Pada hari pertama aku merasakan tidak begitu bimbang kerana aku masih mempunyai sisa ubat-ubatan yang diberikan oleh pihak hospital HKL.
Aku ambil ubat-ubat tersebut. Namun masih tidak menampakkan kemajuan. Sakitnya datang dan pergi dalam beberapa waktu yang singkat. Ini membuatkan aku tidak selesa sepanjang waktu.
Di waktu malam apabila sakitnya datang. Aduh.........amatlah sakit. Aku tidak dapat gambarkan bagaimana sakitnya. Di ingatanku, aku cuba bandingkan penderitaan si ibu mengalami kesakitan apabila menjelang melahirkan anaknya. Tetapi, aku fikirkan.....
Oh, tidak. Mereka tentu merasakan lebih amat sakit dan diiringi pula dengan kepayahan mengandung anak yang dikandung.
Aku juga sempat memikirkan bagaimanalah keadaannya seseorang itu di akhirat nanti apabila disiksa oleh Allah s.w.t dengan perut mereka di isi dengan api sebagaimana terdapat di dalam Al-Quran,
"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah diturunkan oleh Allah, iaitu Al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari kiamat dan tidak mensucikan mereka dan bagi mereka siksa yang amat pedih" Surah Al-Baqarah, Ayat 174
Na'udzubillahi min dzalik.
Adakala datang juga pemikiran yang tidak diundang terjah di benak fikiranku. Mungkinkah sakit ini boleh membawaku pergi menemui Illahi.
Tetapi, selama hidupku aku belum pernah mendengar dari kalangan saudara mara, sahabat handai ataupun dari mana-mana sumber yang menyatakan ada orang mati kerana sakit perut. Walaupun tentunya ada. Tetapi aku belum mendengarnya.
Terus terang aku katakan bahawa aku masih belum bersedia untuk mati. Kerana amalku terlalu amat sedikit.
Memang benar dikatakan bahawa bukan amal penentu kebahagian seseorang itu di akhirat nanti. Ia bergantung kepada keredhaan dan kerahmatan Allah terhadap seseorang itu dengan amalan yang ikhlas dan tulus kerana Allah s.w.t.
Walaupun begitu, aku masih belum bersedia. Ini memandangkan aku masih mempunyai sisa hutang kepada sesuatu institusi dan juga sesaorang. Aku perlu lunasi hutang-hutang tersebut.
Setelah ubat-ubat yang kuambil hampir habis namun tidak juga berkurangan sakitku, aku ke Hospital Selayang pada hari Khamis (semalam) pada jam 5.00 ptg. Aku ke Hospital Selayang dan tidak ke HKL kerana pihak hospital ini memang telah mempunyai fail peribadiku di dalam sistem komputer mereka.
Setelah membuat pemeriksaan oleh doktor dan dilengkapi dengan 'x-ray', doktor memberitahuku bahawa ususku kotor. Lalu doktor memberi 2 preskripsi ubat untuk diambil di farmasi hospital.
Aku pulang ke rumah dan mengambil kedua-dua ubat tersebut. Namun sakitnya masih lagi dirasai. Beberapa kali aku memasuki bilik air. Perutku memulas seperti ingin buang angin dan buang air besar. Namun aku masih lagi tidak dapat buang angin dan membuang air besar. Sehingga jam 4.00 pagi aku memasuki ke bilik air dan hanya dapat membuang angin sahaja.
Aku kembali ke kamar tidur dan tanpa aku sedari aku tertidur sehingga jam 5.45 pagi, di mana aku tidak merasa sakit lagi dan dapat buang angin beberapa kali.
Aku dapat merasai selesa sehinggalah selesai solat Jumaat. Selesai solat aku merasai semula sakitnya seperti kembali semula sedikit demi sedikit sehingga kini. Cuma sakitnya datang dan pergi.
Walau apapun semua ini adalah dugaan Tuhan dan kita sebagai makhluknya hanya dapat berikhtiar dan bersabar. Insya'Allah setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati.
Coretanku kali ini hanyalah sebagai ingatan buat diriku sahaja. Manalah tahu sakitku ini menjadi satu penyakit yang serius akan datang. Oleh itu aku dapat mengimbas kembali bagaimana ianya bermula dan apakah ubat-ubatan yang diberikan oleh pihak hospital dapatku rujuk semula.











