Pengikut

Selasa, 28 Disember 2010

Jasa Tanpa DiKenang

Sesungguhnya kita tidak dapat menafikan bahawa hidup dan mati seseorang itu terletak di atas kekuasaan Allah s.w.t.  Allah s.w.t. telah tentukan takdir seseorang itu sejak dari azali lagi.

Namun, atas sebab dan musabab tertentu membolehkan seseorang itu dipanjangkan usianya dengan kehendak Allah Azza Wa Jalla.

Di dalam peristiwa tenggelamnya KD Sri Perak, saya percaya bahawa Allah s.w.t. telah menggerakkan fikiran dan daya usaha kepada LRSM Bakar Satiman dan ABSM Mokhtar untuk memotong tali pelampong penyelamat (life-raft) dan mencampakkan ke laut tanpa menunggu arahan dari Pegawai Memerintah (lihat komen ini) walaupun di dalam keadaan kritikal.

Justeru, dengan inisiatif mereka berdua 26 pegawai-pegawai dan anak-anak kapal dapat menaiki pelampong tersebut dan seterusnya terselamat dengan izin Allah s.w.t.

Bagi saya, jasa mereka berdua amatlah besar. Kami yang terselamat sangat terhutang budi kepada mereka.

Biarpun begitu, saya merasa hairan mengapa TLDM tiada inisiatif dan terfikir untuk menyelidik bagaimana kami terselamat. Hasil dari penyelidikan atau siasatan terperinci itu boleh dijadikan pengajaran dan tauladan kepada pemimpin generasi akan datang.

Sungguh malang benar nasib  bekas anggota TLDM seperti mereka berdua yang telah berjasa besar, tetapi tidak dinilai dan dipinggir begitu sahaja.

Atlit sukan jauh dipandang lebih tinggi dan dianggap besar patriotisme mereka dibandingkan dengan jasa dan pengorbanan seperti mereka berdua. Atlit sukan diberi berbagai-bagai imbuhan, penghargaan serta penganugerahan. Malang sekali bekas-bekas anggota tentera Malaysia dipandang sepi. Jauh sekali diberi penghormatan, penghargaan mahupun penganugerahan.

Inilah realiti kehidupan di dalam Angkatan Tentera Malaysia.


HABIS MANIS SEPAH DIBUANG.

Isnin, 27 Disember 2010

3 Yang Hilang Dalam Kenangan (Peristiwa KD Sri Perak)

Saya sungguh terharu dengan sambutan dari para pengunjung blog yang begitu ramai untuk membaca tentang pengalaman saya bersama krew KD Sri Perak yang lain ketika tenggelamnya kapal tersebut pada tanggal 8hb Jan, 1984.

Saya ucapkan terima kasih kepada Mej (B) Nor Ibrahim Bin Sulaiman dari xnuripilot.blogspot.com yang telah pautkan blog beliau ke blog saya.

Saya sebenarnya berhasrat untuk masukkan satu lagi entri berkaitan peristiwa ini pada tanggal 8hb Jan tahun hadapan yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi bersempena tarikh peristiwa tersebut.

Namun, apabila saya dapati pengunjung yang telah bertambah ini, saya berubah fikiran dan kini memaparkan pula tentang tiga rakan yang hilang dalam peristiwa tersebut.

Paparan saya hanya sekadar 'paste'kan keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14hb Jan, 1984 untuk bacaan pengunjung sekalian.

Oleh kerana keratan akhbar ini terlalu besar untuk dimuatkan ke dalam blog ini, maka saya pisah-pisahkan keratan akhbar tersebut.

Keratan Besar Akhbar









Gambar terakhir Laskar Kanan Kelas 2
Shaharuddin Sharani, 22.


Kepada Mej(B) Nor Ibrahim Bin Sulaiman sekali lagi saya ucapkan terima kasih.

Ahad, 26 Disember 2010

Teka-Teki 2

Buku Lama
Buku ini aku beli di MPH, Bukit Bintang Plaza pada 1hb Jan, 1982. Pagi ini, ketika aku mencari-cari buku apa... yang ingin aku baca, lalu aku terlihat buku lama ini. Aku pun ambil dan selak satu persatu helaian muka surat dan membaca mana yang menarik minat aku.

Kemudian, pada helaian gambar-gambar yang banyak, aku terlihat gambar ini.

Pada 'caption' gambar ini ditulis A boatful of Vietnamese
 refugees in Malaysian waters on June 24. A ship of the
Royal Malaysian Navy stands by.
Aku tertanya-tanya kapal apakah di gambar ini.

Jumaat, 24 Disember 2010

Ayahku

Sewaktu aku kecil, aku tinggal di satu kawasan setinggan berhampiran Kg Datok Keramat, Kuala Lumpur. Walaupun ayahku memiliki sebidang tanah kecil seluas satu ekar di Paya Jaras,  namun ayahku suka untuk menetap di Datok Keramat.

'Di sini senang.  Pergi kerja dekat. Anak-anak bersekolah pun dekat' kata ayahku kepada arwah ibuku.

'Kalau tinggal di Paya Jaras, jauh' kata ayahku lagi.

Memang benar, kalau dahulu apabila aku ikut ayahku balik ke kampong (Paya Jaras) menaiki kereta buruknya jenis 'Austin Cambridge' terasa terlalu jauh. Dari rumah sampai ke kampong ambil masa hampir satu jam. Tetapi sekarang, dari rumahku di Taman Greenwood ke Paya Jaras melalui MRR2 hanya ambil masa 20 minit sahaja.
Kereta Jenis Austin macam ayahku miliki dahulu. Gambar Hiasan.
Aku ingin bercerita sedikit tentang ayahku.

Alhamdulillah ayahku sehingga hari ini masih sihat dan menetap di Paya Jaras bersama adik bongsuku. Walaupun sihat tetapi beliau adakala berkerusi roda kerana kakinya tidak begitu kuat.

Suatu ketika di Singapura ayahku giat berpolitik sehingga pada tahun 1964 ayahku ditahan di Singapura kerana disyaki cuba mensabotaj pemerintah negeri itu. Kemudian ayahku ditahan dibawah Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) selama 3 tahun di Muar, Johor dan tidak dibenarkan memasuki Singapura sehingga ke hari ini. Ayahku kini berusia 87 tahun.

Ayahku dilahirkan di Bukit Rotan, Asam Jawa, Kuala Selangor. Ibu ayahku berketurunan Cina, manakala ayahnya (datukku) pula berketurunan Jawa.

Walaupun telah lama bersara dari kegiatan politik, namun ayahku masih tetap mengikuti perkembangan politik semasa. Ayahku benar-benar seorang pejuang yang mengutamakan Islam. Dari sudut pandangannya politik hari ini didasari fahaman Ashabiyah (Perkauman). Pemimpin-pemimpin hari ini tidak lagi berpegang pada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Baik dari kalangan pemimpin PAS, lebih-lebih lagi dari kalangan pemimpin UMNO.

Mereka lebih mengutamakan berpegang pada Perlembagaan Malaysia daripada kitab suci Al-Quran. Perlembagaan Malaysia adalah umpama berhala berhala yang dimusnahkan oleh Nabi Ibrahim a.s. ketika memecahkan semua berhala-berhala di rumah berhala kecuali berhala besar. Ini bertujuan supaya boleh diadakan dialog dengan kaumnya agar kaumnya dapat berfikir dengan rasional.

Cuba perhatikan ayat Al-Quran di dalam Surah Ash-Shaffaat, Ayat 95.

'Nabi Ibrahim berkata, "Apakah kamu menyembah patung-patung yang kamu pahat itu".

Begitulah juga dengan Perlembagaan Malaysia yang ditulis dengan tangan oleh Lord Reid yang beragama Nasrani, lalu diikuti dengan patuh oleh bangsa Malaysia. Apakah Perlembagaan Malaysia yang dihasilkan dengan tangan manusia itu tidak sama dengan patung-patung yang dihasilkan oleh kaum Nabi Ibrahim.

Oleh yang demikian barangsiapa melebihikan apa-apa sahaja dalam bentuk perundangan melebihi daripada Al-Quran secara tidak sedar telah kufur kepada Allah s.w.t.

Cuba perhatikan juga firman Allah s.w.t.

                       'Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir'    (Q.S. Al-Maidah, Ayat 44)


                       'Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang dzalim'   (Q.S. Al-Maidah, Ayat 45)


                       'Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang fasiq'     (Q.S. Al-Maidah, Ayat 47)

Ada orang berkata, 'kami tidak sembah Perlembagaan seperti berhala. Kami hanya mengikuti peraturan-peraturannya sahaja. Kami lakukan solat, puasa, mengerjakan haji dan seumpamanya'.

Suatu ketika Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada sahabat-sahabat,

'Jangan kamu menjadi seperti orang-orang Nasrani.  Mereka menyembah paderi-paderi mereka'.

Seorang sahabat yang dahulunya beragama Nasrani, Abi Hatim berkata,

'Ya Rasulullah, kami dahulu tidak pula menyembah paderi-paderi kami'.

Lalu Rasulullah s.a.w. menjelaskan maksudnya. 'Yang aku maksudkan kamu menyembah paderi-paderi kamu itu adalah kamu perturutkan apa sahaja yang diperintahkan oleh paderi-paderi kamu tanpa dipelajari atau diselidiki menurut kepercayaan kamu. Apabila paderi kamu mengharamkan sesuatu yang asalnya halal kamu perturutkan sahaja. Apabila paderi kamu menghalalkan sesuatu yang asalnya haram kamu perturutkan jua'.

Demikianlah jua orang-orang Melayu Malaysia yang umumnya beragama Islam, hari ini memperturutkan jua peraturan Perlembagaan Malaysia, justeru membelakangi perintah Allah dan Rasul menerusi Al-Quran dan Sunnah.

Begitulah sedikit sebanyak pendirian ayahku ini dari sudut pemahaman politik beliau.


Ini Ayahku.

Aku berbangga mempunyai ayah seperti ayahku ini. Beliau telah membesar dan mendidik aku dalam mengenal agama. Tidak dinafikan ayahku memang garang dan tegas sewaktu aku kecil. Beberapa kali aku dipukulnya dalam mendidik diriku ini. Kalau ayahku tidak bersikap begitu, kemungkinan aku menjadi seorang penagih dadah kerana di waktu awal tahun 70an, kegiatan dadah sangat berleluasa. Salah seorang kawanku di Datok Keramat mati akibat mengambil dadah.

Oleh itu aku bersyukur telah dibesarkan dengan baik sekali, biarpun aku tidak menjadi orang besar dan berpangkat tinggi. 

Alhamdulillah.

Puji-pujian ini aku kembalikan kepada Allah s.w.t jua yang berhak memiliki segala puji- pujian. 

Rabu, 22 Disember 2010

Muhasabah

Kelmarin, sewaktu aku berada di Pahang, aku menerima berita kematian seorang sahabat bernama Shamsuddin. Beliau adalah seorang bekas anggota tentera dari unit komando meninggal dunia akibat sakit jantung pada 19hb Dis, 2010.

Seringkali apabila aku menerima berita kematian seseorang, aku insaf mengenangkan diriku ini. Aku tidak tahu bilakah saat giliran aku pula menemui 'malaikatul maut'. Bila mengenang akan diri ini yang banyak kekurangan dari aspek amalan ma'ruf dan perbuatan mungkar serta kemaksiatan yang telah aku lakukan, aku jadi takut untuk menghadapi saat itu.

Terasa diri ini belum bersedia untuk menghadapi kematian. Banyak bekalan yang perlu dibawa. Sedangkan tempoh yang ada terasa sangat sedikit. Banyak urusan duniawi yang tak habis-habis untuk diselesaikan. Semakin hari semakin bertambah pula.

Namun, ajal pasti akan datang mendapatkan kita semua. Setiap yang hidup pasti akan mati.

Gambar Hiasan

Persoalannya, apakah matinya kita nanti berada dalam keadaan MUSLIM, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t di dalam Al Quran, Surah Al-Imran, Ayat 102.

              'Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Muslim'

Oleh yang demikian, apakah ciri-ciri MUSLIM itu.

Di dalam Al-Quran, banyak diperjelaskan bagaimana untuk menjadi seorang muslim yang baik dan bertaqwa. Ianya diterjemahkan pula melalui amalan-amalan Rasulullah s.a.w. dan seterusnya oleh sahabat-sahabat dan salafus solihin.

Di sini aku pautkan satu artikel (klik di sini) melalui laman web yang selalu aku layari untuk bacaan kita bersama agar kita dapat mengambil manfaatkan darinya.

Mudah-mudahan dengan sedikit bekalan taqwa ini akan dapat membantu kita menghadapi HARI yang mana seorang ibu akan meninggalkan anak yang disusuinya, orang kaya akan meninggalkan semua hartanya, seorang suami akan meninggalkan isterinya yang cantik jelita dan seumpamanya demi untuk menyelamatkan diri masing-masing. Hari yang dinamai Hari Hisab.

Selasa, 21 Disember 2010

Ulang Tahun Perkahwinan

Alhamdulillah - Segala puja dan puji bagi Allah s.w.t. yang telah melimpahkan kurniaanNYA kepada kami sekeluarga dengan limpahan kurniaan yang banyak sehingga tak dapat dihitung jumlahnya. Dengan izinNYA juga aku telah hidup bersama isteri yang disayangi sehingga ke hari ini.

Hari ini merupakan Hari Ulangtahun Perkahwinan aku yang ke 24 dan selama tempoh tersebut, hidupku dipenuhi dengan berbagai-bagai warna-warni kehidupan.

Kehidupan yang banyak mengajar kita erti kedewasaan.  Kehidupan yang dipenuhi dengan taman-taman keindahan serta juga onak dan duri. Kesemua liku-liku kehidupan ditempuhi bersama. Kesemua ranjau direntasi bersama. Dan kesemua kesenangan dikecapi bersama jua.

Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberkati kehidupan kami terus-terusan dan mengizinkan agar kami dapat hidup bersama dalam ikatan kasih dan sayang yang berpanjangan sehingga ke akhir hayat.

Amin.

Ahad, 19 Disember 2010

Lawatan Ke Pusat Konservasi Gajah, Pahang

Dalam perjalanan pulang dari menghadiri jemputan perkahwinan sahabatku yang melangsungkan perkawinannya untuk kali kedua setelah tujuh tahun menduda di Jengka, aku bersama teman-teman lain singgah di Pusat Konservasi Gajah, Kuala Gandah, Pahang.

Kali terakhir aku datang ke sini ialah pada tahun 2004. Aku dapati banyak perubahan ke arah menambah-baikan telah dilaksanakan untuk kemudahan awam. Kalau dahulu, tiada tempat letak kereta untuk pengunjung yang datang. Kini tempat letak kereta telah disediakan. Dahulu tiada kantin. Kini, kantin juga disediakan.

Aku juga dapati bilangan pengunjung dari kalangan orang tempatan telah bertambah ramai. Bilangan gajah juga bertambah banyak. Kini ada sembilan kesemuanya. Dahulu hanya ada empat sahaja.


Teman-teman yang turut mengunjung ke Pusat Konservasi Gajah, Kuala Gandah, Pahang

Gajah sedang memakan batang pokok pisang.




Tengkorak asli gajah yang berusia 35 tahun.

Aku tiba di rumah kurang lebih jam 7.00 petang. Setelah selesai solat, beristirehat sebentar dan terus aku rakamkan aktiviti hari ini di blog ini.

Sabtu, 18 Disember 2010

Komentar (Commentary)

Membaca pernyataan tentang KD Sri Perak yang terdapat di Muzium TLDM dalam versi Bahasa Inggeris (klik di sini) sukar difahami dan amat membingungkan.

Mujur, saya teringat penulis Utoh Paloi telah menghantar satu 'post' sebelum ini yang bertajuk Save Our Souls (klik di sini) yang memuatkan versi Bahasa Malaysia.

Saya hanya terpanggil untuk memberi sedikit komen pada perenggan terakhir yang dibaca:

versi BI 'They admitted that SKILLS accumulated during training and actual rescue operations, had helped them service the incident'.

versi BM '.....dan mengaku bahawa segala latihan pengendalian rakit penyelamat dan menyelamat nyawa di laut yang KERAP dilakukan sebelum ini telah menyelamatkan mereka'.

Ayat ini membuatkan saya tertawa kecil dan menganggap ianya amat lucu. Ternyata benar penulis pernyataan ini menulis dalam keadaan berILUSI (in extreme illusion).

Dari mana penulis pernyataan ini mendapat maklumat bahawa kami 'with the skills accumulated during training, had helped us'.

Who are 'THEY' the writer is referring to. Kalau benar ada 'mereka' yang memberi maklumat seperti ini, ternyata ianya satu pendustaan yang besar.

Pandangan saya secara jujur bahawa sekiranya 'skills' yang kami miliki yang dimaksudkan oleh penulis pernyataan ketika peristiwa itu berlaku, saya yakin kapal KD Sri Perak boleh diselamatkan.

Bagaimana kapal boleh diselamatkan.

Seorang pelaut yang memiliki 'skills' yang tinggi pasti boleh tahan mabuk laut. Justeru, apakala air telah mulai memasuki melalui 'foxle hatch', pasti tirisan ini dapat diatasi. Itu sahaja puncanya. Air masuk melalui 'foxle hatch' kerana telah terbuka renggang. Sekiranya 'foxle hatch' ini dapat ditutup semula, pasti air laut tidak dapat masuk lagi.

Saya teringat membaca satu artikel tentang pembinaan kapal, di mana setiap kapal yang dibina mesti berada di dalam keadaan yang seimbang dan stabil, walaupun dipukul ombak yang tinggi dan kuat selagi kapal tidak dimasuki air dengan banyak.

Oleh yang demikian, di mana letaknya 'skills' yang ada pada krew KD Sri Perak (termasuklah saya, salah seorang krew KD SRI Perak). Saya mengakui banyak kelemahan saya sebagai seorang pelaut.

Mengapa saya mengatakan penulis pernyataan ini menulis dalam keadaan berilusi.

Saya pernah menyatakan di dalam 'post' Tenggelamnya kapal KD Sri Perak bahawa lebih 50 peratus krew kapal adalah anggota baru dan kapal pula buat pertama kalinya belayar ke Labuan setelah lama menjalani senggaraan.

Oleh itu, bilakah masanya krew kapal melakukan latihan pengendalian rakit penyelamat. Tambahan dikatakan pula KERAP melakukan latihan.

Bukankah pernyataan ini andaian yang direka semata-mata.

Jikalau tuan-tuan sekalian membaca kisah yang saya paparkan sebelum ini, sekiranya tuan-tuan perasan, saya tidak banyak kaitkan tentang peranan Pegawai Memerintah.

Sebenarnya, jikalau boleh saya tidak mahu mengaibkan sesiapa. Dan saya tidak berniat untuk mengaibkan seseorang.

Kini, saya secara peribadi, dan atas kapasiti peribadi, saya katakan bahawa 'The then Commanding Officer of KD Sri Perak is not fit to be a Commanding Officer'.

Mengapa saya berkata demikian.

Kerana saya sendiri melihat dan menyaksikan keadaan beliau ketika peristiwa itu. Beliau sungguh 'panic'. Tidak tahu nak berbuat apa-apa.

Mujur LRSM Bakar Satiman dan ABSM Mokhtar, dengan inisiatif mereka berdua telah memotong tali 'life-raft'.

Bagaimanakah akan terjadi, sekiranya mereka masih tertunggu-tunggu arahan dari CO atau XO atau NO. Dan seterusnya tidak memotong tali 'life-raft' tersebut. Bayangkanlah tuan-tuan sekalian.

Apakah mereka (Pegawai-pegawai TLDM) mempunyai 'charisma' sebagai seorang pegawai.

Ya....mereka (pegawai-pegawai TLDM) mempunyai 'charisma', TETAPI, hanya apabila dalam keadaan tenang dan aman. Mereka hanya boleh menunjukkan kehebatan mereka apabila menjalankan latihan-latihan sahaja.

Namun, apabila terjadi sesuatu kejadian yang benar, muka pucat, suara pun tidak kedengaran.

Di dalam 'life-raft' pula PM tidak menampakkan tingkah laku yang positif. Tidak ada menunjukkan sikap sebagai seorang pegawai yang sepatutnya memberi kata-kata semangat dan perangsang kepada orang-orang bawahannya, biarpun memikul beban tanggong jawab yang berat. Sebaliknya orang-orang bawahan pula yang menunjukkan sikap yang lebih berkeyakinan.

Apakah ini yang dikatakan 'SKILLS'.

This is not SKILLS. This is KILLINGS.


Akhir kata, saya bukan ingin mengaibkan seseorang tetapi sekadar menceritakan kisah yang benar dan agar menjadi tauladan kepada sesiapa yang ingin mengambilnya sebagai iktibar.

Jumaat, 17 Disember 2010

Syi'ah! Oh...Syi'ah!

Saya tidak terkejut apabila membaca berita di dada akhbar tentang fahaman Syi'ah yang telah menular di negara kita ini. (klik di sini)

Fahaman ini memang telah lama disebarkan, tetapi dengan cara bersembunyi dan apabila mereka berkumpul pun hanya dalam kumpulan kecil. Sekiranya, api masih kecil mudah sahaja dipadamkan. Kalau sudah besar tentu sekali akan menjadi susah untuk dipadamkan.

Begitulah keadaannya fahaman ini. Hari ini, fahaman ini telah mulai meluas dan tidak lagi disebarkan secara bersembunyi. Fahaman ini juga telah menular dan menembusi banyak institusi pengajian tinggi. Banyak pensyarah telah dikenalpasti terlibat dalam menyebarkan fahaman ini kepada pelajar-pelajar mereka.

Bagaimanakah kiranya, kalau salah seorang daripada pelajar-pelajar itu merupakan anak kita (termasuk anak penulis). Apakah kita tidak berasa cemas atau bimbang dengan perkembangan ini. Apakah kita masih boleh bersikap berdiam diri dan tidak peduli dan membiarkan sahaja ia ditangani oleh Jabatan Keagamaan.

Oleh yang demikian, kita mesti insaf tentang bahayanya fahaman sebegini jika tidak dibendung. Sila baca ini Di samping Jabatan Agama Islam Pusat serta Negeri memainkan peranan mereka, kita sebagai ibu dan bapa atau penjaga kepada anak-anak yang masih muda, berperanan juga memberi tunjuk ajar dan panduan sama ada secara langsung atau pun tidak langsung.

Jangan nanti apabila anak-anak kita telah dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan bersabit kesalahan ini, kita baharu sedar anak kita telah terpesong dari batas-batas agama Islam yang sebenar. Jangan sampai nanti anak-anak kita berani mengatakan kepada kita bahawa aqidah yang selama ini kita berpegang adalah salah.

Sama-samalah kita fikirkan permasalahan ini. Ini bukan soal ranting. Ini merupakan soal pokok kehidupan kita di dunia dan seterusnya di akhirat. Permasalahan yang sama sekali tidak boleh dipandang ringan dan diabaikan. Permasalahan yang perlu kita tangani dengan tegas dan keras, Aqidah yang tiada kompromi.

Akhir kata melalui entri kali ini, saya cadangkan tuan-tuan untuk membeli dan membaca buku-buku seperti ini.

Gambar Hiasan 1
Gambar Hiasan 2

Khamis, 16 Disember 2010

Alam Persekolahan 3

Aku berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur pada bulan Oktober 1968. Pada tahun berikutnya, tanggal 6hb Jan, 1969 aku mulai bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jalan Gurney 2, Kuala Lumpur. Jarak di antara sekolah dan rumah ku lebih kurang 2 - 3 km sahaja. Namun aku terpaksa menaiki bas Sri Jaya bernombor 8 untuk pergi dan balik. Ketika itu tambang bas hanya 5 sen sahaja.

Tempat jatuh lagi dikenang, Inikan pula tempat bersekolah.

Lencana sekolah


Di sekolah aku ditempatkan di dalam darjah 6L. Huruf L adalah bersempena dengan awalan huruf dari nama guru kelas yang bernama Lee Chin Teck. Aku dimaklumkan oleh Cikgu Khotini, salah seorang guru pada waktu itu bahawa Cikgu Lee Chin Teck telah berpindah dan bermastautin di Australia.

Pada tahun ini juga telah berlaku pergaduhan kaum di antara kaum Cina dan Melayu. Aku bersekolah sesi petang. Pada hari pertama kejadian, sewaktu pulang dari sekolah, aku disuruh agar segera kembali ke rumah oleh orang-orang dewasa di stesen bas. Tanpa banyak soal, aku pun segera pulang ke rumah. Aku terlalu mentah untuk memahami apa sebenarnya telah berlaku ketika itu.

Setelah pergaduhan tamat. Negara kembali tenang dan aman seperti sedia kala, kami kembali bersekolah semula. Keadaan di sekolah aku lihat seperti biasa sahaja. Dari kalangan guru-guru yang berbilang kaum saling bekerja-sama antara satu sama lain. Seperti tidak pernah berlaku sesuatu kejadian buruk.

Tidak banyak guru-guru yang aku ingat kecuali guru kelas aku Mr. Lee Chin Teck, Guru Besar Pn. Chew Kit Lin, Guru Disiplin Cikgu Saad dan Cikgu Khotini.

Tidak banyak peristiwa berkaitan diri ku dapat aku coretkan. Ini kerana aku bersekolah di sekolah ini hanya satu tahun sahaja. Walau bagaimanapun aku gembira kerana telah dapat menamatkan persekolahan sehingga selesai persekolahan peringkat rendah.

Selasa, 14 Disember 2010

Pilih Satu Antara Dua

Di dalam kapal KD Sri Perak yang tenggelam, aku ada menyimpan wang hampir RM1000.00 di dalam 'locker' untuk berbelanja apabila tiba di Labuan nanti.  Aku juga ada menyimpan 2 keping potret bekas kekasih pertama ku di tempat yang sama.

Andainya aku diberi pilihan yang mana satu aku boleh dapat kembali, niscaya aku akan memilih 2 keping potret itu.

Mungkin ada orang akan mengatakan,

'Ah...bodohnya Pak Mail, dipilihnya 2 keping potret itu daripada wang RM1000.00'

Ya, pandangan orang yang mengatakan demikian itu memang ada benarnya kalau dilihat dari aspek 'material'.  Namun, bagi aku wang boleh dicari. Akan tetapi, 2 keping potret itu tiada tukar ganti. Potret-potret tersebut amat bernilai dan bermakna buat diri ku, kerana ia menimbulkan kenangan-kenangan nostalgic sewaktu bersamanya suatu ketika dahulu.

Seseorang itu akan abadikan kenangan-kenangan seperti ini sehingga ke akhir hayatnya. Lebih-lebih lagi sekiranya ia merupakan cinta yang pertama. Barangkali semua 'orang lama' maklum bahawa cinta pertama amat mengasyikkan dan sangat indah ketika dilalui.

Gambar hiasan


'Wah... lain macam saja bunyi cerita Pak Mail kali ini'.

Entahlah, tiba-tiba sahaja aku suka nak bercerita kisah cinta lama yang gagal.

Memang benar kata saudara Lading, blog dicipta untuk seseorang itu meluahkan apa sahaja fikiran yang terpendam di dalam dirinya.

Dan aku, usia yang telah sedikit melebihi setengah abad ini tidak banyak untuk dipaparkan selain kisah-kisah lama sahaja. Kenangan-kenangan yang buruk mahupun yang indah juga.

Cinta kami terhalang kerana aku seorang budak 'navy'. Barangkali itu andaian aku mengapa pinangan aku ditolak oleh bapa kekasih ku. Bapa kekasih ku dahulunya juga seorang pelaut di atas kapal dagang. Mungkin beliau telah melihat bagaimana gaya hidup teman-teman sekapal yang sering bertukar-tukar perempuan apabila tiba di satu-satu tempat atau pelabohan. Maka itu beliau mungkin menyamakan aku sama sahaja dengan teman-temannya dahulu.

Aku tidak salahkan bapa kekasih ku itu. Itu hak beliau. Ternyata ada hikmah di sebalik kegagalan cinta kami. Sejak pinangan ku ditolak aku tidak bertemu dengan kekasih ku lagi. Kami akur dengan takdir Illahi.

Memang benar firman Allah s.w.t. yang mengatakan bahawa 'segala sesuatu yang kita sangkakan baik buat kita, tetapi sebenarnya tidak baik buat kita. Dan sesuatu yang kita sangka tidak baik buat kita, tetapi sebenarnya ia baik buat kita'. Allah sebenarnya inginkan yang terbaik buat kita, terutama mereka yang beriman kepadaNYA. Dan ada pun segala kesulitan dan kesusahan yang diberi kepada kita adalah sebagai ujian demi untuk melihat sejauh mana ketaqwaan dan amalan kita.

Itulah sedikit kenangan yang dapat aku coretkan untuk entri kali ini.

Isnin, 13 Disember 2010

Teka Teki 1

USS George Washington. Gambar Hiasan.
Bilakah negara kita akan memiliki kapal seperti ini?.

Apakah negara kita mampu membeli kapal seperti ini?.

Perlukah negara kita memiliki kapal seperti ini?.

Apakah negara kita mampu menyelenggara kapal seperti ini?.

Apakah pegawai-pegawai TLDM boleh memerintah kapal seperti ini?.

Sabtu, 11 Disember 2010

Fakta....fakta......fakta.

Merujuk kepada satu 'post' dari Utuh Paloi.com bertajuk S.O.S - Save our Souls klik di sini, ingin saya jelaskan bahawa terdapat beberapa kesalahan fakta pada pernyataan Muzium TLDM, Melaka seperti yang dipaparkan oleh penulis blog Utuh Paloi.

1.  'KD Sri Perak dan KD Sri Selangor telah belayar dari Malaysian Base Jetty (MBJ) Woodlands, Singapura pada pukul 2.00 petang, 7 Januari menuju ke Wilayah Persekutuan, Labuan'.

Pertama, saya harus mengakui bahawa mengenai tarikh pelayaran ketiga-tiga kapal dari MBJ, Woodlands, saya tidak begitu pasti. Sebelum saya menceritakan mengenai kejadian di dalam blog ini saya telah cuba sedaya upaya untuk mengingati tarikh kami belayar dari Singapura. Akan tetapi saya mengambil kesimpulan bahawa ketiga-tiga kapal belayar pada tanggal 6hb Jan, 1984. Kekeliruan ini juga terjawab apabila saya telah mendapat keratan-keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14hb Jan, 1984 baru-baru ini dari ipar saya.

Keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14hb Jan, 1984
Justeru, berdasarkan keratan akhbar ini, saya ingin membuat pembetulan pada kenyataan saya bahawa tarikh ketiga-tiga kapal belayar dari MBJ, Woodlands pada hari Sabtu, bersamaan 7hb Jan, 1984 dan bukan pada hari Jumaat, 6hb Jan, 1984 seperti yang saya nyatakan pada 'post' terdahulu.

Kesalahan fakta KD Sri Selangor yang dinyatakan belayar bersama-sama KD Hang Tuah dan KD Sri Perak, saya kira semua maklum bahawa ini adalah kesalahan bodoh dan amat memalukan pihak berkenaan yang menulis tanpa meneliti apabila membuat sesuatu pekerjaan. Betul seperti apa yang dikatakan oleh penulis Utoh Paloi, 'If a job is worth doing, then it is worth doing well'.

2.  'PRT telah membenarkan kedua-dua kapal ronda berpatah balik ke pangkalan di Singapura'.

Sepanjang pengetahuan saya KD Sri Perak telah tidak pernah diberi arahan untuk kembali ke MBJ, pangkalan di Singapura.

3.  'Komunikasi radio hanya dapat dilakukan dengan KD Sri Trengganu, manakala KD Sri Perak mungkin telah tenggelam atau terkandas di Beting Luconia'.

Pernyataan ini mengelirukan. Sekiranya kapal KD Sri Perak telah tenggelam tentu sekali perhubungan sudah terputus dan tidak dapat lagi dihubungi.

4.  'Kali terakhir KD Sri Perak dikesan pada skrin radar KD Hang Tuah ialah pada 8 Januari pukul 7.00 petang'.

Persoalannya, apakah penulis pernyataan ini tidak membaca dan mengikuti urutan peristiwa ini bahawa kapal KD Sri Perak telah tenggelam pada jam 5.00 petang. Dari mana mendapat maklumat mengatakan bahawa kali terakhir KD Sri Perak dikesan melalui skrin radar KD Hang Tuah pada jam 7.00 petang hari yang sama.

Berdasarkan kesalahan-kesalahan fakta yang saya sebutkan di atas, jelas bahawa penulis pernyataan ini tidak membuat kajian yang menyeluruh, teliti dan tepat. Penulis hanya banyak membuat andaian, justeru mencerminkan ketidak pekaan pentadbir Muzium TLDM dan TLDM amnya terhadap sejarahnya sendiri dan memperbetulkan kesalahan fakta tersebut.

Jumaat, 10 Disember 2010

Alam Persekolahan 2

Aku tidak punyai banyak gambar-gambar lama ketika alam persekolahan di Singapura. Gambar ini, ketika aku di dalam Darjah 4. Aku tidak dapat mengingati nama guru kelas yang bergambar bersama.

Penulis berdiri di belakang (kiri sekali) berpeluk tubuh.
 
Gambar ini pula ketika aku di dalam Darjah 5. Guru yang berdiri di sebelah kanan sekali ialah guru kelas kami, bernama Mohd Shariff.
Bergambar bersama guru. Gambar ini di ambil pada tahun 1967.
Aku masih ingat hari terakhir aku berada di kelas, Cikgu Shariff menyuruh aku bersalaman dengan semua rakan sekelas sebelum aku bertukar sekolah di Kuala Lumpur pada tahun berikutnya.

Rabu, 8 Disember 2010

Alam Persekolahan 1

Murid-murid bergambar bersama guru kelas,  Puan Noraini.
Aku bersekolah di Kaki Bukit Intergrated School, Singapura dari Darjah 1 sehingga Darjah 5, sebelum aku mengikuti ayah dan ibu ku yang berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1968.

Gambar ini di ambil pada tahun 1965 ketika aku berada di dalam Darjah 2. Aku hanya ingat beberapa nama sahaja dari rakan-rakan sekelas ini.

Aku masih ingat suatu kejadian melucukan berlaku di dalam kelas .Peperiksaan hujung tahun telah tamat. Kami tidak lagi ikuti jadual  waktu seperti biasa. Guru kelas, Puan Noraini hanya mengadakan sesi bersembang sahaja.

Ketika guru kelas sedang asyik memperkatakan sesuatu, Jamal, rakan kami telah membuat sesuatu kenakalan yang menyebabkan dia dipanggil ke hadapan oleh guru kelas.

'Jamal, mari ke hadapan', Cikgu Noraini memanggil. Jamal terus ke hadapan.

'Buka seluar' pinta Cikgu Noraini.

Tanpa paksaan Jamal terus membuka seluarnya. Memang, ketika usia kanak-kanak sebegini, sebahagian dari kami masih belum mengenal erti malu. Aku juga faham guru kelas tidak mempunyai sebarang niat yang tidak baik.

'Turunkan seluar', sambil tersengih Cikgu Noraini cuba menguji Jamal.

Dalam keadaan selamba, Jamal menurunkan seluarnya. Namun, baju sekolahnya masih lagi menutupi bahagian bawah pinggangnya.

'Angkat baju kamu', suruh Cikgu Noraini.

Jamal pun mengangkat bajunya, maka terlihatlah 'anu'nya ketika itu. Dengan senyum dan ketawa, Cikgu Noraini dengan segera menyuruh Jamal supaya turunkan baju dan memakai semula seluarnya. Kami rakan-rakan sekelas semuanya ketawa melihat telatah Jamal atas kejadian ini.

Inilah antara peristiwa dan kenangan yang mencuit hati yang tidak dapat aku lupakan ketika di alam persekolahan dahulu. Namun, kini,  kenangan hanya tinggal kenangan. Aku tidak lagi bersua dengan semua rakan-rakan sekelas ku ini setelah berpindah ke Kuala Lumpur.

Ahad, 5 Disember 2010

Cemburu Sempena Ma'al Hijrah

Apa kaitannya cemburu dengan tahun baru Hijrah 1432 yang akan disambut beberapa hari lagi. Kita selalu kaitkan cemburu dengan perihal perempuan, harta, pangkat dan seumpamanya. Ada pun cemburu yang saya kaitkan dengan tahun hijrah ini adalah dalam soal kehidupan harian, khususnya bangsa Melayu yang banyak diperkatakan.

Saya ingin menarik perhatian pengunjung blog sekalian mengenai satu 'post' yang bertajuk 'Melayu Penakut' melalui blog UtuhPaloi.com (klik di sini). Saya merasa terpanggil untuk membuat sedikit pandangan terhadap perkara tersebut.

Pandangan ringkas ini saya tumpukan dari sudut pemahaman Islam kerana umumnya orang melayu atau bangsa melayu itu beragama Islam. Namun saya tidak menolak pandangan bahawa terdapat sebilangan kecil (walaupun kecil tetapi membimbangkan) dari kalangan anak-anak melayu yang telah murtad. Dalam erti-kata lain, bukan lagi beragama Islam.

Orang-orang lama sering bercerita tentang orang-orang dahulu yang sanggup melakukan apa sahaja sehingga membunuh sekali pun demi mempertahankan maruah dan kehormatan keluarga daripada dipandang hina oleh masyarakat. Kalau rasa malu menimpa diri, tidak ada penebus kecuali nyawa.

Orang Bugis-Makassar mudah sekali membunuh orang apabila kehormatannya tersinggung dan tercabar. Begitu besar pengaruh cemburu (bahasa Arab Ghirah) pada orang Bugis. Saya dapat melihat sendiri sewaktu kecil apabila arwah ibu saya yang berketurunan Bugis, sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan maruah dan kehormatan keluarga. Malahan, menurut ayah saya, arwah nenek tua saya pernah, membunuh sesaorang demi menjaga maruahnya.

Demikian juga orang Madura. Apabila sesaorang pemuda dipenjara kerana membunuh menebus kehormatannya yang tersinggung, beliau merasa lebih mulia daripada rakan yang dipenjara kerana kesalahan merogol, merompak, meragut atau mengedar dadah. Orang ini apabila keluar dari penjara akan disambut dengan penuh kebanggaan oleh sanak saudara.

Begitu juga dengan orang-orang Banjar yang sehebat orang-orang dari Bugis dan Madura.

Orang Melayu juga terkenal dengan kehebatan amuknya, bila malu belum ditebusnya. Kehebatan amukan orang melayu begitu dikagumi oleh orang Inggeris sehinggakan di dalam kamus besar seperti Kamus Oxford dan Kamus Pacific Collins disenarai perkataan 'amok' atau 'amuck'.

Tetapi, itu cerita dahulu, zaman nenek moyang kita. Amukan melayu hari ini lain sebabnya. Antaranya kerana tak dapat 'benda' itu (untuk jimak isteri), atau kerana tak dapat meminta duit untuk beli dadah dan seumpamanya.

Sikap orang melayu pada hari ini ada benarnya seperti apa yang diperkatakan oleh penulis blog UtohPaloi. Biarpun begitu, tentu ada sebab mengapa orang-orang melayu bersikap begini. Antara sebab utama yang dapat saya fikirkan ialah kerana kurangnya didikan agama.

'Tidak.....', mungkin ada dari kalangan saudara/i membantah.

Benar, didikan agama sahaja tidak mencukupi. Ianya harus disertai dengan penghayatan, pemahaman dan pelaksanaan. Ibu dan bapa memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk institusi keluarga yang harmonis, berkualiti berkonsepkan keislaman. Tanpa bimbingan yang sungguh-sungguh dan panduan dari mereka, anak-anak akan keliru dan terbiar. Justeru, amat mudah mereka terdedah kepada gejala-gejala sosial yang tidak sihat seperti lepak, ponteng sekolah, merempit, merokok dan sebagainya. Saya tidak perlu menghuraikan lagi akan gejala-gejala ini kerana penulis blog UtohPaloi telah menghuraikan dengan lebih mendalam(klik lagi di sini).

Namun apa yang saya harapkan ialah supaya orang-orang melayu, anak-anak melayu bangun dari lamunan, biarpun telah terjaga dari tidur, biarpun telah sedar membuka mata. Kita mesti merasa cemburu terhadap kelebihan-kelebihan orang-orang bukan melayu yang telah meninggalkan kita jauh dalam segala bidang. Lebih-lebih lagi bidang ekonomi.

Hanya satu sahaja kelebihan yang ada pada orang melayu, iaitu mereka memiliki banyak sijil Phd (Persijilan Hasad Dengki).

Oleh yang demikian, sempena kedatangan Ma'al Hijrah ini, saya ingin berpesan kepada diri saya dan saudara/i pengunjung blog ini agar kita dapat menghayati ertikata GHIRAH yang sebenar dan dapat diaplikasikan ke dalam kehidupan kita seharian serta dapat memperkukuhkan keazaman untuk memperbaiki akhlak mengikut kehendak agama sama ada dalam aspek duniawi mahupun ukhrawi. Cemburu yang dikehendaki di sini mestilah tidak melibatkan kesusahan dan penganiyaan terhadap orang lain.

Para pengunjung blog yang saya hormati, barangkali apa yang disampaikan oleh penulis blog UtohPaloi begitu 'keras' dan 'menyakitkan' buat pembaca yang berjiwa keMelayuan yang kental. Namun, ambillah kenyataan itu dengan positif dan bersikap lapang dada. Anggaplah ia sebagai satu cabaran dalam merubah diri kita untuk berhijrah dari seorang yang malas kepada seorang yang rajin. Dari seorang penakut kepada seorang yang berani. Tentunya berani kena pada tempatnya.

Dengan adanya sikap ini, Insya'Allah, mudah-mudahan Allah akan memimpin kita menuju kepada kerahmatan dan keberkatannya.

Amin......