Pengikut

Ahad, 9 Oktober 2011

Musim Haji


Sekarang ini tentu pembaca sedia maklum musim masyarakat Islam khususnya di Malaysia dan secara amnya di seluruh dunia sedang bersiap sedia untuk menunaikan salah satu rukun Islam yang lima iaitu fardhu haji ke Baitullah.

Ada juga saya menerima beberapa undangan majlis kenduri doa selamat dari kawan-kawan dan jiran tetangga sempena pemergian mereka ke tanah suci Makkah AlMukarramah. Betapa mereka kelihatan teruja kerana tidak lama lagi akan menjadi tetamu Allah swt.

Dalam senyuman ada kesedihan kerana akan meninggalkan anak-anak, isteri atau suami, sanak saudara, teman taulan, kampong halaman, ayam, itik atau juga lembu, kambing dan binatang peliharaan lain untuk seketika. Dan dalam kesedihan itu juga ada pengharapan agar pemergian mereka ke tanah suci akan mendapat pengampunan dan keredhaan Allah swt justeru mendapat haji yang mambrur.

Pemergian mereka nanti tentunya akan dihantar oleh ramai waris dan sanak saudara di pusat-pusat pelepasan tertentu. Dan di Kuala Lumpur tempat yang menjadi tumpuan pastinya di Komplek Tabung Haji, Kelana Jaya.

Suatu ketika dahulu sewaktu saya masih kecil berusia 12 tahun pada tahun 1969, saya sempat menyaksikan bagaimana jemaah haji berkumpul beramai-ramai, bersesak-sesak dan berpusu-pusu menaiki kapal laut di Pelabuhan Kelang untuk menunaikan haji menuju ke Jeddah dan seterusnya ke Makkah AlMukarramah.

Saya ke Pelabuhan Kelang bukan bertujuan menghantar seseorang untuk mengerjakan haji. Tetapi saya mengikuti dan menolong seorang peniaga buah-buah seperti rambutan, langsat dan buah-buahan lain.
Beberapa hari juga saya berada di sana menolong peniaga tersebut. Amat laris sekali jualan tauke saya ini. Setelah habis se lori, dipesan selori lagi. Banyak pengajaran dari aspek perniagaan saya perolehi menerusi pengalaman ini walaupun berniaga secara kecil-kecilan.

Berbalik kepada kisah yang ingin saya kongsikan mengenai musim haji.

Betapa, saya melihat amat jauh perbezaan jemaah haji hari ini dan jemaah haji dahulu dalam mengerjakan ibadah ini. Jemaah haji dahulu menempuh berbagai-bagai kekurangan dari sudut infrastruktur. Kemudahan dan perkhidmatan asas amat dhaif sekali.

Keadaan cuaca yang panas terik di waktu siang hari membuatkan jemaah haji dan rombongan mereka merasai amat tidak selesa. Di tambah lagi dengan sistem tadbiran yang barangkali belum lagi efektif dan terancang membuatkan mereka itu memerlukan sikap banyak bersabar.

Suatu lagi yang saya dapati mereka yang banyak menunaikan haji adalah dari kalangan mereka yang telah berumur. Tidak seperti sekarang ramai juga dari kalangan anak muda dan separuh umur sudah bersedia menunaikan haji. Infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan juga jauh berbeza. Banyak penambahbaikan telah dilakukan demi kelancaran dan kebaikan jemaah haji. Malah jauh lebih baik dari negara-negara luar lain. Amnya semua terancang.

Di dalam negara lagi, jemaah haji dahulu telah diuji dengan pelbagai kesukaran dan kepayahan.

Sebagai seorang bekas tentera laut yang pernah belayar merentas laut luas dan pernah juga berpengalaman terapung selama 4 hari 3 malam di dalam 'life raft' di Laut China Selatan, saya yakin jemaah haji dahulu yang menaiki kapal laut merasakan amat payah dan 'terseksa' mengharungi lautan luas dengan gelombang besar yang membadai mereka menuju ke tanah suci. Apatah lagi kebanyakan mereka terdiri daripada jemaah yang telah berumur.

Dan pembaca juga sedia maklum bahawa kapal-kapal lama tidak dilengkapi dengan peralatan sistem hawa dingin. Banyak kali ketika saya berkhidmat di kapal-kapal TLDM yang 'tua', sistem hawa dingin mengalami kerosakan. Suasana ketika sistem hawa dingin tidak berfungsi amatlah 'menyeksakan' dan begitu tidak selesa sekali.

Oleh itu saya dapat merasakan bagaimana keadaan jemaah haji dahulu mengharungi dan terpaksa mengalami keadaan seperti ini. Keadaan yang tidak selesa dengan tiada hawa dingin. Sentiasa berada di dalam kepanasan selama dalam pelayaran yang mengambil masa beberapa bulan.

Saya juga pernah mendengar cerita dari orang-orang lama bahawa mereka yang tidak dapat bertahan dan meninggal dunia di dalam pelayaran terpaksa 'dikuburkan' di lautan luas setelah tentunya dimandikan dan disembahyangkan.

Oleh yang demikian, betapa beruntungnya jemaah haji hari ini dapat menunaikan ibadah ini dengan pelbagai kemudahan yang disediakan. Segala-galanya dalam keadaan senang dan mudah sekali dengan kelancaran pentadbiran yang efektik dan teratur.

Saya masih ingat sewaktu saya menunaikan umrah pada tahun 1986 ketika dalam pelayaran pulang dari Itali, saya dapati apabila menunaikan sa'i dari Bukit Marwah ke Bukit Safa berulang alik sebanyak tujuh kali, lantai yang dipijak telah dipasang dengan marmar. Ditambah pula dengan beratap agar dilindungi dari panas bahang matahari. Betapa 'enaknya' dan senangnya kita mengerjakan ibadah umrah atau haji hari ini. Tidak seperti dahulu, bumi yang dipijak merupakan pasir dan batu-batu kerikil kecil di mana kita mengerjakan ibadah sa'i ini adalah agar kita dapat mengenangkan dan memikirkan betapa susahnya Siti Hajar isteri Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as berulang alik dari Bukit Marwah dan Bukit Safa sebanyak tujuh kali dalam usaha mencari air di bawah panas dan teriknya matahari.

Tidak cukup dengan keselesaan ini, di tepi-tepian disediakan pula puluhan tangki-tangki kecil berisi air zam-zam untuk para jemaah minum sekiranya kehausan.

Dalam keadaan umat Islam menunaikan ibadah umrah atau haji hari ini, di mana letaknya penghayatan seseorang itu ketika menunaikan rukun haji seperti ini. Dan saya tidak terperanjat jika sekiranya ada seseorang yang mengerjakan sa'i tidak tahu asal usul yang mewajibkan mereka mengerjakan rukun ini.

Beginilah dunia Islam hari ini. Serba serbi amat mudah sekali.

Namun demikian, dalam menguruskan perkara besar seperti ini oleh pihak Lembaga Tabung Haji, pasti akan timbul sedikit masalah yang saya percaya merupakan masalah terpencil. Manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Itulah sifat manusia yang lemah.

Kepada jemaah haji sekalian saya berdoa semuga akan selamat pergi dan selamat kembali serta mendapat haji mabrur.
Ini adalah tali pinggang haji yang dibeli pada tahun 1985.
Paten lama yang banyak lagi di pasaran.
Tali pinggang haji paten baru

2 ulasan:

  1. Selamat pergi dan kembali kepada semua jemaah haji dari Malaysia...taun ni boss saya pun salah sorang dr kalangan jemaah tersebut. Semoga semua dpt haji yg mabrur...

    BalasPadam
  2. segala2nya sudah mudah skrg ni.dengan kemudahan yang semakin bertambah.belum lagi di kira di tmpat penginapan semua =)

    teringin nak jadi tetamu di sana.ntah bila la agaknya berkesempatan ke sana..

    BalasPadam