Pengikut

Sabtu, 29 Januari 2011

Pasar Seni Kuala Lumpur

Pintu utama Pasar Seni Kuala Lumpur

Baru-baru ini saya berjalan-jalan ke Pasar Seni Kuala Lumpur menemani seseorang yang datang dari negeri seberang. Telah lama juga saya tidak ke Pasar Seni. Kali terakhir saya ke Pasar Seni mungkin telah lima tahun atau pun lebih.
Pintu masuk belakang.
Kaunter Pertanyaan

Kelihatan dalaman bangunan Pasar Seni ini amat bersih dan cantik. Begitu juga dengan kerani di kaunter pertanyaan. Sentiasa tersenyum melayan tetamu.
Deretan kiosk peniaga-peniaga.
Pelbagai barang dagangan dijual.
Seperti 'T' Shirt.
Baju Batik
Pakaian batik wanita.
Khat, jam perhiasan, serta perhiasan tradisional lain.
Layang-layang perrhiasan berbentuk wau juga ada dijual.
Medan Selera.
Medan selera terletak di tingkat atas. Bersih dan selesa. Harga makanan dan minuman juga tidak terlalu mahal.

Pandangan dari tingkat atas.
Hiasan Tanglong.
Hiasan bunga tiruan.


Di luar dan dalam bangunan dihiasi dengan hiasan kebudayaan Cina bersempena dengan Tahun Baru Cina yang akan disambut beberapa hari lagi.

'Check-Point'
Ini adalah 'check-point' untuk 'melepas hajat'. Untuk melepasi check point ini kena bayar 50 sen. Kelihatan bersih dan menarik. Bagaimana pula di dalamnya.

Sangat kreatif.
Cermin muka.
Cermin muka bersenikan akar kayu.



Lantai tandas.
Bidet
Sayangnya keadaan kebersihan tandas awam masih lagi pada tahap yang tidak memuaskan. Kebanyak rakyat Malaysia masih tidak terbiasa dengan tandas 'bidet'. Mereka masih lagi selesa dengan cara tradisional iaitu duduk bercangkong. Itulah sebabnya 'cover' mangkuk tandas pecah dan tiada kelihatan. 

Manakala mereka yang gemar merokok sambil 'melepas' pula tidak menjaga kebersihan dan membuang puntong rokok merata-rata. Bilakah rakyat Malaysia mahu sedar tentang sikap utamakan amalan kebersihan.

Surau lelaki.

Surau wanita.
Tempat ambil wuduk
Beginilah keadaan surau. Amat menyedihkan kerana tidak diberi perhatian khusus dalam penjagaan. Surau seperti ini diadakan hanya seperti 'melepaskan batuk di tangga' sahaja. Asalkan ada.

Surau kelihatan dari dalam.
Tiada ceria. Lampu juga rosak, tidak dibaiki.
Surau-surau ini pula terletak di 'rooftop'.
Inilah pengalaman dan pengamatan saya ketika berada sejenak di Pasar Seni Kuala Lumpur. Kebersihan dan keindahan hanya ditumpukan pada yang luaran. Pada yang boleh dilihat untuk mendapatkan kepujian dan sanjungan dari pelancong-pelancong asing.

Saya berharap pihak pengurusan Pasar Seni dapat memberikan sedikit perhatian kepada surau-surau di atas bangunan demi keselesaan dan kepentingan muslimin dan muslimat dalam menunaikan ibadat solat. Buatlah sesuatu itu dengan ikhlas dan sempurna.

Isnin, 24 Januari 2011

Komando Malaysia vs Lanun Somalia

Beberapa hari yang lalu ramai dari kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkatakan tentang kejayaan Pasukan Khas Laut (PASKAL) menawan semula kapal tangki MISC Bunga Laurel dan menumpaskan lanun-lanun Somalia.

Saya seperti juga pemimpin-pemimpin besar negara dan rakyat yang lain tidak ketinggalan ingin mengucapkan syabas dan BZ (istilah RMN bererti Well Done) kepada TLDM secara am dan kepada komando-komando yang menggempur lanun-lanun Somalia khasnya.

Keberanian mereka bertempur dan mempertaruhkan nyawa di dalam menggempur lanun-lanun itu tidak dapat dinafikan. Mereka memang wajar mendapat pujian dan seharusnya menjadi contoh kepada anggota-anggota tentera yang lain.

Justeru, setidak-tidaknya kini angkatan bersenjata negara ini tidak dipandang enteng dan rendah dari kacamata negara-negara jiran dan negara-negara lain keseluruhannya.

Izinkan saya membuat sedikit pembetulan di sini kerana saya dapati banyak pengucapan tahniah di akhbar-akhbar tempatan dan juga di kebanyakan blog ditujukan kepada PASKAL, sedangkan unit PASKAL merupakan salah satu daripada tiga unit tentera yang menganggotai 'Shipborne Protection Team'. Sila lihat dan baca keratan akhbar New Straits Times bertarikh 22hb Jan, 2011.

Keratan akhbar New Straits Times bertarikh 22hb Jan 2011.

Kekeliruan ini timbul mungkin kerana Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menjadi jurucakap bagi pihak Kementerian Pertahanan. Ini memang wajar kerana kejadian rampasan kapal berlaku di laut. Maka selayaknya Panglima Tentera Laut memberi kenyataan berkaitan operasi menyelamat.

Namun begitu, di dalam keghairahan kita berbangga-bangga dan memberi puji-pujian di atas kejayaan mereka, TLDM tidak seharusnya leka dan alpa terhadap pencapaian ini.

Saya berpendapat bahawa lanun-lanun Somalia itu pada umumnya bukan lawan mereka. Lanun-lanun Somalia itu hanyalah orang-orang awam yang tidak tahu akan taktik dan teknik bertempur berbanding pasukan komando Malaysia. Tambahan pula pasukan komando Malaysia dibantu oleh helikopter Fennec milik TLDM yang membedil kapal induk lanun agar tidak dapat memberi bantuan kepada rakan-rakan mereka di atas kapal Bunga Laurel.

Oleh yang demikian, pasukan komando Malaysia tidak seharusnya terbuai-buai dan alpa dengan puji-pujian yang diterima lantaran menyangka bahawa pasukan komando kita sudah cukup kuat dan hebat.

Ingatlah bahawa sekiranya kita menyangka bahawa kita sudah cukup kuat dan hebat, ketahuilah bahawa ada lagi yang lebih kuat dan hebat dari kita. Justeru, perhebatkanlah usaha dalam meningkatkan ketangkasan serta keupayaan kearah mendekati kesempurnaan.

Berhubung pendapat saya ini, anggaplah ianya sebagai satu komen yang positif dan membina. Saya tidak sekali-kali berniat untuk memperkecil-kecilkan kewibaan dan keberanian pasukan komando Malaysia dalam menjalankan misi ketenteraan.

Saya percaya tidak semua orang memiliki keberanian seperti yang dipamerkan oleh komando-komando Malaysia ketika  berdepan dengan musuh yang mungkin saja membuatkan mereka tewas. Hanya orang yang bersemangat kuat dan berjiwa kental sahaja yang berani berdepan situasi sebegini.

Sekali lagi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan syabas kepada mereka yang terlibat menewaskan lanun-lanun Somalia.

However, 'the real action has yet to be tested'.

Sabtu, 22 Januari 2011

Bell Tersayang

Bell
Ini kucing yang aku sayangi. Ia juga disayangi oleh isteri dan anak-anakku. Kami telah membelanya hampir dua tahun.

Tahun lepas pada bulan Ogos, Bell ketika bermain dengan seekor lagi kucing, Jess telah jatuh ditimpa sebuah pasu perhiasan yang agak besar. Kaki kanan belakang patah. Terkulai. Kebetulan kejadian itu berlaku pada malam hari Ahad. Semua klinik haiwan tutup. Kasihan aku melihat Bell dalam keadaan kesakitan. Bell hanya baring terperosok di tepi almari bukuku.

Esok hari isteri dan anakku membawa Bell ke klinik haiwan untuk menerima rawatan. Bell masuk 'wad' satu malam. Apabila kami datang untuk mengambil Bell kami dapati kakinya disimen untuk mengelakkan daripada banyak pergerakan.

Kini, Bell telah sembuh sepenuhnya. Bell dengan gembira lari ke sana dan ke sini. Tetapi agak malang kerana teman sepermainannya Jess telah mati.

Baru-baru ini tanpa aku sedari aku telah melanggar Jess yang berada di bawah kereta. Aku hanya sedari ketika aku terasa sesuatu tersangkut pada tayar sewaktu mengundurkan kereta.

Aku berasa sungguh sedih walaupun ianya hanya seekor kucing. Namun apakan daya ini telah ditakdirkan oleh Allah s.w.t.

Oleh itu saudara/i pembaca sekalian,berhati-hatilah di jalanraya dan di rumah. Malang tidak berbau.

Isnin, 17 Januari 2011

Lulus Ihsan

Di dalam entri saya bertajuk Merungkai Kisah Sebenar KD Sri Perak, saya ada menyatakan bahawa ketiga-tiga anak kapal yang hilang di dalam kejadian tenggelamnya KD Sri Perak tidak langsung berenang menuju ke pelampong penyelamat (liferaft) untuk menyelamatkan diri mereka.

Justeru, saya ingin bertanya, adakah terlintas di fikiran saudara/i pembaca sekalian mengapa mereka tidak berenang menuju ke 'liferaft' untuk selamatkan diri?

Sebenarnya telah lama saya ingin kaitkan hal ini namun saya bertangguh-tangguh kerana bimbang akan menyentuh atau mengguriskan perasaan ketiga-tiga keluarga mereka.

Walaupun demikian setelah difikirkan semula dan demi kebaikan pihak tertentu dan juga untuk pengetahuan umum, saya tidak teragak-agak untuk meluahkan pandangan yang tersimpan di fikiran saya ini. Itu pun sekiranya pihak TLDM mahu mengambil iktibar dari kejadian ini.

Jawaban kepada persoalan yang saya ungkitkan tadi tentang mengapa mereka tidak berenang menuju ke 'liferaft' ialah kerana mereka sebenarnya tidak pandai berenang. Atau pun lebih tepat saya katakan mereka tidak berkemahiran sepenuhnya untuk berenang.

Ramai kawan-kawan sepengambilan (intake) mereka menyatakan demikian. Perkara ini diberitahu setelah kami terselamat dari peristiwa itu.

Setelah lebih kurang dua bulan peristiwa itu berlalu, kami yang terselamat dipanggil oleh pengurusan KD Malaya (Lumut) untuk mengadakan pertemuan dengan waris dan kaum keluarga mangsa tersebut di Blok A2, Pangkalan TLDM Lumut.

Kami hanya dibenarkan bercerita tentang bagaimana mereka tertinggal dari kelompok kami, justeru tidak dapat diselamatkan. Kami semua difahamkan bahawa mereka bertiga memang tidak tahu berenang sebelum menyertai TLDM.

Sewaktu saya masih berkhidmat di dalam TLDM, sememangnya syarat untuk kenaikan pangkat ialah anggota mesti lulus ujian renang yang dikendalikan oleh PTI (Physical Training Instructor). Mereka yang tidak lulus berenang akan selama-lamanya tidak akan dinaikkan pangkat. Syarat ini juga digunapakai kepada pegawai-pegawai TLDM.

Namun, seseorang PTI yang mengendalikan ujian ini memang bersikap timbang rasa demi kebaikan dan masa depan anggota-anggota TLDM. Mereka yang kurang mahir berenang juga diberi kelonggaran dan diluluskan atas budi bicara PTI dengan ihsan.

Jikalau seseorang PTI itu bersikap tegas dan mengikuti peraturan tetap yang terkandung di dalam Tatacara Ujian Renang, pasti ramai tidak lulus dan akan terus berpangkat OD atau istilah sekarang Laskar Muda sehingga pencen. Untuk pegawai pula akan terus berpangkat Pegawai Kadet Kanan atau PKK.

Saya percaya ekoran daripada kelonggaran pihak berwajib mengendali dan meluluskan seseorang anggota itu di dalam ujian renang ini menyebabkan mereka hilang keyakinan dan gagal menyelamatkan diri apabila berlaku sesuatu kejadian buruk. Ketiadaan memantau secara telus dan tegas juga menjadi punca mengapa anak-anak kapal yang kurang berkemahiran berenang terlepas pandang dan terus ditugaskan ke kapal-kapal TLDM.

Sepanjang perkhidmatan saya di dalam TLDM selama 13 tahun, tidak sekalipun saya dan anggota-anggota lain diuji tentang kebolehan kami untuk berenang di laut oleh mana-mana pegawai atau pegawai-pegawai bahagian. Sepatutnya aktiviti ini harus dijadikan satu daripada sebahagian latihan rutin selain daripada latihan memadam api yang telah menjadi latihan harian yang membosankan.

Oleh yang demikian, pihak TLDM harus mencari jalan atau mekanisme di dalam memastikan semua anggota yang berkhidmat di kapal tahu dan mahir berenang. Pihak TLDM tidak harus hanya melihat pada fail peribadi anggota yang mencatatkan lulus pada ruangan renang sahaja. Mereka harus diuji dan dipastikan benar mereka berkebolehan berenang oleh Pegawai Bahagian masing-masing di kapal mereka berkhidmat.

Dengan cara ini mudah-mudahan kehilangan nyawa dapat diatasi jika sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini seumpama kejadian tenggelamnya KD Sri Perak.

Rabu, 12 Januari 2011

Operasi Tunda Kereta

Kelmarin, di pekan Greenwood aku melihat 4 buah kereta ditunda oleh 4 buah lori tunda DBKL.  Aku tertanya-tanya bagaimana lori DBKL boleh beroperasi di kawasan yang di bawah tadbiran Selangor. Tetapi, aku terfikir pula, mungkin kereta-kereta yang ditunda itu diambil dari Gombak kawasan tadbiran Wilayah Persekutuan.

Lori tunda DBKL menunda kereta awam di Greenwood.

Lori tunda DBKL menunda kereta awam di Greenwood.


Di sini aku ingin mengemukakan dua isu berkaitan operasi tunda kereta oleh penguatkuasa DBKL.

Pertama, yang sering dipertikaikan oleh orang ramai ialah tentang operasi berpilih-pilih. Yakni, kereta dari jenis 'biasa-biasa' begitu cepat dan pantas ditunda apabila diletakkan di tempat-tempat larangan atau di tepi-tepi jalanraya bergarisan kuning.

Namun, apabila kenderaan berjenama mewah seperti Mercedes, BMW, Jaguar atau apa sahaja yang kelihatan seperti dimiliki oleh orang-orang kenamaan (VVIP), penguatkuasa DBKL tidak sekali-kali berani untuk menarik atau menunda kenderaan tersebut.

Tambahan pula kalau terlihat ada pelekat Ahli Parlimen, Menteri, Timbalan Menteri atau PDRM pada kenderaan-kenderaan itu.

Kedua. Penguatkuasa DBKL juga berpilih-pilih dalam melaksanakan tempat operasi. Di kawasan-kawasan tumpuan seperti di Bukit Bintang, China Town, Brickfields atau Masjid India tidak sering dilaksanakan operasi tunda.

Sebabnya. Barangkali mereka takut kepada 'taiko-taiko' di tempat-tempat tersebut ATAU terlalu banyak kerja menunda membuat mereka malas hendak bekerja. Kawasan-kawasan seperti inilah yang sepatutnya dipantau dengan lebih kerap dan diambil tindakan yang sewajarnya terhadap pesalah trafik.

Mereka (pemilik kenderaan) meletakkan kenderaan sesuka hati sahaja menyebabkan berlaku kesesakan lalulintas. Justeru, menyusahkan pengguna jalanraya yang lain.

Sebaliknya, penguatkkuasa DBKL lebih gemar menjalankan operasi menunda kereta di tempat-tempat atau di jalanraya yang tidak sesak. Di tempat-tempat seperti ini, biarpun kenderaan diletakkan di tepi jalan namun ia tidak menyebabkan kesesakan jalanraya kerana jalan tersebut agak besar.

Oleh yang demikian, penguatkuasa DBKL harus tahu berbudibicara dan bertolak ansur dalam melaksanakan sesuatu tugas.

Mereka tidak seharus bersikap mementingkan diri sendiri dengan mencari kerja yang senang dan mudah sahaja.

Namun kepada pengguna jalanraya, mereka juga harus menghormati dan mengikuti peraturan jalanraya serta tidak meletakkan kenderaan mereka dengan sesuka hati.

Ahad, 9 Januari 2011

Ulasan Buku - Seteguh Tekad


Di dalam entri kali ini aku ingin membuat sedikit ulasan mengenai buku ini yang baru sahaja aku selesai membacanya.

Aku seorang yang mudah tersentuh. Tanpa dapat dikawal airmata cepat sahaja mengalir membasahi pipi apabila membaca, menonton TV atau mendengar drama radio tentang kisah-kisah yang menyentuh perasaan.

Buku ini adalah sebuah buku otobiografi tentang seorang pendidik yang senang sekali dipanggil dengan panggilan 'Cikgu'. Beliau ialah Prof. Datuk Dr Sidek Bin Baba. Sebut sahaja nama beliau, pasti ramai dari kalangan para akademik mengenalinya.

Aku secara peribadi telah beberapa kali bertemu dan berbual seketika dengan beliau.

Dewasa ini tidak ramai kanak-kanak yang mengalami kesusahan, kepayahan dan kesukaran untuk pergi dan balik bersekolah. Namun, penulis buku ini terpaksa berbasikal sejauh lebih 40 batu semata-mata untuk bersekolah demi masa hadapannya.

Penulis sungguh-sungguh bercekal hati dan tidak mengenal putus asa menempuh rintangan, halangan dan cabaran yang mendatang dalam mengejar cita-citanya.

Di sini aku nukilkan semula sedikit cebisan dari buku 'Seteguh Tekad' yang sungguh-sungguh menyentuh perasaanku sehingga tanpa aku sedari airmataku telah mengalir.

     "Ketika berada dalam tingkatan dua, aku benar-benar menghadapi cabaran getir. Ibuku jatuh sakit yang amat berat. Ayahku tidak dapat menumpukan perhatian membuat kerja-kerja sampingan. Bayaran tiket basku sering tertangguh. Konduktor bas sering mengugut untuk menurunkan penumpang di tengah jalan jika tidak mengambil tiket pada tempohnya. Setiap hari guru darjah akan menyebut namaku meminta yuran sekolah. Semua pandangan akan tertumpu kepadaku. Aku tunduk malu. Jiwaku berasa amat tertekan. Kesannya, pencapaianku di sekolah agak merosot.


Melihat ibuku yang terlantar sakit dan ayah yang sering batuk jerih, aku membuat keputusan untuk mengayuh basikal dari rumah ke sekolah. Jarak pergi balik lebih kurang 45 batu. Keputusan itu adalah keputusan yang amat berat untuk kuambil. Aku tidak mempunyai pilihan lain dan tidak pula mahu menyeksa ibu dan ayah. Kadang-kadang ibu menyebut supaya aku berhenti saja. Ayah juga begitu. aku hanya membisu, menahan rasa terharu.


Aku masih ingat suatu peristiwa yang amat pedih berlaku pada diriku di Tingkatan 2D. Sewaktu guru Matematik memulangkan semula buku-buku pelajar, dia memanggil namaku dengan kuat. Serentak itu, dia membaling buku Matematikku hingga terkena tepat pada batang hidungku.


Aku tersentak dan berasa amat malu. Aku tahu, banyak latihan yang aku salah buat. Masalahnya, aku tidak faham dan tidak tahu bagaimana hendak buat. Hendak bertanya pun, aku tidak tahu dengan siapa. Masing-masing melepaskan diri sendiri, apatah pula sikap guru yang terlalu garang membuat aku gerun untuk bertanya.


Lontaran buku itu diikuti dengan kata-kata 'Hey Sidek! You better go back to kampung, tanam kacang lagi baik!'


Sebahagian pelajar-pelajar ketawa kuat dengan jerkahan guru itu. Hatiku berasa amat sebak. Malu di hati tidak tertanggung rasanya. Mahu saja aku meraung sekuat hati mengenangkan nasib diri. Tapi aku tabahkan hati menahan sebak dan hanya tunduk menahan rasa."

Pada satu kisah yang lain pula, aku merasa geram dan marah apabila penulis diperlakukan dengan biadab dan tidak bersopan dalam soal siasat oleh pegawai polis dari PDRM ketika penulis ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Namun sikap sabar dan ingatan kepada Allah s.w.t. yang banyak telah membantu penulis dalam menghadapi segala cabaran ini. Perjuangan yang besar memerlukan pengorbanan yang besar juga. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

Buku ini sangat sesuai untuk dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Lebih-lebih lagi golongan pendidik agar tahu tatacara mendidik dan mendekati pelajar-pelajar bermasalah.

Untuk para pelajar pula, buku ini boleh dijadikan asas panduan agar sentiasa berusaha dan tidak mengenal erti putus asa dalam menghadapi pelbagai masalah kehidupan di dunia persekolahan.

Buat para ibu bapa, khusus yang masih muda, buku ini juga sesuai untuk dibaca supaya dapat mengambil contoh-contoh yang baik dalam mendidik anak-anak agar menjadi manusia yang berguna dan berjaya pada masa hadapan.

Buat diriku, aku senang sekali dapat mengenali penulis dengan lebih dekat melalui pembacaan buku ini.

Sabtu, 8 Januari 2011

Hari Ini Dalam Sejarah TLDM

Pada hari ini 8hb Jan, 1984, sebuah kapal TLDM (KD Sri Perak) telah tenggelam di Laut China Selatan berhampiran Kepulauan Natuna, Indonesia. Tiga daripada dua puluh sembilan anak-anak kapal telah hilang dipercayai mati.

Mereka ialah Lt Madya Mohd Fuad Bin Hj Isnin, Pegawai Kadet Kanan Mokhtar Bin Amir Nawi dan Laskar Kelas II Shaharuddin Bin Sharani.

Di dalam kitab 'Pintu-Pintu Kebahagiaan Dalam Sebab Musabab Kesyahidan' tulisan Imam Al-Qurthubi, beliau menyenaraikan Mati Tenggelam merupakan salah satu hal kematian yang membawa kepada kesyahidan sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. di dalam Shahih Bukhari yang diriwayatkan oleh sahabat Anas Bin Malik,

   'Syuhada ada lima, yakni orang yang mati terkena wabah kolera, disentri, tenggelam, tertimpa rumah runtuh dan syahid fi sabilillah'

Oleh yang demikian, pada pendapat saya mereka (3 yang hilang) termasuk di dalam kelompok Syuhada Akhirat, yakni orang yang mengambil ganjaran pahala syuhada di akhirat tetapi tidak diperlakukan sebagai orang yang mati syahid berperang melawan musuh Islam di medan pertempuran.

Dengan itu didoakan semuga Allah s.w.t. menempatkan mereka ke dalam golongan orang-orang yang diredhai dan mendapat kebahagiaan di akhirat kelak nanti.

Amin.....