Pengikut

Selasa, 15 Mac 2011

KD Perantau Dalam Kenangan

Sejurus selepas aku tamat menjalani kursus Radio Komunikasi Kelas 1 pada 7hb Feb 1980, aku diarah untuk bertugas di kapal hidrografi, KD Perantau. Kapal ini adalah dari jenis kapal penyapu periuk api yang diubahsuai dan diberi oleh Tentera Laut Diraja British pada tahun 1968.

Oleh kerana aku telah biasa dengan suasana kehidupan di kapal penyapu periuk api iaitu KD Ledang sebelum ini, maka aku tidak mempunyai masalah menjalani kehidupan di kapal KD Perantau yang hampir sama dalam keadaan rupa bentuknya.

Kapal hidrografi tidak seperti kapal perang yang lain yang selalu keluar belayar untuk operasi rondaan atau latihan peperangan ataupun menjalani tugas-tugas khas. Kapal hidrografi tidak dilengkapkan dengan meriam atau pun senjata 'Y' Gun dari jenis seperti Oerlinkon. Tugas kapal hidrografi hanya berkaitan dengan pengukuran dasar laut dan yang berkaitan dengannya.

KD Perantau berada dibawah pemerintahan Lt Kdr Mohd Rasip Hassan ketika aku mula melapur diri. Pegawai Laksana pula ialah Lt Fairuz Manohar Abdullah. Kapal ini mempunyai bilangan pegawai yang agak banyak. Kebanyakan dari mereka terdiri dari pegawai-pegawai hidrografi. Di antara mereka ialah Lt Yacob, Lt Mustakim, Lt Tan Tin On, Lt Twinny Wooi Chuan Peng, Lt Cheng Swee Hin.

Ketuaku di bahagian radio komunikasi ialah LRO Tan Ah Chin. Sangat baik orangnya. Banyak tunjukajar yang diberikan kepadaku. Pada bahagian radio taktikal aku dianggap sebagai 'in-charge' kerana KD Perantau tidak mempunyai 'leading rate' bahagian taktikal. Oleh itu semua komunikasi berkaitan taktikal aku dipertanggungjawabkan. Aku dikategorikan sebagai orang yang cepat belajar. Oleh itu pegawai-pegawai kapal amat menaruh kepercayaan terhadapku.

Aku dapati anak-anak kapal dari cawangan hidrografi amat lasak kerjanya. Apabila kerja-kerja pengukuran dasar laut dilakukan, awal pagi hari mereka telah keluar menaiki bot dan pulang lewat petang dengan membawa peralatan pengukuran. Namun aku perhatikan mereka sangat ceria dan tidak mempunyai tekanan yang berat dalam menjalankan kewajipan mereka.

Apabila kapal tidak belayar dan berada di Malaysian Base Jetty (MBJ), Woodlands, aku sering menerima kiriman bungkusan nasi goreng ayam dari kekasihku yang mengirimkan melalui rakan sekapal.

Sebenarnya kekasihku ialah anak kepada tauke gerai makan di Medan Selera Marsilling. Aku telah menjalinkan hubungan dengannya sejak aku berada di KD Pelandok, Woodlands ketika menjalani kursus Radio Komunikasi Kelas 1. Kami menjalinkan hubungan secara rahsia. Aku tidak mahu perhubunganku dengannya diheboh-hebohkan dari kalangan kawan-kawanku.

Memang sehingga hari ini ramai kawan-kawan dari kalangan TLDM tidak tahu mengenai perhubunganku dengan kekasihku itu. Hanya sebilangan kecil sahaja dari kenalan rapatku yang tahu perkara ini.

Perhubunganku dengannya berjalan dengan sangat baik tanpa pengetahuan ayahnya, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Kami bertemu seminggu sekali atau kadang-kadang dua kali di waktu petang sehingga sebelum waktu maghrib. Kami bertemu dan bersiar-siar di sekitar perumahan 'flat' Marsilling. Sebelum berpisah aku akan berikan sebuah kucupan sayang di dahinya.

Sepanjang perhubunganku dengannya, aku tidak pernah melakukan perbuatan yang melampaui batas dan tidak baik. Kami hanya sekadar berpimpin tangan. Pimpinan tangan yang erat.

Aku masih ingat suatu ketika semasa aku masih lagi berkursus di KD Pelandok, kekasihku telah kehilangan seutas rantai emasnya. Kekasihku amat takut dan bimbang akan dimarahi oleh ayahnya sekiranya diketahui tentang kehilangan itu. Kekasihku memaklumkan kepadaku tentang perkara ini.

Kebetulan semua anggota TLDM baru sahaja menerima pelarasan gaji baru dan mendapat tunggakan gaji baru. Aku juga menerima imbuhan tersebut. Lalu suatu petang aku membawa kekasihku menaiki bas ke sebuah kedai emas di Geylang Serai untuk membeli rantai yang sama bentuknya. Harganya lebihkurang RM230.00 sahaja ketika itu. Alangkah gembiranya kekasihku setelah mendapat rantai yang baru sebagai pengganti yang telah hilang.

Kedai emas Million di Geylang Serai, Singapura.

Inilah suatu kenangan yang tidak akan dapatku lupakan. Aku percaya kekasihku tidak mempunyai niat yang tidak baik bagi mendapatkan rantai tersebut.

Tidak berapa lama kemudian pada bulan April, kapal KD Perantau dikehendaki membuat senggaraan di Limbungan Hong Leong Lurssen, Butterworth, Pulau Pinang. Kapal dijangka menjalani senggaraan selama enam bulan. Maka semua anak-anak kapal yang terlibat terpaksa berada di limbungan selama kapal menjalani senggaraan. Oleh yang demikian terpaksalah aku dan kekasihku juga berpisah jauh di mata untuk sementara waktu. Sekali-kala kami hanya menghubungi melalui telefon sahaja.

Setelah enam bulan, kapal masih lagi belum siap dan dijangka mengambil tambahan masa selama dua bulan lagi. Ini bererti bahawa kapal akan selesai menjalani senggaraan pada bulan Disember.

Sebelum ini aku telah berjanji kepada kekasihku bahawa aku akan menghantar wakil untuk melamarnya sebaik sahaja kapal selesai menjalani senggaraan pada hujung bulan Oktober atau awal bulan November. Walaupun begitu aku tetap meneruskan niatku dengan mengambil cuti untuk ke Singapura bagi menguruskan urusan ini.

Sebelum itu aku terpaksa menemui ayahnya untuk memperkenalkan diriku dan memaklumkan hasratku untuk melamar anaknya. Aku memberanikan diri dan bertemu ayahnya di gerai penjualannya. Ayahnya kelihatan agak terkejut biarpun tidak menunjukkan reaksi demikian. Kami berbual-bual seketika. Namun aku difahamkan bahawa ibu kekasihku telah dimaklumkan terlebih dahulu akan perhubunganku ini.

Setelah aku memaklumkan maksudku dan menetapkan tarikh bagi wakil pihakku  bertandang ke rumahnya untuk tujuan melamar, aku terus pergi. Kebetulan kawan-kawanku Abdullah dan Fadhil yang sama-sama menyewa bilik di Admiralty Road masih lagi menyewa bilik tersebut. Aku menumpang sementara bilik mereka.

Dalam pada itu aku telah mengaturkan urusan merisik ini bersama dua ibu saudaraku dan dua kakakku yang menetap di Singapura. Mereka dengan senang hati menerima tugas ini.

Pada hari yang ditetapkan mereka pun pergi dan bertandang ke rumah kekasihku untuk urusan merisik dan melamar. Aku tidak tahu bagaimana ianya berjalan dan keputusannya. Bagiku, pastinya perkhabaran yang menggembirakan.

Aku menunggu kedua ibu saudaraku dan kakak-kakakku di suatu tempat yang dijanjikan. Mereka kelihatan agak sugul dan tidak banyak keceriaan menuju kepada arahku. Lalu seorang kakakku berkata kepadaku.

'Mail, tak ada jodoh engkau, bapaknya menolak' ujar kakakku.

Aku tergamam dan membisu seribu bahasa. Aku tidak dapat menerima kenyataan ini. Aku seperti tidak percaya ini boleh terjadi.

'Sudahlah Mail, cari sahaja yang lain' kakakku seorang lagi menyampuk.

'Tapi, kakak tengok perempuan itu menangis sangat-sangat, kasihan dia...' kata kakakku lagi.

'Cantik orangnya...' kakakku menyambong ulasannya.

Setelah itu, aku pun pulang ke rumah sewaan kawanku dan bermalam di sana sebelum pulang ke Butterworth esok hari. Di rumah, sepanjang malam aku tidak dapat melelapkan mata memikirkan bagaimana perkara ini boleh terjadi. Sepanjang malam aku fikirkan mengapa ayahnya menolak lamaranku. Aku tidak dapat memikirkan jawapannya.

Aku bertanya juga kepada kakakku apa alasan yang diberi oleh bapanya. Kakakku kata, aku orang Malaysia, nanti susah anaknya kalau menetap di Kuala Lumpur apabila telah berumahtangga nanti. Bagiku itu bukan alasan yang kukuh. Walaupun begitu aku masih tercari-cari apa alasan yang sebenarnya ketika itu. Setelah puas aku fikirkan jawapan yang pastinya tidakku temui, aku beranggapan bahawa memang ayahnya tidak ingin bermenantukan aku.

Setelah itu aku juga tidak menemui bekas kekasihku ini sehingga suatu hari aku menerima perkhabaran dari abang angkatnya yang diperkenalkan kepadaku sebelum ini, bahawa dia akan bernikah dengan seseorang yang bernama Hassan. Itulah perkhabaran terakhir yang aku ketahui.

Memang benar kata orang bahawa cinta pertama terhadap seseorang kekasih itu akan diingati sehingga ke akhir hayat, walaupun telah berumahtangga dan mempunyai anak serta cucu. Tetapi hanya sekadar ingatan yang mengusik jiwa. Lebih-lebih lagi disertai dengan dendangan lagu-lagu yang berkaitan yang menyentuh perasaan.

Inilah nukilan Pak Mail untuk entri kali ini.

6 ulasan:

  1. N3 yg yg betoi2 mengulit kenangan...lg2 bab kekasih pertama tue.....ader hikmah tue....

    BalasPadam
  2. Anakibu,

    Nukilan ini sebagai janji kepada pembaca yang ingin mengetahui kisah mengenai kekasih pertama itu.

    N3 apa maksudnya. Saya keliru. Apakah N3 bermaksud kembar 3.

    BalasPadam
  3. pak mail N3 tu = 'entry' la..

    pak mail ni ada pi La Spezia ambik mine sweepers ka dulu?

    BalasPadam
  4. Saudara Tentera Laut,

    Terima kasih kerana maklumat itu. Saya ni sebenar banyak tak tahu perkataan singkatan IT. Masih banyak perlu dipelajari.

    Ya, benar saya antara krew yang mengambil kapal KD Jerai dahulu dari La Spezia.

    BalasPadam
  5. Salam Pak Mail.
    Saya juga pernah bertugas di KDPerantau ni. Sekarang dah ada KDPerantau baru yang lebih changgih.

    BalasPadam
  6. Saudara Zabs,

    'Sekarang dah ada KD Perantau baru yang lebih changgih'

    Ya, saya juga memakluminya.

    BalasPadam