Pengikut

Selasa, 26 Julai 2011

Renungan Buat Pasukan Keselamatan

Saudara/i sekalian, khusus buat anggota keselamatan berpakaian seragam. Sama ada dari pasukan polis, tentera darat, tentera udara dan juga tentera laut. Terutama buat mereka yang memiliki pangkat sama ada di bahu atau pun di lengan. Ikuti nasihat dan tazkirah menerusi catatan di sini.


Renung dan fikir serta bertindak untuk kebaikan bersama. Seperti yang dipesan oleh saidina Ali kwj, 'Jangan lihat siapa yang berkata, tetapi lihatlah apa yang diperkatakan'. Mudah-mudahan kita semua mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

Sesungguhnya kezaliman dalam bentuk fizikal mahu pun mental yang dilakukan oleh seseorang ke atas orang-orang bawahan itu menimbal-balik keatas pelakunya. Kerana mereka tidak menzalimi orang lain melainkan menzalimi diri sendiri apabila akan diminta bertanggung jawab atas perbuatannya itu di hadapan Allah azza wa jalla.

Sama-samalah kita renungi pandangan dan nasihat dari orang yang berilmu ini.

Selasa, 19 Julai 2011

Peranan IT dalam Arena Politik Malaysia


Tidak dapat dinafikan bahawa internet amat memainkan peranan yang penting di dalam kehidupan seharian hari ini. Internet juga merupakan gelanggang yang efektif di dalam perebutan kuasa. Baik melalui pilihanraya mahupun melalui demontrasi jalanan.

Kita dapat melihat apabila Barrack Obama mendapat undian yang banyak dan menjadi pilihan untuk memenangi piliharaya Presiden Amerika Syarikat menerusi penulisan atau dalam bentuk video melalui internet.

Kita juga dapat melihat bagaimana Presiden Mesir, Hosni Mubarak kecundang dan lari meninggalkan Mesir apabila rakyat keluar memberontak menggesanya berundur. Gelombang kebangkitan rakyat Mesir juga bermula daripada penghebahan maklumat melalui internet yang disampaikan melalui rangkaian yang membentuk kesatuan harapan rakyat.

Internet adalah sesuatu yang sukar dibendung dan bersifat 'infinite'. Ia boleh membentuk suatu komuniti di alam siber yang identiti mereka sukar dikesan. Ini yang membimbangkan kerajaan BN hari ini.


Para pengguna internet tahu di mana mereka boleh memperolehi maklumat yang diingini. Mereka boleh sahaja melayari Facebook, Twitter atau pun melalui Blog untuk mendapatkan sesuatu maklumat.

Walau bagaimana pun dalam kita mengecapi kebebasan ber'internet', kita sering tersasar dengan menyalahgunakan kemudahan ini. Di dalam kita menulis sesuatu tajuk atau memberi komen terhadap sesuatu perkara, kita sering leka dan alpa dalam menentukan kesahihan sesuatu fakta atau berita yang diterima.

Terdapat ratusan atau ribuan bloger Malaysia sama ada dari pro BN atau pro PR yang menulis menurut sesuka hati mereka tanpa meneliti kesahihan dan kebenaran sesuatu fakta. Adakala mereka menulis dengan gaya bahasa yang tidak sopan. Dan seringkali juga berbaur fitnah kalau tidak lucah. Namun apa yang ketara bloger pihak pembangkang amat mendominasi fenomena ini.

Terdapat juga tanda-tanda dimana keadaan seperti ini tidak terkawal di negara ini.

Justeru, BN juga telah 'melantik' beberapa orang bagi mengimbangi suara-suara pihak pembangkang dalam usaha membendung kelantangan mereka. Namun ternyata jawapan dan penafian dari pihak BN tidak begitu efektif. Ini mungkin kerana bantahan dan pandangan dari pihak pembangkang begitu meyakinkan dan bersifat membujuk. Begitu juga mereka yang di'lantik' ini tidak dapat mengakses internet sepanjang waktu justeru, mereka dapat ditundukkan oleh pihak pembangkang apabila diasak dan diserang.


Suatu 'trend' di mana sesetengah pengguna internet menyerang secara membabi buta di dalam suasana yang tidak rasional tanpa mengemukakan bukti dan fakta yang kukuh. Sikap ini amat sukar untuk diajak berbincang dengan suasana harmoni.

Rakyat Malaysia dari kalangan tua dan muda, di kota dan desa yang berkesempatan melayari dan memanfaatkan internet sebagai medium untuk berkomunikasi seharus berfikiran terbuka dan bersikap matang dalam menerima sesuatu isu untuk dibahaskan.

Namun pada akhiran perselisihan itu seharusnya kesucian agama dipeliharai, kecemerlangan dan kesatuan bangsa diperkukuhkan serta kemakmuran negara menjadi matlamat yang perlu direalisasikan.



Isnin, 18 Julai 2011

Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Malaysia di Britain


Tahukah anda bahawa terdapat lebih 20,000 rakyat Malaysia yang kini menjadi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Britain.  Ada di antara mereka telah menetap tanpa dokumen sah sehingga 15 tahun dan bekerja sebagai pencuci pinggan, tukang masak dan lain-lain pekerjaan yang tidak menentu.

Adalah dipercayai bahawa setiap bulan seramai lebih kurang 70 rakyat Malaysia telah tidak dibenarkan memasuki negara ini sebaik sahaja tiba di lapangan terbang. Mereka telah diarah meninggalkan segera negara tersebut kerana disyaki akan tinggal lebih lama lagi untuk bekerja tanpa dokumen sah.

Untuk maklumat lanjut sila klik di sini.


Mengapakah mereka ini sanggup tidak mahu pulang dan terus sahaja menetap di negara orang. Mereka bekerja walaupun tanpa mempunyai dokumen yang sah.

Hanya mereka sahaja ada jawapannya.

Ahad, 17 Julai 2011

Hukuman Pancung Kerajaan Arab Saudi

Algojo Arab Saudi - Gambar Hiasan

Kerajaan Arab Saudi telah melaksanakan hukuman pancung ke atas seorang lelaki Jumaat lalu (15hb Julai 2011) setelah didapati bersalah kerana memecah masuk rumah seorang wanita dan menyerang suaminya.

Lelaki itu kemudiannya menyerang pula wanita tersebut dan mengambil gambarnya dalam keadaan berbogel dengan tujuan memeras ugut untuk habuan seks.

Demikian menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Kerajaan Arab Saudi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar harian negara itu.

Di dalam kenyataan itu, tidak pula dijelaskan identiti lelaki berkenaan. Menurut kenyataan itu lagi, lelaki tersebut telah dipancung dengan satu tetakan.

Kesalahan membunuh, pengedaran dadah, merogol dan rompakan bersenjata boleh dikenakan hukuman bunuh dengan cara dipancung jika disabitkan kesalahan.

Associated Press memaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi telah melaksanakan hukuman pancung ke atas 31 orang sehingga kini dalam tahun ini.  Tahun lalu seramai 27 orang telah dihukum pancung.

Sumber: http://www.theaustralian.com.au/news/breaking-news/saudi-man-beheaded-man-for-attack-on-woman/story-fn3dxity-1226096012668

Sabtu, 16 Julai 2011

Luahan Pak Samad Said


Datuk A. Samad Said

Sungguh terasa hiba apabila membaca keluhan, rintihan serta harapan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said di dalam menempuh liku-liku ranjau perjalanan hidupnya sebagai seorang sasterawan yang memperjuangkan keyakinan menerusi seni penulisan khusus seni puisi.

Betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Sungguh orang lain tidak dapat mengerti, menyelami serta merasai isi hati dan pemikiran beliau. Hanya beliau sahaja yang arif akan apa yang diperjuangkannya.

Beliau kini enggan menerima mana-mana jemputan rasmi kerajaan termasuk membaca puisi dalam majlis anjuran mereka. Maklumat dipetik dari sumber ini.


Aku benar-benar simpati atas apa yang berlaku terhadap beliau. Namun aku melihat tindak tanduk beliau dalam menjauhi orang-orang dari kerajaan akan lebih menjauhkan beliau dari harapan agar mesej yang ingin disampaikan baik melalui penulisan artikel ataupun melalui pembacaan puisi dari didengari.

Aku berpendapat beliau tidak seharusnya berpendirian begitu. Bukan niatku untuk mengajar Pak Samad dalam menelusuri kehidupan ini. Pak Samad orang yang penuh berwibawa lagi bijaksana serta mempunyai pengalaman hidup yang amat luas dibandingkan dengan diriku.

Namun adakala manusia membuat kesilapan. Semua manusia melakukan khilaf. Tidak kira sama ada seseorang itu dari golongan ulama', orang berpendidikan tinggi atau orang biasa. Barangkali Pak Samad terlalu mengikutkan emosi membenci salahlaku pemimpin negara yang korup akhlak.

Terlalu banyak contoh-contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw serta sahabat-sabahat baginda dalam menangani manusia-manusia seperti ini dengan cara kebaikan. Allah swt juga menyebut di dalam Al Quran, "Dan tidaklah sama (darjat) kebaikan dan tidak (darjat) kejahatan. Tolaklah dengan cara yang lebih baik. Maka tiba-tiba orang yang diantaramu dan dia ada permusuhan itu, (jadilah) seolah-olah ia sabahat yang rapat", Surat Fushilat, Ayat 34.

Walau bagaimanapun, aku kagum dengan pegangan dan keyakinan yang diperjuangkan beliau. Aku yakin perjuangan yang luhur dan murni kerana Allah swt serta terbit dari hati yang ikhlas akan diperkenankan oleh Allah swt. Biarpun kemenangan itu barangkali tidak dapat dinikmati oleh si pejuang itu ketika hidupnya. Namun ianya akan dapat dinikmati oleh generasi akan datang. Insya'Allah.

Ahad, 10 Julai 2011

Bersih 2.0 - Sedikit Ulasan Pak Mail


Episod Perhimpunan Bersih 2.0 telah pun selesai. Dengan itu terciptalah satu lagi sejarah negara Malaysia. Aku tidak pasti sama ada sejarah hitam atau pun sejarah warna warni. Namun yang pasti warna kuning merupakan warna yang paling menonjol di dalam episod ini. Sehinggakan mereka yang memakai baju kuning ditegah dan ada pula di antara mereka ditahan oleh pihak polis.

Kedua-dua pihak mendakwa mereka menang. Menang moral.

PM Najib Tun Razak menyatakan bahawa Perhimpunan Bersih 2.0 kali ini gagal mencapai sasarannya untuk berkumpul dan berhimpun seramai 300,000 orang. Menerusi akhbar dan media letronik pro BN dengan penuh keyakinan mengatakan bahawa mereka (Kerajaan BN) mendapat sokongan dari berbagai pihak yang menentang perhimpunan ini. Pihak polis menyebut bilangan kedatangan mereka hanya sekitar 6,000 orang sahaja.

Hakikatnya dari apa yang aku lihat jumlah kehadiran penyokong baju kuning adalah puluhan ribu. Tidak keterlaluan juga aku katakan bahawa jumlahnya hampir mencecah 100,000 orang dari beberapa kumpulan di sana dan sini. Ternyata majoriti yang hadir adalah dari bangsa Melayu. Walaupun ada bangsa Cina dan India dalam jumlah yang kecil. Mereka ini juga adalah dari kalangan anak-anak muda belaka.

Oleh yang demikian PM Najib Tun Razak tidak boleh mendabik dada dengan menyatakan bahawa Kerajaan BN mendapat sokongan padu dari mereka yang tidak sertai perhimpunan itu. Kerana mereka yang tidak hadir belum pasti akan menyokong kerajaan BN. Mereka yang tidak sertai perhimpunan ini mempunyai pendapat dan pandangan yang berbeza. Barangkali mereka tidak suka keadaan negara menjadi huru hara yang melibatkan kesusahan kepada  ramai orang lain. Mereka lebih senang menanti sehingga tibanya hari mengundi di dalam Pilihanraya Umum yang ke 13 .

Walaupun demikian yang menjadi ketara adalah parti pembangkang yang berlindung disebalik Bersih, gabungan dari berbagai-bagai kumpulan NGO dalam menjayakan muslihat mereka. Mereka menjadi penyokong yang kuat sedari awal lagi dalam usaha ini sehingga semua ketua dari parti pembangkang ditahan oleh pihak polis. Tidak seperti Perhimpunan Bersih 1.0 pada tahun 2007 dimana wakil Bersih akhirnya berjaya menyerahkan memorandum kepada wakil Yang DiPertuan Agong biarpun disertai oleh ketua parti pembangkang pada saat-saat terakhir.

Bersih yang didakwa bersih tidak juga bersih dari aspek ini kerana Bersih sepatutnya didokong oleh mereka yang benar-benar 'neutral'.

Berikut adalah JawatanKuasa Bertindak Bersih 2.0

Dato’ Ambiga Sreenevasan, Chairperson
Andrew Khoo
Arumugam K.
Farouk Musa
Maria Chin Abdullah
Haris Ibrahim
Liau Koh Fah
Richard Y W Yeoh
Toh Kin Woon
Wong Chin Huat
Yeoh Yang Poh
Zaid Kamaruddin

Jumaat, 8 Julai 2011

KD Ledang (CMS) Dalam Kenangan - 2

Pegawai dan anak-anak kapal KD Ledang (CMS)

Gambar di atas adalah sebahagian daripada pegawai-pegawai dan anak-anak kapal KD Ledang bergambar untuk kenang-kenangan buat kali terakhir sebelum dilucutkan pengtauliahannya pada tanggal 11hb Okt 1979.

Gambar ini diberi pinjam kepadaku oleh LK1 KMR Zainuddin yang telah mengganti tempatku ketika aku ditukarkan ke Comcen KD Malaya, Woodlands.

Aku tidak dapat mengingati kesemua mereka di dalam gambar ini. Namun yang pasti aku ingati ialah Pegawai Memerintah yang duduk di tengah-tengah ia itu Lt Kdr Chan Mun Fook di apit oleh Lt Dya Ibrahim di sebelah kanan dan Lt Dya Rahman Husain di kiri beliau.

Juragan ialah CPO Hashim duduk di sebelah kiri pegawai kadet. Di sebelah kanan pegawai kadet pula ialah POEM Lim. Manakala duduk di kanan sekali ialah POME Lau Heng.

Aku difahamkan ada beberapa pegawai lain seperti Pegawai Laksana, Lt Ghazi Husin dan Pegawai Navigasi Lt Dya Wahid tidak turut serta bergambar. Begitu juga beberapa anak-anak kapal lain tidak turut bergambar bersama oleh kerana tuntutan kerja.

Terima kasih aku ucapkan kepada saudara Zainuddin kerana memberi kesempatan kepadaku untuk menyimpan gambar ini sebagai kenangan di dalam lipatan sejarah hidupku.

Khamis, 7 Julai 2011

Perhimpunan Gerak Aman

Siang tadi Panglima Hang Brahim, seorang panglima Pasir Mas yang 'perkasa' lagi 'berani' telah memohon permit untuk mengadakan perhimpunan Gerak Aman bertempat di Stadium Titiwangsa. Beliau membuat permohonan tersebut di Balai Polis Daerah Sentul.

Hang Brahim berkata perhimpunan ini bertujuan sebagai tindak balas memprotes perhimpunan haram Bersih 2.0 yang dipercayainya telah mendapat dana asing demi untuk mencemar nama baik negara Malaysia.

Dalam masa yang sama pihak polis telah mendapat perintah mahkamah bagi menghalang 91 orang dari Bersih, Perkasa dan juga Pemuda UMNO dari memasuki bandaraya Kuala Lumpur pada hari Sabtu ini. Nama Panglima Hang Brahim turut termasuk salah seorang dari 91 nama tersebut.

Aku melihat perhimpunan Gerak Aman yang ditaja oleh Hang Brahim ini hanya akan memburukkan lagi keadaan. Ianya langsung tidak memberi manfaat kepada orang ramai dan tidak juga menyumbang kepada kepentingan dan kebaikan negara.

Oleh itu aku merasakan wajar sekiranya pihak polis tidak meluluskan permohonan tersebut bagi membendung perkara yang tidak diingini berlaku.

Apakah saudara/i pembaca sekalian berpendapat bahawa Panglima Hang Brahim berani menampakkan dirinya di sekitar Kuala Lumpur pada 9hb Julai ini.

Kita tunggu dan lihat.

sumber: http://www.malaysiakini.com/news/169233

Selasa, 5 Julai 2011

Bersih 2.0

Hanya catatan ringkas sahaja untuk entri kali ini. Masih lagi mengenai isu Bersih 2.0 yang bakal berlangsung pada 9hb Julai ini.

Berita Radio jam 11.00 malam sebentar tadi memaklumkan bahawa Datuk S. Ambiga telah bersetuju membatalkan perhimpunan di jalanraya atas sebab keselamatan.

Anehnya beliau baru sedar tentang betapa pentingnya soal keselamatan biarpun banyak desakan diajukan oleh masyarakat kota dan luar kota kepada beliau agar membatalkan rancangannya untuk mengadakan perhimpunan Bersih 2.0 di jalanraya.

Sebelum ini tidakkah beliau terfikir tentang aspek keselamatan untuk menganjurkan perhimpunan tersebut.

Aku sekadar tertanya-tanya.....

Jumaat, 1 Julai 2011

Perhimpunan Bersih 2.0 - Sekadar Pandangan Peribadi

Dewasa ini ramai bercerita tentang Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadual diadakan pada 9hb Julai akan datang. Setiap hari akhbar harian tempatan mengulas mengenai isu ini. Begitu juga akhbar-akhbar parti pembangkang tidak ketinggalan menulis menurut persepsi dan pandangan mereka.

Setiap hari juga lapuran-lapuran polis dibuat oleh pihak-pihak tertentu dan juga pihak individu mengecam dan menentang hasrat pihak penganjur untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

Berbagai-bagai pandangan dan pendapat diberikan oleh pihak-pihak tertentu dan juga individu. Akhbar-akhbar tempatan banyak mengeluarkan pandangan yang menentang dan membantah perhimpunan yang tidak mendapat permit dari polis ini. Mereka tidak setuju perhimpunan ini diadakan kerana perhimpunan ini akan membuatkan pelbagai aktiviti harian masyarakat kota terganggu dan terjejas. Perhimpunan yang bakal disertai oleh ribuan warga tentu sekali akan mengganggu ketenteraman dan perjalanan aktiviti harian. Kesesakan jalanraya akan berlaku. Premis perniagaan akan ditutup kerana peniaga bimbang rusuhan akan berlaku. Anggota-anggota polis pula akan berada di serata tempat mengawasi keadaan. Ini akan membuatkan warga kota tidak selesa dengan kehadiran polis dan orang ramai yang menyertai perhimpunan tersebut.

Secara peribadi aku setuju dengan tuntutan lapan perkara pihak penganjur perhimpunan inginkan agar pilihan raya telus dan bersih tanpa sebarang penyelewengan, iaitu membersihkan senarai undi, reformasi kepada undi pos, guna dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Namun, aku tidak setuju perhimpunan seperti ini diadakan. Banyak sebab telah diberikan oleh pihak polis dan orang ramai demi menjaga kepentingan ketenteraman awam.

Di dalam Islam aku berpendapat bahawa seseorang muslim itu seharusnya mementingkan kepentingan orang lain melebihi dari kepentingan diri sendiri seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w.

"Sebaik-baik kamu itu ialah mereka yang banyak memberi manfaat kepada orang lain"

Oleh yang demikian, seseorang muslim itu tidak seharusnya terikut-ikut dengan perancangan yang dianjurkan oleh orang bukan Islam (Datuk S Ambiga) untuk berhimpun secara besar-besaran ini yang tentunya akan banyak membawa kepada pelbagai masalah kepada orang lain.

Dari aspek yang lain pula aku bimbang bahawa niat mereka yang turut menyertai perhimpunan itu akan 'dipesongkan' oleh syaithan laknatullah sekiranya mereka tidak betul-betul menjaga tatatertib dalam menyertai perhimpunan membantah dasar-dasar SPR dan kerajaan BN dalam mengendalikan pilihanraya.

Apa yang aku maksudkan 'dipesongkan' oleh syaithan laknatullah itu ialah mereka yang menyertai perhimpunan itu keluar dari rumah dengan sikap berbangga-bangga kononnya berjuang menentang kezaliman.

Tanpa disedari kita berbangga-bangga ketika menyertai perhimpunan ini disertai pula dengan berpakaian serba kuning dalam menunjukkan kesetiaan berjuang. Sikap berbangga-bangga ini yang sama sekali ditegah di dalam Islam seperti disebutkan di dalam Al-Quran,

"Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan kerana nanti kamu jadi lemah dan hilang kekuatan kamu. Dan sabarlah kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.

Dan janganlah kamu jadi seperti orang-orang yang keluar dari rumah-rumah mereka dengan sombong dan mahu menunjuk-nunjukkan kepada manusia serta menghalangi (manusia) dari jalan Allah kerana Allah mengetahui apa yang mereka kerjakan.

Dan ingatlah tatkala syaithan memperhiaskan kepada mereka amal-amal mereka dan berkata 'Tidak ada di antara manusia yang bisa mengalahkan kamu pada hari ini, dan sesungguhnya aku penolong kamu' ".        Surah Al Anfal, Ayat 46 - 48

Oleh itu, adalah lebih baik sebagai seorang muslim kita tidak menyertai perhimpunan yang bakal membawa kepada pelbagai masalah terhadap orang lain.

Bukanlah bermakna pendapatku ini aku menyebelahi kerajaan hari ini. Aku sedar kerajaan pimpinan BN telah banyak melukakan hati rakyat dengan banyak mementingkan kepentingan mereka melebihi dari kepentingan rakyat. Tidak perlulah aku huraikan lebih lanjut kerana umumnya rakyat mengetahui hal ini.

Sebagai hujjah dan nasihat terakhir di dalam entri kali ini aku sertakan satu lagi ayat Al-Quran sebagai panduan kita bersama.

"....... Oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu yang suka mendengar perkataan (yang baik) lalu menurut dengan sebaik-baiknya. Merekalah orang yang dipimpin oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang menpunyai akal fikiran".     Surah Az Zumar, ayat 17 dan 18