Kelmarin Pak
Mail menerima komen dari saudara Katon yang menyuarakan perasaan geram, sedih
dan sebagainya berikutan satu kisah pengalaman pahit yang dialami oleh bekas
seorang anggota TLDM yang bernama Jalil bin Saat menerusi majalah Perajurit
yang ditulis oleh saudara Hamzah Hj. Dollah yang Pak Mail kenali juga dengan
nama samarannya Pak Lang Hamzah. Di bawah ini saya salinkan semula tulisan
saudara Hamzah Hj. Dollah untuk sama-sama kita fikirkan.
Sumber majalah
perajurit edisi Mac 2012.
November 2011, negara kehilangan seorang Jurukamera Bernama TV Noramfaizul
Mohd. Nor yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan
Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia. Ekoran
daripada kejadian itu, Allahyarham diberi bermacam-macam anugerah dan
imbuhan termasuk anugerah Bintang Gagah Perkasa (BGP)……
Nostalgia Perajurit kali ini memaparkan kisah suka duka seorang bekas warga
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berkhidmat pada era 80-90an.
“Setelah menghayati detik-detik pengorbanan Allahyarham Noramfaizul dalam misi
beliau dan dilapor secara meluas di media, tergerak di hati saya untuk
berkongsi kisah suka duka kehidupan masa lampau saya bersama rakan-rakan
senasib di dalam perkhidmatan” Jalil memulakan bicara semasa menghubungi
penulis bagi melanjutkan hasrat beliau untuk berkongsi rasa dengan masyarakat
umum tentang pengalaman pahit yang beliau pernah alami semasa bertugas.
Jalil bin Saat dilahirkan pada 16 Jan 1966 di sebuah kampung dalam daerah Batu
Pahat, Johor telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Senggarang
dan melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah
Kebangsaan Senggarang sehingga tahun 1983.
Selepas menamatkan alam persekolahan pada tahap SPM, Jalil melakukan pelbagai
pekerjaan seperti menoreh getah, memetik kopi dan akhir sekali beliau berkerja
di sebuah kilang getah di daerah Batu Pahat untuk menampung perbelanjaan diri
sendiri dan keluarganya yang agak susah pada ketika itu meski pun
pendapatannya lebih kurang RM 120 sebulan
Bertitik tolak daripada kesusahan ini di samping akademiknya yang tidak
memuaskan, Jalil mengambil keputusan untuk mencebur diri dalam perkhidmatan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setelah mendapat restu kedua ibu bapa
beliau. Kebetulannya waktu itu TLDM sedang mengadakan sesi temuduga
terbuka untuk pengambilan rekrut baru di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di
seluruh Malaysia.
Di sekolah Tinggi Batu Pahat, Jalil mencuba nasib dan berjaya dalam sesi
temuduga tersebut. Pada tanggal 24 Okt 1986 Jalil mengangkat sumpah
setelah diterima sebagai anggota TLDM dan memulakan sesi latihan
rekrut atau kini lebih dikenali sebagai Perajurit Muda di Pangkalan TLDM
Woodlands Singapura. Waktu itu usia beliau 20 tahun diberi nombor
pengenalan tentera laut 815510.
Anggota Peperangan Paras Permukaan (PPP)
Selama enam bulan Jalil menjalani latihan rekrut dan dapat diharungi dengan
tabah walaupun kata orang, latihan rekrut ibarat ‘neraka dunia’ bagi anggota
tentera kerana proses mententerakan orang awam bermula pada fasa ini.
Segalanya diajar dan dilatih di sini bagi merubah perwatakan dan tingkah laku
selari dengan kehendak dan doktrin ATM.
Memasuki fasa kedua latihan bagi seorang anggota Lain-lain Pangkat (LLP) TLDM
ialah kursus Lasykar Kelas 2 (LK2) sesuatu kepakaran yang semuanya diadakan di
KD PELANDOK Lumut atau kini dikenali sebagai Kolej Tentera Laut. Jalil
sebagai anggota PPP dikehendaki meneruskan kursus ini selama 6 bulan lagi bagi
memulakan satu kerjaya sebagai anggota PPP sebelum dihantar ke
penempatan-penempatan untuk tugasan seterusnya.
Setamat kursus LK2, Jalil di‘deraf’kan (istilah TLDM yang biasanya di sebut
posting bagi angkatan lain) ke Kapal Diraja SRI INDERA SAKTI (KD SIS) yakni
sebuah kapal Multy Purpose Control and Supply Ship (MPCSS) dari Flotilla
Bantuan Armada TLDM untuk selama 6 bulan lagi untuk menjalani Latihan Sambil
Kerja (LSK).
Setamat LSK Jalil sekali lagi dihantar balik ke Sekolah PPP untuk memulakan
kursus peringkat LK1 dalam kepakaran yang sama. Lulus kursus ini
melayakkan seseorang anggota LLP menduduki peperiksaan untuk kenaikan pangkat
seterusnya di samping boleh dipertanggungjawabkan untuk memegang sesuatu
jawatan yang sesuai dengan pangkatnya. Di peringkat ini biasanya
anggota-anggota TLDM sudah boleh berdikari dan tahu selok belok ilmu kelautan
dan kepakaran yang telah dipilih.
Setamat kursus ini pada 1988, Jalil diperjawatkan sebagai anggota meriam
40/70mm di Skuadron Kapal Ronda PC 13 KD KERAMBIT (Kelas Keris) yang
berpangkalan di Labuan Sabah. Dua tahun berkhidmat di kapal ini tambahan
pula bertugas di persekitaran Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Laut China Selatan
mematangkan Jalil sebagai seorang kelasi. Mengharungi gelombang dan
cabaran tugas menjaga kepentingan negara di Gugusan Semarang Peninjau (GSP) DAN
Laut Sulu menjadikan Jalil dan rakan-rakan semakin kental menghadapi segala
rintangan dan ancaman mendatang.
Kitaran perkhidamatan terus berlaku di mana Jalil dinaikkan ke darat mengisi
perjawatan anggota Rejimen Keselamatan (sekarang PROTELA) yang berpangkalan di
Lumut Perak. Memanfaatkan masa menjaga pintu-pintu gerbang dan
penempatan-penempatan strategik TLDM bukanlah ‘masa rehat’ bagi anggota-anggota
kelasi kerana tanggongjawab yang dipikul adalah tetap sama cuma suasana dan
persekitaran yang membezakannya.
Sejarah Yang Tidak Boleh Dilupakan
Pada 1993, Jalil sekali lagi diderafkan ke Kapal Ronda tetapi kali ini di
Skuadron PC 14 KD SRI SARAWAK (KDSS) (PC Kelas Sabah).yang berpangkalan di
Tanjong Gelang Kuantan. Tugas hakiki beliau di tempat baru ini masih lagi
sebagai anggota meriam 40/70mm dan lain-lain persenjataan dalam kapal.
Sebagai anggota senior dalam kalangan PPP, beliau tidak boleh lari dari
memikul tanggung jawab sekunder di mana selain menjadi anggota Tim Mendarat
(Landing Party) Jalil juga adalah seorang anggota Tim Menggeledah (Boarding
Party) yang proaktif. Selain beliau, ada beberapa orang lagi rakannya
yang mewakili bahagian teknikal, komunikasi yang melengkapkan kekuatan Tim
Menggeledah. Namun begitu dalam sesuatu misi penggeledahan tidak semua
kekuatan Tim Menggeledah ditugaskan kerana setiap operasi akan dinilai terlebih
dahulu oleh pemerintah yang mana dalam kalangan mereka boleh dipecahkan kepada
beberapa Tim Kecil bergantung kepada kekuatan ‘musuh’ yang bakal
dikendalikan.
Operasi menggeledah trawler-trawler perikanan asing seperti Thai, Vietnam,
Indonesia malah juga China adalah ‘makanan’ ruji bagi skuadron PC 14 yang
beroperasi di ZEE Pantai Timur Semenanjong merupakan tugas sekunder TLDM
sewaktu aman. Operasi CABUT (Ops Cabut) pada asalnya satu operasi
menyekat ‘orang hanyut’ Vietnam yang melarikan diri melalui jalan laut untuk ke
negara-negara ketiga dalam usaha menyelamatkan diri dan keluarga dari
terperangkap dalam kemelut pergolakan dalam negara mereka sekitar 1970an.
Setelah kemelut di Vietnam tamat, Ops Cabut masih diteruskan namun operasinya
lebih tertumpu kepada pembenterasan nelayan-nelayan asing yang mencuri hasil
laut dalam jajahan negara. Aktiviti ini telah menjejaskan ekonomi negara
yang berasaskan hasil makanan laut dan turut mencetus jenayah lain seperti
perlanunan yang menjejaskan pengusaha-pengusaha perikanan tempatan.
Kapal-kapal yang terlibat dalam Ops Cabut dikehendaki berada di kawasan
tanggong jawab selama 10 hari bagi setiap penugasan.
Sejarah yang tidak mungkin boleh dilupakan sepanjang hayat Jalil ialah bermula
pada 8 April 1993 semasa menyertai KDSS belayar untuk rutin Ops Cabut untuk
kesekian kalinya. KDSS berlepas dari Jeti TLDM Tanjong Gelang pada jam
0800. Keesokan harinya sekitar jam 1000, kapal telah menahan sebuah Bot
Pukat Tunda Thai (BPTT) di Perairan Trengganu. Setelah digeledah BPTT
tersebut ternyata tidak mempunyai dokumen yang membenarkan penangkapan ikan
dalam negara Malaysia.
Susulan daripada itu Pegawai Memerintah mengarahkan supaya BPTT serta 6 orang
awak-awak yang semuanya rakyat Thailand di bawa ke Pulau Redang. Jalil
bersama Tim Menggeledah yang lain LK1 PPP Al Haimi Alip yang merupakan Ketua
Tim ini malah juga Serang Kedua (2nd Buffer) KDSS dan seorang lagi LK1 TMK
Hairozali Hamzah yang bertindak sebagai anggota teknikal tim ini.
Pelayaran dari posisi BPTT ditahan ke Pulau redang memakan masa 3 jam dengan
diiringi oleh Kapal Induk KDSS. Mereka bersauh dan bermalam di Pulau
Redang sehingga keesokan harinya 10 Apr jam 0600, mereka diarahkan supaya
meneruskan perjalanan untuk membawa BPTT ke Pulau Kapas yang akan memakan masa
lebih kurang 3 jam untuk tiba ke lokasi untuk diserahkan kepada agensi
Penguatkuasaan untuk tindakan selanjutnya. Biasanya agensi Perikanan yang
akan mengambil tugas pendakwaan.
Benar kata orang bahawa langit tidak selalu cerah. Selepas dua jam
setengah pelayaran ke Pulau Kapas yang pada mulanya cuaca agak tenang tiba-tiba
bertukar menjadi sebaliknya. Angin bertiup kencang dan keadaan laut
bergelora. Jalil dan rakan-rakannya jadi kelam kabut dan hilang
tumpuan. Memburukkan lagi keadaan, kompas bot BPTT turut tidak berfungsi
dan mereka jadi hilang arah tuju dan pedoman. KDSS sudah tidak kelihatan
lagi di belakang, Pulau Kapas yang pada mulanya jelas kelihatan hilang dari
penglihatan disebabkan hujan lebat. Dalam masa yang sama, mereka juga
terpaksa mengawasi awak-awak BPTT seramai 6 orang yang berada di dalam bot
bersama mereka.
Kesemua awak-awak BPTT ditempatkan di haluan bot basah kuyup dan
kesejukan. Atas dasar perikemanusiaan, setelah mendapat persetujuan dari
Al-Haimi selaku Ketua Tim, semua awak-awak dipindahkan ke Anjungan bot di mana
Jalil mengawal di sebelah kiri bot, Al-Haimi mengawal di sebelah kanan dan
Hairozali menjaga di bahagian enjin bot.
Setelah kesemua awak-awak berada di Anjungan, AL-Haimi mengarahkan Tekong BPTT
supaya mengemudikan bot sementara mereka bertiga mengawasi keadaan yang agak
kelam kabut pada masa itu. Hampir 2 jam mereka bertarung dengan ombak dan
mencari haluan yang sebenar untuk dituju namun Pulau Kapas masih juga belum
kelihatan. KDSS juga tidak kelihatan, perhubungan mereka terputus kerana
alat perhubungan walkie-talkie tidak mampu untuk memberi liputan bila berada di
luar jarak kemampuannya atau mungkin juga disebabkan cuaca buruk.
Dalam perjalanan yang cukup menyeksakan itu, mereka ada mendengar
perbualan antara awak-awak dalam bahasa Thai, tapi mereka tidak faham apa
butirannya. Diperhatikan salah seorang dari awak-awak tersebut ada
memerhatikan di sekeliling bahagian luar, mungkin mereka ingin meninjau
di mana KDSS berada ketika itu dan masuk semula ke Anjungan dan
berkata sesuatu kepada kawan-kawannya. Jalil dan rakan-rakannya tidak
mengesyaki yang awak-awak ini sedang merancang sesuatu sehingga tiba-tiba
kedengaran enjin bot dimatikan.
Serentak dengan itu, 2 orang dari 6 awak-awak yang berada di dalam bot telah
menyerbu ke arah Jalil, 2 orang lagi menyerang AL-Haimi dan 2 orang selebihnya
menyerang Hairozali. Mereka bertiga tidak sempat untuk berbuat apa-apa
tindakan balas disebabkan ruang bot yang sempit.
Jalil dipukul namun Jalil dapat mempertahankan diri dan senjata M16 yang
dibawanya sepanjang masa. Dalam pergelutan itu Jalil dapat meloloskan
diri dan keluar ke sebelah kanan (starboard) bot. Pada masa itulah Jalil
melihat Hairozali sedang diikat. Jalil mencari Al-Haimi namun tidak
kelihatan tiba-tiba matanya terpandang ke arah 2 orang lain yang tadinya
menyerang Al-Haimi sedang menekan sesuatu objek. Firasatnya kuat mengatakan
objek yang ditekan itu adalah Buffer Al-Haimi lantas Jalil cuba mengguna
senjata yang dibawanya tapi malangnya salah seorang yang melihat tindakan Jalil
telah bertindak lebih pantas menerajang sebelah kaki kanannya.
Jalil gagal mengimbangi badannya apatah lagi dalam keadaan laut yang bergelora
membantunya terhumban ke laut. M16nya turut terlepas dari gengamannya dan
tenggelam ke dasar lautan.
29 Jam Terapung Di Laut
Di dalam laut, Jalil mengapongkan diri seketika mengawasi pergerakan bot
dikuatiri bot itu berpatah balik dan melanggarnya. Namun beliau bersyukur
kepada Ilahi kerana bot BPTT itu tidak bertindak seperti yang
dikuatirkan. Bot BPTT terus beredar daripada situ dengan membawa
kawannya Hairozali dan Al-haimi yang tidak diketahui apa nasib mereka.
Setelah meyakini Bot itu tidak berpatah balik, Jalil menarik tali pelepas gas
karbon dioksida bagi mengembangkan jaket keselamatan yang sepanjang masa berada
di pinggangnya bila merapat ke Stesen Menggeledah. Jaket keselamatan yang
dibekalkan oleh TLDM boleh bertahan sehingga 72 jam mengikut jaminan pengeluar
jika tidak tercucuk benda-benda tajam yang boleh membocorkannya.
Walaupun agak cemas, namun Jalil cuba mengawal perasaan itu kerana beliau yakin
KDSS atau bot-bot nelayan yang melalui kawasan itu akan ternampak beliau.
Tekaan Jalil meleset….saat demi saat, minit demi minit masa berlalu namun tidak
kelihatan satu makhluk pun lalu yang memungkinkan beliau dapat
diselamatkan. Masa terus berlalu dari pagi hingga ke petang, menyusur
malam dan kembali siang. Jalil telah dihanyutkan jauh dari lokasi asal di mana
dia tercampak. Jalil menjangkakan dia sudah hanyut jauh ke sempadan
negeri Kelantan berdasarkan objek-objek yang biasa di lihat melalui
pengalamannya. Sebenarnya banyak bot yang Jalil nampak tapi dalam
jaraknya yang agak jauh dan tidak nampak atau mendengar jika dipanggil.
Jalil cuba juga untuk berenang namun arus deras yang berlawanan
menggagalkannya.
Hatinya takut berbaur hiba. Takut mengenangkan keadaan dirinya ketika itu
yang sudah tidak berdaya yang boleh mengundang bermacam-macam kemungkinan.
Sepanjang beliau terapung kelibat Jerung banyak kali dilihatnya. Obor-obor
membelit badannya dan gatal, bisa, pedih yang sangat menyakitkan. Jalil
betul-betul pasrah. Sudah lebih 20 jam beliau bersabung nyawa di
lautan. Hanya Allah sahaja tempat Jalil mengharap. Kematian boleh
menjemput beliau bila-bila masa samada dalam bentuk disambar Jerung, kelemasan,
kesejukan, kelaparan atau mungkin beliau dilanggar kapal atau bot yang melalui
di kawasan itu. Bermacam-macam kemungkinan bemain di fikirannya yang cuma
mampu diterjemah dengan doa, istighfar dan laungan azan agar Allah mencampakkan
keajaiban. Alhamdulillah, dalam keadaan lapar dan dahaga Allah
telah menurunkan hujan lebat dan Jalil hanya membuka mulut menadah air hujan
sebagai penghilang dahaga. Siang hari keduanya iaitu 11 Apr 1993 cuaca agak
baik. Cuaca panas akan menambahkan lagi keletihan dan dahaga. Seekor
burung camar datang hinggap di atas badannya yang terapung bagaikan malaikat
yang datang bertanya kabar dan memberi pengharapan kepada Jalil supaya bersabar
dan bakal diselamatkan tidak lama lagi.
Hiba mengenangkan isteri yang sedang hamil 4 bulan mengandungkan anak
pertamanya. Apakah nasib yang akan dialami oleh isteri dan anaknya jika
ketiadaan beliau nanti. Hiba juga mengenangkan sampai saat ini rakan
seperjuangan KDSS maupun tim search and rescue (SAR) tidak datang
menyelamatkannya.
Dalam keadaan hambanya yang sudah berputus harap untuk terus hidup, tiba-tiba
Allah telah mencampakkan keajaiban memakbulkan doa dan pengharapan hambanya
yang sudah tidak berdaya dan pasrah menerima apa saja kemungkinan yang
ditakdirkan. Lebih kurang jam 1700, sebuah kapal dagang lalu berhampiran
dengan kedudukan Jalil. Mengumpul sekuat tenaga Jalil melambai-lambai ke
arah kapal tersebut dengan menggunakan jaket keselamatan. Jaket yang
berwarna merah itu lebih mudah untuk dilihat oleh pemerhati kapal berbanding
lambaian tangan kosong. Namun tindakan Jalil tidak berhasil bila melihat tiada
respon dari pihak kapal yang berlalu pergi.
Kecewa melanda di hati Jalil. Fikirnya sudah tiada harapan lagi baginya
untuk hidup setelah peluang yang sesekali datang ini berlalu begitu saja.
Posisi Jalil sudah melepasi ke buritan kapal …tiba-tiba seorang anak kapal yang
berada di buritan terpadang ke arahnya lantas memaklumkan kepada kapten kapal.
Beberapa ketika kelihatan kapal tersebut menukar haluan menuju ke
arahnya. Semangatnya pulih serta merta. Allah telah memakbulkan
doanya. Kapal GASTOR GAS yang berdaftar di Panama dalam pelayaran
ke Korea telah menyelamatkan dirinya.
24 jam kemudian kapal GASTOR GAS berlabuh di Singapura dan menyerahkan Jalil
kepada Imigresen Singapura sebelum diserahkan kepada BEREK TLDM
Woodlands. Di BEREK TLDM, Jalil cuma dirawat sebagai pesakit luar di Sickbay
(Rumah Sakit ATM), jauh meleset dari perkiraan Jalil sebelum itu dia
sekurang-kurangnya akan di wadkan di Hospital beberapa waktu bagi menghilangkan
trauma di samping merawat kulitnya yang hancur teruk. Belum pun terubat
kesedihan itu pada Jalil diarahkan balik ke Markas Wilayah Laut 2 (MAWILA 2) di
Kuantan dengan menaiki bas Ekspres untuk Board of Inquiry (BOI). Terlintas di
benak Jalil, dia seolah-olah dilayan seperti orang salah. Dia jadi
keliru.
Apa telah terjadi kepada dua orang lagi rakannya?. Hairozali ditawan oleh
awak-awak BPTT dan dibebaskan di Songkhla Thailand dan Buffer Al-Haimi hilang
tanpa berita. Mungkin samudera nisannya. Berita ini diketahui
setelah beliau tiba di MAWILA 2 bila Hairozali memberitahunya. Hairozali
tiba di MAWILA 2 sehari lebih awal daripadannya.
Walaupun Jalil masih trauma dan fobia dengan laut akibat dari peristiwa lepas
namun beliau dikehendaki mengikuti pelayaran macam biasa dan meneruskan
perkhidmatan di KDSS sehingga 1995.
Dari tahun 1995 hingga tahun 1996 Jalil ditugaskan di MAWILA 2 bahagian Pusat
Kawalan Berek. Pada tahun 1996, Jalil diderafkan ke Berek TLDM Woodlands
Singapura sehingga tutupnya Berek TLDM Woodlands pada tahun 1998 lalu berpindah
ke Pangkalan TLDM Tanjong Pengelih sehinggalah tahun 1999 yang mana mencapai
tempoh tamat perkhidmatan (TTP) wajib selama 13 tahun, Jalil mengambil
keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan.
Sejak peristiwa hitam yang terjadi ke atas dirinya, Jalil merasakan dia
tidak boleh bertahan lebih lama lagi dalam perkhidmatan TLDM memandangkan
TLDM sendiri pun tidak pernah mengambil ingatan atas peristiwa tersebut apatah
lagi untuk menghargai pengorbanan beliau sekurang-kurangnya. Selepas
peristiwa itu hanya kerajaan negeri Pahang sahaja yang telah menyumbang wang
tunai RM1,000.00 kepadanya.
Untuk ‘arwah’ Al-Haimi yang diistiharkan mati selepas beberapa ketika, namanya
diabadikan pada dewan serbaguna MAWILA 2 di samping berhak menerima pencen
bulanan kepada warisnya. Manakala Hairozali meneruskan perkhidmatan.
Kehidupan Pasca Perkhidmatan
Jalil menyedari menamatkan perkhidmatan tanpa pencen akan berhadapan dengan
cabaran yang lebih besar jika tidak mengurus diri dengan betul terutamanya
dalam soal ekonomi.
Sekarang Jalil mencari rezeki dengan berkerja sendiri seperti mengambil upah
memotong buah Kelapa Sawit dan apa-apa saja kerja halal yang boleh mendatangkan
wang. Bekerja sendiri walau pun pendapatan tidak tetap namun hatinya lebih
tenteram, dengan pekerjaan inilah Jalil menyekolahkan 4 orang anaknya yang kini
berumur 18, 16,12 dan 10 tahun.
Mengakhiri perbualan, Jalil berpesan kepada rakan-rakan yang masih dalam
perkhidmatan supaya berhati-hati ketika bertugas dan ambillah cerita ini
sebagai pedoman kerana kecelakaan boleh menimpa kita tanpa kita
mengundangnya. Duka sengsara jangan mengharapkan ada orang yang akan mengenang
dan menghargainya melainkan anda adalah Sang Juara yang menjulang piala yang
menjadi kebangggaan negara. Derita dan mati dalam menjaga kedaulatan
negara belum pasti anda akan diangkat sebagai wira. PERAJURIT
Setelah
membaca isi kandungan yang ditulis oleh Pak Lang Hamzah yang diposkan juga
menerusi Facebook, agak lama juga Pak Mail bermenung memikirkan nasib yang
menimpa Jalil dalam mengharungi peristiwa kritis dan menakutkan ketika terapung
keseorangan selama 29 jam sementara menanti untuk ditemui dan diselamatkan.
Hanya Allah swt jua yang mengetahui perasaan Jalil ketika itu. Tidak mungkin orang lain yang tidak
berpengalaman mengalami situasi seperti itu merasai bagaimana perasaannya.
Walaupun
suatu ketika dahulu Pak Mail pernah juga mengalami situasi yang hampir sama
seperti ini dalam kejadian tenggelamnya KD Sri Perak, tetapi ia amat berbeza.
Walaupun jangka masa Pak Mail berada di laut ia itu selama 72 jam, namun Pak
Mail tidak keseorangan. Pak Mail masih bertemankan seramai 25 anak-anak kapal
yang lain. Pak Mail dan teman-temannya juga tidak terapung secara berasingan.
Tetapi Pak Mail dan teman-teman dapat berlindung di dalam pelampong penyelamat.
Pak Mail dan teman-teman masih juga dapat berlindung dari panas yang terik dan
hujan yang turun serta angin laut yang dingin dan bergelora.
Pak Mail
masih bermenung lagi. Pada fikiran Pak
Mail pengalaman getir yang dilalui oleh Jalil jauh lebih hebat dari apa yang
dilalui sendiri oleh Pak Mail dan teman-temannya. Terapung di dalam pelampong
penyelamat begitu menakutkan. Yang paling ditakuti ialah dilanggar kapal pada
waktu malam sewaktu lampu pelampong penyelamat tidak berfungsi. Apatah lagi
jika terapung sendirian. Berbagai-bagai fikiran yang tidak baik datang
menerjah. Mungkin yang paling menakutkan Jalil ialah apabila menjadi makanan
ikan jerung yang berkeliaran.
Pak Mail
masih terus bermenung lagi. Pak Mail merasa sedih dan kecewa memikirkan rentetan tindakan
yang diambil oleh pegawai atasan Jalil setelah diselamatkan.
Tanpa
memikirkan kesan trauma yang dialami oleh Jalil, pegawai atasannya terus
mengarahkan Jalil melapur diri ke kapal lamanya setelah hanya diberi rawatan
sebagai pesakit luar di Rumah Sakit ATM, walaupun kesan kulitnya yang hancur
teruk masih kelihatan.
Di mana
perginya budi bicara pegawai-pegawai TLDM yang bijak pandai ketika itu dalam
menangani masalah ini. Di mana letaknya ihsan sebagai seorang Islam
dari kalangan pegawai atasan TLDM. Apakah telah hilang pertimbangan fikiran yang waras dari
pegawai atasan TLDM sehingga melupakan kebajikan orang bawahan mereka.
Sebaliknya, Pak
Mail teringat sejurus setelah Pak Mail dan teman-temannya diselamatkan, semua
anak-anak kapal telah diberi cuti selama dua minggu tanpa rekod.
Mengapa
Jalil dan seorang lagi rakannya Hairozali yang telah ditawan oleh awak-awak
BPTT dan kemudiannya dibebaskan tidak diberi cuti tanpa rekod seperti Pak Mail.
Mungkin juga
pada fikiran Pak Mail, pegawai atasan akan mempertikaikan kebajikan bagaimana
yang perlu diberi dalam menangani situasi seperti ini. Mungkin mereka juga akan
bertanya, ‘What do you expect’.
Lantas Pak
Mail juga teringat akan kata-kata sinis
Nabil Raja Lawak Astro, ‘Lu fikirlah sendiri’.
Anehnya,
kisah-kisah seperti ini hanya akan diketahui umum hanya apabila seseorang
anggota yang terlibat di dalam sesuatu peristiwa itu telah bersara. Mereka akan
mula keluarkan cerita-cerita benar yang terlalu pahit untuk ditelan dan
diterima hakikatnya oleh pihak atasan TLDM. Sewaktu masih berpakaian seragam
mereka yang terlibat di dalam sesuatu peristiwa itu sama sekali dilarang
memberi kenyataan kepada media. Hanya jurucakap TLDM sahaja yang dibenarkan
mengeluarkan kenyataan.
Pak Mail
bermenung dan terus bermenung. Akhir sekali Pak Mail terfikir, bila agaknya
kisah ‘Terbakarnya KD Sri Inderapura’ akan diceritakan.