Alhamdulillah. Segala puja dan puji bagi Allah yang telah memberikan aku sedikit kekuatan ingatan untuk aku menyambong kembali mencoretkan sebahagian lagi dari pengalaman hidup ku bersama rakan-rakan lain di tengah Laut China Selatan di dalam pelampong hampir 27 tahun yang lalu.
Di dalam kegelapan malam serta cuaca yang tidak menentu dan alunan ombak serta angin yang kuat kami terus terapong di laut tanpa mengetahui di mana kami berada. Kami pasrah dengan ketentuan Illahi. Pada siang hari tadi, aku seperti tiada merasa kesusahan, namun kini pada waktu malam seperti ini kekuatan hati aku mulai tercabar. Aku mulai dibayangi kebimbangan. Anak-anak kapal secara fizikal dan mental sudah mulai kelihatan letih. Suasana begitu amat sepi. Sekali-sekala kedengaran batuk-batuk kecil memecah kesunyian oleh sesaorang dari kalangan kami.
Tiba-tiba salah seorang dari kami menjerit.
"Ada kapal.....ada kapal", sambil menunjukkan ke arah suatu cahaya kecil jauh di ufuk dunia. Cahaya tersebut kelihatan mendekati kami serta membesar dan bertambah terang. Kami menaruh harapan yang begitu tinggi agar dapat diselamatkan. Aku mencari sisa-sisa 'flares'. Mana tahu mungkin dapat berfungsi dan dinyalakan. Beberapa rakan lain cuba juga membantu untuk menyalakannya. Namun nasib kami tidak begitu baik. Kesemua 'flares' tidak dapat berfungsi dan digunakan. Kami begitu hampa sekali. Kapal tersebut berlalu pergi jua.
Jam digital Casio yang satu ketika sangat 'popular' di tangan ku terus menghambat waktu. Aku masih ingat, aku duduk bersebelahan dengan Juragan kami bernama Wahab (POSM Wahab). Beliau berasal dari Kelantan dan telah berkeluarga dan telah mempunyai beberapa orang anak. Dalam nada yang begitu sedih dan murung, beliau berbicara kepada aku.
"Kalau saya mati, apa akan jadi pada anak dan isteri saya nanti", beliau menyuarakan isi hatinya.
Aku hanya dapat mendiamkan diri sahaja kerana aku juga tidak tahu apa akan terjadi pada kami seterusnya.
Ada beberapa lagi rintihan sedih dengan nada pilu dan wajah muram seumpama ini yang tak dapat aku coretkan kerana terasa sebak di dada ini untuk terus menceritakan. Biar pun berat mata aku memandang mereka ketika itu, namun berat lagi bahu mereka memikul serta memikirkan orang-orang yang mereka sayangi. Allah s.w.t. jua yang Maha Mengetahui apa yang mereka fikirkan.
Oleh kerana bilangan kami yang ramai, melebihi kapasiti yang ditetapkan di dalam pelampong, kami terpaksa duduk berhimpit-himpitan dalam keadaan satu posisi sepanjang masa. Tiada banyak ruang untuk kami bergerak-gerak dan meluruskan kaki kami. Ini membuatkan kaki kami merasa kejang. Dan dalam keadaan itu jugalah kami cuba untuk tidur atau sekadar melepaskan pedih di mata kerana kekurangan tidur. Kami tertanya-tanya sesama sendiri mengapa sudah hampir masuk hari ketiga kami terapong, masih juga belum kami ditemui oleh pasukan pencari dan penyelamat (SAR Team). Begitulah keadaan kami di dalam pelampong sehingga terbit matahari keesokan hari.
Pada hari ketiga tanggal 10hb Jan, 1984 keadaan pelampong sudah mulai kelihatan tidak dapat bertahan lama. Pecahan pada bawah pelampong membuatkan tempat kami duduk tidak rata. Kami sedang duduk di atas air berlapik getah pada permukaan pelampong bahagian dalam. Oleh yang demikian, kami tidak boleh bergerak terlalu banyak. Ini akan membuatkan pelampong menjadi bertambah rosak.
Sementara itu, sisa air minuman yang hanya tinggal beberapa tin itu kami buka dan berikan kepada mereka yang menghendaki. Oleh kerana terlalu dahaga, aku juga mengambilnya sedikit buat sekadar membasahkan tekak. Begitu juga dengan biskut sebesar coklat 'Cadbury' bersaiz besar itu kami bahagi-bahagikan sedikit seorang. Itulah makanan dan minuman yang terakhir buat kami. Kami hanya dapat berserah kepada Allah s.w.t. akan nasib diri kami seterusnya.
Pada hari ketiga ini juga cuaca begitu baik sekali, disertai dengan angin laut panas yang meniup perlahan. Keindahan alam ciptaan Allah s.w.t. ini begitu indah sekali. Di sekililing kami air laut seluas mata memandang tanpa sebarang pulau. Namun dalam menghayati keindahan alam ini, kami masih tidak berputus asa mengharap agar kami ditemui. Kami masih terus mengharap...mengharap ... dan terus mengharap sehingga malam tiba. Pada malam ketiga seperti dua malam yang lalu, kami melayan perasaan dan fikiran masing-masing. Mungkin ada yang tertidur atau ada yang masih tak dapat tidur. Aku duduk tidak jauh dari Pegawai Memerintah (PM), hanya dipisah oleh tiga atau empat rakan sahaja. Tiba-tiba, aku terdengar, atau mungkin juga beberapa rakan di antara kami juga terdengar PM berkata-kata secara bersendirian. Aku tidak dapat memahami apa yang diperkatakan kerana agak perlahan ucapannya. Aku percaya rakan-rakan yang duduk berhampiran beliau juga pasti mendengar bahawa PM ada berkata-kata secara bersendirian. Tetapi kami tidak berani untuk bertanya atau menegurnya. Maklum sahaja, beliau seorang PM. Perkara ini terjadi bukan sekali sahaja tetapi berkali-kali pada malam itu. Kami juga tidak pasti sama ada beliau (PM) sedar atau tidak akan apa yang diperkatakannya itu. Mungkin sahaja oleh kerana beliau seorang PM yang memikul tanggong jawab yang besar dan pastinya bebanan serta tekanan yang dipertanggong jawabkan itu terlalu berat untuk dipikulnya. Malam terus berlalu hingga ke pagi hari.
Pada pagi hari 11hb Jan, 1984 kelihatan awan mendung meliputi sebahagian langit seperti akan hujan, biar pun alun dan ombak tidak kuat. Sejak pagi semalam kami tidak makan dan minum kerana kehabisan bekalan. Biar pun lapar dan dahaga, kami tidak begitu hirau sangat kerana memikirkan masalah besar yang akan dihadapi. Keadaan pelampong bertambah membimbangkan. Udara di dalam sedikit demi sedikit berkurangan. Tampak ketara akan perbezaan pelampong berbanding pada hari pertama. Menjelang hampir tengah hari, hujan sederhana lebat mulai turun. Kami ambil kesempatan menadah air hujan melalui corong kanopi dengan tin kosong untuk diminum. Alhamdulillah..... Allah s.w.t. menurunkan rahmatnya. Segala puja dan puji kami berikan kepada NYA yang telah memberikan kami sedikit harapan untuk terus berjuang demi meneruskan kehidupan. Tidak ada apa lagi yang kami boleh lakukan selain menunggu....menunggu dan terus menunggu.
Tiba-tiba....(sebak dada penulis ketika menulis 'draft' bahgian ini). Kami terdengar deruan enjin.....(Menitis airmata penulis ketika menulis dan mengenangkan detik ini...) berbunyi dengan kuat di luar. Kami melihat di luar. Sebuah pesawat dari jenis ORION milik Tentera Udara Australia sedang terbang rendah, sangat rendah di atas kami (bertambah sebak dada penulis). Kami melambai-lambai ke arah juruterbang. Juruterbang membalas lambaian kami. Kemudian, juruterbang tersebut membuat satu pusingan dan kembali kepada kami semula sambil menjatuhkan empat 'flares' di setiap penjuru tempat kami berada. Ini bertujuan supaya mana-mana kapal yang datang membantu kami dapat melihat lokasi kami melalui tanda asap 'flares' tersebut. Juruterbang itu sekali lagi membuat satu pusingan dan kembali kepada kami lalu menjatuhkan beberapa beg plastik berisi makanan dan minuman buat kami, lalu pergi. Kami mengambil bungkusan-bungkusan tersebut dan membahagi-bahagikan sesama kami sementara menunggu bantuan tiba.
Lebih kurang satu jam kemudian, sebuah kapal dagang MV Thunderhead yang berada tidak jauh dari lokasi kami tiba untuk mengambil kami lebih kurang jam 5.00 petang. Keadaan kaki kami ketika itu amat lemah dan kejang. Ini kerana darah tidak dapat mengalir dengan lancar kebahagian kaki kami. Oleh yang demikian, kami dipapah untuk menaiki kapal dagang tersebut. Sebaik sahaja kami bergerak keluar dari pelampong, keadaan pelampong telah sama sekali renyuk dan tidak boleh digunakan lagi.
Di dalam kapal tersebut, kami diberi makan dan minuman sementara menunggu bantuan seterusnya. Pada tengah malam itu, lebih kurang jam 12.00 tengah malam, kapal KD Mahawangsa yang diperintah oleh Kept Muhammad Yassin datang mengambil kami pula. ABRO Abas datang bertemu aku dan memberi kepada ku sepasang pakaian untuk dipakai . Terima kasih kepada sahabat ku ini. Budi baik mu akan dikenang sepanjang hayat. Begitu juga dengan pegawai dan anak-anak kapal yang lain, diberi bantuan yang sewajarnya dan terus bermalam di situ.
 |
| Sejurus selepas turun dari pesawat TUDM. Gambar penulis dihadapan sekali. |
 |
| Keratan akhbar The Star bertarikh 13hb Jan 1984 |
Pada keesokan hari, tanggal 12hb Jan, 1984 dua buah helikopter Nuri mengambil kami untuk dihantar ke Kuching sebelum membawa kami menaiki Hercules milik TUDM terbang ke Ipoh. Di Ipoh, Panglima Tentera Laut, Laksamana Mohd Zain dan pegawai-pegawai lain menunggu ketibaan kami untuk beramah mesra dan mengadakan upacara doa selamat. Kemudian kami dipertemukan bersama sanak saudara yang juga sedang menunggu ketibaan kami.
Esoknya tanggal 13hb Jan, 1984 anak-anak kapal KD Sri Perak yang kehilangan BAT C 10 diberi Kad Pengenalan Tentera Sementara dan seterusnya semua pegawai dan anak-anak kapal diberi cuti tanpa rekod selama dua minggu untuk bersama keluarga.
Demikianlah secara ringkas yang dapat aku ceritakan tentang pengalaman aku serta rakan-rakan lain sewaktu mengharungi detik-detik sebelum dan selepas tenggelamnya kapal KD Sri Perak.
Insya'Allah, pada 'post' akan datang aku akan tuliskan sedikit ulasan dan pandangan terhadap peristiwa ini secara peribadi. Di samping itu juga, saudara/i pengunjung blog ini, boleh memberi komen, pandangan, teguran atau apa saja yang difikirkan sesuai terhadap peristiwa ini demi kebaikan kita bersama.
Coretan atau kisah yang aku paparkan ini hanyalah satu daripada dua puluh enam yang lain. Maksudnya, ada dua puluh lima lagi cerita yang lain dari rakan-rakan di dalam pelampong ketika kejadian. Mereka juga mempunyai pengalaman dan pandangan dari sudut pengamatan mereka berdasarkan peristiwa ini.
Sekian untuk 'post' kali ini.