Beberapa hari lagi kita bakal
meninggalkan tahun 2011 dan akan menyambut pula tahun baru 2012. Seperti biasa
ramai akan memperkatakan tentang azam. Suatu iltizam yang sering digandingkan
bersama tahun baru yang mendatang setiap kali tahun baru tiba. Maka akan
terpahatlah pula senarai perkara-perkara yang akan dilaksanakan apabila tiba
waktunya. Baik dari kalangan lelaki mahupun wanita. Anak-anak remaja dan juga
dewasa. Tidak ketinggalan juga dari kalangan warga tua yang telah lanjut usia.
Tahun 2011 agak banyak juga saya lalui
dengan pengalaman pahit yang penuh dengan hikmah dan tidak kurang juga
pengalaman yang menghiburkan.
Satu-satunya pengalaman yang masih
berbekas di jiwa ini adalah kehilangan anak saya Muhammad Shahir yang saya
sayangi pada bulan puasa kelmarin dalam usia 18 tahun. Kini telah empat bulan dia pergi. Saban hari
masih diingati.
Namun apabila saya mengetahui dan
terbaca melalui akhbar umpamanya bahawa ada insan yang kehilangan anak mereka
melebihi seorang pada waktu yang sama dalam sesuatu kecelakaan membuatkan saya
lebih insaf bahawa ada insan lain yang lebih hebat dicabar dan diduga
kehidupannya berbanding saya.
Kesedihan atas pemergian anak saya
itu belum lagi hilang, giliran bapa mertua saya pula menyusuli setelah seminggu
umat Islam menyambut Eidul Adha tahun ini. Pemergian bapa mertua saya menemui
Illahi didahului dua belas hari setelah adik beliau pergi. Mungkin yang lebih
merasai kehilangan mereka adalah isteri saya atas pemergian mereka semua.
Suatu pagi beberapa hari setelah bapa
mertua saya meninggal, anak sulung saya Mohd Farid memberitahu ibunya.
‘Emak, malam tadi Along bermimpi. Shahir
datang jumpa Along. Dia kata, ‘Along kau jangan susah lagi, aku sekarang dah
ada teman’. Barangkali ‘teman’ itu merujuk kepada datuknya itu. Kebetulan
jenazah bapa mertua ditempatkan di tanah perkuburan yang sama. Tidak berapa
jauh dari tempat anakku Muhammad Shahir dikebumikan.
Itu adalah kejadian sedih yang
menimpa diri saya sepanjang tahun ini. Yang hidup pasti MATI. Hanya iringan doa agar mereka
dirahmati dan diredhai Allah swt yang dapat kami doakan.
Amin…….
Di sebalik kedukaan, terselit juga keceriaan
dan kegembiraan yang saya alami.
Antaranya saya dapat menemui beberapa
rakan-rakan lama di dalam TLDM seperti Suhaimi Lat, Salim Jais, Nodion,
Kamarulzaman RM dan beberapa yang lain yang telah lama terputus perhubungan. Begitu
juga saya dapat ‘bertemu’ dan merapatkan
tali silaturahmi dengan yang lain melalui alam maya. Banyak kenangan silam yang
dapat kami imbau kembali. Tidak tergambar kegembiraan ini ketika bertemu
mereka.
Di samping itu, saya juga merasa amat
gembira kerana berkenalan dengan sahabat-sahabat alam maya yang khusus tidak
pernah saya kenali sebelum ini. Ada yang dapat ku temui seperti QDC, Den Cdo dan
beberapa bloger lain. QDC adalah orang yang telah memberi aku inspirasi dan
galakan untuk menulis peristiwa tenggelamnya KD Sri Perak dan untuk terus
menulis.
QDC, thank you for your support. I
know you are out there reading my writing(s).
Namun, masih ada beberapa sahabat
alam maya yang saya masih belum temui dan berharap akan menemui mereka suatu
hari nanti terutama saudara Yastro yang setia dan tidak jemu membaca entri saya.
Begitu juga saudara Ujangkutik dan saudara theolrascal yang saya sangat senangi membaca
tulisan mereka. Tidak terlupa juga Pakcik AlManar yang saya hormati. Insya’Allah
saya akan mencari Pakcik sekiranya saya
bertandang ke Trengganu suatu hari nanti.
Kepada saudari LumutHijau , saya begitu
terharu kerana mengundang saya ke majlis perkahwinannya melalui sebuah entri ini khusus untuk saya. Hanya pohon kemaafan yang dapat saya ucapkan kerana tidak
dapat datang ke majlis tersebut kerana masa yang tidak mengizinkan. Apa pun
saya ucapkan Selamat Pengantin Baru dan mendoakan semuga saudari Lumut Hijau akan berbahagia di samping suami yang
disayangi berkekalan dan dianugerahi rezeki berupa zuriat yang baik-baik. Insya’Allah.
Tidak ketinggalan juga buat saudari chii yang rajin singgah dan memberi komen pada hampir setiap entri saya. Kepada
chii saya juga mendoakan semuga maju jaya dalam apa jua kerjaya yang dilakukan.
Kepada sahabat-sahabat alam maya yang
tidak saya coretkan diharap tidak berkecil hati. Anda juga adalah sebahagian dari
sahabat yang banyak mewarnai dan menceriakan dunia IT yang suatu ketika sangat asing
buat diri saya.
Itulah kehidupan. Susah dan senang
silih berganti.
Semuga tahun baru yang mendatang ini
dapat kita manfaatkan dengan lebih bererti lagi untuk agama dan umat Muhammad
Rasulullah saw khususnya dan manusia sejagat amnya.

