Pengikut

Khamis, 3 Mac 2011

Aku, Dia dan Lagu

Biasa dengar rancangan Aku, Dia dan Lagu?

Rancangan Aku, Dia dan Lagu (Adila) ini ialah rancangan hiburan yang disiarkan melalui Radio Klasik Nasional setiap hari Isnin hingga Khamis dari jam 5.15 petang sehingga 7.00 petang. Tajuk entri aku kali ini mengenai aku, Dia (Mohammed Rafi) dan lagu-lagunya.

Mohammed Rafi
Orang-orang lama yang meminati lagu-lagu hindi dan filem hindi klasik pasti akan mengetahui apabila membaca atau disebut nama Mohammed Rafi. Mohammed Rafi adalah seorang penyanyi latarbelakang filem hindi yang sangat terkenal pada tahun-tahun 50an, 60an dan 70an. Malah sejak tahun 40an lagi beliau telah menceburi bidang nyanyian.

Dengan adanya teknologi IT yang membolehkan klip-klip filem dan lagu-lagu lama hindi dimuat-naik dan dimuat-turun semula ke dalam komputer telah memudahkan mereka yang meminati seni ini menonton semula babak-babak tersebut.

Aku tidak ketinggalan mengambil peluang untuk memuat-turunkan lagu-lagu hindi yang aku minati khususnya dari penyanyi Mohammed Rafi dan Lata Mangeskar. Penyanyi-penyanyi lain juga seperti Kishore Kumar, Mukesh, Manna Dey dan Asha Boshle tidak kurang hebatnya. Malah lagu-lagu hindi lebih banyak aku simpan di dalam fail komputer dari lagu-lagu Melayu/Indonesia dan lagu-lagu Inggeris.

Terus terang aku katakan aku sangat meminati mendengar dan menonton klip lagu-lagu hindi melalui YouTube. Ramai kawan-kawan dari kalangan orang lama merasa malu untuk berterus terang bahawa mereka juga meminati mendengar lagu-lagu hindi. Akan tetapi, aku hanya meminati lagu-lagu era tahun 50an, 60an dan 70an sahaja. Lagu-lagu hindi baru, mungkin satu atau dua sahaja yang aku gemari.

Aku masih ingat filem hindi pertama yang aku tontoni. Filem tersebut berjudul 'Love in Tokyo' yang dibintangi oleh Joy Mukherjee dan Asha Parekh sebagai bintang utama pada tahun 1968 di Panggung Galaxy, Singapura bersama Kak Long dan tunangnya yang kini menjadi suaminya. Banyak lagu-lagu nyanyian lelaki dinyanyikan oleh Mohammed Rafi.

Apabila aku berpindah dan menetap di Kuala Lumpur, aku bersama Rahman kawan seusiaku di Kampung Bumiputera akan pergi ke panggung Federal di Chow Kit untuk bersama-sama menonton filem hindi. Kami membeli tiket kelas 3 berharga 80sen yang bertempat di hadapan sekali. Ada dua tajuk filem yang aku masih ingat yang kami tontoni. Filem-filem tersebut adalah Brahmachari dan Aradhana.

Aku dapati ada sekurang-kurangnya dua persamaan yang jelas di antara aku dan Mohammed Rafi. Pertama kami berdua beragama Islam. Dan kedua tarikh kelahiranku sama seperti tarikh kelahiran Mohammed Rafi. Hanya Mohammed Rafi lahir 33 tahun awal daripada aku.

Menurut sejarahnya yang aku baca melalui Wikipedia, beliau mampu menyampaikan berbagai-bagai rentak lagu. Dari lagu-lagu berirama perlahan sehingga irama yang lebih rancak. Beliau juga membawa lagu-lagu romantis dengan penuh penghayatan.

Mohammed Rafi mendakwa telah merakamkan lagu-lagunya sebanyak 26,000 ke 28,000 buah ke dalam piring hitam dan telah diakui oleh Guinness Rekod Dunia pada tahun 1984.

Pernah suatu ketika Lata Mangeskar cuba mempengaruhi Mohammed Rafi untuk mendapatkan hak sebahagian daripada lima peratus royalti yang diterima oleh komposer lagu. Namun Mohammed Rafi menolak dengan alasan bahawa mereka sebagai penyanyi latar telah terdahulu menerima bayaran perkhidmatan. Ini telah membuatkan Lata Mangeskar enggan untuk berduet lagi dengan Mohammed Rafi. Walau bagaimanapun dengan bantuan seseorang mereka telah berbaik semula dan kembali menyanyi bersama.

Peristiwa ini memperlihatkan bahawa Mohammed Rafi bernyanyi bukan semata-mata mengejar kekayaan. Beliau langsung tidak memikirkan tentang keuntungan berganda. Beliau memperjuangkan seni untuk seni. Tidak seperti setengah-setengah artis tempatan Malaysia yang menceburi seni di bidang nyanyian, matlamat utama untuk mengejar 'glamour' dan kekayaan.

Pada tanggal 31hb Julai tahun 1980, Mohammed Rafi telah meninggal dunia akibat serangan jantung. Dikatakan lebih 10,000 orang mengiringi jenazah beliau ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Malang sekali pada tahun 2010 kuburannya telah dibongkar untuk diberi laluan kepada penghuni baru. Inilah masalah besar yang dihadapi oleh orang-orang Islam di negeri India yang mempunyai bilangan penduduk yang melebihi satu billion manusia. Masalah untuk menempatkan kuburan bagi orang-orang Islam untuk selama-lamanya.

Orang-orang India beragama Hindu tidak mempunyai masalah ini. Mayat mereka dibakar dan abunya ditaburkan ke laut.

Pembaca sekalian boleh melayari terus ke wikipedia untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai riwayat kehidupannya.

1 ulasan:

  1. Kat opis ni ade sorang rakan yg mmg setia dgn radio dan siaran Klasik Nasional...btw saya mmg jarang dengar siaran nih..hehehe

    BalasPadam