Pengikut

Jumaat, 15 Jun 2012

Tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahui


Aku naiki bas sewaktu pergi dan pulang sekolah ketika darjah 4 dan 5. Sebelum itu aku dan arwah abangku Abu Bakar menaiki van sekolah Pak Maon. Dari rumahku di Jalan Sawi ke sekolah lebih kurang 2 batu. Waktu itu kiraan jarak belum menggunakan sistem metrik lagi.

Aku masih lagi ingat wajah Pak Maon yang memandu van dari jenis Bedford kelabu. Kecil orangnya dan tidak pula bengis atau garang. Ini membuatkan kanak-kanak sekolah yang menumpang van Pak Maon suka padanya.

Namun, suatu hari Pak Maon memberitahu ibuku bahawa abangku tidak dibenarkan terus menaiki van sewaannya. Pak Maon beritahu abangku suka membuli budak-budak sekolah lain yang sama naiki vannya. Tetapi aku boleh dan dibenarkan terus naiki vannya sekiranya ibuku inginkan.

Setelah ibuku memikirkan demi keselamatan kami berdua, ibu benarkan kami naiki bas bersama. Waktu pulang dari sekolah pula kami pulang bersendirian. Ini kerana ada ketika kami terpaksa mengikuti aktiviti petang masing-masing.

Kami ke sekolah dibekalkan 20 sen seorang. Tambang naiki bas pergi 5 sen dan balik juga 5 sen. Baki 10 sen itulah buat belanja makan di waktu rehat.

Aku masih ingat pada Mak Jah yang menjual nasi lemak lauk sotong di ‘tuck-shop’. Nasi lemak sepinggan kecil 10 sen. Sepotong sotong juga 10 sen. Selalu juga bila aku beli nasi lemak sahaja, Mak Jah akan berikan juga sotong kepadaku percuma.

Mak Jah adalah kawan ibuku. Mereka telah lama berkawan hasil dari persahabatan ayahku dan suami Mak Jah, Pak Husin. Malah lama setelah ayahku sekeluarga berhijrah ke Kuala Lumpur, Pak Husin dan Mak Jah beberapa kali datang menziarahi kami sekeluarga.

Mereka juga pernah berura-ura hendak berbesan dengan menjodohkan abangku Abu Bakar dengan salah seorang anak perempuan mereka. Namun, takdir Allah swt menentukan segalanya. Abangku memilih pasangannya sendiri dan anak perempuan Mak Jah juga memilih pasangannya sendiri. Mereka tetap menjadi sahabat sehingga ke akhir hayat.

Seringkali juga aku pulang dari sekolah berjalan kaki. Adakala wang tambang bas 5 sen itu aku berbelanja. Adakala juga aku simpan untuk dibelanja pada waktu petang di rumah.

Di dalam perjalanan pulang berjalan kaki di jalan besar terdapat sebuah rumah yang menyediakan satu ‘container’ sederhana besar berisi air sirap khas untuk anak-anak sekolah yang melalui jalan besar tersebut untuk diminum. Tuan rumah dengan ikhlas hati telah memperuntukkan kepada anak-anak yang kehausan minum dengan percuma. Setiap kali bila aku melalui rumah tersebut pulang dari sekolah aku akan singgah untuk minum air sirap bagi menghilangkan dahaga.

Sehingga kini aku terfikir dan masih berfikir untuk beramal jariah secara demikian. Tetapi malangnya rumahku tidak terletak di laluan anak-anak pulang dari sekolah.

Walaupun amalan memberi minuman kepada kanak-kanak sekolah dipandang kecil, namun bagi sipenerima seperti aku masih ingat dan berbekas di jiwa ini akan ihsan tuan rumah tersebut. Biarpun sehingga kini aku masih tidak mengetahui siapakah gerangan orang itu. Ibarat pepatah ‘tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahui’.

Semuga Allah swt jua membalas budi baik tuan rumah itu. Dan Allah itu Maha Halus hisabnya.

PakMail: Kantin sekolah di Singapura disebut ‘tuck-shop’ (old fashioned- BrE) pada zaman itu.

3 ulasan:

  1. nasi lemak seposen..krg ni mmg x dpt da makanan ngan harga cmtu..paling kurang pun..dpt gula2 je :)

    wahh..bagusnya..org tu sediakan minuman utk anak2 yg jln kaki..murah rezeki org tu kan..amal jariah yg mungkin ada sesetgh org nampak kecil..tp yg merasa..mmg syukur alhamdulillah..dpt menghilang sedikit rasa penat dan haus

    BalasPadam
  2. Chii,

    Allah swt jua yang membalas budi baik orang tersebut.

    BalasPadam
  3. Wauuu..tak sangka dan tak pernah terfikir pula ada org yg sebegitu mulia ye Pak Mail...tu lahh...kalau nak buat amal ni sebenarnya mudah jerrr..kdg2 sambil tak perasan pun sebenarnya kita dh buat satu amalan....

    BalasPadam