Pengikut

Ahad, 8 Ogos 2010

KEMATIAN

Semalam aku terima berita kenalan aku  Hj Omar Bin Abas telah dimasukkan ke hospital kerana sakit.    Aku bercadang untuk melawatnya bersama beberapa orang teman hari ini.   Tetapi pagi ini juga aku menerima berita bahawa kenalan aku ini telah pulang ke rahmatullah.   Mudah-mudahan Allah merahmati beliau dan mengampuninya.   Amin......
Yang hidup pasti mati.  Tiada yang kekal.    Begitu juga dengan diri ku ini.   Aku tidak tahu bilakah giliran aku akan tiba.   Namun aku berdoa agar ketika aku berada dalam keadaan hampir mati nanti, aku dalam keadaan sedar dan dapat sentiasa mengingati Allah.  Dalam mengingati kematian, aku seperti tidak bersedia.   Aku banyak berhutang.  Aku juga  telah banyak melakukan maksiat dan mungkar yang hanya Allah sahaja mengetahui.   Amalan juga terlalu sedikit.   Sering meringan-ringankan amalan, terutama solat lima waktu,  walaupun aku mengerjakannya.  
Aku juga tahu akan ditanyai oleh Allah tentang anak-anak.   Apa yang telah aku tinggalkan untuk anak-anak dari segi didikan agama.   Apa yang dapat aku jawab nanti.
Ya Allah... ampunilah aku. Ampunilah anak-anakku, isteriku, ayah dan ibuku dan seluruh muslimin dan muslimat sekelian, sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah mati.
Amin... Ya Rabbal alamin.

Ahad, 1 Ogos 2010

Catatan Pertama Pak Mail

Nama saya sebenarnya Ismail. Nama penuh Ismail Bin Abdul Aziz. Saya tidak begitu pandai dalam mengendalikan komputer. Masih terkial-kial untuk 'publish post' di blog ini. Walaupun begitu saya akan cuba seberapa yang boleh demi untuk membuat catatan atau berkongsi maklumat dan buah fikiran. Usia saya tidak begitu muda atau begitu tua, tetapi telah melebihi setengah abad. Dan, pada ketika usia begini, keadaan fizikal yang pada ketika usia muda dahulu begitu kuat kini telah mulai menampakkan penurunan. Sana sakit, sini sakit. Mata mulai kabur, uban mulai bertabur, kulit mulai kendur dan gigi juga mulai gugur. Ada juga sahabat-sahabat baik yang tua mahu pun yang lebih muda dari saya telah pergi untuk selama-lamanya.   Oleh yang demikian, sebelum kita menuruti sahabat-sahabat yang telah pergi itu adalah lebih baik kita lihat diri kita sendiri.   Hisab diri kita.   Siapkan bekalan untuk hari akhirat .  Insya'Allah, mudah-mudahan kita akan dipermudahkan pada hari di mana anak-anak tidak dapat menolong kita.   Begitu juga dengan harta yang banyak dan pangkat atau gelaran-gelaran  hebat yang dianugerahkan kepada kita tidak dapat membantu kita di akhirat nanti.   Catatan pertama ini hanyalah sekadar untuk mengingatkan diri saya.  Insya'Allah saya akan menyambung catatan saya pada masa akan datang.  Semuga Allah sentiasa melindungi kami (muslimin dan muslimat) semua dari segala bahaya.   Amin......