'Betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul'. Begitulah pepatah Melayu yang sering kita dengar, kita ungkap dan ucapkan kepada seseorang yang menerima musibah atau bencana. Lebih-lebih lagi yang melibatkan kematian orang yang disayangi buat selama-lamanya.
Waktu berbuka puasa petang tadi, aku, isteri serta anak-anakku terasa hiba sekali. Keceriaan ketika berbuka puasa seperti hari yang sudah-sudah tidak dapat lagi kami nikmati. Sekurang-kurangnya buat seketika waktu. Makanan yang enak terhidang hanya dapat dipandang. Suasana rebut merebut peha ayam atau kepak ayam oleh anak-anakku tidak lagi berlaku. Sebaliknya sedu dan tangis kecil yang kedengaran.
Kini baru aku mengetahui dengan sebenar erti kehilangan orang yang disayangi. Kini baru aku tahu betapa hiba, sedih dan pilu orang yang dikasihi tidak lagi berada di sisi buat selamanya.
Pagi tadi aku telah kehilangan seorang anak untuk selama-lamanya. Pergi yang tidak akan kembali lagi. Pergi untuk menemui penciptanya. Anak ketigaku Muhammad Shahir telah pulang ke rahmatullah.
Selama ini aku tidak pernah mengalami kehilangan orang yang hampir denganku kecuali ibuku. Namun kehilangan ibu dan anak dirasai amat berbeza.
Dari kecil sehingga usia meningkat remaja anak ini sentiasa berada di sisi. Anakku membesar di depan mata. Biarpun ketika usia remaja, sewaktu sakit, aku sendiri menghantar ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan.
Biarpun sewaktu usia awal belasan tahun, ketika anakku ini ingin bersukan bersama teman-temannya untuk bermain skateboard di Mont Kiara, aku sendiri menghantar dan menjemputnya.
Seringkali apabila aku pulang dari kerja, aku pasti akan bertanyakan kepada isteriku di mana anak-anakku. Baik dari anak yang sulung sehingga ke anak bongsu.
Kini semuanya hanya tinggal kenangan dan renongan kosong yang membawa kepada deraian air mata.
Aku akan sentiasa merindui mengingati anakku ini. Tanpanya di rumah, rumah seakan sepi. Tanpanya pudar seri rumah ini. Tanpanya aku tidak lagi dapat menyuruhnya ke kedai untuk membeli sesuatu untukku.
Tanpanya aku tidak lagi dapat bertanyakan kedudukan terkini bolasepak Liga Inggeris. Tanpanya aku pasrah kepada Rabbul Jalil.
Hari ini tanggal 27hb Ogos 2011 bersamaan 27 Ramadhan 1432, aku hanya dapat melihat anakku yang terbujur kaku untuk kali terakhir. Anakku diambil penciptanya ketika usianya 18 tahun 1 bulan dan 27 hari.
Aku dan isteri redha terhadapnya kerana dia anak yang baik dan mendengar kata. Redhanya Allah terhadap seseorang itu bergantung kepada redhanya ayah dan ibu terhadap seseorang itu.
Aku berdoa semuga Allah swt mencucuri rahmat anakku dan mengampuni segala dosanya.
Amin......
| Anakku |
