Seperti apa yang saya lihat sewaktu menghadiri majlis pertemuan
YDP Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen (KVTTB) dan pesara-pesara tentera
di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam semalam, kedatangan dari kalangan
pesara-pesara ATM tidak begitu memuaskan. Kedatangan yang saya dapat anggarkan
adalah sekitar 150 orang sahaja tidak termasuk rombongan KVTTB.
| Sebahagian dari pesara-pesara yang hadir. |
Ini saya bandingkan dengan apa yang saya lihat pada
gambar-gambar yang diambil oleh urusetia KVTTB sewaktu melakukan ‘roadshow’ di
kawasan utara seperti Kedah dan Pulau Pinang yang bilangannya jauh lebih besar dari bilangan kehadiran di Shah Alam.
Saya sempat bertanyakan kepada beberapa pesara yang hadir secara
rambang dan mendapati kebanyakan mereka mendapat maklumat dan mengetahui
mengenai majlis pertemuan ini dari teman pada hari-hari dan saat-saat terakhir.
Penyampaian maklumat melalui mulut ke mulut atau dari perseorangan adalah tidak
praktikal dewasa ini. Ini memandangkan dunia telah berubah kepada informasi
maklumat tanpa sempadan.
Saya sendiri mendapat maklumat ini tiga hari sebelum majlis ini
diadakan dari rakan TLDM.
Apa yang memusykilkan saya ialah mengapa pihak
pengurusan/urusetia KVTTB tidak memanfaatkan sepenuhnya ruangan blog yang
dimiliki sendiri oleh KVTTB dalam menyampaikan apa jua maklumat dan aktiviti
kumpulan ini. Saya dapati blog kvttb1malaysia.blogspot.com tidak dikemaskini.
Kali terakhir blog ini memuatkan entri adalah pada 24hb Mei 2012.
Banyak komen dari orang ramai yang melawati blog ini menyuarakan
kekecewaan mereka kerana tidak mendapat maklumat terkini dari pihak KVTTB. Ini
amat mengecewakan ahli-ahli dan mereka yang teruja untuk menjadi ahli di dalam
kumpulan ini. Saya juga dapati mereka mempunyai banyak persoalan yang ingin
mereka ketahui tentang kumpulan ini, namun pertanyaan-pertanyaan mereka di
ruangan komen tidak juga mendapat jawapan pasti.
Oleh yang demikian, saya berharap pihak pengurusan atau urusetia
KVTTB dapat melakukan sesuatu yang positif dalam memperbaiki kelemahan ini demi
meningkatkan lagi prestasi untuk terus berkembang dan menambah bilangan
keahlian kumpulan.
Saya percaya maklumat yang tepat dan terkini dapat disalurkan
kepada ramai pesara-pesara ATM yang tidak berpencen yang sentiasa mendambakan pengharapan
dalam menuntut ‘hak’ mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan