Saya bukanlah seorang ahli agama yang pandai dan bijaksana. Ilmu yang saya miliki sangat sedikit dibandingkan dengan ilmu yang dimiliki oleh tokoh-tokoh agama di negara kita ini.
Namun saya terpanggil untuk mengajak membincangkan, memperhati dan menghalusi persoalan penting di dalam isu gelatin babi yang terdapat di dalam kopi sebuah premis perniagaan makanan dan minuman Kluang Rail Coffee Sdn Bhd di Johor baru-baru ini.
Persoalannya sejauh manakah pengetahuan kita bahawa gelatin babi itu adalah haram di sisi Islam. Sedari kecil dari peringkat awal persekolahan rendah kita diberitahu dan diajar bahawa memakan daging babi itu adalah haram di sisi Islam. Perkara ini memang jelas disebut di dalam Al Quran di beberapa surah seperti Surah Al-An'am, Ayat145, Surah Al-Baqarah, Ayat 173 dan Surah Al-Maidah, Ayat 3.
Saya ingin menarik perhatian pembaca sekalian untuk merujuk sebuah buku berjudul Penggunaan Bahan-Bahan Yang Haram & Najis Dalam Makanan & Ubat-Ubatan yang ditulis oleh Dr. Nazih Hammad dan diterjemahkan oleh Dr. Basri Bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari. Buku ini disunting oleh Noraine Abu.
![]() |
| Gambar Hiasan |
Sangat banyak perkara yang dibahaskan menerusi buku ini. Saya hanya sekadar ini memetik beberapa perkara yang bersangkut-paut dengan gelatin yang diambil dari zat babi.
Terlebih dahulu kita mesti mengerti akan qaedah fiqh bahawa segala sesuatu itu adalah suci dari sudut asalnya, sehinggalah didapati bukti yang menjelaskan sebaliknya. Oleh itu, halal mengguna dan mengambil manfaat dari sesuatu itu yang tidak disabitkan tegahan dan pengharamannya. Perkara ini diakui oleh majoriti ulama' dan tokoh-tokoh penganalisa (muhaqqiqin).
Di sebutkan juga di dalam buku ini bahawa satu resolusi dari Nadwah Fiqh Perubatan kali ke-8 anjuran Pertubuhan-Pertubuhan 'Ilmu-'Ilmu Perubatan Islam di Kuwait (Mei 1995) yang memutuskan:
Bahan-bahan makanan yangg dimasukkan lemak khinzir semasa pemprosesannya, tetapi ainnya tidak berubah seperti sesetengah jenama keju, minyak, minyak binatang, minyak sapi, sesetengah jenama biskut, choklat dan aiskrim, adalah haram dan tidak halal memakannya sama sekali, kerana mengambil-kira ijma' para ulama tentang kenajisan lemak khinzir dan tidak halal memakannya, ditambah pula tidak wujud keadaan dharurah yang mengharuskan mengambilnya.
Namun, apabila bahan dalam bentuk lemak itu telah berubah dan bertukar menjadi bahan lain, yang berbeza sama sekali dengan bahan sebelum itu dari segi nama, kriteria dan juga sifatnya sebagaimana teori Al-Istihalah maka ianya diperbolehkan.
Al-Istihalah membawa maksud perubahan hakikat sesuatu dengan cara hilangnya sebahagian atau keseluruhan konsepnya. Sesetengah ulama' fiqh mendefinasikannya sebagai perubahan tabiat dan sifat sesuatu.
Benda yang berubah itu telah menjadi benda lain yang berbeza dengan yang pertama, baik dari segi bentuk, rasa, bau, susunan kimia dan kriteria-kriteria fiziknya. Hukumnya berubah daripada haram kepada halal yang merupakan hukum asal kepada segala sesuatu, dan dari najis kepada suci yang juga merupakan hukum asal kepada sesuatu.
Berdasarkan istilah saintifik yang sering digunapakai, perubahan zat sesuatu merujuk kepada tindakbalas kimia yang merubah sesuatu bahan menjadi bahan lain iaitu seperti perubahan minyak dan lemak yang diperolehi daripada berbagai-bagai sumber, kepada sabun.
Ini diperkuatkan lagi dengan resolusi Nadwah Fiqh Perubatan kali ke-8 anjuran Pertubuhan Perubatan Islam di Kuwait (1995) yang menegaskan:
'Al-Istihalah yang melibatkan perubahan dari satu bahan kepada satu bahan yang lain, yang berbeza dengan bahan yang pertama dari segi sifat-sifatnya, merubah bahan-bahan najis atau terkena najis, kepada bahan-bahan yang suci dan merubah bahan-bahan yang diharamkan, kepada bahan-bahan yang diharuskan menggunakannya dari segi syara'. Berdasarkan hal ini, gelatin yang terbentuk dari perubahan tulang binatang yang najis, kulit, tulang lembut pada telinga, adalah suci dan halal dimakan'.
Saudara/i pembaca sekalian, sangat panjang sekali untuk membincangkan permasalahan ini.
Oleh yang demikian saya sarankan kepada pembaca sekalian agar cuba mendapatkan buku ini untuk dibaca dan difahami akan kandungannya. Agar kita semua menjadi orang yang bermaklumat dan menitik beratkan tentang beramal dengan berilmu.
Amat ketara dan besar jurangnya antara orang yang beramal dengan berilmu dibandingkan dengan orang yang beramal tanpa ilmu di sisi Allah s.w.t.
Adapun dengan memahami konsep ini bukan bererti kita memudah-mudahkan dalam mengerjakan perintah agama. Apa yang penting kita inginkan keredhaan Allah s.w.t. dalam kita beramal dan mengerjakan perintahNya.
Saya bersedia menerima sebarang tunjukajar dan kritikan membina dari para pembaca sekalian.
Wallahu 'alam











