Pengikut

Selasa, 15 Mei 2012

Bertemu Rakan Lama


Minggu lepas aku berada di Melaka selama 3 hari kerana menghadiri majlis pernikahan anak saudara isteriku di Bukit Baru, Melaka. Sepanjang berada di Melaka aku tinggal di sebuah homestay di Lorong Bukit Piatu 4, Bukit Piatu. Biliknya sederhana besar, bersih dan amat selesa. Ianya sangat sesuai untuk kami bertiga aku, isteri dan anak perempuanku.
Homestay Warisan
Kami bertolak dari Kuala Lumpur pada hari Jumaat jam 11.00 pagi dan tiba di rumah iparku lebih kurang jam 1.10 tengahari. Di rumah iparku, beliau sudah sedia menanti untuk membawaku ke masjid yang berdekatan untuk solat Jumaat. Di masjid ini juga majlis akad nikah pengantin akan diadakan pada sebelah petang selepas solat asar nanti. Setelah selesai solat Jumaat sewaktu berjalan bersendirian aku ditegur dari arah belakang oleh seseorang.
Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru, Melaka
‘Mail’ aku berpusing menoleh kearah panggilan tersebut.

‘Eh, Zali’, aku membalas tegurannya.

‘Engkau tinggal di mana’, Zali bertanyaku.

‘Aku tinggal di KL’.

‘Habis kau datang sini buat apa’, Zali meminta kepastian.

‘Anak saudara isteri aku nak nikah, ipar aku duduk di Bukit Baru’.

Ghazali ialah salah seorang sahabat lama sewaktu berkhidmat di dalam TLDM dahulu. Kami juga sama-sama menghadiri kursus asas Radio Komunikasi di KD Pelandok, Woodlands, Singapura. Beliau adalah dari kelas lain. Satu kelas ‘junior’ dariku. Namun kami tinggal di berek yang sama di ‘Y’ Blok.

Oleh kerana iparku sudah agak lama menunggu di keretanya untuk pulang, aku terpaksa meminta diri untuk sementara dan berjanji akan bertemu pada lain waktu. Sebelum berpisah Zali sempat memberiku kad perniagaannya untuk dihubungi nanti.

Setelah selesai acara pernikahan di masjid pada sebelah petang dan diikuti pula majlis kenduri doa selamat selepas solat isya’ di rumah iparku, aku mengambil peluang untuk menemui Ghazali di sebuah restoran di hadapan masjid tempat kami bertemu.

Aku menunggunya untuk beberapa ketika. Tidak lama kemudian Ghazali tiba ditemani isterinya. Beliau kemudian mengajakku menaiki keretanya dan dibawaku ke suatu tempat untuk ditemukan pula dengan kawan-kawan lain. Di dalam kereta Ghazali sibuk membuat beberapa panggilan kepada kawan-kawan lama yang tinggal berdekatan.

Kami tiba di sebuah gerai di Serkam, Melaka. Hanya seorang sahaja yang dapat datang untuk menemuiku iaitu Hassan dari pengambilan 131. Rahmat yang sama pengambilan dengan Ghazali berada di Muar dan tidak dapat datang. 
Namun aku sempat berbual seketika dengannya menerusi telepon bimbit. Rahmat juga amat baik denganku ketika sama-sama mengikuti kursus.

Kami berbual-bual mengimbau kisah-kisah lampau sewaktu di dalam TLDM dan juga hal-hal semasa. Sebenarnya aku tidak begitu ingat tentang Hassan. Namun setelah lama cuba mengingati akhirnya dapat juga mengingati sedikit akan diri beliau sewaktu di dalam TLDM. Kami bertiga telah tidak bertemu lebih 28 tahun.
Bersama Hassan (kiri) dan Ghazali (kanan)
Kami berbual sehingga hampir jam 12.00 tengah malam. Aku terpaksa meminta Ghazali menghantarku pulang kerana bimbang isteriku sedang menanti untuk pulang ke homestay.

Beginilah kehidupan manusia. Allah swt telah menentukan untuk aku bertemu semula dengan teman-teman seperjuangan TLDM suatu ketika dahulu.

Alhamdulillah. Segala puja dan puji bagi Allah.



6 ulasan:

  1. Alhamdulillah...lama juga tu bersembang Pak Mail...sampai jam 12 malam...mesti banyak citer2 lama yg keluar tu...hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang banyak yang kami sembangkan. Kalau tidak ingatkan isteri menanti pasti tak berhenti....

      Padam
  2. Sdr Pak Mail,

    Saya beberapa kali berpengalaman bertemu kawan lama - 20-30 tahun tidak berjumpa.Saya dapati seperti kami tidak tua-tua kerana cara berbual, bergurau dan intonasi percakapan masih seperti masa muda-muda/remaja dahulu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara Ujangkutik,

      Saya bersetuju. Tetapi mungkin hanya kepada kawan-kawan yang rapat dan telah mengenali pekerti kita.

      Wallahu 'alam

      Padam
  3. Pak Mail,

    Depa kata...bila kita semakin tua kita akan semakin kesunyian..

    Berjumpa sahabat lama adalah antara perkara2 yang amat mengembirakan kita. Saya juga begitu.

    Tahniah untuk Pak Mail kerana telah melalui saat yang mengembirakan di Melaka.

    Meminjam kata Ujang kutik diatas...saperti kita tidak tua-tua..huaaahahahaha...

    Allahuakbar.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Begitulah hakikatnya. Semakin tua semakin sunyi kerana anak-anak menjalani kehidupan masing2 bersama keluarga mereka.

      Adakalanya sahabat lebih mengenali diri kita daripada anak2 atau saudara sendiri. Biarpun sudah tua masih boleh berseloka dan bergurau. Itu yang membuat kita perasan tidak tua-tua.

      Padam