Pagi tadi saya ke Putrajaya dengan satu tujuan utama selain tujuan sampingan untuk bertemu teman lama saya ketika sama-sama berkhidmat di
kapal KD Jerai lebih 25 tahun lalu.
Tujuan utama pula ialah untuk melihat, meninjau dan mengetahui
permasalahan sebenar yang dialami oleh bekas veteran tentera tidak berpencen
yang mengadakan perhimpunan aman di Dataran Masjid Putrajaya demi menuntut
beberapa perkara yang bersabit dengan janji Perdana Menteri Dato’ Seri Najib
Tun Abdul Razak berhubung peruntukan RM50juta kepada pesara tentera tidak
berpencen di dalam Bajet 2012.
| Kain rentang KVTTB |
Saya difahamkan bahawa perhimpunan ini telah mendapat kelulusan
dari pihak PDRM. Kumpulan ini yang dinamai Kumpulan Veteran Tentera Tidak
Berpencen (KVTTB) mendatangkan dua buah bas yang penuh dengan ahli mereka.
Selain itu puluhan kereta dari kalangan ahli KVTTB turut sama menyertai
perhimpunan ini. Saya anggarkan lebih kurang 200 ahli KVTTB mengambil bahagian.
| Dua buah bas membawa ahli KVTTB |
Sebelum ini saya tidak mengetahui tentang kewujudan KVTTB. Saya
hanya mengetahui bahawa satu perhimpunan oleh kumpulan ini melalui satu grup 'Kami Bekas Tentera' di dalam laman sosial Facebook yang banyak mengundang salah
faham di antara anggota-anggota bekas tentera berpencen dan tidak berpencen.
Sejurus selepas PM Dato’ Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman
bahawa pesara tentera tidak berpencen diperuntukan RM50 juta untuk meningkatkan
taraf sosio-ekonomi mereka, saya dikhabarkan bahawa Persatuan Bekas Tentera
Malaysia (PBTM) telah diberi sebahagian kecil (kecil pun RM jutaan juga) dari
peruntukan tersebut untuk melaksanakan aktiviti demi kepentingan warga bekas
tentera tidak berpencen dengan mengadakan kursus yang menjurus kepada penubuhan
syarikat oleh peserta kursus.
Kebanyakan peserta kursus yang sudah berumur merasakan bahawa
usaha ini oleh PBTM tidak praktikal. Ini kerana faktor usia yang telah
menjelang senja, usia yang hanya menunggu saat dipanggil oleh Sang Pencipta. Mungkin
bagi pesara ATM yang relatifnya masih muda boleh dipraktikkan. Mereka masih
bertenaga dan layak membuat pinjaman bank.
KVTTB juga merasa curiga terhadap organisasi lain seperti JHEV,
PERHEBAT dan PBTM yang cuba ingin mengambil kesempatan dari peruntukan
tersebut. KVTTB tidak mahu pihak lain mengambil kesempatan dan inginkan agar
pesara ATM tidak berpencen memanfaatkan sepenuhnya peruntukan tersebut sama ada
secara langsung ataupun tidak langsung melalui mereka yang terdiri dari
kalangan pesara ATM tidak berpencen sendiri.
Oleh itu, maka pada 1hb Mac, 2012 atas inisiatif warga pesara
ATM tidak berpencen dari Negeri Sembilan dan Melaka telah menubuhkan Koperasi
Veteran Tentera Tidak Berpencen dan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen
yang diketuai oleh saudara Mohd Sabri.
| Saudara Mohd Sabri sedang menjelaskan sesuatu kepada wartawan yang hadir. |
Perhimpunan pagi tadi berjalan dengan lancar tanpa sebarang
insiden yang tidak diingini. Saya kira pihak berwajib seperti PDRM amat berpuas
hati dengan perjalanan perhimpunan tersebut.
Lebih kuran jam 10.00 pagi saudara Mohd Sabri dan beberapa ahli
lain berserta beberapa wartawan telah dibawa oleh seorang bernama Razman (Peg.
JPM) ke Pejabat Perdana Menteri untuk dipertemukan dengan seorang SetiaUsaha
Politik kepada Perdana Menteri iaitu Dato’ Fahmi untuk berbincang mengenai
perhimpunan tersebut dan menyampaikan tuntutan KVTTB kepada beliau.
Kami menunggu kesudahan pertemuan tersebut selama hampir dua
jam. Lebih kurang jam 12.00 tengahari, saudara Mohd Sabri dan rombongan kembali
menemui kami dan beberapa wartawan lain yang sedang menunggu dengan berbagai
pertanyaan di fikiran.
| Sebahagian dari ahli KVTTB bergambar diambil oleh wartawan-wartawan. |
Dalam pertemuan tersebut saudara Mohd Sabri memaklumkan bahawa
PM telah bersetuju untuk memberi sejumlah wang RM1juta daripada peruntukan RM50juta kepada Kumpulan Veteran
Tentera Tidak Berpencen untuk menjalankan acara ‘Road Show’ bagi memaklumkan
fungsi dan matlamat KVTTB ke seluruh Semenanjung Malaysia serta negeri Sabah
dan Sarawak. Tujuan ‘road show’ juga adalah untuk memaklumkan kepada seluruh
warga pesara ATM tidak berpencen di seluruh negara memandangkan bahawa terlalu
ramai warga ATM tidak berpencen tidak mengetahui tentang kewujudan KVTTB.
Beliau juga memaklumkan bahawa baki wang peruntukan tersebut
akan diberikan kepada Koperasi Veteran Tentera Tidak Berpencen untuk tujuan
melaksanakan aktiviti demi manfaat ahlinya. Satu pengumuman rasmi akan dibuat
oleh PM sendiri dalam satu acara perhimpunan besar pada satu tarikh yang akan
ditentukan sebelum pilihanraya akan datang.
Pada perhimpunan ini juga saya telah diberikan beberapa helai borang
untuk menjadi ahli. Keahlian adalah PERCUMA.
Namun demikian segala ini adalah perencanaan manusia. Ada
manusia berhati jujur dan ada pula bersifat sebaliknya. Sebagai seorang Islam,
seseorang itu harus memandang positif dan bersangka baik. Manusia merencana,
Allah swt jua menentukan.
Secara peribadi saya berpandangan jangan terlalu mengharap.

