 |
| Scorpene |
Saya dapat melihat bahawa persoalan tentang kapal selam Scorpene
tiada titik hentinya. Kini terbit pula kapal selam Agosta menjadi isu parti
pembangkang. Artikel ini banyak mengundang persoalan yang memerlukan jawaban.
Saya tidak punyai keseluruhan jawabannya.
Namun begitu saya juga punyai sedikit jawaban dari persoalan yang diajukan.
Banyak jawaban dari persoalan yang diajukan di dalam artikel ini yang ditulis
oleh Mariam Mokhtar boleh didapati dari kalangan Ahli Parlimen. Dan ahli
parlimen yang paling hampir dengan penulis artikel ini tentu sahaja dari
kalangan ahli parlimen pembangkang di mana banyak persoalan-persoalan ini telah
pun dijawab dan diperjelaskan oleh Menteri dan Timbalan Menteri berkaitan pada
sesi-sesi sidang parlimen yang telah lalu.
Penulis bersikap bersahaja sama ada beliau tahu atau pura-pura tidak
tahu atau pun memang sebenarnya beliau tidak tahu persoalan yang diajukan itu.
Oleh yang demikian saya mengandaikan bahawa penulis memang tidak
tahu persoalan yang dikemukakan lantaran tidak bertanya kepada ahli parlimen
dari kalangan pembangkang. Dan berkemungkinan juga ahli parlimen pembangkang apabila
ditanya akan bersikap tidak jujur lantas tidak mahu memberitahu fakta-fakta
sebenar dari persoalan yang dikemukakan oleh penulis dengan harapan agar
penulis boleh menulis isu ini dalam bentuk provokatif
.Oleh kerana penulis tidak tahu fakta-fakta tersebut, biar saya pula
jelaskan sedikit yang saya ketahui berdasarkan apa yang tersurat di dalam
persidangan parlimen.
Persoalan utama “How much did the Malaysian taxpayer pay for the
Agosta-class submarine? When was it purchased?
Berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh YBhg PTL, Laksamana Tan Sri Abdul
Aziz Jaafar yang ditulis sendiri oleh penulis artikel ini “It is a second-hand
submarine we bought for training RMN personnel”, satu perjanjian baikpulih
kapal selam Agosta yang bernilai Euro94.78j (RM359.12j) telah ditandatangani
pada 28hb Dis 2002 di antara Kerajaan Malaysia dan DCN International (Perancis).
Kapal selam Quessant menjalani baikpulih di Brest, Perancis selama
21 bulan untuk digunakan sebagai platform latihan untuk 4 tahun berikutnya.
Pasukan Kapal Selam TLDM bertindak sebagai Principal Naval Overseer.
Nilai kontrak kapal selam Agosta ini termasuk di dalam nilai
keseluruhan pembelian dua buah kapal selam Scorpene baru yang berjumlah Euro1,084.11
(RM5,095.31j).
Nilai kontrak keseluruhan ini juga merangkumi kontrak di antara Kerajaan
Malaysia dan Perimekar Sdn Bhd bagi perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada
Pasukan Projek Angkatan Kapal Selam TLDM di Cherbourg, Perancis dan Cartagena,
Sepanyol serta pelatih-pelatih kapal selam di Brest, Perancis yang bernilai
Euro114.96j (RM540.31j)
Berikutan termeterainya perjanjian tersebut, maka kenyataan yang
ditulis oleh ‘The Asia Sentinel’ pada April 2010 yang menyatakan bahawa kapal
selam Agosta ini disewa adalah tidak benar sama sekali.
“So, was the Agosta thrown in as as sweetener for the purchase of
the two Scorpenes?”
Ini adalah kenyataan bersifat persangkaan buruk yang mengandaikan
kapal selam Agosta disogok atas pembelian dua buah kapal selam yang kononnya didakwa
tidak beroperasi dengan baik.
Harus diingat bahawa kapal selam seumpama (Scorpene) ini adalah
bikinan manusia. Ia terdedah kepada kelemahan manusia yang boleh menyebabkan
kerosakan. Namun, kerosakan teknikal yang dihadapi oleh kapal selam KD Tunku
Abdul Rahman yang didakwa tidak boleh menyelam adalah masalah biasa yang
bersifat sementara.
Oleh yang demikian tidak timbul soal kerugian kepada kerajaan kerana
masalah yang dihadapi adalah di bawah jaminan dan kos pembaikan ditanggong
sepenuhnya oleh pembekal.
Namun barangkali ada juga pihak yang mempertikaikan soal kesiagaan. Memang
tidak dapat dinafikan bahawa persoalan kesiagaan ini amat penting di dalam
sesebuah unit ketenteraan. Namun, pada situasi yang aman ketika ini, persoalan
ini boleh kesampingkan untuk seketika dan tidak perlu diperbesar-besarkan serta
dijadikan isu politik.
Sebagai bukti bahawa kapal selam Scorpene berfungsi dengan baik,
pada tanggal 26hb Jul, 2010 KD Tunku Abdul Rahman telah berjaya membuat
penembakan misil SM39 di kedalaman 55m dan telah tepat mengenai sasaran yang
berada 40km di kejauhan.
Di samping itu juga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin juga telah menyelam bersama KD
Tunku Abdul Rahman pada 10hb Mac, 2011 sehingga ke dalaman melebihi 300m.
Baginda sangat berpuas hati setelah melihat sendiri keupayaan krew serta
pengoperasian peralatan kapal selam tersebut.
Perlu diketahui bahawa keupayaan kapal selam ini telah terbukti
apabila KD Tunku Abdul Rahman berjaya dibawa pulang meredah beberapa lautan
seperti Laut Mediterranean, Laut Merah, Laut Hindi dan Laut China Selatan
dengan melaksanakan selaman lebih kurang 72% dari tempoh keseluruhan pelayaran
iaitu selama 31 hari daripada 43 hari di lautan.
Biar pun penegasan Panglima Tentera Laut menafikan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas
bahawa kedua-dua kapal selam Scorpene tidak beroperasi dengan baik, namun masih
juga kedengaran suara-suara sumbang memperlekehkan kemampuan kapal-selam TLDM.
Bilakah agaknya akan reda isu ini.
Saya kira cukuplah setakat ini dahulu tulisan saya dalam menyanggah
tohmahan dan andaian yang dirakamkan melalui penulisan penulis Free Malaysia
Today. Insya’Allah ada lagi beberpa perkara yang ingin saya sampaikan.
Akhir kata, yang benar itu dari Allah dan kelemahan itu dari diri
saya sendiri.