Pengikut

Rabu, 11 April 2012

Kewajaran Ucapan 'Alhamdulillah'


Baru-baru ini selesai sudah acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011. Mereka yang menang pastinya bergembira. Mereka yang tidak menang juga diharapkan bergembira atas kemenangan orang lain.
Gambar ihsan dari google
Saya tidak berhasrat untuk memberi komen atas apa yang diperkatakan oleh salah seorang pelakon tempatan tentang kemenangan pelakon luar dari Singapura. Apa yang ingin saya coretkan kali ini adalah soal kewajaran seseorang itu mengucapkan syukur ‘Alhamdulillah’ di atas kemenangan mereka dalam sesuatu kategori.

Mungkin coretan saya kali ini bakal menimbulkan sedikit salah faham dan kritikan dari pembaca sekalian. Namun ianya hanya sekadar pandangan peribadi saya sahaja.

Saya teringat akan apa yang dikatakan oleh sahabat saya Hj. Omar yang saya temui baru-baru ini. Setelah beliau menamatkan perkhidmatan di dalam TLDM, beliau telah berkecimpung di dalam industri perniagaan membekalkan siaran rancangan televisyen khusus untuk kanak-kanak kepada RTM. Justeru beliau sangat arif tentang industri perfileman tempatan. Beliau berkata, beliau mampu untuk menerbitkan drama atau filem tempatan untuk tontonan orang ramai. Tetapi, beliau tidak mahu kerana beliau takut akan dipersoalkan di akhirat nanti atas apa yang dikerjakan di dunia ini dengan menerbitkan drama atau filem yang melibatkan pelakon-pelakon yang bukan muhrim berpegangan tangan serta berpelukan.

Seterusnya beliau berkata, ‘bayangkan sekiranya pelakon yang berpegangan tangan dan berpelukan umpamanya adalah isteri atau suami orang’.

‘Apakah sekiranya saya sebagai penerbit tidak mendapat saham dosa atas apa yang dilakonkan oleh mereka’ ujarnya lagi.

Amat jauh pandangan beliau ini. Pandangan yang seharusnya pihak penerbit TV/filem tempatan yang beragama Islam renungkan untuk kesejahteraan kehidupan di akhirat.

Di atas pandangan beliau ini timbul persoalan, apakah wajar seseorang itu mengucapkan kalimat ‘Alhamdulillah’ bahawa segala puja dan puji itu bagi Allah swt. Kita ketahui bahawa segala yang baik itu datangnya dari Allah swt dan yang mungkar itu datangnya dari kelemahan manusia sendiri.

Saya kira tidak keterlaluan sekiranya saya umpamakan bahawa seseorang yang bekerja dengan syarikat yang mengeluarkan arak atau syarikat yang mengendalikan perjudian secara langsung sama sahaja dengan mereka yang berlakon secara keterlaluan tanpa menghiraukan larangan-larangan agama. Mereka yang bekerja dengan syarikat-syarikat arak dan judi, apabila hujung bulan menerima gaji lalu mengucapkan syukur ‘Alhamdulillah’. Samalah juga dengan pelakon-pelakon yang menang menerima anugerah dan pelbagai hadiah lain mengucapkan syukur ‘Alhamdulillah’.

Sekali lagi saya bertanya, apakah wajar ucapan kalimat suci itu terhadap Allah Rabbul Jalil.

Pada pandangan saya sangat tidak sesuai kerana meletakkan kalimat yang mengagungkan Allah swt pada tempat yang tidak sesuai.

Lalu, apakah jalan keluar bagi pelakon-pelakon ini.

Pandangan saya tiada jalan keluar melainkan berhenti berlakon melakonkan lakonan yang melibatkan larangan-larangan agama yang keterlaluan.

Contoh yang dapat saya kemukakan ialah bekas pelakon yang sangat terkenal suatu ketika dahulu iaitu Noorkumalasari. Saya sangat menghormati pendirian beliau yang tidak lagi berkecimpung di dalam dunia perfileman atau pun drama. Begitu juga dengan bekas pelakon lelaki yang terkenal dengan filem ‘Ali Setan’ iaitu Azmil. Dan mungkin juga beberapa bekas pelakon lain yang saya tidak ketahui yang telah insaf dan seterusnya mencari rezeki dengan jalan yang baik serta mengharap keredhaan Allah swt.

Kepada pembaca sekalian saya berharap tidak tersalah tafsir atas coretan saya kali ini. Saya tidak bermaksud semua anugerah adalah salah dan tidak sesuai dengan agama. Anugerah-anugerah seperti penyampai radio lelaki dan wanita, pengacara TV lelaki dan wanita tidak termasuk di dalam kritikan saya. Saya hanya bermaksud kepada kategori lakonan yang keterlaluan sahaja.

Barangkali akan ada orang berpendapat bahawa industri seni lakonan tidak akan maju dengan sekatan-sekatan dan larangan-larangan seumpama ini. Sama ada kita suka atau tidak kita harus menerima hakikat bahawa kita adalah orang yang beragama Islam. Islam telah menentukan ketentuannya yang sama sekali tidak boleh dipertikaikan.


Allahu 'alam

14 ulasan:

  1. Salam pak Mail...sebenarnya saya juga berpandangan begitu....kalau tgk artis2 yg dpt hadiah bebaru ni semuanya menujukkan ke arah alhamdulillah,syukur kpd allah yg satu dan bermacam lagi, walhal sana dedah sini dedah...

    Saya sendiri sebenarnya rasa perkara tu tak berapa sesuai...tp tu lahh..nk kata lebih2 pun siapa lah kita...serius... sy sendiri tak berani nk buat entri yg macam Pak Mail buat nih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali saudara Yas,

      Sebenarnya pandangan seperti ini telah lama disampaikan oleh ulama' dan ustaz2. Tetapi oleh kerana kemahuan dunia mengatasi larangan2 agama, mereka teruskan hawa nafsu.

      Walau bagaimanapun saya berdoa mudah2an tiada diantara ahli keluarga saya terlibat dalam perkara ini.

      Padam
  2. Sdr Pak Mail,

    Saya sependapat dengan saudara.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara Ujangkutik,

      Pesanan Rasulullah saw,'Sampaikan lah olehmu walau pun sepotong ayat', dan/atau dari uslub lain

      'Sampaikan lah olehmu, walaupun ianya pahit'.

      Padam
  3. Assalamualaikum Pak Mail,
    Saya setuju dan mempunyai pendapat yang sama dengan saudara Hj. Omar. Tapi pasal ucapan Alhamdulillah tu, saya rasa tak salah.. Bagi pendapat saya, Allah yang beri semuanya di dunia. Mana tahu, ucapan2 tersebut membuatkan hatinya lebih dekat dengan Allah s.w.t.. Saya hanya memberi pendapat, maafkan saya jika menyinggung hati Pak Mail. Saya sedia menerima teguran..:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara amgyver,

      Saudara tidak menyinggung perasaan saya. Kita semua hanya sekadar memberi pandangan masing2. Kesudahannya nanti kita serahkan kepada Allah swt jua.

      Allah swt Maha Pengampun. Allah ampuni segala dosa2 hambanya melainkan menyekutukanNYA.

      Wallahu'alam

      Terima kasih juga kerana singgah membaca coretan saya dan memberi komen.

      Padam
  4. PakMail,

    saya setuju..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara olrascal,

      Terima kasih.....

      Padam
  5. Wah Pak Mail....lamo tak donga cerito....tadi sayo terbaco, artikel pak mail dengan bernama...sayo setuju sangat kalau pak mail..jadikan buku..mahal pengalaman tu..!!!pak mail tulis ajo....lopeh tu suruh orang edit.....!yang pasti buku tu mesti dijadikan kenyataan.....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Den ado sini. Tak pergi mana2. Insya'Allah lepas jumpa beberapa kawan kapal yang tenggelam itu, saya mulai lah. Sekarang ni yang ada hanya kerangka sahaja. Tapi, apa yang nak ditulis dan ditokok tambah itu dah ada....

      Bila boleh jumpa lagi ya....

      Padam
  6. Saya sungguh menyampah melihat pemenang atas pentas bersukur kepada semua; Tuhan, ibubapa, keluarga, kawan dan kucing kurap kesemuanya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pakcik AlManar,

      Hehehehehe....I like that phrase, 'Saya sungguh menyampah....'.

      Padam
  7. Setuju dgn pandangan Pak Mail.. Cuma a/bila sentiasa dimomokkan dengan perkara2 salah yang menjadi kebiasaan maka kita tak sedar pun akan kesilapan itu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Benar, perkara2 salah yang menjadi kebiasaan terlepas pandang seperti tiada kesalahan.

      Padam