Pengikut

Rabu, 17 November 2010

YAUMUL HASRAH


Coretan saya kali ini bertajuk 'Yaumul Hasrah', yang bermaksud Hari Penyesalan. Hari Penyesalan ini juga sama harinya seperti Yaumul Akhirah, Yaumul Qiyamah, Yaumul Hisab dan beberapa sebutan lain. Yaumul Hasrah atau Hari Penyesalan ini adalah hari kiamat di mana semua manusia akan dihidupkan dan dikumpulkan dalam keadaan berdiri. Maka itu juga disebut 'Yaumul Qiyamah', yang bererti hari di mana semua manusia akan berdiri. Pada hari tersebut semua manusia akan merasakan begitu kesal dengan penyesalan yang amat sangat.
 

Pada suatu hari, di zaman Rasulullah saw ada seorang sahabat telah meninggal dunia.   Ramai sahabat-sahabat dan saudara mara si mati hadir untuk ziarah.   Ketika sahabat ini (si mati) dalam keadaan nazak, beliau sering sebut-sebut 3 perkara terus-terusan.   Beliau menyebut, ‘Ya laita kathiran’, ‘Ya laita jadidan’, ‘Ya laita kamilan’.Yang bererti, Alangkah baiknya jika ianya banyak, Alangkah baiknya jika ianya baru, Alangkah baiknya jika ianya sempurna.  Begitulah yang disebut-sebutkan sehingga beliau mati.

Sahabat-sahabat yang hadir merasa hairan dan tertanya-tanya sesama sendiri apa sebabnya, sahabat yang sedang nazak itu sentiasa berulang-ulang menyebut perkara-perkara itu.   Dalam keadaan mereka kehairanan Rasulullah s.a.w. pun sampai.   Lalu sahabat-sahabat pun bertanya kepada Rasulullah s.a.w. akan perkara yang disebut-sebutkan oleh sahabat yang sedang nazak itu.

Sebagai seorang Nabi dan Rasul, Rasulullah s.a.w. yang diberikan hidayah dan inayah oleh Allah s.w.t. memberitahu akan sebab mengapa sahabat yang nazak itu berkata-kata demikian.   Lalu Rasulullah s.a.w. pun menerangkan satu persatu akan kalimat-kalimat yang diucapkan sahabat itu sebelum dia meninggal dunia.

Rasulullah s.a.w. berkata bahawa sahabat ini, ketika berada di Madinah, pada suatu hari sedang menuju ke masjid.  Di pertengahan jalan beliau bertemu seorang tua dan buta pula juga hendak ke masjid, tetapi tidak tahu di mana masjid itu.  Lalu di tunjuk dan dibawa bersama oleh sahabat ini bersama-sama menuju ke masjid.  Itulah satu kali sahaja sahabat ini bertemu dengan orang tua yang buta itu.

Pada lain hari yang ketika itu musim sejuk yang amat sangat, datang seorang miskin meminta agar diberikan pakaian sejuk untuk dipakai.  Sahabat ini mempunyai beberapa pakaian lain yang lama dan juga yang baru.  Tetapi, sahabat ini memberikan pakaian yang lama (yang telah dipakai) untuk disedekahkan.

Pada suatu hari lain pula, sahabat ini didatangi oleh seorang miskin lain yang meminta makanan.   Ketika itu beliau sedang memegang roti pada kedua-dua belah tangan.   Sebelah tangan memegang roti yang belum dimakan dan disebelah tangan memegang roti yang bersisa (yang telah dimakan sebahagian).  Lalu diberikan roti yang bersisa itu kepada orang miskin tadi.

Berdasarkan pada kisah ini, seseorang yang hampir mati, dalam keadaan sedang nazak akan ditunjukkan oleh Allah s.w.t. tentang ganjaran amalan-amalan seseorang.  Oleh kerana apabila telah ditunjukkan ganjaran amalan itu ketika akan mati, betapa besarnya ganjaran sekiranya beliau memberi sedekah dan amalan yang banyak, yang baru dan yang sempurna.  Sahabat ini merasa menyesal kerana orang tua yang dihantar ke masjid itu hanya sekali sahaja.   Dia juga menyesal kerana pakaian sejuk yang diberi merupakan pakaian lama, tidak yang baru.  Roti yang diberikan kepada orang miskin itu pula merupakan roti yang bersisa tidak yang sempurna.  Maka itu, sahabat ini sebelum mati sangat menyesal akan sikapnya walau pun itu merupakan amalan yang baik.

Oleh yang demikian, saya ingin memesan diri saya dan saudara/i sekalian supaya mengambil iktibar dari kisah ini.   Hendaklah kita berusaha berlumba-lumba dalam mengejar kepada membuat amalan kebaikan.  Apalah ertinya jika sekiranya kita mati kelak dengan pangkat yang besar, harta yang banyak, anak-anak yang berjaya, gelaran yang panjang-panjang tetapi tidak punyai amalan baik.   Kita telah lihat orang-orang yang bergelar jutawan mati.  Mereka tidak dapat membawa harta mereka, gelaran mereka dan anak-anak serta isteri mereka.   Yang mereka bawa hanya amalan sahaja.  Sama ada baik mahu pun yang buruk di mana semua kita nanti akan menyesal apabila berada di Padang Mahsyar atau pun hari yang dipanggil jugaYAUMUL HASRAH.

Sekian coretan saya kali ini

1 ulasan:

  1. t.kasih tuan berkongsi ilmu ini.
    sangat berguna untuk diri saya.



    BalasPadam