Pengikut

Sabtu, 15 Oktober 2011

Sesi Temubual Kajian Keperluan Maklumat Koleksi PNM 2011

Sesi Temubual
Saya berada di Perpustakaan Negara di bahagian pinjaman buku apabila seorang gadis menegur saya dan meminta jasa baik saya sebagai pengguna untuk ditemubual mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan sistem perpustakaan ini.

Dengan senang hati saya bersetuju dan beliau meminta saya pergi ke sebuah dewan di tingkat 4.

Sewaktu saya tiba di dewan tersebut terdapat satu kumpulan kecil terdiri daripada lima orang sedang berdiskusi. Mereka adalah dari kumpulan pertama yang ditemubual oleh seorang pegawai dari Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM hari ini.

Setelah kumpulan pertama selesai ditemubual, saya berserta seorang lagi tetamu dijemput pula oleh saudara Zailan yang bertindak sebagai moderator untuk mengambil tempat bagi tujuan memberi pandangan dalam hal-hal berkaitan perkhidmatan Perpustakaan Negara kepada orang ramai.
Sesi temubual sedang rancak dibincangkan.
Sesi temubual ini berjalan hampir satu jam tanpa begitu dirasai. Masa berlalu begitu cepat sekali. Namun kami masih dapat berbincang mencakupi banyak perkara seperti jumlah koleksi buku, keseimbangan buku-buku ilmiah dan buku fiksyen, masalah kekurangan mesin pendua dan pelbagai isu lain demi kemudahan dan keselesaan pengunjung. Biarpun perbincangan tersebut tidak dapat dibincangkan secara meluas dan mendalam atas faktor masa yang tidak mengizinkan.

Namun satu perkara yang sempat saya sampaikan adalah mengenai ketiadaan satu seksyen rak buku yang khusus mengenai/berkaitan ketenteraan. Setelah sekian lama saya menjadi ahli perpustakaan seawal dari ketika Perpustakaan Negara ini masih lagi terletak di Wisma Tharkudas, Jalan Raja Laut, saya tidak pernah melihat seksyen rak buku yang menempatkan buku-buku berkaitan ketenteraan.

Jika sekiranya pun ada buku-buku genre sebegini mungkin ia terletak dan tersusun rapi bersama-sama kepelbagaian genre yang lain. Ini menyebabkan buku-buku ini terlepas pandang.

Saya berpendapat sekiranya apa sahaja buku-buku yang berkaitan dengan ketenteraan dapat diadakan untuk bacaan dan pinjaman kepada pengunjung khususnya bagi anak-anak muda, ianya sedikit sebanyak dapat menarik minat mereka untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kerjaya ketenteraan. Justeru dengan mendedahkan kepada mereka kerjaya ketenteraan melalui buku-buku ilmiah dan/atau fiksyen dapat menggalakkan mereka untuk menyertai pasukan keselamatan dari  ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu angkatan laut, udara dan juga darat.

Dengan cara ini pihak pengurusan Perpustakaan Negara juga dapat berperanan dalam memberi penerangan dan maklumat melalui bahan-bahan bacaan dan secara tidak langsung menjinakkan anak-anak muda dari pelbagai kaum untuk menerokai profesyen yang masih menghantui kaum bukan bumiputra untuk menyertainya. Di samping itu pihak pengurusan Perpustakaan Negara juga dapat membantu Kementerian Pertahanan dalam usaha mempromosi dan mengajak generasi baru menyertai Angkatan Tentera Malaysia.

Oleh yang demikan, saya berharap pihak pengurusan Perpustakaan Negara dapat mendengar atau melihat pandangan saya yang kerdil ini demi kebaikan agama, bangsa dan negara.
Sedikit jamuan untuk tetamu jemputan.
Cenderahati untuk tetamu jemputan.

Rabu, 12 Oktober 2011

Kapal TLDM dijadikan tukun tiruan


Sebuah kapal perang yang suatu ketika dahulu pernah berkhidmat di dalam Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) telah ditenggelamkan di satu kawasan terumbu karang yang terkenal dengan nama Sawadi, Kampung Tekek, Pulau Tioman untuk dijadikan tukun tiruan minggu lalu.

Sila klik di sini untuk maklumat selanjutnya.


Saya tidak tahu kapal apakah itu.

Namun, kapal yang dikatakan berukuran 31m panjang dan 4.5m lebar dan telah berkhidmat melebihi 50 tahun dengan TLDM dan juga APMM, saya percaya ianya adalah dari jenis 'Patrol Craft' yang sama seperti KD Sri Perak yang tenggelam di Laut China Selatan pada tahun 1984.
Gambar Hiasan ehsan @securemalaysia.blogpot.com
Sayang seribu kali sayang. Walau pun tidak dijadikan perhiasan untuk tontonan di mana-mana muzium negeri seperti KD Sri Trengganu yang dipamerkan di Muzium Negeri Melaka, tetapi kapal ini masih lagi dapat berkhidmat untuk masyarakat nelayan selama-lamanya.

Selamat berkhidmat untuk nelayan Malaysia


Ahad, 9 Oktober 2011

Musim Haji


Sekarang ini tentu pembaca sedia maklum musim masyarakat Islam khususnya di Malaysia dan secara amnya di seluruh dunia sedang bersiap sedia untuk menunaikan salah satu rukun Islam yang lima iaitu fardhu haji ke Baitullah.

Ada juga saya menerima beberapa undangan majlis kenduri doa selamat dari kawan-kawan dan jiran tetangga sempena pemergian mereka ke tanah suci Makkah AlMukarramah. Betapa mereka kelihatan teruja kerana tidak lama lagi akan menjadi tetamu Allah swt.

Dalam senyuman ada kesedihan kerana akan meninggalkan anak-anak, isteri atau suami, sanak saudara, teman taulan, kampong halaman, ayam, itik atau juga lembu, kambing dan binatang peliharaan lain untuk seketika. Dan dalam kesedihan itu juga ada pengharapan agar pemergian mereka ke tanah suci akan mendapat pengampunan dan keredhaan Allah swt justeru mendapat haji yang mambrur.

Pemergian mereka nanti tentunya akan dihantar oleh ramai waris dan sanak saudara di pusat-pusat pelepasan tertentu. Dan di Kuala Lumpur tempat yang menjadi tumpuan pastinya di Komplek Tabung Haji, Kelana Jaya.

Suatu ketika dahulu sewaktu saya masih kecil berusia 12 tahun pada tahun 1969, saya sempat menyaksikan bagaimana jemaah haji berkumpul beramai-ramai, bersesak-sesak dan berpusu-pusu menaiki kapal laut di Pelabuhan Kelang untuk menunaikan haji menuju ke Jeddah dan seterusnya ke Makkah AlMukarramah.

Saya ke Pelabuhan Kelang bukan bertujuan menghantar seseorang untuk mengerjakan haji. Tetapi saya mengikuti dan menolong seorang peniaga buah-buah seperti rambutan, langsat dan buah-buahan lain.
Beberapa hari juga saya berada di sana menolong peniaga tersebut. Amat laris sekali jualan tauke saya ini. Setelah habis se lori, dipesan selori lagi. Banyak pengajaran dari aspek perniagaan saya perolehi menerusi pengalaman ini walaupun berniaga secara kecil-kecilan.

Berbalik kepada kisah yang ingin saya kongsikan mengenai musim haji.

Betapa, saya melihat amat jauh perbezaan jemaah haji hari ini dan jemaah haji dahulu dalam mengerjakan ibadah ini. Jemaah haji dahulu menempuh berbagai-bagai kekurangan dari sudut infrastruktur. Kemudahan dan perkhidmatan asas amat dhaif sekali.

Keadaan cuaca yang panas terik di waktu siang hari membuatkan jemaah haji dan rombongan mereka merasai amat tidak selesa. Di tambah lagi dengan sistem tadbiran yang barangkali belum lagi efektif dan terancang membuatkan mereka itu memerlukan sikap banyak bersabar.

Suatu lagi yang saya dapati mereka yang banyak menunaikan haji adalah dari kalangan mereka yang telah berumur. Tidak seperti sekarang ramai juga dari kalangan anak muda dan separuh umur sudah bersedia menunaikan haji. Infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan juga jauh berbeza. Banyak penambahbaikan telah dilakukan demi kelancaran dan kebaikan jemaah haji. Malah jauh lebih baik dari negara-negara luar lain. Amnya semua terancang.

Di dalam negara lagi, jemaah haji dahulu telah diuji dengan pelbagai kesukaran dan kepayahan.

Sebagai seorang bekas tentera laut yang pernah belayar merentas laut luas dan pernah juga berpengalaman terapung selama 4 hari 3 malam di dalam 'life raft' di Laut China Selatan, saya yakin jemaah haji dahulu yang menaiki kapal laut merasakan amat payah dan 'terseksa' mengharungi lautan luas dengan gelombang besar yang membadai mereka menuju ke tanah suci. Apatah lagi kebanyakan mereka terdiri daripada jemaah yang telah berumur.

Dan pembaca juga sedia maklum bahawa kapal-kapal lama tidak dilengkapi dengan peralatan sistem hawa dingin. Banyak kali ketika saya berkhidmat di kapal-kapal TLDM yang 'tua', sistem hawa dingin mengalami kerosakan. Suasana ketika sistem hawa dingin tidak berfungsi amatlah 'menyeksakan' dan begitu tidak selesa sekali.

Oleh itu saya dapat merasakan bagaimana keadaan jemaah haji dahulu mengharungi dan terpaksa mengalami keadaan seperti ini. Keadaan yang tidak selesa dengan tiada hawa dingin. Sentiasa berada di dalam kepanasan selama dalam pelayaran yang mengambil masa beberapa bulan.

Saya juga pernah mendengar cerita dari orang-orang lama bahawa mereka yang tidak dapat bertahan dan meninggal dunia di dalam pelayaran terpaksa 'dikuburkan' di lautan luas setelah tentunya dimandikan dan disembahyangkan.

Oleh yang demikian, betapa beruntungnya jemaah haji hari ini dapat menunaikan ibadah ini dengan pelbagai kemudahan yang disediakan. Segala-galanya dalam keadaan senang dan mudah sekali dengan kelancaran pentadbiran yang efektik dan teratur.

Saya masih ingat sewaktu saya menunaikan umrah pada tahun 1986 ketika dalam pelayaran pulang dari Itali, saya dapati apabila menunaikan sa'i dari Bukit Marwah ke Bukit Safa berulang alik sebanyak tujuh kali, lantai yang dipijak telah dipasang dengan marmar. Ditambah pula dengan beratap agar dilindungi dari panas bahang matahari. Betapa 'enaknya' dan senangnya kita mengerjakan ibadah umrah atau haji hari ini. Tidak seperti dahulu, bumi yang dipijak merupakan pasir dan batu-batu kerikil kecil di mana kita mengerjakan ibadah sa'i ini adalah agar kita dapat mengenangkan dan memikirkan betapa susahnya Siti Hajar isteri Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as berulang alik dari Bukit Marwah dan Bukit Safa sebanyak tujuh kali dalam usaha mencari air di bawah panas dan teriknya matahari.

Tidak cukup dengan keselesaan ini, di tepi-tepian disediakan pula puluhan tangki-tangki kecil berisi air zam-zam untuk para jemaah minum sekiranya kehausan.

Dalam keadaan umat Islam menunaikan ibadah umrah atau haji hari ini, di mana letaknya penghayatan seseorang itu ketika menunaikan rukun haji seperti ini. Dan saya tidak terperanjat jika sekiranya ada seseorang yang mengerjakan sa'i tidak tahu asal usul yang mewajibkan mereka mengerjakan rukun ini.

Beginilah dunia Islam hari ini. Serba serbi amat mudah sekali.

Namun demikian, dalam menguruskan perkara besar seperti ini oleh pihak Lembaga Tabung Haji, pasti akan timbul sedikit masalah yang saya percaya merupakan masalah terpencil. Manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Itulah sifat manusia yang lemah.

Kepada jemaah haji sekalian saya berdoa semuga akan selamat pergi dan selamat kembali serta mendapat haji mabrur.
Ini adalah tali pinggang haji yang dibeli pada tahun 1985.
Paten lama yang banyak lagi di pasaran.
Tali pinggang haji paten baru

Jumaat, 7 Oktober 2011

Takziah buat Saudara Malek Mahmud Bekas Anggota TLDM

Keratan Akhbar Sinar Harian 7hb Okt 2011
Harian Metro 7hb Okt 2011
MAUT...anggota bomba dan penyelamat Machang mengeluarkan empat mayat pelajar UiTM dan seorang yang cedera parah dalam nahas, semalam.

Saya sebagai seorang ayah yang baru kehilangan anak remaja di dalam kemalangan baru-baru ini sebelum Hari Raya Aidil Fitri dapat merasakan bagaimana saudara Malek merasai apabila beliau juga kehilangan anak di dalam satu kemalangan ngeri yang terjadi di Machang kelmarin.

Saya tidak mengenali saudara Malek secara peribadi. Namun rakan saya saudara Salim Jais yang juga seorang bekas anggota TLDM cawangan Setor (STN) amat mengenalinya. Saudara Malek  juga bertugas di dalam cawangan STN ketika berkhidmat di dalam TLDM.

Apa pun saya berharap saudara Malek dapat menempuh dugaan ini dengan penuh kesabaran dan berserah kepada Allah swt.  Semuga arwah anak beliau Mohd Syamil ditempatkan dari kalangan orang-orang yang diredhai oleh Allah swt hendaknya.

Amin, Ya Rabbal alamin...

Sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/2011100704470020111007044700/Article

Pak Yazid

Pak Yazid

Saya tidak begitu mengenali dengan dekat tentang Ustaz Dato' Pak Yazid Jaafar atau lebih terkenal dengan panggilan Pak Yazid. Walau pun begitu, saya telah mengenali beliau semasa saya masih remaja lagi pada tahun 1976. Ketika itu usia saya lebih kurang 18 tahun.

Pak Yazid adalah antara orang yang terawal bergiat di dalam kumpulan Al Arqam pimpinan Allahyarham Ustaz Ashaari Muhammad bersama-sama Ustaz Pak Salleh Bakar, Ustaz Akbar Anang dan beberapa orang lain lagi. Saya turut bergiat mengikuti kumpulan ini bersama rakan-rakan sekampung seperti saudara Yusuf, Hussain (Bob) dan arwah abang saya Abu Bakar.

Selain Allahyarham Ustaz Ashaari Muhammad sendiri yang memberi ceramah agama, Pak Yazid turut memberi ceramah bersilih ganti dengan penceramah yang lain. Di dalam ceramah Pak Yazid, beliau sering selitkan unsur-unsur jenaka agar pendengar tidak merasa bosan dan mengantuk. Itu suatu kelebihan Pak Yazid di dalam berceramah agama.

Sebelum bulan Ramadhan kelmarin, Pak Yazid dijadualkan berceramah di Masjid Ar Rahimah, Taman Greenwood. Tetapi, oleh kerana ada halangan Pak Yazid tidak dapat hadir.

Sebentar tadi, sebelum khatib menyampaikan khutbah Jumaat, Nazir masjid Taman Greenwood mengkhabarkan bahawa kini Pak Yazid sedang sakit kuat dan berada di Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI), Kuala Lumpur. Beliau kini ditempatkan di Wad ICU.

Kepada pembaca yang mengenali beliau, boleh melawatnya di PUSRAWI atau pun boleh juga berdoa agar beliau segera sembuh.

Saya juga mengambil kesempatan ini berdoa agar Pak Yazid segera sembuh dan dapat meneruskan usaha memberi syarahan-syarahan agama,

Allahumma amin......

Khamis, 6 Oktober 2011

Imbuhan RM500.00 Untuk Bekas Tentera Tak Berpencen!!!

Keratan Akhbar Sinar Harian bth 4hb Okt 2011

Alaaaahai....Ini yang dikatakan rezeki mendatang tanpa disangka-sangka. RM500.00 sebulan. Siapa nak bagi??????

Tapi kena tunggu dulu lah.... selepas Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang. Itu pun kalau Pakatan Raykat menang dan dapat menduduki Putrajaya.

Imbuhan ini adalah satu daripada lapan resolusi cadangan yang dibuat oleh Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera (KERABAT) dan telah disampaikan kepada Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang oleh Lt Kol (B) TUDM Nazari Mokhtar selaku Presiden Sekretariat Kerabat Malaysia.

Saya berfikiran skeptikal kerana pelarasan yang dicadangkan itu melibatkan wang yang banyak untuk diagihkan kepada anggota-anggota tentera yang masih bertugas, bekas anggota tentera yang berpencen dan juga kepada bekas anggota tentera yang berhenti tanpa pencen setiap bulan sebanyak RM500.00

Saya juga melihat bahawa cadangan-cadangan yang dikemukakan hanya cantik di atas kertas dan bersifat janji-janji kosong menjelang pilihanraya akan datang. Tetapi ianya, seperti kata Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad 'Bajet Poket Kosong' ketika mengulas pembentangan Belanjawan Alternatif 2012 dari Pakatan Rakyat.
Keratan Akhbar Sinar Harian bth 5hb Okt 2011

Namun, saya percaya teras pengurusan dan tadbiran dalam memastikan kebajikan terhadap bekas anggota tentera dapat dilaksana dan disalurkan dengan lebih efektif sekiranya ditadbir oleh mereka yang benar-benar ikhlas berkerja dan beramanah. Di samping itu ahli-ahli veteran juga harus memainkan peranan dengan memberi kerjasama yang sewajarnya dan sentiasa berhubungan dengan pihak persatuan serta menyertai apa-apa aktiviti yang dijalankan oleh persatuan tersebut.

Oleh yang demikian, sama ada parti dari Barisan Nasional atau pun parti Pakatan Rakyat yang menguasai Putrajaya tidak akan bermakna sekiranya 'mentality' mereka yang duduk di pucuk pimpinan Veteran atau persatuan-persatuan bekas tentera masih berfikiran sama demi untuk menggapai agenda kepentingan diri sendiri.

Pihak atasan persatuan-persatuan veteran perlu berkerja keras dengan mencuba mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli seperti mengadakan forum supaya dapat mendengar masalah-masalah ahli atau pun bekas anggota tentera lain. Setelah itu cuba mencari jalan penyelesaian ataupun sekurang-kurang membantu meringankan bebanan ahli tersebut tanpa mengira fahaman politik apa yang mereka ikuti.

Namun begitu, saya juga faham bahawa tidak banyak bantuan yang boleh diberikan oleh persatuan, terutama yang melibatkan kewangan. Tetapi, sekurang-kurangnya persatuan boleh mengajukan sesuatu permasalahan itu kepada pihak yang lebih berpengaruh agar ianya dapat perhatian yang sewajarnya.

Dengan ini saya yakin kebajikan bekas anggota tentera akan dapat terbela. Kalau tidak secara total, sekurang-kurangnya sedikit pembelaan dapat menyenangkan hati mereka ini.

Ahad, 2 Oktober 2011

Kalau Tiada Angin Masakan Pokok Bergoyang


Peribahasa lama 'Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang' yang umumnya ramai rakyat di negara ini ataupun di negara jiran tahu dan faham akan maksudnya. Peribahasa millenium pula ialah 'Kalau tiada retakan (split) di dasar laut, masakan laut bergelora (bergulung) menghasilkan tsunami'. (Peribahasa tsunami ini ciptaan saya he...he.....he.....)

Agak panjang juga sekiranya saya hendak menterjemahkan isi kandongan artikel ini yang mengaitkan Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud. Beliau dan keluarganya telah didakwa berkemungkinan terbabit di dalam menjalankan aktiviti pengubahan wang haram dengan melabur semula wang tersebut di negara Australia.
Abdul Taib Mahmud
Berikut adalah beberapa petikan yang menarik perhatian saya melalui artikel tersebut.

1. In their letter, the parties expressed concern that Abdul Taib and his family "might have laundered and reinvested large amounts of corruption proceeds in Australia".

2. The trio suspect that Abdul Taib and his family may have done this through family members who are either Australian born, married to Australians or residing in Australia.

3. This, the trio said, bears "striking resemblance" to the case of Ross Boyert, another of Abdul Taib's aide, who was found dead in a Los Angeles hotel in September 2010, after filing a civil case against companies owned by Taib's family members.

Kalau benarlah apa yang didakwa oleh NGO Bruno Manser Funds, amat benar firman Allah swt tentang sikap manusia yang tidak pernah merasai kepuasan dalam mencari kekayaan di dunia. Allah swt telah berfirman bahawa sekira manusia diberi segunung emas, niscaya dimintanya segunung lagi, lagi, lagi dan lagi.  Manusia seperti ini sentiasa tidak merasai kenyang. Haloba. Tidak tahu erti 'qanaah'.

Walau bagaimanapun sama-sama kita menunggu hasil siasatan yang akan dijalankan oleh pihak berkuasa Australia dalam isu ini. Sama-sama juga kita mendokong prinsip 'seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah' (innocent until proven guilty),


Sumber: http://my.news.yahoo.com/aussie-govt-alerts-ag-taibs-dealings-033534492.html



Sabtu, 1 Oktober 2011

Tradisi Menaikkan/Menurunkan Bendera TLDM - Satu Amalan Tidak Islamik


Baru-baru ini saya telah dipelawa oleh seorang sahabat untuk mengikuti beliau ke sebuah pangkalan TLDM di Pulau Indah, Selangor dalam urusan perniagaannya.

Setibanya di 'Main Gate' pangkalan ini saya terlihat bendera TLDM berkibar dengan megahnya di 'main mast', 'quarterdeck' KD Sri Klang.
Bendera TLDM berkibar dengan megah.

KD Sri Klang
Lantas saya teringat suatu ketika dahulu sewaktu masih berkhidmat di dalam pasukan TLDM, saya sering terlibat di dalam acara menaikkan bendera di waktu pagi dan menurunkannya pula di waktu petang.

Acara menaikkan bendera di waktu pagi dijalankan tepat jam 8.00 pagi. Istilah tentera laut (naval term) dinamakan 'colours'. Manakala acara menurunkan bendera dilakukan tepat waktu terbenamnya matahari.

Sewaktu kedua-dua acara ini dijalankan, kami dikehendaki berdiri tegak sebagai tanda menghormati bendera tersebut apabila sama ada dinaikkan atau diturunkan.

Mereka yang tidak terlibat juga apabila melihat dan berada berdekatan acara itu dijalankan dikehendaki berdiri tegak sebagai tanda memberi hormat. Mereka yang berpakaian seragam lengkap dikehendaki memberi tabik hormat kepada bendera tersebut.

Seringkali apabila saya ditugaskan dalam acara ini, saya menjadi tidak selesa. Ini kerana saya berpendapat bahawa perbuatan ini merupakan ciri-ciri menyekutukan Allah. Saya berpandangan demikian sebelum saya menyertai TLDM lagi. Sebelum menyertai TLDM, tak tahu ada acara seperti ini.
Namun apakan daya saya untuk mengengkari arahan dan tugas ini. Apabila kesemua sepuluh jari telah di cop dan tandatangan telah diturunkan, turut sahaja apa yang diperintah.

Barangkali, ada orang berhujjah mengatakan bahawa acara seperti ini dibolehkan. Mereka mengatakan bahawa pada zaman nabi Rasulullah saw juga ada bendera. Saya tidak nafikan bahawa pada zaman nabi Rasulullah saw dahulu memang ada bendera.

Tetapi, bendera pada zaman nabi Muhammad saw adalah bendera Islam yang terdapat kalimah tauhid yang semestinya dihormati. Bukan penghormatan seperti yang diadakan sebegini dengan berdiri tegak tidak bergerak-gerak untuk beberapa ketika.

Namun demikian ada beberapa hujjah yang ingin saya sertakan.

Pertama, memberi hormat kepada bendera termasuk perbuatan bid’ah yang tidak pernah dilakukan pada masa Rasulullah saw ataupun pada Khulafa’ ar-Rasyidin ra.

Kedua, menghormati bendera bertentangan dengan tauhid yang wajib sempurna dan keikhlasan di dalam mengagungkan Allah semata.

Ketiga, tradisi menghormati bendera seperti yang diamalkan oleh TLDM merupakan tradisi yang diwarisi dari Tentera Laut British yang tentunya tidak sesuai menurut ajaran Islam.

Walau bagaimanapun, kepada pembaca yang tidak bersetuju dengan pendapat dan pandangan saya jangan berasa hati dan tersinggung. Ini hanya merupakan pandangan peribadi saya. Pembaca sekalian boleh berfikir dan membuat penilaian sendiri.