Pengikut

Sabtu, 13 November 2010

Merungkai Kisah Sebenar KD Sri Perak

'Post' aku coretkan kali ini agak lebih panjang.   Aku harap para pengunjung blog ini tidak merasa jemu untuk terus membacanya.

Masa terus berlalu dengan gelora laut semakin kuat dan kencang.   Sepanjang pelayaran pada pagi hari Ahad, 8hb Jan, 1984 amat mencabar dan membawa seribu kenangan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.   Pengalaman dipukul ombak yang besar disertai angin kuat seperti ini tidak ramai yang alami.   Justeru apakala telah selamat tiba di daratan merupakan satu rahmat yang amat besar dan bermakna.   Maka itu hendaklah kita yang terselamat ini bertasbih, bertahmid memuji Allah s.w.t. dengan banyak.

Aku masih ingat, kami (ROs) bergilir-gilir bertugas di anjung.   Pada ketika giliran aku bertugas pada sebelah pagi, jarak pemandangan amat terhad sekali.   KD Sri Trengganu yang berada di hadapan tidak dapat dilihat dengan jelas.   Ombak begitu kuat menghempas kapal bertalu-talu.   Anak-anak kapal yang mendiami mes hadapan (forehead mess) merasai amat payah untuk beristirehat dan tidur kerana hempasan ombak yang kuat.   Aku percaya dari sudut pandangan ku, mes hadapan telah tanpa disedari dimasuki air laut melalui 'hatch' di atas geladak sedikit demi sedikit.   Ini kerana tiada siapa yang beristirehat atau tidur di situ sepanjang ombak memukul kapal dengan kuat.

Bagaimana air boleh masuk melalui 'hatch', sedangkan ia tertutup rapat.   Aku tidak dapat menjawab soalan ini.   Tetapi, aku diberitahu oleh orang lama setelah kejadian kapal tenggelam berlaku bahawa 'hatch' tidak dapat berfungsi dengan baik.   Getah kedapan air disekeliling sudah 'kematu' atau keras.   Atau aku katakan dalam bahasa Inggeris 'The water-tight door is not functioning properly due to stiffness'.

Persoalannya apakah kriteria yang membolehkan sesabuah kapal itu layak untuk belayar atau dikatakan 'fit for sea'.   Apakah masalah kecil seperti ini (water-tight door) tidak diambil kira dalam menentukan sama ada sesabuah kapal itu layak untuk belayar atau tidak.   Ya.... kerana sama sekali tidak siapa menduga bahawa kejadian buruk seperti ini akan terjadi akibat daripada memandang remeh atau tidak memandang langsung akan kerosakan sekecil ini boleh membawa malapetaka buruk.   Inilah harga kepada tidak prihatinan dari orang-orang atasan TLDM.

Oleh yang demikian, akibat daripada pukulan ombak yang menghempas kapal bertalu-talu itu menyebabkan' 'hatch' di hadapan itu terbuka renggang.   Anak-anak kapal masih tidak menyedari air telah memasukki mes hadapan.

Masa berlalu sehingga sekitar pukul 4.30 petang.   Aku berada di dalam mes belakang sedang berbaring dan beristirehat bersama beberapa rakan.   Di luar, cuaca sudah mulai cerah tetapi alun ombak masih lagi kuat.     Tiba-tiba kami dikejutkan dengan teriakan keras berkali-kali dari atas geladak oleh sesaorang.   'Semua naik atas cepat, kapal nak tenggelam'.   Aku seperti tidak percaya, tetapi naik ke atas juga untuk mengetahui apa sedang berlaku.   Di atas geladak aku bertemu LRRM Ibrahim (Pak Yem) yang kebetulan sedang mencari aku.   Dia mengatakan air masuk ke dalam kapal di mes hadapan.   Aku pergi ke mes hadapan untuk meninjau dan aku dapati air telah naik sehingga ke paras betis.   Tanpa berlengah aku masuk ke bilik WT untuk cuba menghubungi Stesen Radio Markas Panglima Armada, namun tidak berhasil.   Aku cuba pula pada litar 'distress' untuk membuat panggilan 'MAYDAY', namun tiada siapa mendengar dan memberi maklum balas.   Banyak kali aku membuat panggilan, namun tidak berhasil juga.   Sementara itu RO Abu dan RO Anor yang berada di anjung menghubungi KD Hang Tuah.   Mereka juga telah menaikkan bendera isyarat kecemasan.   Pada waktu itu KD Hang Tuah dan KD Sri Trengganu tidak lagi kelihatan.   Kami tidak tahu di mana mereka berada.

Pegawai Memerintah (PM) yang berada di anjung telah mengarahkan semua anak-anak kapal lain berkumpul di geladak belakang untuk 'muster'.   Aku dan Pak Yem masih mencuba, mencuba dan mencuba mendapatkan pertolongan melalui radio, namun masih juga tidak berjaya.   Aku ke anjung melapurkan tentang percubaan aku untuk mendapatkan pertolongan melalui radio yang tidak berjaya itu kepada PM.   Aku melihat semua pegawai-pegawai dan anak-anak kapal telah sama-sama berkumpul.   Aku diarah oleh PM untuk mencuba lagi membuat panggilan MAYDAY.   Melihat semua telah berkumpul, terasa takut dan bimbang juga.   Tambahan melihat air yang telah bertambah naik dan haluan kapal pula telah lebih condong untuk menjunam ke laut.   Aku akur menurut perintah tanpa banyak soal.   Pak Yem membantu aku dari segi teknikal.

Tidak berapa lama kemudian, radio GSB 900 yang kami gunakan tiba-tiba senyap.   Kerdipan lampu pada radio tersebut terpadam, tidak berfungsi.   Aku tidak tahu mengapa.   Kemungkinan mengalami 'short-circuit', akibat kebanjiran di dalam kapal.   Kami pun naik ke atas dan melapurkan perkara ini ke PM.

Aku dapat melihat kiranya semua pegawai serta pegawai-pegawai kadet dan anak-anak kapal telah berkumpul di atas geladak dan bersiap sedia untuk menerima arahan selanjutnya dari PM.   Aku juga melihat sebahagian besar dari mereka memakai jaket keselamatan.   Ada juga yang tidak memakainya kerana barangkali tidak sempat untuk mengambilnya.   Aku sendiri tidak memakai jaket keselamatan kerana begitu sibuk cuba mendapatkan pertolongan cemas melalui radio sehigga terlupa untuk memakainya.   Tidak terfikir langsung tentang jaket keselamatan.   Umumnya, apabila sesaorang bertukar ke kapal, perkara utama yang mesti diambil tahu adalah tentang posisi mereka sekiranya berlaku kecemasan saperti ini.

Pegawai Memerintah telah dimaklumkan bahawa pelampong penyelamat di hadapan telah hilang dipukul ombak.   Hanya yang tinggal di belakang sahaja bersama Captain's boat.   Menurut tatacara, captain's boat hanya dinaiki oleh senior RO (yakni aku), Chief of the Boat dan PM sendiri.

Dalam pada itu, LRSM Bakar Satiman dan ABSM Mokhtar dengan 'initiative' sendiri, mereka telah memotong tali yang diikat pada 'bracket' dan mencampakkan ke laut tanpa arahan dari PM.   Masa berlalu begitu pantas, sepantas air laut yang memasuki perut hadapan kapal yang menyebabkan haluan kapal terus tenggelam ingin menjunam.   Dalam keadaan PM berkira-kira apa arahan akan diberikan seterusnya, tiba-tiba haluan kapal terus condong menjunam 45 darjah ke hadapan.   Kami semua dalam keadaan tidak bersedia tergelongsor di atas geladak kapal.   Ada di antara kami berpaut pada 'guard rail'.   Ada yang terus terjatuh ke laut.   Aku pula tergelongsor dan kaki ku bertahan pada satu bendul.   Aku melihat tali yang mengikat 'captain's boat' yang berada di atas kepala ku terputus dan bot tersebut terus melayang jatuh ke laut.   Dalam situasi yang mendesak itu, kami semua yang masih berada di geladak kapal terjun ke laut menyelamatkan diri.

Pelampong penyelamat yang telah dicampakkan ke laut tadi terbuka dengan baik sekali.   Kami yang telah terjun ke laut terus berenang mendapatkan pelampong tersebut dan naik ke dalamnya.   Akan tetapi terdapat 3 anggota yang kelihatan tidak langsung berenang menuju kepada pelampong penyelamat.   Saorang daripadanya yang memakai jaket keselamatan terapong bersendirian tidak jauh dari dua orang yang lain.   Kedua-duanya bersama-sama berpaut pada 'life buoy'.

Kami menjerit kepada mereka supaya berenang mendapatkan kami.   Jarak di antara mereka dan kami hanya lebih kurang 30 meter sahaja.   Oleh kerana mereka tidak berenang kepada kami, hanya dalam beberapa saat  sahaja kami telah menjauhi mereka.   Ini kerana alun laut yang kuat dan tinggi begitu cepat menggerakkan pelampong mengikut arah tolakan angin meninggalkan mereka.   Dari dalam pelampong kami dapat melihat kapal KD Sri Perak menjunam 90 darjah dengan 'propeller'nya masih berpusing tenggelam ke dasar laut.   Aku melihat jam di tangan ia menunjukkan pukul 5.05 petang.   Aku bersyukur kerana peristiwa ini berlaku pada waktu siang hari.   Aku tidak tahu bagaimana akan terjadi sekiranya ianya berlaku pada waktu malam.   Tentu sekali peristiwa lebih buruk akan berlaku kerana kegelapan malam.

Buat diri ku dan anak-anak kapal lain merasa begitu kesal kerana tidak dapat menolong menyelamatkan 3 rakan yang tertinggal itu.   Kami tidak dapat  berbuat apa-apa.   Alun ombak amat tinggi.   Beberapa minit kemudian, kami tidak dapat lagi melihat mereka.   Hilang dari pandangan.

Pelampong yang kami naiki amat kecil buat kami.   Kapasitinya hanya untuk 15 orang sahaja, sedangkan bilangan kami seramai 26 orang.   Kami berhimpit-himpit di antara satu sama lain.   Dalam keadaan begini, sememangnya kami tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri.

Pulau Natuna Besar
Sedang kami duduk sejurus selepas kami naiki pelampong, satu dentuman kecil berbunyi dari bawah pelampong.   Kami tertanya-tanya sesama sendiri.   Lalu, baru kami sedar bahawa dentuman kecil itu datangnya dari tali pelampong penyelamat yang diikat dari kapal yang tidak dipotong.   LRSM Bakar dan ABSM Mokhtar hanya memotong tali yang diikat pada 'bracket' pelampong sahaja.   Mereka dalam keadaan kelam-kabut terlupa untuk memotong tali yang diikat pada kapal.   Walaupun begitu, hanya bahagian bawah pelampong sahaja yang pecah dan dimasuki air, tidak di sekeliling pelampong.   Ini menyebabkan lantai pelampong bahagian dalam menjadi gelembong kerana air memasuki dari bawah,   Di sekeling pelampong, udara masih tetap ada dan dalam keadaan baik.   Sekali lagi kami bernasib baik kerana pelampong yang kami naiki tidak ditarik bersama-sama kapal ke dasar laut.

Di luar pelampong, kami dapat melihat sebuah pulau bernama Pulau Natuna.   Lama kelamaan pulau tersebut hilang dari pandangan kami.   Kami terus dibawa oleh alunan ombak besar tanpa tahu ke mana haluannya.   Inilah benar-benar yang dikatakan "Let the nature take its course".

Bersambong pada 'post' akan datang Insya'Allah.

38 ulasan:

  1. Pak Mail,

    Membaca nukilan saudara, saya terbayang kejadian di atas kapal Titanic sebelum tenggelam. Iru kejadian yang dilihat secara fisikal.

    Harapan saya, kalau saudara dapat ceritakan perasaan (feelings) dalam menghadapi detik cemas itu.

    Membaca kesalan saudara tentang foxle hatch yang tak watertight, teringat nukilan CO sebuah bot ronda yang dilanda ribut dan ombak besar di Selat Melaka pada tahun 88, mes hadapan juga dimasuki air. Mujurlah ombak yang melanda tak lama kalau tidak mungkin mengalami nasib serupa.

    Pelik kan? TLDM tak pernah belajar dari tragedi yang menimpa KD Sri Perak.

    BalasPadam
  2. PAk Mail, saya dapat rasakan apa yg Pak mail lalui melalui nukilan pak mail. Terima kasih kerana share experience pak mail.
    Ellie penumpang ke Bangsar south dari KL SENTRAL

    BalasPadam
  3. Terima kasih kerana sudi melawat dan membaca blog saya. Semoga saudari peroleh perlindungan di sisi Allah s.w.t.

    BalasPadam
  4. Saya suka memancing,bebaru ni bot kami dilanda ombak setinggi 2.0~3.0...itu pun dah berterabur barang2 kat belakang bot,berhimpit2 kami diruang kecik kt dlm bot tu...

    Tak tau la berape ketinggian ombak yg melanda Kd Sri Perak tu...Pasti melebihi ketinggian bot memancing kami sehingga jarak pengelihatan pun terhad..

    Ape pun inilah kisah sebenar yg diceritakan oleh orang yg sebenar!!!

    BalasPadam
  5. Saudara Yastro,

    Terima kasih kerana sudi membaca nukilan saya.

    Selamat Tahun Baru 2011.

    BalasPadam
  6. Bila naik Flight melalui Laut Cina Selatan terasa luasnya lautan..

    BalasPadam
  7. persoalan saya setiap waktu antara 3buah kapal itu berhubung siang dan malam mengenai kedudukan masing2 dsb,dan kapal itu berjalan beriringan
    bila kejadian itu berlaku tenggelamnya kapal kesemua anak kapal diselamtkan setelah 3hari berada dilautan

    kenapa makan masa yg agak lama??padahal jikalau sudah terputus hubungan,antara kapal yg lain<seperti anda berada dis atu kawasan tiba@ taiada respon dari rakan anda apakah tindakan anada seleapas itu?dan kedududkan kd perak tu hanya pandangan mata dgn kapal yg lain??
    bole tolong jelaskan
    fikri

    BalasPadam
    Balasan
    1. wei fikri, bila situasi sudah kelam kabut...apa pun orang xboleh fikir dah...biarpun latihan 1000x dibuat sekalipun...bila datang situasi sebenar...hanya tuhan sahaja yang tahu...

      Padam
  8. Saudara Fikri,

    Terima kasih kerana mengunjungi dan membaca nukilan saya ini.

    Adapun pertanyaan saudara itu. Ini jawapannya.

    Pada pagi hari kejadian, KD Sri Trengganu telah mengalami kerosakan generator. KD Hang Tuah telah membantu KD Sri Trengganu berdekatan Pulau Midai dan mengarahkan KD Sri Perak meneruskan pelayaran ke Labuan bersendirian.

    Dalam keadaan cuaca yang buruk, ombak yang kuat disertai dengan hujan lebat KD Sri Perak belayar bersendirian. Setelah belayar agak jauh dan kedua-dua kapal hilang dari pandangan, kejadian buruk ini berlaku pada petang hari jam 5.00 petang. Perhubungan jarak dekat telah lama putus kerana telah jauh berpisah.

    Pencarian mengambil masa yang agak lama kerana berkemungkinan dalam keadaan cuaca yang buruk itu KD Sri Perak telah tersasar jauh dari 'course' yang biasa diambil dalam menuju ke Labuan.

    Pencarian juga bermula pada keesokan harinya apabila menyedari bahawa 'Situation Report' atau SITREP tidak diterima oleh KD Hang Tuah.

    Mudah2an saudara berpuas hati dengan jawapan saya ini.

    BalasPadam
  9. terima kasih <pak mail atas jawapan tu.bagi yg mengalami nya saya pun tak tahulah.apa pun sya ada lihat sedikit gambarnya ketika melawat muzuim tkdm lumut 92 lalu
    fikri

    BalasPadam
  10. byk versi yg sy dengar tentaang kd perak ini...mgkn ini versi yg sebenar yg sy dpt dr pak mail memandangkan crew ex kd perak mgkn ramai yg dah tamat servisnya n sy amat berbangga dgn pengorbanan anda semua.sy sebagai pelapis kpd perjuangan anda akn meneruskannya dlm mandaulatkan armada malaysia- Lt ahmad

    BalasPadam
  11. White pirates,

    'mgkn ini versi yang sebenar yg sy pt dr pak mail',

    Ini bukan MUNGKIN lagi. Ini adalah kisah yang sebenar berlaku. Sehingga kini tiada siapa yang mahu menyanggah apa yang telah saya coretkan.

    Insya'Allah, saya sedang dalam usaha untuk menulis buku mengenai diri saya khusus tentang tenggelamnya kapal ini.

    BalasPadam
  12. salam pak mail....saya adalah anak bekas tentera dan amat berminat membaca blog sebegini. Saya pernah ajukan persoalan tentang trajedi Kd Sri Perak kpd rakan2 saya di TLDM yang masih berkhimat maupun yg telah pencen. Nampaknya pengetahuan saya lebih dari mereka2. Terima kasih atas penulisan pak mail. Satu lagi saya pernah belayar dari Port Klang ke Kuching dgn menaiki kapal Kota Ratu dan Sang Suria semasa musim tengkujuh. Amat menakutkan........

    BalasPadam
  13. Salam kembali untuk saudara Hasry, Terima kasih kerana berminat membaca coretan saya ini. Saya juga percaya masih ramai anggota2 TLDM yang masih berkhidmat atau pun yang sudah tamat perkhidmatan mereka masih tidak tahu akan kisah tenggelamnya KD Sri Perak. Ini memandangkan kejadian ini telah berlaku lebih 27 tahun yang lalu.

    Saya kira kapal Kota Ratu dan Sang Suria itu jauh lebih besar dari KD Sri Perak yang hanya kurang lebih 100 kaki sahaja.

    BalasPadam
  14. Salam pak mail. semuga sihat selalu. saya masih intouch dgn Mazlan RP dan Zaini (slt kot masa tu) yang juga crew pwrak masa tu. masih ingat diorang ka?. related story dari atas hang tuah masa tu tapi tak banyak cerita yang dpt dikongsi moment tu.
    Rp Hamzah
    http://lamandihati.wordpress.com/2009/03/25/riwayat-hidup-part-8-belayar-lagi/

    BalasPadam
  15. Saudara Hamzah,

    Salam kembali. Saya masih ingat benar akan Mazlan RP. Pada muka hadapan akhbar The Star juga terdapat gambarnya. Akan tetapi Zaini saya tidak pasti. Kalau NO Lt Dya Zainin itu saya masih ingat.

    Sampaikan salam saya untuk Mazlan jika saudara berkesempatan bertemu atau berhubung melalui h/p. Saya berharap suatu hari akan dapat bertemu rakan2 KD Sri Perak. Insya'Allah.

    BalasPadam
  16. ... typing error tu. Zainin (NO) bukan zaini. Saya kini berjiran dgn rumah orang tua dia di jitra.

    BalasPadam
  17. Saudara Hamzah,

    Setelah insiden itu, saya tidak lagi pernah berjumpa dengan Zainin. Saya kira krew KDSP masing2 membawa diri masing2.

    Terima kasih kerana mengunjungi blog saya ini.

    BalasPadam
  18. Cik hamzah .... mungkin boleh cadangkan supaya satu reunion untuk Ex-crew KD Sri Perak....
    TQ

    BalasPadam
  19. best certia ini....

    BalasPadam
  20. Thanks Pak Mail...Saya juga adalah warga komunikasi TLDM. telah bersara PENCEN pd 2008. Cukup mengerikan jika mengenangkan kembali peristiwa tersebut....tapi alhamdulillah masih ada crew yg terselamat yg mampu berkongsi kejadian yg sebenarnya. Saya juga pernah mengalami peristiwa yg hampir sama sebanyak 2 kali. pertama di kd sri melaka pd tahun 1990 dan yang kedua bersama kd ledang. Di kd ledang, kami begitu hampir utk membuat emergency destruction utk cbs n crypros....alhamdulillah, kecekapan crew telah dpt menyelamatkan kedua2 kapal tersebut. Persoalannya/.......kenapa TLDM masih memandah remeh tentang readiness to sea buat kapal2 nya...adakah warga tldm kita kebal atau berani mati......thanks again...016 477 0735 ialah no tel ro ANOR..... as salam

    BalasPadam
  21. Saudara Anonymous 11.13pg,

    Terima kasih kerana singgah dan membaca coretan saya ini dan terima kasih juga kerana berkongsi pengalaman saudara walaupun hanya secebis kisah.

    Saya telah cuba menghubungi no hp yang diberi untuk mendapatkan Anor, tetapi malangnya seorang perempuan Cina yang menjawab dan menyatakan saya salah nombor.

    Walau apa pun terima kasih kerana cuba menghubungkan saya dan Anor semula. Kami telah tidak bertemu sejurus selepas kami semua ditukarkan dari Rejimen Keselamatan Lumut ke unit-unit baru.

    BalasPadam
  22. bagus... anda menceritakan kejadian sebenar... kadang pahit untuk ditelan...

    BalasPadam
  23. Saudara Uchop Kembara,

    Terima kasih atas komen anda itu dan terima kasih juga kerana singgah membaca coretan saya.

    BalasPadam
  24. Assalammualaikum, tahniah kerana berani menceritakan perkara sebenar. Kdr zainin sekarang ada di APMM, mungkin dah pakai Kept. last jumpa dia di Langkawi.

    BalasPadam
  25. Teslamarin,

    Alaikumsalam.

    Terima kasih kerana membaca coretan saya. Mudah2an satu hari nanti dapat berjumpa bekas NO kami di KD Sri Perak itu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Asalamualaikum
      Saya pernah bertugas di KD sri Perak sebagai Buffer di tahun 1974 - 1975

      Padam
    2. Waalaikumsalam,

      Tahun 74 saya masih bersekolah tingkalan 5.

      Terima kasih kerana singgah dan membaca coretan saya ini.

      Padam
  26. salam,
    i know nothing about this. tapi saya suka baca. real. ayah juga bekas tentera laut. terasa benar situasi cemas tu. sisi lain TLDM yg saya baru tahu.

    nice post pakmail.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudari Nurlisa Kamal,

      Terima kasih kerana singgah dan membaca coretan saya.

      Padam
  27. Zaini yang dimaksudkan tu ialah zaini seaman.Masa tu Slt Zainin belum ambil alih dari saya. bekas NO

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ex NO Perak,

      Terima kasih kerana singgah dan membaca coretan saya.

      Padam
  28. Assalam,semasa insiden pada mulanya kami di KD HANG TUAH tidak menyangka yang kegagalan megesan SRI PERAK melalui com dan radar telah membawa bencana. Memandang cuaca terlalu buruk,imej di radar mungkin terganggu dan com juga begitu. Namun, suatu ketika semasa megurangkan kelajuan untuk merapati jarak dgn SRI TRENGGANU, kami dapati ia berada dalam keaddan mecemaskan. Bahgian haluannya hampir tenggelam, baru lah timbul akan kekuatiran mengenai SRI PERAK yang ketika itu dah tak kelihatan lagi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tuan,

      Terima kasih kerana memberi sedikit maklumat tambahan ini.

      Padam
    2. Dari: Singgah sejenak..Rajawali 499
      Trajis...walaubagaimanapun..V R The Best Sailors...

      Padam
    3. Saudara Raja Azmi,

      Terima kasih kerana singgah dan membaca coretan saya ini...

      Padam
  29. semasa kejadian kd perak tenggelam saya berada di surabaya bersama kd raja jarom.kami diarah pulang serta merta untuk mencari dan meyelamat..potong setim terus !!! baru 2 hari masuk surabaya tak sempat bersiar2 awek2 indon..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara Abd Razak,

      Terima kasih kerana singgah dan membaca catatan saya...

      Padam