Kami tiba di Itali pada penghujung bulan Sya'ban. Ini bererti umat Islam akan mulai mengerjakan ibadat puasa tidak lama lagi. Semua anggota-anggota beragama Islam mulai membuat persiapan membeli keperluan makanan dan minuman untuk berbuka dan bersahur.
Pada musim bunga waktu siang lebih panjang dari waktu malam. Jam 6.00 pagi hari sudah terang seperti jam 8.00 pagi waktu Malaysia. Manakala waktu berbuka pula sehingga jam 8.15 malam. Namun oleh kerana cuaca tidak panas, kami dapat bertahan berpuasa sehingga waktu berbuka.
Pada bulan puasa ini juga kami telah mulai berkursus mengenai radio komunikasi. Setiap pagi kami akan berjalan menuju ke satu stesen untuk berkumpul. Sebuah bas akan datang dan mengambil kami untuk pergi ke kelas yang terletak di Sarzana tidak jauh dari pejabat 'project team' MCMV.
Aku sebenarnya tidak pasti kursus apa yang kami ikuti. Di dalam kelas kami lebih banyak bersembang dari berkursus. Di dalam kelas yang disertai oleh ROs dan RMs terdiri dari pangkat Able Ratings sehingga Yeoman dan Chief Yeoman. 'Instructor' kelas pula seorang Perancis yang berperawakan 'lembut' bernama Mr Cirrillo.
 |
| Bergambar kenangan bersama Cirrillo |
Selesai kelas jam 4.00 petang, bas yang sama akan setia menanti kami untuk dibawa pulang ke stesen tempat di mana kami berkumpul pada pagi hari. Dari stesen ini kami berjalan pulang.
Setiap hari apabila kami hampir tiba di pintu pagar besar rumah, Reno akan menyalak menyambut kepulangan kami. Anjing ini sungguh jinak. Reno akan bermanja dengan kami seperti kucing kesayanganku Bell bermanja denganku. Kami tidak dapat berbuat apa-apa. Daljit dan Quek Chek Chai tentu sahaja tidak kisah. Kami ini sahaja yang terpaksa menyediakan tanah untuk disamak setiap kali terkena basahan Reno.
Di antara kami enam orang, Jamal pandai memasak. Oleh itu tugas memasak kami serahkan kepada Jamal. Aku hanya membantu sahaja. Aku suka buat air minum. Terutama minuman 'cappucino'. Ataupun aku membasuh pinggan dan mangkuk bila selesai makan.
Hampir setiap petang seorang peniaga ubi kentang akan melalui rumah kami dengan lorinya. Makanan kentang mulai menjadi kegemaran kami sebagai pengganti kepada makanan seperti keropok atau popia basah. Satu guni kecil hanya berharga 3000 lire ketika itu. Jika ditukarkan kepada wang Malaysia lebih kurang RM3.50 sen sahaja.
Aku masih ingat suatu petang Jamal memasak bubur pulut hitam untuk tetamu Papa Francesco yang datang dari Switzerland. Oleh kerana santan kelapa tidak ada (latte) susu kotak sebagai pengganti. Kami menjamu mereka dengan bubur pulut hitam. Sedap juga rasanya.
 |
| Bergambar kenangan bersama tetamu dari Switzerland dan Papa Francesco |
Menjelang malam setelah kepenatan aku dan Zainol sering berbual-bual kosong sebelum tidur. Kadang-kadang kami berbual-bual tentang pengalaman kami bertugas di kapal yang lalu. Atau kadang-kadang kami berbual juga tentang pengalaman bercinta. Dan berbagai-bagai kisah yang kami bualkan.
Aku pernah menceritakan kepadanya tentang pengalamanku ketika bercinta dengan kekasih pertamaku. Aku juga bercerita kepadanya bagaimana keadaan aku 'frust' menonggeng ketika pinanganku ditolak oleh ayahnya.
Insya'Allah aku akan ceritakan melalui blog ini tentang pengalamanku bercinta dengan kekasih pertamaku ini pada entri lain nanti. Tetapi untuk entri kali ini aku ingin menyambung semula tentang kisah aku, Lina dan Noriah serta lain-lain wanita yang pernah melintasi hidupku.
Setelah aku berterus terang kepada Lina bahawa aku ingin menumpukan perhatianku kepada pelajaran bagi mengambil peperiksaan SPM, Lina mulai faham ataupun terpaksa menerima hakikatnya bahawa aku tidak berhajat untuk serius dalam berhubung kasih dengannya. Namun begitu Lina masih menghubungiku melalui telefon sebagai kawan biasa. Dan aku seperti biasa juga menerima panggilan tersebut dan berbual-bual seperti biasa.
Hari berganti minggu aku meneruskan persekolahan malam di sekolah baru dan mendapat ramai teman baru. Baik lelaki mahupun perempuan. Aku berkawan dan bergaul seperti biasa. Tanpa aku sedari dua gadis suka padaku. Pada mulanya aku tidak tahu. Tetapi, ceritanya begini.
Suatu hari salah seorang gadis dari dua gadis tersebut bernama Hamimah ingin mengadakan majlis hari jadinya. Lalu dia menjemput kawan-kawan rapatnya serta Azizah dan seorang lagi gadis yang aku lupa akan namanya (Aku andaikan namanya Sarah) dan juga aku.
Beberapa hari sebelum hari jadi tersebut aku pernah berbual-bual kosong dengan Sarah. Sarah ada bertanya kepadaku pakaian apa yang aku suka lihat perempuan memakai. Aku memberitahunya bahawa aku suka melihat perempuan memakai pakaian kebaya.
Bila tiba hari tersebut, hari menyambut ulangtahun kelahiran Hamimah, aku tidak hadir. Sarah datang dengan pakaian kebayanya. Dia kelihatan gelisah, tidak dapat duduk diam seperti menantikan seseorang. Dia juga sering bertanya kepada Azizah apakah aku hadir atau tidak.
Begitu juga dengan keadaan Hamimah. Sering melihat ke arah luar pintu seperti menantikan seseorang yang belum tiba. Dia juga bertanya kepada kawan-kawan lain sama ada melihat aku atau tidak. Bertanya juga sama ada aku hadir atau tidak. Mereka berdua kelihatan sungguh kecewa.
Dalam pada itu perhubunganku dengan Noriah menjadi sepi. Aku telah cuba menghubunginya melalui telefon, namun sering gagal dapat bercakap dengannya. Kalau dapat pun hanya sebentar. Timbul pula keraguan di fikiranku tentang pendiriannya terhadap diriku. Apakah Noriah suka padaku atau pun sebaliknya. Apakah aku bertepuk sebelah tangan.
Lama juga aku tidak berhubungan dengan Noriah. Hampir dua bulan rasanya. Lalu aku pun andaikan bahawa, 'ahhhh....aku bertepuk sebelah tangan sahaja rupanya dan Noriah hanya berkawan biasa sahaja denganku'.
Sekali sekala Lina masih menghubungiku. Begitu juga dengan teman-teman sekelas aku seperti Azizah dan Sarah. Adakala apabila aku berbual dengan mereka menerusi telefon beberapa kali aku tersasul tersalah sebut nama mereka. Yeoman Sabaruddin yang duduk di hadapan meja tersengih ketawa kecil melihat gelagatku.
Walaupun begitu aku masih ceria. 'Hanya aku sahaja tersalah anggap tentang kemesraanku bersama Noriah'. fikirku.
'Kadang-kadang apabila aku sukakan seseorang perempuan, perempuan itu pulak tidak mahukan aku. Tapi .... bila ada seseorang perempuan suka padaku, aku pulak tak mahukan dia'. fikiranku jauh melayang.
Suatu hari ketika aku sedang berkerja di ofis kedengaran telefon berdering. Yeoman Sabaruddin yang menjadi 'in-charge' aku ketika itu pantas menjawab.
'Mail, markah kau telefon' ringkas sahaja Yeoman Sabaruddin memberitahuku. Aku segera menjawab panggilan tersebut.
'Hello.....' aku memulakan bicara.
'Hello..... abang.... ini Nor'. Noriah memperkenalkan dirinya.
Aku tergamam seketika. 'Hai Nor, Nor apa khabar?' aku menyahut.
'Nor baik. Abang apa khabar...' tanya Nor.
'Abang jugak baik', aku menjawab pertanyaan Nor.
'Abang kenapa tak telefon Nor lagi. Abang tak mahu kawan dengan Nor lagi ya....' Noriah bertanya.
Aku seperti terkelu untuk berkata. Aku hanya mendiamkan diri sahaja untuk seketika.
'Kenapa bang, kenapa abang tak telefon Nor lagi....?, Noriah mengulang-ulangi pertanyaannya itu. Dan aku sedar dari ucapannya itu Noriah sedang terisak menangis. Aku mengerti perempuan memang mudah mengalir air mata.
'Abang sibuklah Nor' aku seakan memberi alasan. Aku juga tidak tahu mengapa aku tidak respons dengan positif bahawa aku juga menanti panggilannya.
Perbualanku dengan Noriah agak singkat kerana dalam keadaan sedu tangisnya itu, Noriah meletakkan telefon. Barangkali kerana Noriah tidak mendapat jawapan yang positif dari aku. Itulah panggilan terakhir darinya yang aku masih ingat sehingga kini dalam keadaan menangis. Pada hakikatnya, aku juga sangat suka akan dirinya.
Setelah lama peristiwa ini berlalu aku merasa sangat menyesal kerana tidak menghubunginya semula untuk menjalinkan perhubungan baru.
Maka, setelah aku putus hubungan dengan Noriah sekali lagi aku menjadi kesepian, keseorangan. Masih lagi tercari-cari akan seseorang yang dapat mengisi kekosongan hati ini.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan. Masa beredar begitu pantas sekali. Kawan-kawan sepermainan di kampung seorang demi seorang telah mendirikan rumahtangga menjalani kehidupan berkeluarga. Begitu juga kawan-kawan dari seangkatan di dalam TLDM, seorang demi seorang menjalani penghidupan baru menjadi seorang suami dan seterusnya menjadi seorang ayah. Namun aku masih lagi bersendirian.
Sebagai jalan mudah, aku pernah menyuarakan hasrat hatiku kepada seorang wati TLDM untuk mengambilnya sebagai isteri. Namun, itu pun tidak berhasil. Beliau menolaknya dengan baik sekali. Aku menghormati keputusannya. Aku menjadi pasrah.
Namun, aku masih tetap menanti dan menanti sehingga aku dipertemukan dengan gadis yang bakal mengisi kekosongan hati ini. Masa berlalu sehinggalah aku mendapat arahan perintah bertukar dari Kementah ke kapal KD Sri Perak pada penghujung tahun 1983.
Nota: ROs - Radio Operator (Anggota Radio Komunikasi)
RMs - Radio Mechanic (Anggota Mekanik Radio)