"Ilham dan idea menulis novel remaja, Mencari Keredhaan Mu timbul di fikiran saya apabila tersiar berita-berita di akhbar tentang tenggelamnya kapal TLDM yang bernama KD Sri Perak di Laut China Selatan pada tahun 1984 yang menyebabkan kerugian yang tidak sedikit kepada TLDM. Saya berfikir kenapa kisah menarik ini tidak diceritakan kembali dalam bentuk novel kerana kisah-kisah yang melibatkan TLDM dan perjuangannya dalam bentuk novel belum banyak ditulis orang. Ini satu rahmat bagi saya".
| Buku berjudul 'Mencari Keredhaan Mu' |
![]() |
| Buku 'Proses Penciptaan Menulis Untuk Remaja' |
Buku ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di dalam tulisan jawi dan juga tulisan rumi.
Berikut ini aku petikkan sedikit karangan saudara Talib Samat pada muka surat 121sehingga 125 dari buku tersebut.
15. Tenggelamnya Sebuah Kapal
Leftenan Komander Osman cukup tahu kapal KD Sri Andaman ini telah banyak berjasa kepada angkatan laut. Kapal ini juga memainkan peranan penting dan pernah terlibat dalam pertempuran di laut ketika berlakunya konfrontasi dengan sebuah negara jiran yang mahu mengganyang ibunda tercinta.
Dia tahu kapal jenis ini mempunyai panjang 103 kaki dan menggunakan dua buah enjin jenis Siddely Matybach Diesel MD/655/18 dengan 35 550 kuasa kuda. Dia mengerti juga kapal ini dilengkapkan dengan dua buah meriam jenis 40 milimeter Bofor.
Kapal KD Sri Andaman terus belayar dengan gagah berani mengharungi samudera raya tanpa menghiraukan lambungan ombak ganas dan ancaman gelombang yang menimang pergerakan kapal itu. Betullah seperti kata orang, semasa kecil ditimang ibu ketika besar ditimang gelombang, getus Leftenan Komander Osman jauh di sudut hatinya.
Tiba-tiba kapal KD Sri Andaman mengalami kerosakan enjinnya yang sekali gus telah merosakkan alat-alat radar serta lain-lain alat perhubungan. Kapal itu seperti tidak boleh bergerak lagi. Pergerakannya semakin lama semakin perlahan.
Dalam masa yang sama kapal itu terbuai-buai tidak menentu dilanda ombak besar yang ganas dan arus deras. Keadaannya begitu dahsyat sekali. Tidak pernah terduga perkara ini akan berlaku. Walaupun musim tengkujuh telah lama berlalu tetapi mengapa ombak begitu tinggi menggunung. Malapetaka apakah ini?
Sekarang sepatutnya musim tenang. Ramalan-ramalan cuaca sebelum kapal ini berlepas dan membongkar sauhnya dari pangkalan membayangkan tiada gelora dahsyat akan terjadi.
Ombak besar Laut China Selatan yang berlaku secara mengejut itu mengakibatkan kerosakan besar yang telah membocorkan haluan kapal KD Sri Andaman yang malang itu. Air laut terus masuk mencurah-curah ke bahagian depan kapal tersebut. Kemasukan air itu tidak dapat dibendung lagi. Akhirnya airlah yang berkuasa. Sudahnya kapal itu hampir mencecah dada laut yang luas terbentang itu. Kedudukannya semakin senget beberapa ratus darjah.
Anak-anak kapal KD Sri Andaman betul-betul berada dalam keadaan yang mencemaskan dan mengerikan. Tidak dapat dibayangkan betapa rasa kecemasan, kecewa dan suara ketakutan anak-anak kapal ketika akan menghadapi maut yang masih belum menentu itu.
Sedangkan dada Laut China Selatan terbentang luas untuk menelan dan membaham mereka tanpa mengenal belas kasihan. Tiada siapa dapat meneka dan menentukan untung nasib mereka dalam saat-saat ngeri dan pisau maut merayau-rayau mencari mangsanya di laut yang bergelora itu.
Leftenan Komander Osman tidak panik dengan keadaan cemas yang berlaku.
"Aku mesti berusaha menyelamatkan orang-orangku. aku tidak mahu walau seorang pun rakan-rakan seperjuanganku terkorban atau karam di laut ganas ini," tekadnya sendirian.
Dia mengumpulkan semua anak-anak kapalnya ke bahagian anjung kapal tersebut untuk memberikan arahan terakhir sebelum perahu penyelamat diturunkan dan dilepaskan ke laut.
Walaupun dalam keadaan kapal yang sudah pasti akan tenggelam dan karam ditelan laut buas itu tetapi anak-anak kapal KD Sri Andaman masih mampu menahan rasa resah dan gelisah. Malah masih lagi terus berusaha bagi membolehkan kesemua mereka dapat menyelamatkan diri masing-masing dalam berkumpulan. Inilah satu-satunya cita-cita mereka kini. Tidak dua dan tidak tiga. Mereka mahu selamat dan diselamatkan. Inilah azam dan cita-cita maha unggul mereka sebagai sebuah keluarga kecil di dalam kapal yang ditimpa malang secara tiba-tiba itu.
Kapal KD Sri Andaman semakin lama semakin bertambah menderita akan tenggelam terus ditelan laut dalam. Satu demi satu perahu penyelamat dilepaskan dengan dinaiki oleh anak-anak kapal secara berkumpulan hingga habislah semuanya berjaya diturunkan.
Leftenan Komander Osman bersama-sama anak-anak kapal seperti Hisyamuddin, Bahrain, Abdul Razak dan Adnan merupakan kumpulan terakhir yang meninggalkan kapal itu, Kapal semakin lama semakin teruk keadaannya. Leftenan Komander Osman mahukan biarlah orang-orangnya betul-betul selamat barulah dia meninggalkan kapal yang kian karam itu.
Semua anak-anak kapal yang terjun ke laut telah diperintahkan memakai jaket keselamatan dan mesti berusaha menyelamatkan nyawa mereka yang sedang diambang maut itu. Harapan untuk selamat adalah tipis. Keputusan telah diambil mereka harus terjun ke laut.
Ketika masing-masing terapung-apung dalam perahu penyelamat mereka sempat menyaksikan kapal KD Sri Andaman tenggelam dan seterusnya hilang ditelan laut buas Laut China Selatan yang tidak mengenal siapa juga itu.
Untuk mengetahui jalan cerita sepenuhnya saudara/i boleh cuba dapatkan senaskah dari kedai buku Dewan Bahasa dan Pustaka.

