaupun ada sedikit kekurangan, tp minta selagi ada hayat teruskan, PUSMAS (Pusat Sumber Maritim dan Sejarah) sedikit masa lagi akan mengeluarkan beberapa perihal yang ada dalam TLDM termasuk cerita/fakta pak mail LT DYA ....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara Mizan,

      Terima kasih kerana membaca coretan saya ini.

      Saya akui memang banyak kekurangan pada penulisan saya. Namun, dalam meniti usia senja ini serta mengisi kelapangan waktu dapat juga saya berkongsi sedikit pengalaman, pendapat dan pandangan seadanya.

      Terima kasih juga kepada PUSMAS yang sudi mengambil beberapa fakta sejarah dari peristiwa KD SRI PERAK.

      Padam
  31. sedih gua baca ,,,,, mana poie nya TUDM ,,, kenapa lak RAAF yg datang selamat kan anda semua ????

    BalasPadam
  32. salute lu bro,,, dari EX PTI yang teramat garang satu ketika dulu PTI NAZARUDDIN JEPUN ,,,,

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara Pak Oncu,

      Terima kasih kerana sudi singgah dan membaca coretan saya ini.

      Padam
  33. banyak yang dapat saya belajar dari pengalaman pak mail..... terima kasih pak mail.....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara Tanpa nama,

      Terima kasih kerana singgah dan membaca. Penglaman saya hanya sedikit sahaja dibandingkan dengan orang-orang lain.

      Padam
  34. A.kum pak Mail. Syabas atas usaha murni ini, diharap dengan coretan pengalaman yg cukup berharga begini dapat mengubah corak pengurusan NAVY kearah yg lebih baik dan berkebajikan. CPO Bakar Satiman adalah bekas guru saya...saya doakan PakMail dlm situasi sihat hendaknya....

    BalasPadam
  35. Saudara exRP Razi,

    Alaikumsalam. Terima kasih kerana singgah dan membaca coretan saya ini.

    Begitulah harapan kita semua agar pengurusan TLDM berubah corak kepada yang lebih baik dalam menjaga kebajikan semua anggota2nya.

    Dan terima kasih juga atas doa untuk kesihatan saya. Alhamdulillah, ketika ini keadaan kesihatan saya baik2 belaka.

    BalasPadam
  36. Salam Pak Mail, saya amat teruja dan menjanjungi usaha Pak Mail berkongsi pengalaman KD SRI PERAK walaupun ianya menyayatkan hati. Saya juga merasa amat sedih atas insiden tersebut dan ia tetap segar dalam ingatan kerana saya pada ketika itu adalah NO di KD HANG TUAH. Walaupun telah diadakan Lembaga Siasatan saya setuju saranan Pak Mail agar ianya dapat didokumentasikan dalam bentuk buku agar pengajaran yang diperolehi dapat dikongsi bersama.

    Thanks for sharing the experience in your blog, I salute your fine effort!
    DS Kamarul
    Twitter: @mykamarul

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dato' Seri Kamarul,

      Terima kasih kerana singgah dan membaca coretan saya ini.

      Tidak berapa lama selepas kapal tenggelam, saya telah ditukarkan semula ke KD Hang Tuah yang ketika itu diperintah oleh Kdr Anwar Mohd Nor. XO pula ialah Lt Kdr Phua Hean Sin dan NO pula ialah Dato' sendiri yang ketika itu berpangkat Lt.

      Padam
    2. ex XOA Hang Tuah9 Januari 2013 11:49 PG

      Was one of the OOWs of Hang tuah masa insiden, reported unable to track Perak to successor Lt Dya Tarmizi, sea was rough but that night we had a broadcast before pipedown by CO,Cdr Udin " If the ship is not down,let's pray for her safety"

      Padam
    3. ex XOA Hang Tuah,

      Thanks for the info....

      Padam
  37. Tersentuh hati membacanya.. Terima kasih Pak mail kerana berkongsi kisah ni walaupun saya terlambat membacanya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara amgyver,

      Terima kasih kembali kerana sudi membaca coretan saya ini.

      Padam
  38. salam pakmail, saya ada sama masa heli bawa anak2 kapal sri perak mendarat di lumut, keluar juga airm mata,syukurlah ramai yg selamat,LRhalim setaf sekolah persenjataan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara LR Halim,

      Salam kembali. Alhamdulillah Allah swt selamatkan kami. Semuga 3 yang pergi diampuni dan dirahmati oleh Allah swt hendaknya.

      Dan terima kasih kerana singgah dan membaca coretan saya ini.

      Padam
    2. Hj Ismail Ibrahim28 Ogos 2012 12:25 PG

      Asllam'kum Pak Mail,terlebih dulu saya ucapakan selamat Hari Raya kepada Pak Mail sekeluarga,sebenarnya saya agak tertinggal mengikuti coretan saudara sahinggalah saya mengatahuinya dari saudara Kew/Pri hamzah di FB,dalam sehari dua ini, sungguh menarik dan terharu atas ketabahan yang terpaksa ditempohi oleh anak2 kapal KD Sri Perak ketika itu. setelah mengamati coretan saudara diatas, distinasi terakhir diterbangkan ke Ipoh dan seterusnya bercuti tampa rekod,di sini saya ingin menambah sedikit coretan saudara sekadar berkongsi pengalaman, Ketika incident saya bertugas Di KD Pelandok( sekolah Kejuruteraan Marin sebagai PW1 TMK Pegawai Waren Tatatertib/jurulatih). Bagi kami diPangkalan TLDM Lumut ketika itu sangat mengikuti akan perkembangan yang berlaku, maklumlah tragedi sebegini tak pernah berlaku sebelumnya tambahan pula mengenangkan anak2 dan isteri2 masing berada diPangkalan,Tak dapat dibayangkan ditakdirkan perkara buruk berlaku.Saya tidak pasti berapa jam saudara dan rakan2berada di Ipoh kerana pada hari yang sama kami dimaklumkan yang wira2 yang diterbangkan dengan Heli akan mendarat di Padang Kawat KD Pelanduk pada sebelah petang dan seluroh pangkalan dihebahkan , dengan itu berduyun2 lah kami berkumpul menanti ketibaan Heli yang membawa saudara dan rakan2.Selsai mendarat dan bila lepas saorang demi saorang turun dari Heli perasan sayu dihati sungguh terasa pada kami yang menunggu, tak sabar lagi rakan2 menunggu dan memeluk saudara2 tanda persahabatan ada yang melenangkan air mata.tanda kesyukuran.Bagi diri saya sendiri kegembiraan dan kesyukuran itu saya rasai sangat apa bila terlihat wajah2 anggota ME semuanya saya kenali kerana pernah berkursus di KDP semasa bawah jagaan saya atau pun pernah bertugas bersama saya di lain2 kapal,antaranya LK1TMK Roslin, Laskar Kanan TMK Mohd Zain dan hampir semua anggota ME pernah bersama saya sebelumnya, bahkan PM Lt Chandran sangat saya kenali kerana pernah bertugas di KD Pelandok(BCC ) dan kami selalu berhubung sebelumnya ia ditukarkan ke KD Sri Perak sebagai Pegawai Memerentah. saya sempat berjabat tangan dan berpelokan dengan mereka tanda kegembiraan.Untuk pengatahuan saudara Laskar Kanan Mohd Zain berada di kampung saya kerana isterinya berasal dari kampung saya dan kami selalu bersemuka, hingga sekarang raut muka nya masih pendiam munkin tragedi yang dialami masih truma. Saudara Pak Mail saya ucapkan Syabas kepada saudara yang telah sudi menaikan coretan yang sebagitu rupa untuk tatapan semua ,terpulanglah kepada mereka menilainya, saudara telah memainkan peranan untuk berkongsi pengalaman.Difahamkan Sambutan Hari Raya TLDM akan diadakan pada 1hb Sept 2012 di KD Sri Gombak,K Lumpur, jemputan telah diumumkan oleh PTL semasa Mesyuarat PBTLDM Ke5 di Kelana Jaya tempoh hari,oleh itu sila lah hadir untuk bertemu rakan2 lama, saya akan cuba membawa saudara Laskar Kanan Mohd Zain dan isteri kalau kesempatan. Akhir sekali maaf sekiranya coretan ini tidak kena pada tempatnya, Selamat Maju Jaya.

      Padam
    3. Tuan Hj Ismail Ibrahim,

      Wa alaikomsalam. Pertama-tama saya ingin ucapkan terima kasih atas kesudian Tn. Haji membaca coretan saya ini. Dan terima kasih juga kerana memberi maklumat yang saya kira amat berguna untuk saya.

      Sebenarnya untuk maklumat Tn Hj, saya berkhidmat di KD Sri Perak hanya beberapa hari sahaja sebelum tenggelam. Dengan demikian saya tidak sempat untuk berkenalan dan bermesra dengan semua anak-anak kapal dengan lebih lama. Oleh itu saya juga tidak begitu ingat akan kesemua anak-anak kapal serta pegawai2 kadet yang sama-sama terlibat.

      TMK Roslim ada singgah dan membaca coretan saya ini. TMK Pak Ya (Nama sebenarnya pun saya terlupa, mungkin Zakaria), TMK Rahim juga saya ingat. Tetapi minta maaf LK TMK Mohd Zain saya tidak berapa ingat.

      Tentang perjumpaan bekas anggota TLDM sempena sambutan Hari Raya tahun ini di KD Sri Gombak saya tidak dapat hadir kerana mempunyai beberapa urusan di Melaka dan Seremban.

      Namun saya sangat2 berharap untuk menemui LK TMK Mohd Zain satu hari nanti.

      Padam
    4. Aslmkm... Saya baru sahaja dapat membaca kisah sebenar trajedi KD Sri Perak ini. Saya adalah bekas RO Kd Sri Perak. Kita tidak sempat bertemu kerana pak Mail Join kapal setelah saya draft kd SKTLDM Labuan. Semasa di Kd Sri Perak, saya bersama RO Zaid dan RO Abu. Co semasa itu Lt Mat Som Ibrahim. Crew yang saya masih ingat bersama di kapal - Mokhtar Abu Bakar, LREM Ibrahim, Coxn, Mangkau AK Lingau, Lt Zainin Abd Majid. Saya 1st day off semasa tragedi tersebut berlaku dan amat terperanjat. Apa yang saya tahu, semasa saya masih berkhidmat di kapal itu, tiller flatnya kerap bocor. Tapi amat mengejutkan apabila membaca cerita dari pak Mail yang menyatakan air mula memasuki kapal dari fwd mess.... Semasa saya di kapal tersebut, WT office adalah cabin untuk saya. Saya cuma tidur di mess bila di pelabuhan sahaja. Andai saya masih berkhidmat di kapal tersebut semasa trajedi, tak tahu lah apa nasib saya....
      Terima kasih diatas kisah sebenar dari pak Mail kerana cerita sebenar sebegini telah lama saya tunggu.
      Wassallam,
      Ex CRS 808007

      Padam
    5. Saudara CRS 808007,

      Terima kasih jua atas kesudian saudara membaca coretan saya ini.
      Saya kenal pasti dua RO yang satu intake saudara iaitu Shukri dan Mazlan. Dan saya juga mungkin mengenali saudara. Tetapi ber identitikan nombor saya tidak tahu siapa saudara.
      Apa pun terima kasih sekali lagi kerana luangkan masa membaca coretan saya ini dan semuga suatu hari nanti kita dapat bersua dan mengenali antara sama lain dan bertukar maklumat dan pengalaman.

      Padam
  39. salam.... terima kasih Pak Mail .. atas coretan kenangan .. KD SRI PERAK .. Al-fatihah bg yg tiada , sy adlh generasi baru dlm TLDM tp telah pun menamatkan perhidmatan.. semoga cerita ini menjadi pedoman buat generasi baru ...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali saudara,

      Terima kasih kerana singgah dan membaca coretan saya ini dan semuga saudara hidup maju jaya di dalam apa jua lapangan kerjaya yang saudara ceburi setelah tamat perkhidmatan.

      Padam
  40. SALAM Pak Mail...nasib kita serupa...cuma saya bergayut pada lifejecket....pak mail berada dlm liraf..dan saya bergantung hidup hampir 30 jam pada lifejecket..RUJUK MAJLAH PERJURIT BULAN MAC 2014 WIR tak didendang...

    BalasPadam
  41. Saudara Trajedi,

    Salam kembali.

    Terima kasih kerana sudi singgah dan membaca coretan saya.

    Untuk pengetahuan saudara saya turut menulis kisah saudara melalui entri http://pak-mail.blogspot.com/2012/03/wira-tldm-yang-tak-didendang.html

    BalasPadam
  42. Terima kasih pak mail...tujuan saya menulis coretan ni bukanlah untuk disanjung jauh sekali untuk menagih sempati TETAPI hanyalah untuk tatapan generasi TLDM yg ada sekarang,agar sentiasa berwaspada...kerana walau bagus macammana sekali pun pengorbanan LLP dalam TLDM...PENGORBANAN kita tetap tidak dikenang....

    BalasPadam
  43. http://abjalilsaat815510.blogspot.com/ h/p;0137681243

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara Ab Jalil,

      Terima kasih. Saya telah pun singgah blog saudara.

      Terima kasih juga atas kesudian memberi no hp saudara.

      Padam
  44. Terima kasih kembali Pak mail...harapan saya agar coretan pak mail dan sedikit dari saya ini dapat menafaat untuk semua lapisan anggota TLDM khususnya LLP,segala kenangan PAHIT selama 13 tahun dalam TLDM sudah cukup buat saya untuk meneruskan hidup sehingga terpisah nyawa dari jasad.

    BalasPadam
  45. Saya meminati kisah2 pahlawan sebegini sedari tingkatan 3 tahun 1994 semasa cikgu membawakan Buku Kanang Anak Langkau untuk dibaca selama 10 minit sebelum kelas bermula.

    Sejak tarikh tersebut saya meminati kisah2 sebegini yang kurang didendangkan.. cuma sehingga tahun2 terdahulu amat kurang bahan bercetak sebelum kemunculan blog yang lebih mudah dicapai dan ditulis...

    Saya mengucapkan tahniah kerana Pak Mail sudi berkongsikan kisah2 ini.. jika tidak dilakukan ..saya percaya generasi akan datang hanya akan mendengar dendangan Kanak Anak Langkau dan Bukit Kepong sahaja...

    terima kasih ...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara Sham@Kumai,

      Terima kasih kerana sudi singgah dan membaca kisah pengalaman saya ini....

      Padam
  46. sharfuddin bin mokhtar26 Januari 2013 11:01 PTG

    assalammualaikum pak mail,saya din berkhidmat di kd jerai skrg ni.mula berkhidmat tahun 1995.terharu dengan kisah ini dan selama 18 tahun ini lah baru dapat cerita yg sebenar dari pak mail.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara Sharfuddin,

      Alaikomsalam Din. Terima kasih kerana sudi membaca coretan saya ini. Semuga saudara beroleh kemajuan dan kejayaan di dalam kerjaya sebagai anggota TLDM.

      Padam
    2. Salam Pak Mail,
      Tahniah buat Pak Mail atas perkongsian info maklumat tragedi KD SRI PERAK walaupun agak lewat dapat saya menemui entri blog Pak Mail ini..Dan setelah membaca coretan ini hati saya semakin rindu pada arwah abang saya.
      3 krew yang hilang itu termasuklah abang saya arwah Mokhtar Bin Amir…
      Saya berumur 8 tahun ketika itu dan agak manja dengan arwah abang.
      Masih terbayang bagaimana hiba arwah bapak sewaktu mendapat berita itu dan emak yang mengambil masa yang lama untuk menerima hakikat bahawa anaknya telah tiada tanpa kuburan.
      Berkubur di Laut China Selatan…
      Moga ditempatkan dikalangan mereka yang dirahmati! Allah humma Ameen.
      Al-Fatihah.

      Padam