Pengikut

Khamis, 30 Jun 2011

Tamat Perkhidmatan

30hb Jun, 1990
Satu hari yang sukar dilupai
Hari terakhir aku menganggotai
Pasukan TLDM yang mencabari
13 tahun aku melayari
Begitu pantas masa menjauhi
21 tahun berlalu pergi
Hari ini kita lalui
Hari esok bakal mendatangi
Meninggalkan hari ini
Hari silih berganti
Datang dan pergi
Masa berlalu begitu pantas sekali
Sama ada sedari
Atau kurang pasti
Masa berlalu tidak akan kembali
Saat saat indah yang dilalui
Tidak juga akan kembali
Pengalaman pahit dan getir yang diharungi
Tidak juga menjelma lagi
Namun, semuanya diperingati
Ingatan yang pasti tidak bisa dilupai
Suka, duka, lucu, tersentuh, hiba, geram, marah dan benci
Semuanya dipusakai

Jumaat, 3 Jun 2011

TLDM Setelah Lebih 77 Tahun....

Usia TLDM yang telah menjangkau lebih 77 tahun merupakan satu usia yang agak relatif panjang dalam mengharungi segala bentuk pengalaman baik dalam soal pentadbiran mahu pun dalam soal membina satu armada yang kukuh dan kuat.

Di dalam entri terkini menerusi blog WN yang memetik dari sumber majalah Perajurit Edisi Apr 2011 ada memuatkan tulisan saudara Hamzah yang mengimbau sekilas tentang bermulanya penubuhan angkatan laut kecil yang terdiri daripada sekumpulan anak-anak muda melayu dengan sokongan penjajah Inggeris 77 tahun yang lampau. Dan sehingga kini menjadi satu angkatan laut yang besar dan sofistikated serta disegani oleh negara-negara di rantau ini.

Dalam usia yang panjang ini, berbagai pengalaman pahit dan getir dalam mempertahankan negara telah ditempa dan diharungi oleh anggota-anggota TLDM baik sebelum mahupun selepas negara mencapai kemerdekaan.

Buku Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia-
Penerima S.P. dan P.G.B.
Di dalam buku Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia - Penerima S.P dan P.G.B, aku dapati tidak seorang pun dari kalangan penerima Pingat Gagah Berani (PGB) terdiri daripada pegawai dan anggota LLP dari pasukan TLDM. Kebanyakan penerima terdiri dari pegawai dan anggota LLP dari unit Tentera Darat, PDRM dan juga TUDM.


Persoalannya. Apakah TLDM tidak terlibat di dalam perjuangan menentang musuh negara seperti PKM sewaktu insurgensi atau pun KKO sewaktu berkonfrontasi dengan negara jiran suatu ketika dahulu.

Masakan tidak terlibat. Cuba saudara/i klik ini dan baca kisah pengalaman salah seorang anggota TLDM ketika berjuang menentang musuh di samudera raya. Klik ini juga untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.


Setelah aku membaca buku ini, perjuangan pegawai dan anggota-anggota LLP dari unit Tentera Darat dan juga pasukan PDRM serta pasukan TUDM ianya hampir sama sahaja dengan pegawai dan anggota LLP dari pasukan TLDM, iaitu matlamat mempertahankan kedaulatan negara dengan penuh keberanian tanpa menghiraukan keselamatan diri. Mereka berjuang sehingga ke titisan darah terakhir sehingga terkorban, berpisah nyawa dari badan. Tidak kurang juga ada yang cedera parah dan kekal.

Aku tertanya-tanya apakah perjuangan anggota dari pasukan TLDM seperti itu tidak diketahui oleh pihak atasan atau apakah sejarah seperti itu tidak didokumentasikan dengan jujur dan tepat. Atau apakah pihak atasan khususnya pegawai-pegawai tinggi TLDM telah leka dengan pangkat yang disandang di bahu mereka. Begitu berat pangkat di bahu sehingga mereka tidak berdaya berdiri untuk mencari kebenaran dan terpaksa duduk di atas kerusi empuk di dalam bilik berhawa dingin.

Sekiranya pihak TLDM tidak mempunyai butiran-butiran yang tepat dan sahih mengenai sejarah yang dipertikaikan mengapa tidak berusaha dan berikhtiar untuk mencari dan bertanya serta membuat penyelidikan daripada bekas anggota-anggota TLDM yang masih hidup supaya boleh dibuat penyemakan terhadap dokumentasi yang bercanggah dan dipertikaikan. Inilah masanya untuk mencari kebenaran dan memperjelaskan segala pertikaian dan percanggahan.

Jika hendak seribu daya. Jika keberatan seribu alasan.

Sehingga kini hanya seorang sahaja pegawai TLDM dari cawangan PASKAL berjaya meninggikan martabat TLDM setelah menerima pingat kedua tertinggi ATM iaitu pingat Pingat Gagah Berani (PGB).

Pingat kebesaran yang tertinggi di dalam ATM ialah pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) yang telah dianugerahkan kepada seramai 25 orang yang aku ketahui termasuk Allahyarham Abdul Jalil bin Ibrahim seorang bekas Penolong Pengurus Bank Bumiputra Malaysia Berhad yang mati dibunuh di Hong Kong pada tahun 1983. Dan daripada 25 orang ini juga tiada seorang pun terdiri dari kalangan pegawai dan anggota LLP dari pasukan TLDM.

Ironinya, pingat-pingat S.P dan PGB itu sepatutnya dikhaskan kepada pegawai-pegawai dan anggota-anggota tentera dari lain-lain pangkat. Tetapi diberi kepada orang awam. Bukan aku pertikaikan penganugerahan pingat kepada Allahyarham Abdul Jalil itu. Tetapi yang membuat aku sedikit pelik ialah mengenai pingat S.P yang diberi itu.

Di sini aku petikkan sedikit apa yang diperkatakan oleh salah seorang penerima pingat PGB iaitu Lt Kol (B) Ismail Bin Ghows pada halaman 80 daripada buku ini,

"Di negara lain ujarnya, pingat keberanian hanya diberi kepada anggota tentera manakala pingat keberanian untuk polis dan awam adalah berlainan. Ini kerana tentera ditugaskan berperang dengan musuh yang juga merupakan anggota yang lengkap bersenjata".

Namun bagiku polis yang ditugaskan ke hutan menentang komunis di negara kita yang tercinta ini sama sahaja dengan anggota tentera. Oleh itu aku terima sekiranya anggota polis juga diberi pengiktirafan dan penganugerahan yang sama seperti anggota tentera. Tetapi bagi orang awam, mereka boleh diberi pingat yang lain dari pingat yang dikhaskan untuk anggota-anggota tentera sebagai pengiktirafan dan penganugerahan.

Pegawai TLDM yang menerima pingat PGB yang aku maksudkan itu ialah Kdr Anuar Bin Alias (pangkat terkini). Berikut aku paparkan sedikit latar belakang beliau yang diambil melalui wikipedia.

"PASKAL yang diketuai oleh Leftenan Komander Anuar bin Alias pernah terlibat dalam misi pengaman PBB di Angola iaitu UNIVEM II pada tahun 1998. Antara insiden yang melibatkan pasukan ini ialah ketika konvoi yang membawa bekalan dihantar ke kawasan bandar, unit PASKAL dan tentera Namibia yang terlibat telah diserang oleh lima orang puak pemberontak semasa dalam perjalanan. Seorang pemandu trak konvoi terkorban dan beberapa orang awam didalam kenderaan cedera. Komander Anuar dengan beraninya berjaya menghalau pemberontak tersebut daripada merampas bekalan sungguhpun beliau tidak bersenjata dan ia pasti membahayakan diri beliau. Keberanian beliau dalam misi ini menyebabkan beliau diangugerahkan dengan "Pingat Gagah Berani" oleh Yang DiPertuan Agung."

Aku kira wira-wira TLDM yang berjuang di era konfrontasi dan era menentang komunis tidak cukup untuk mereka digelar pahlawan kerana nyawa mereka hanya bernilai sebanyak gaji yang mereka terima setiap bulan. Tidak lebih dari itu. Biarpun nyawa mereka dilintasi peluru KKO yang tidak mengenal kawan atau lawan.

Inilah natijahnya wira-wira yang tak didendang dari pasukan TLDM.