Pengikut

Selasa, 27 September 2011

Majlis Ramah Mesra Veteran ATM dan PDRM


Satu majlis ramah mesra Veteran ATM dari ketiga-tiga unit Angkatan Laut, Udara dan Darat serta PDRM akan diadakan esok 28hb Sep, 2011 di 'Heritage Club and Lounge, Royale Chulan Hotel, Jalan Conlay, Kuala Lumpur dengan tema "It's Now or Never - A Happy Hour",  bersempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Angkatan Tentera Malaysia mulai jam 2.00 ptg sehingga 7.00 mlm.

Untuk keterangan lanjut sila baca keratan akhbar NST hari ini (27hb Sep, 2011) yang telah dimuatnaikkan.
Keratan Akhbar NST

Saya difahamkan bahawa tiada bayaran dikenakan. Namun perbelanjaan makanan dan minuman adalah atas biaya sendiri.

Saya berpandangan majlis ini adalah satu usaha yang baik agar pesara-pesara dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dan veteran dari PDRM dapat berkenal-kenalan di antara satu sama lain sambil bertukar-tukar pandangan dalam apa jua aspek kehidupan.

Namun saya melihat bahawa tempat di mana perjumpaan ini diadakan hanya sesuai untuk mereka yang berkemampuan atau saya kategorikan orang kaya. Mana mungkin veteran dari kalangan LLP yang umumnya berpendapatan rendah bisa membayar minuman dan makanan yang tentu sekali harganya mahal di hotel bertaraf lima bintang.

Saya tidak tahu siapakah penganjur majlis ini. Mungkin penganjur adalah dari kalangan bekas pegawai-pegawai tinggi ATM dan adalah atas dasar inisiatif mereka sendiri.

Hanya sekadar pandangan.

Khamis, 22 September 2011

Prinsip Pak Mail

Saya amat tertarik dengan pandangan Saudara Dr Maza atau nama sebenar beliau Mohd Asri Bin Zainul Abidin, bekas mufti negeri Perlis di dalam laman sosial facebook beliau sebentar tadi. Lalu saya salin dan muatkan sekali pandangan beliau itu di bawah ini.

"‎..apabila kita menyokong beberapa idea kerajaan bukan bererti kita musuh pembangkang..apabila kita menyokong beberapa idea pembangkang bukan bererti kita musuh kerajaan..apabila kita mengkritik kerajaan bukan bererti kita bersetuju dengan pembangkang..demikian, apabila kita mengkritik pembangkang bukan bererti kita bersetuju dengan kerajaan..itu adalah hak rakyat yang merdeka untuk menilai sendiri setiap yang terjadi..kita mempunyai prinsip dan norma yang dipegang..parti politik bukan akidah, ia hanyalah saluran..boleh ditolak dan diterima..prinsip bukan berdasarkan parti, tetapi berdasar keyakinan terhadap asas keadilan dan amanah yang berteraskan wahyu..".
By: DrMAZA.com


Apa yang menarik perhatian saya ialah soal prinsip asas yang dikemukakan oleh beliau tentang sokongan seseorang itu terhadap sesuatu pandangan dan pemikiran dari mana-mana  pihak jua. Tidak kira sama ada dari pihak parti pembangkang ataupun parti pemerintah. Asal saja tindakan hasil dari buah pemikiran dan pandangan itu baik demi kemaslahatan orang ramai.

Saya tidak menafikan bahawa setiap orang mempunyai prinsip dan pendirian masing-masing dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Asal saja prinsip tersebut dapat memberi manfaat kepada diri mereka dan orang-orang di sekililingnya.

Firman Allah di dalam Al-Quran, surah Az-Zumar ayat 17 dan 18,

"........gembirakanlah (hai Muhammad) kepada hamba-hambaku yang suka mendengar perkataan (yang baik), lalu mengikuti apa yang paling terbaik diantaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal fikiran".

Oleh yang demikian, berpandukan ayat di atas jelas bahawa kita dituntut supaya mendengar dengan baik dan meneliti sesuatu permasalahan sebelum membuat keputusan untuk mengikuti mana-mana jua pandangan yang lebih baik di antara berbagai-bagai bentuk pandangan itu.

Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah swt dan mereka juga adalah manusia yang telah menggunakan akal fikiran mereka dengan sebaik-baiknya.

Selain berpandukan ayat dari firman Allah swt diatas, saya juga turut berpandukan sebuah lagi ayat yang dipetik dari Al-Quran, surah Al Hujurat ayat 6,

"Wahai orang-orang yang beriman. Jika datang kepadamu seorang fasik membawa sesuatu  berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".

Ayat ini pula saling bergantungan dengan ayat di dalam surah A-Zumar yang saya nukilkan di atas. Dalam pada menerima sesuatu berita yang disampaikan oleh seseorang itu, hendaknya kita perlu teliti dan selidiki, apakah benar yang dibawakan oleh penyampai berita itu tadi sebelum kita pula menyampaikan kepada orang lain.

Baru-baru ini, saya telah menghadiri satu majlis anjuran PAS iaitu 'Konvensyen Malaysia Negara Berkebajikan - Tawaran PAS" yang telah diadakan pada 10hb Sep, 2011.
Presiden dan Timb. Presiden PAS.
Presiden PAS sedang berucap.

Saya amat tertarik dengan ucapan yang disampaikan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Abdul Hadi Hj Awang yang banyak menyentuh tentang sejarah silam zaman pemerintahan Rasulullah saw yang berdasarkan contoh-contoh keperibadian Rasulullah saw dan sahabat-sahabatnya untuk dijadikan tauladan dalam memerintah sesebuah negara. Di dalam ucapannya, beliau tidak berucap dengan emosi serta berkata dengan perkataan yang tidak baik. Tidak seperti setengah-setengah penceramah politik yang secara jelas menghamburkan kata-kata kesat dan kata-kata tidak baik yang tidak wajar ditujukan terhadap orang lain.

Begitulah antara contoh sikap dan sifat yang perlu diterap oleh pemimpin-pemimpin baru PAS dari kalangan generasi masa kini. Mereka perlu mengambil contoh dari pemimpin-pemimpin PAS kalangan ulama' yang saya berpendapat amat tenang reaksi mereka sewaktu berhadapan sesuatu isu dalam memberi maklum balas.

Namun begitu, sebaik-baik contoh dan ikutan yang perlu kita mencontohi adalah dari Rasulullah saw sendiri seperti yang difirmankan oleh Allah swt di dalam Al-Quran. Jelas tanpa dapat dinafi dan dipertikaikan lagi.

Wallahu 'alam.

Khamis, 15 September 2011

Majlis Rumah Terbuka & Ramah Mesra AidilFitri Timbalan Menteri Pertahanan


Beberapa undangan majlis rumah terbuka bersempena sambutan Hari Raya AidilFitri telah saya terima. Semalam saya serta beberapa teman telah mengunjungi rumah terbuka yang diadakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan YB Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad di Putrajaya mulai jam 4.00 ptg sehingga 11.00 malam.

Kami tiba jam 9.00 malam dan disambut mesra oleh YB Datuk Dr. Abdul Latiff. Turut hadir di dalam majlis ini ialah Menteri Pertahanan YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd Zin, Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, orang-orang kenamaan lain serta warga kenalan beliau termasuk warga ATM.

Saya berkesempatan memperkenalkan diri saya kepada Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman yang satu ketika dahulu pernah bertugas bersama-sama di KD Hang Tuah pada tahun 1984/85 dibawah pemerintahan Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Hj Mohd Nor bekas Panglima Angkatan Tentera.

Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman berasa senang dan gembira kerana walaupun saya hanya sekadar bekas anggota TLDM yang berpangkat rendah sudi memperkenalkan diri dan berbual-bual dengannya. Lantas beliau menyampaikan pesanan sekiranya sesiapa jua bekas anggota TLDM yang menemui beliau tidak merasa rendah diri untuk memperkenalkan diri kepadanya.
Sebahagian daripada tetamu jemputan.

Tetamu sedang menjamu hidangan.
Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang menyampaikan 'duit hari
raya' kepada anak-anak.
Datuk Abdul Latiff Ahmad (kiri)sedang memerhatikan acara
penyampaian duit hari raya kepada anak-anak.
Majlis ini juga diserikan dengan kehadiran artis jemputan saudara Jamal Abdillah yang telah menyumbangkan beberapa lagu kegemaran ramai. Anak-anak muda dari kalangan lelaki dan wanita juga kelihatan tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengannya.
Jamal Abdillah bersama YB Datuk Timb. Menteri dan isteri.
(Maaf gambar tidak baik)
Sebelum pulang kami sempat mengambil beberapa keping gambar bersama YB Timbalan Menteri sebagai kenang-kenangan.
Bergambar bersama YB Timb. Menteri Pertahanan dan teman.
Gambar ini ehsan dari Helang Rimba @ bertiwi.blogspot.com
Dengan berakhirnya majlis ini, semuga YB Timbalan Menteri dan seisi keluarga diberkati Allah swt hendaknya.

Isnin, 12 September 2011

Malaysia Tidak Pernah Dijajah!!!


Dalam kesibukan kakitangan pegawai-pegawai kerajaan menjalankan upacara raptai untuk menyambut hari kemerdekaan beberapa hari lagi, timbul pula isu baru yang sama sekali tidak pernah terlintas dan difikirkan oleh rakyat Malaysia sebelum ini iaitu kenyataan jurucakap Majlis Professor Negara (MPN) Professor Datuk Dr Zainal Kling bahawa negara kita tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa asing terutama Inggeris.

Kenyataan ini adalah ekoran dari pandangan dan hasrat Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu yang ingin memperbetulkan teks sejarah kemerdekaan Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih kuasa Putrajaya.

Ramai orang dari pelbagai pihak terpinga-pinga. Lantas mereka inginkan penjelasan berhubung kenyataan MPN itu.

PAS melalui Ketua Penerangannya Datuk Tuan Ibarahim Tuan Man turut meminta pendirian dari Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri yang mentadbir kerajaan pusat dalam isu ini.

Sekalian rakyat Malaysia yang mengikuti rentetan perkembangan isu yang dikemukakan oleh Mat Sabu tentu tertanya-tanya dari sumber mana MPN ambil ketika mengeluarkan kenyataan tersebut.

Saya tidak tahu dari sumber mana MPN ambil. Tetapi saya juga membuat sedikit pencarian mengenai isu ini.

Kebetulan saya mempunyai sebuah buku berjudul 'A History of Malaysia' yang ditulis oleh Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya yang diterbitkan oleh University of Hawaii Press, Honolulu menerusi edisi kedua yang dicetak pada tahun 2001.
Buku 'A History of Malaysia'

Pada 'chapter' 6, The Functioning of a Colonial Society, 1919 - 1941. Halaman 210 pada perenggan pertama di dalam buku ini ada ditulis,

'By 1919 the entire Malay Peninsula had come under some kind of British control.'

Pada perenggan kedua pula ada ditulis,

'With the conflicts of the nineteenth century behind them, the British justification that they were simply 'advising' the rulers helped to disavow discussions of political change. As late as 1927 a seasoned colonial like Hugh Clifford, the first Agent in Pahang, declared that "no mandate has ever been extended to us by Rajas, Chiefs or People to vary the system of government".

Apakah mungkin berdasarkan justifikasi Inggeris yang bertindak sebagai 'Penasihat' dalam soal-soal hubungkait politik dan kenyataan pembesar Inggeris Hugh Clifford yang mengisytiharkan bahawa mereka (Inggeris) tidak diberi mandat untuk merubah sistem kerajaan sedia ada oleh semua sultan, pembesar-pembesar dan rakyat sekalian dijadikan sandaran MPN dalam menyatakan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah.

Dan pada ayat yang mempunyai kata-kata 'had come under some kind of British control' ini juga membuat saya tertanya-tanya. Penguasaan bagaimanakah yang dimaksudkan itu. Sekiranya ianya suatu penguasaan mutlak atau jajahan mutlak tentu ianya akan ditulis tanpa selindung seperti 'had come under British control'. Tidak perlu lagi perkataan 'some kind'.

Namun hakikatnya pada pandangan saya negara ini tetap dijajah oleh Inggeris. Kenyataan dari pembesar Inggeris itu hanyalah berupa kenyataan retorik semata-mata. Sememangnya telah menjadi dasar Inggeris untuk menjajah negara-negara yang lemah dengan slogan mereka 'Rule and Divide'.

Sekadar pandangan sahaja.

Sabtu, 10 September 2011

Wira-Wira Mat Sabu


Dewasa ini senario politik negara kita dihiasi dengan pertikaman lidah, pendapat dan pandangan ramai warga tempatan dari berbagai lapisan masyarakat tentang Mat Indera, salah seorang ketua Parti Komunis Malaya (PKM) dari bangsa Melayu yang menyerang balai polis di Bukit Kepong pada 23hb Feb, 1950.

Kenyataan Mat Sabu, Timbalan Presidan PAS telah banyak membangkitkan rasa tidak senang dari berbagai pihak, terutama dari kalangan bekas-bekas anggota pasukan keselamatan dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung ketika menentang ancaman dari PKM suatu ketika dahulu.

Berikutan itu banyak lapuran polis telah dibuat terhadap kenyataan Mat Sabu yang dianggap tidak wajar dan memperkecilkan perjuangan mereka yang terkorban di Bukit Kepong. Sebagai rujukan saya salinkan semula petikan ucapan Mat Sabu ketika berucap pada 21hb Ogos yang lalu.

"...........Bukit Kepong, polis itu polis British, hak serang Bukit Kepong tulah pegawai kerajaan, ketuanya  Mat Indera, melayu, tetapi semua sejarah itu ditutup, Jins Samsuddin buat filem, Jins Samsuddin tu UMNO, cerita Bukit Kepong, hak serang balai polis tu penjahat, polis tu polis British, sebelum merdeka negara kita diperintah oleh British, tapi dia buat filem yang hero hak pertahan balai polis, hak serang tu pengganas, padahal Mat Indera ketua penyerang balai polis tu dan akhirnya dia dihukum gantung di Jering, Taiping, begitulah juga Tok Janggut, Tok Janggut ni lawan British, tapi sebelum British nak....nak bunuh dia, dia menghasut Sultan Kelantan untuk mengishtiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka, bila isytihar Tok Janggut sebagai penderhaka, barulah Tok Janggut dihukum gantung di Pasir Puteh, Kelantan. Semua sejarah negara kita bohong...."

Dari sudut pandangan saya, biarpun kenyataan ini bersifat pasif, namun kenyataan ini jelas menjuruskan kepada menyokong tindakan Mat Indera dan melabelkan beliau sebagai wira di dalam peristiwa berdarah ini. Mat Sabu dengan jelas juga menggambarkan bahawa polis yang mempertahankan balai polis Bukit Kepong sebagai polis Inggeris, justeru adalah musuh sebenar orang-orang melayu. Walaupun mereka (polis Inggeris) adalah orang-orang melayu yang beragama Islam.

Mat Sabu sedikit pun tidak terkesan perasaan hiba tentang bagaimana Mat Indera dan orang-orangnya dengan tanpa belas membakar balai dan berek kelamin serta mencampakkan mereka yang cedera dan mati ke dalam api. Mat Sabu sedikit pun tidak peka dan sensitif terhadap waris-waris peristiwa Bukit Kepong yang berjuang mempertahankan balai tersebut bersama sebilangan anggota yang kecil berbanding bilangan anggota-anggota Mat Indera seramai 200 orang. Beginilah antara sifat Mat Indera, wira Mat Sabu.

Di dalam buku 'Memoir Suriani Abdullah - Setengah Abad Dalam Perjuangan', pada halaman 164, Suriani Abdullah telah menuliskan sedikit peristiwa detik menjelang hukuman gantung terhadap Mat Indera.
Buku 'Memoir Suriani Abdullah'

Suriani Abdullah adalah salah seorang ketua PKM dari kalangan wanita yang berjuang dari mulai terbentuknya PKM sehingga pembubaran parti itu pada tahun 1989. Suriani Abdullah berbangsa Tionghua dengan nama asalnya Eng Ming Ching. Suriani Abdullah juga adalah isteri kepada Abdullah CD, salah seorang ketua PKM dari kalangan orang-orang Melayu seperti Rashid Maidin, Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh dan lain-lain.

Berikut adalah tulisan Suriani Abdullah detik menjelang kematian Mat Indera di tali gantung.

".........Mat Indera, salah seorang pemimpin Rejimen Ke-10 dari Johor, di hadapan mahkamah musuh, air mukanya tak berubah, hatinya tak berdebar, beribu-ribu massa datang menyampaikan rasa simpati kepadanya. Di tiang gantungan, pahlawan melantangkan Lagu Internasional dan memekikkan slogan militan 'Hidup Parti Komunis Malaya Yang Mulia!, Kemenangan akhir pasti milik kita'..........".

Beginilah antara sifat Mat Indera, wira Mat Sabu.

Pada pejuang-pejuang PKM yang lain Suriani juga menulis bahawa,

"........Pahlawan Nordin dari Pahang ketika ditangkap oleh musuh, tak termakan oleh pujukan dan tak takut seksaan musuh. Di depan tali gantungan, ia telah melantangkan kata-kata yang paling indah dan paling perkasa: 'Revolusi pasti menang', Hidup Parti Komunis Malaya'.......".

"........Srikandi Asiah dari Pahang yang patah paha ditangkap musuh telah membentak musuh dan menolak diusung keluar. 'Bebas atau mati'. Kawan Asiah mencabar musuh. Akhirnya ia terkorban dalam teriakan slogan yang lantang, 'Hidup Revolusi', 'Hidup Parti Komunis Malaya'.......".

Inilah antara wira dan srikandi Mat Sabu yang akhir kematiannya lantang mengagongkan fahaman komunisme yang didasari fahaman 'Manifesto Komunis Karl Marx', seorang berketurunan Yahudi.

Pada pandangan saya, Allahyarham Presiden Saddam Hussain jauh lebih mulia dari mereka ini yang akhir kematiannya di tali gantung dengan teriakan 'Allahu Akbar' sebelum nyawa putus dari badan.

Walau bagaimana pun, semuga Allah swt merahmati dan mengampuni semua umat Islam yang telah pergi terlebih dahulu daripada kita.

Memang ada kebenaran juga apa yang dikatakan oleh jurucakap parti PAS Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengemukakan lapan perkara mempertahankan kenyataan Mat Sabu kelmarin. Beliau berkata bahawa, '"Kita juga harus bersangka baik ketika menilai status Mat Indera, sedangkan kita tidak mengetahui sejauhmana tuduhan itu betul dan pada masa yang sama beliau tidak dapat membela dirinya. "Mungkin di saat kehidupannya, beliau ada melakukan kesilapan sebagai manusia biasa, namun kita dituntut baik sangka kepada beliau, mungkin dalam tempoh tahanan beliau telah bertaubat dan memohon keampunan dari Allah, apatah lagi beberapa maklumat penjaga kubur memberikan gambaran baik terhadap beliau,".

Namun, penegasan parti PAS dalam mengiktiraf Mat Indera sebagai 'hero' dalam peristiwa Bukit Kepong adalah sesuatu yang janggal dan sukar diterima masyarakat. Bagaimana seorang 'hero' tergamak memperlakukan kekejaman terhadap mayat dan mereka yang cedera dengan melontar mereka ke dalam api.

Seorang wira seharusnya memiliki ciri-ciri sifat yang berani, tegas, bijak dan berhemah serta juga sifat belas ihsan terhadap mereka yang lemah dalam ertikata tidak berkeupayaan lagi. Tetapi 'hero' Mat Sabu memiliki ciri-ciri yang berani tetapi tidak berperasaan belas ihsan terhadap yang lemah.

Pendek kata, walau apa pun penjelasan serta pandangan dalam menangkis pengiktirafan Mat Indera sebagai wira oleh PAS akan dipandang remeh dan tidak relevan. Biarpun pandangan itu datangnya dari ahli sejarah yang ternama atau ahli politik sama ada dari parti lawan dan kawan.

Sumber:
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/9/9/mstar_berita/20110909181627&sec=mstar_berita

http://ms.wikipedia.org/wiki/Peristiwa_Bukit_Kepong