Semakin hari semakin sayang terhadap dua beradik ini.
Sabtu, 30 Jun 2012
Khamis, 28 Jun 2012
Perjumpaan KVTTB Selangor
Saya dimaklumkan bahawa satu perjumpaan bersama YDP Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen En. Mohd Sabri Bin Abdul Malik dan rombongan akan
diadakan di Bangunan UMNO Selangor, Seksyen 14, Shah Alam, Selangor hari Ahad, jam 9.00
pagi 1hb Julai, 2012 ini.
Kepada semua bekas Anggota Tentera Malaysia tidak berpencen yang
berhasrat untuk menjadi ahli KVTTB dijemput hadir. Sila bawa bersama 2 keping
gambar bersaiz paspot, satu salinan kad pengenalan dan satu set salinan buku/kad
merah yang lengkap.
Harap maklum.
Rabu, 27 Jun 2012
Kupon Makanan
Saudara Presiden KVTTB,
Ada apa-apa komen tentang jawapan Menteri Pertahanan Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi pada persidangan Dewan Rakyat mengenai perkara ini.
Perkara ini jelas melibatkan kebajikan bekas tentera tidak berpencen.
Ahad, 24 Jun 2012
Jejak Sahabat TLDM – 5
Ucapan apa lagi yang semestinya aku ucapkan selain dari ucapan
Alhamdulillah. Dengan izinNYA aku dapat dihubungkan dengan seorang sahabat lama
sewaktu sama-sama mengharungi laut luas di Laut China Selatan di dalam
pelampong penyelamat lebih 28 tahun lalu.
Dengan kecanggihan dunia IT yang Allah kurniakan kepada manusia yang dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya serta membolehkan sesama manusia berkomunikasi
dan seterusnya dapat disatukan atau dipertemukan.
Baru sebentar tadi aku menghubungi Mangkau a/k Lingau. Kami
berbual menerusi h/phone selama beberapa minit. Lama sungguh kami tidak
bertemu. Sepanjang ingatanku sebelum aku berlepas ke Itali kami pernah bertemu
di Pangkalan TLDM Lumut seketika. Itulah kali terakhir aku bertemu beliau.
Di dalam perbualan kami sebentar tadi, beliau ada memberi sedikit
maklumat yang aku kira penting juga berkaitan peristiwa tenggelamnya KD Sri
Perak.
Setelah beliau tamat perkhidmatan selama 21 tahun dengan pangkat
terakhir Pegawai Waren II, beliau kini menetap di Kuching, Sarawak.
Insya’Allah, sekiranya diizinkan Allah aku ingin sekali menemui
beliau sama ada di Kuching atau pun di Kuala Lumpur. Atau juga di Lumut kerana
salah seorang anak beliau telah menyertai pasukan TLDM.
Selasa, 19 Jun 2012
Papa Francesco dan Mama Juliana
Setibanya aku di Itali 27 tahun dahulu, aku serta Jamal, Zainol,
Quek Chek Chai, Daljit Singh dan Zulkifli ditempatkan di rumah Francesco. Rumah tersebut terletak di Via Bassa Grande, sebuah
rumah besar dua tingkat yang hanya dihuni oleh Francesco yang kemudiannya kami
panggil Papa Francesco dan isterinya Mama Juliana. Mereka tinggal di bawah manakala kami
tinggal di atas.
Di sisi rumah ini terdapat juga sebuah rumah kecil dengan sebuah
bilik milik mereka. Beberapa hari setelah kami tiba, sepasang suami isteri
serta dua anak perempuan mereka tiba dari Switzerland dan menetap beberapa hari
sepanjang mereka berada di Itali di rumah kecil tersebut.
Negara kita baru beberapa tahun lalu memperkenalkan konsep
‘homestay’. Sedangkan di Itali konsep ini telah lama mereka laksanakan. Hampir
kesemua kru kapal Penangkis Periukapi (MCMV) tinggal di rumah-rumah yang
disewakan oleh orang-orang Itali.
![]() |
| Zainol sedang sibuk melayan anak dara Switzerland. Manakala ayah dan ibunya sedang berselera menjamu hidangan bubur pulut hitam masakan Jamal. |
Apa yang menarik perhatianku hampir setiap inci tanah di kawasan
rumah ini yang berkeluasan lebih kurang 80’ X 100’ ini dimanfaatkan sepenuhnya.
Selain sebuah rumah kecil di sisi rumah besar untuk tetamu, Papa Francesco juga
menanam pepperoni (sayur cili) dan
pepperoncini (cili hijau/merah) dengan kaedah 'greenhouse'. Beliau juga turut
menanam uva (anggur) di dalam kawasan rumahnya. Sewaktu kami berada di sana
bergayut-gayutan buah-buah anggur hijau yang sudah masak. Begitu juga pepperoni
dan pepperoncini.
![]() |
| Ini ialah pepperoni |
![]() |
| Hari Raya Pertama tahun 1985 sebelum solat Eidul Fitri . Di belakang rumah terletak 'greenhouse' tempat menanam cili. |
![]() |
| Di belakang kami pohon anggur yang kelihatan tidak begitu terang. |
Walaupun usia Papa Francesco telah bergelar warga emas namun
beliau tidak mensia-siakan sisa usianya. Beliau memanfaatkan waktu dengan
‘berkebun’ di rumahnya dibantu oleh isterinya Mama Juliana. Papa Francesco juga
telah lama mengamalkan profession yang ramai mengamalkan hari ini ‘Working From
Home’.
Setelah sebulan kami tinggal di rumah Papa Francesco, kami berpindah
pula ke rumah lain di No. 56, Via Vicinale MacChia, Marina di Cararra dan
berjiran pula dengan Antonio dan isterinya Paula serta anaknya Tatiana.
PakMail: Pepperoncini ialah lada merah atau hijau. Sama ada apa
yang kita panggil cili merah/hijau atau pun cili api.
Ahad, 17 Jun 2012
Sebuah retorik
| Kesihatan anda, keutamaan kami |
Sewaktu sahabat saya (Hj Omar) sedang tenat dan sebaik tiba hampir
lewat malam di hospital swasta seperti ini , beliau terus tidak sedarkan diri. Pihak
pengurusan enggan terima sehingga deposit (RM5,000.00) diterima terlebih dahulu.
PakMail: Tukarkan sahaja 'motto' itu kepada 'Kesihatan anda, urusan kami' agar kelihatan bersifat umum.
PakMail: Tukarkan sahaja 'motto' itu kepada 'Kesihatan anda, urusan kami' agar kelihatan bersifat umum.
Sabtu, 16 Jun 2012
Jika kau hebat...
Jika kau
hebat
Beri
kehidupan pada pohon ini
Siramilah
Bajailah
Curahkah
segala ilmu
Sekali-kali
Kamu tidak
akan bisa
Lantaran
yang menghidup dan mematikan
Hanyalah DIA
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
Jumaat, 15 Jun 2012
Tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahui
Aku naiki bas sewaktu pergi dan pulang sekolah ketika darjah 4
dan 5. Sebelum itu aku dan arwah abangku Abu Bakar menaiki van sekolah Pak
Maon. Dari rumahku di Jalan Sawi ke sekolah lebih kurang 2 batu. Waktu itu kiraan
jarak belum menggunakan sistem metrik lagi.
Aku masih lagi ingat wajah Pak Maon yang memandu van dari jenis
Bedford kelabu. Kecil orangnya dan tidak pula bengis atau garang. Ini
membuatkan kanak-kanak sekolah yang menumpang van Pak Maon suka padanya.
Namun, suatu hari Pak Maon memberitahu ibuku bahawa abangku tidak
dibenarkan terus menaiki van sewaannya. Pak Maon beritahu abangku suka membuli
budak-budak sekolah lain yang sama naiki vannya. Tetapi aku boleh dan dibenarkan
terus naiki vannya sekiranya ibuku inginkan.
Setelah ibuku memikirkan demi keselamatan kami berdua, ibu
benarkan kami naiki bas bersama. Waktu pulang dari sekolah pula kami pulang
bersendirian. Ini kerana ada ketika kami terpaksa mengikuti aktiviti petang
masing-masing.
Kami ke sekolah dibekalkan 20 sen seorang. Tambang naiki bas
pergi 5 sen dan balik juga 5 sen. Baki 10 sen itulah buat belanja makan di waktu
rehat.
Aku masih ingat pada Mak Jah yang menjual nasi lemak lauk sotong
di ‘tuck-shop’. Nasi lemak sepinggan kecil 10 sen. Sepotong sotong juga 10 sen.
Selalu juga bila aku beli nasi lemak sahaja, Mak Jah akan berikan juga sotong
kepadaku percuma.
Mak Jah adalah kawan ibuku. Mereka telah lama berkawan hasil dari
persahabatan ayahku dan suami Mak Jah, Pak Husin. Malah lama setelah ayahku
sekeluarga berhijrah ke Kuala Lumpur, Pak Husin dan Mak Jah beberapa kali datang
menziarahi kami sekeluarga.
Mereka juga pernah berura-ura hendak berbesan dengan menjodohkan
abangku Abu Bakar dengan salah seorang anak perempuan mereka. Namun, takdir
Allah swt menentukan segalanya. Abangku memilih pasangannya sendiri dan anak
perempuan Mak Jah juga memilih pasangannya sendiri. Mereka tetap menjadi
sahabat sehingga ke akhir hayat.
Seringkali juga aku pulang dari sekolah berjalan kaki. Adakala
wang tambang bas 5 sen itu aku berbelanja. Adakala juga aku simpan untuk
dibelanja pada waktu petang di rumah.
Di dalam perjalanan pulang berjalan kaki di jalan besar terdapat
sebuah rumah yang menyediakan satu ‘container’ sederhana besar berisi air sirap
khas untuk anak-anak sekolah yang melalui jalan besar tersebut untuk diminum.
Tuan rumah dengan ikhlas hati telah memperuntukkan kepada anak-anak yang
kehausan minum dengan percuma. Setiap kali bila aku melalui rumah tersebut pulang
dari sekolah aku akan singgah untuk minum air sirap bagi menghilangkan dahaga.
Sehingga kini aku terfikir dan masih berfikir untuk beramal
jariah secara demikian. Tetapi malangnya rumahku tidak terletak di laluan
anak-anak pulang dari sekolah.
Walaupun amalan memberi minuman kepada kanak-kanak sekolah
dipandang kecil, namun bagi sipenerima seperti aku masih ingat dan berbekas di
jiwa ini akan ihsan tuan rumah tersebut. Biarpun sehingga kini aku masih tidak
mengetahui siapakah gerangan orang itu. Ibarat pepatah ‘tangan kanan memberi, tangan
kiri tidak mengetahui’.
Semuga Allah swt jua membalas budi baik tuan rumah itu. Dan
Allah itu Maha Halus hisabnya.
Selasa, 12 Jun 2012
Setelah lebih 27 tahun....
Setelah lebih 27 tahun aku bersahabat dengan Salim Jais, baru
semalam aku ketahui bahawa kami pernah bersekolah di sekolah yang sama pada
tahun 1964. Ketika itu kami sama-sama bersekolah di sekolah
Kaki Bukit Intergrated School, Singapura 14.
Salim hanya bersekolah di sekolah tersebut selama satu tahun
sahaja iaitu sewaktu di dalam 'Standard 1' sebelum berpindah ke Johor. Manakala aku pula bersekolah sehingga ‘Standard
5’, sebelum berpindah ke Kuala Lumpur. Tetapi kami berada di kelas yang berlainan.
| Gambar ini sewaktu aku di dalam Darjah 2. Berkotak merah itulah AKU... |
Isnin, 11 Jun 2012
Ucu
Sebentar tadi lebih kurang jam 9.00 malam aku menerima sms dari adikku Noi.
“ucu ali br meninggal dunia pkul 6 td”.
Lantas aku terus menghubungi adikku untuk mendapatkan kepastian.
Adikku memaklumkan bahawa beliau juga baru menerima sms dari June anak Ucu.
Kami adik beradik mesra memanggil Ucu Ali dengan panggil Ucu sahaja. Ucu adalah
adik kepada arwah ibuku.
Agak lama juga aku tidak bertemu Ucu. Mungkin beberapa tahun.
Sebelum ini aku pernah juga ke rumahnya di Jalan Rahmat, Kg Melayu, Johor
Bahru. Tetapi Ucu tiada di rumah. Lalu aku ke tempat kerja Mak Busu (isteri
Ucu) di bandar Johor Bahru. Mak Busu beritahu Ucu ke Singapura. Niat di hati bertemu
Ucu untuk memberi sedikit wang buat belanjanya.
Ucu memang selalu ke Singapura. Ada sahaja urusan Ucu di
Singapura. Ucu punyai ramai anak saudara dan juga anaknya sendiri yang menetap
di Singapura.
Umur Ucu mungkin hampir 70 tahun. Tentunya usia sebegini sudah
tidak bekerja. Setahu aku anak-anak saudara Ucu tidak lokek dan sering
menghulur sedikit wang kepada Ucu. Terutama Nordin anak arwah Pakcik Leman dan
juga abangku sendiri, Husin.
Adik beradik Ucu hanya tiga orang sahaja. Ibuku yang sulung.
Pakcik Leman nombor dua dan Ucu yang bongsu. Itu sebab kami panggilnya Ucu.
Aku sayang pada Ucu. Ucu banyak berjasa kepada keluargaku
sewaktu aku masih kecil. Ucu banyak membantu ibuku sewaktu ayahku ditahan
dibawah Akta ISA beberapa tahun pada tahun 60an dahulu. Walaupun waktu itu Ucu
masih lagi begitu muda usianya. Masih lagi remaja.
Andainya aku tahu Ucu sakit sebelum menghembus nafas terakhir
Insya’Allah, aku pasti akan menziarahinya. Walaupun begitu, Insya’Allah aku
akan menziarahi pusaranya apabila aku punyai waktu kelapangan kelak. Esok aku
punyai urusan. Seorang teman dari utara akan menemuiku.
Aku berdoa semuga Ucu dimasukkan ke dalam golongan orang-orang
yang diredhai dan diampuni segala kesalahannya oleh Allah swt dan diberi
rahmatNYA. Insya’Allah.
Amin.....
Ahad, 10 Jun 2012
Ubat Resdung
| Dan apabila aku sakit, DIA lah yang mengubatiku |
Saya percaya ramai yang mengetahui tentang penyakit resdung.
Saya ada penyakit resdung. Resdung yang saya alami agak serius.
Apabila ia datang amatlah tidak selesa. Segala kerja tidak dapat dilakukan
dengan sempurna. Bersin sepanjang waktu. Lendir di hidung keluar tiada henti.
Gatal-gatal pada mata. Dan berbagai perkara lagi yang membuat seseorang itu
berkeadaan tidak selesa sepanjang hari.
Agak lama juga saya alami penyakit ini. Dalam seminggu paling
kurang dua atau tiga hari saya alami. Ubat yang saya ambil hanya dari klinik
atau hospital.
Saya pernah juga mencuba mengubati secara tradisional dengan
cara asap pada muka. Tetapi tidak begitu berkesan. Ia kembali semula.
Namun baru-baru ini (seminggu yang lalu) seseorang telah
sarankan kepada saya menggunakan ini.
| Garam bukit ini bukanlah sebenarnya ubat resdung. Ia adalah garam pengganti garam biasa pada masakan. |
| Garam bukit Himalaya. |
Alhamdulillah. Segala puji milik Allah. Allah swt yang mengubati
setiap penyakit. Dengan izin Allah jua sehingga hari ini saya merasa selesa
sepanjang minggu tanpa gangguan resdung.
Mudah-mudahan nikmat keselesaan yang Allah swt kurniakan ini
akan berpanjangan hendaknya.
Amin......
PakMail: Saya bukan jurujual. Saya hanya berkongsi pengalaman.
PakMail: Saya bukan jurujual. Saya hanya berkongsi pengalaman.
Rabu, 6 Jun 2012
Hukuman qisas ala-Jepun
Cerita ayahku lagi...
Satu malam ayahku bersama Sato San telah ke pekan untuk membuat
rondaan dan pemeriksaan di beberapa premis perniagaan.
Pada masa yang sama seorang jaga setor makanan berketurunan Sikh telah mendakwa
melihat ayahku mencuri ubi kayu di setor simpan makanan. Lalu jaga tersebut
melapur kepada penyelia setor seorang tentera Jepun berpangkat biasa.
Beberapa hari kemudian pada siang hari ayahku dipanggil oleh
penyelia setor tersebut untuk disoal siasat. Hadir sama jaga tersebut yang
mendakwa melihat ayahku mencuri.
‘Betulkah engkau melihat orang ini mencuri ubi pada malam itu...
(sekian-sekian haribulan)’, penyelia setor bertanya ‘jaga’ sambil menunjuk kearah
ayahku.
‘Betul tuan’.
‘Engkaukah yang mencuri ubi pada malam itu... (sekian-sekian
haribulan)’, penyelia setor bertanya pula kepada ayahku.
‘Tidak tuan, pada malam itu saya bersama Sato San........’
ayahku menerangkan di mana beliau berada pada malam itu bagi menafikan tuduhan
tersebut.
Tanpa banyak bicara dan tidak percaya dengan penjelasan ayahku,
penyelia setor telah menampar muka ayahku berkali-kali. Lalu disuruh pergi.
Dengan perasaan marah dan tidak berpuas hati ayahku pulang ke
tempat kerjanya. Di tempat kerja Sato San menegur ayahku kerana melihat mukanya
merah kerana kesan penampar tentera Jepun. Ayahku pun menceritakan segala
kejadian yang menimpa dirinya.
‘Bukankah malam itu kita bersama pergi ke pekan membuat rondaan
dan pemeriksaan di premis perniagaan’, Sato San bertanya ayahku bagi
mendapatkan kepastian.
‘Betul tuan’.
Tanpa berlengah lagi Sato San mengenakan pakaian lengkap ketenteraannya dan mengarahkan ayahku memasang bendera lambang kebesaran pangkat pada
keretanya dan terus pergi ke pejabat setor makanan.
Setibanya di sana penyelia setor dipanggil. Melihat seorang
pegawai tinggi tentera Jepun datang, penyelia setor tersebut merasa gementar.
Lalu dia ditanya.
‘Kenapa kamu pukul orang ini’, Sato San bertanya sambil menunjuk
ke arah ayahku.
‘Dia mencuri makanan ubi , tuan’.
Panggggggg......sebiji pelempang mengenai pipi penyelia setor.
‘Kau tahu pada malam itu dia ada bersama aku ..........’ Sato
San menerangkan kepada penyelia setor.
‘Siapa beritahu engkau’.
‘Penjaga setor’.
‘Panggil dia’.
Dalam keadaan kekalutan penyelia setor mencari dan memanggil si benggali
penjaga setor.
‘Kau nampak dia mencuri’. Sato San bertanya penjaga setor.
Si penjaga setor tidak terkata apa-apa.
‘Kau tahu, dia ada bersama saya malam yang engkau kata dia
mencuri’.
Lalu Sato San menyuruh ayahku mengambil sebatang kayu dan
mengarahkan ayahku membalas dengan memukul ‘si jaga’ tersebut dengan sepuasnya.
Ayahku pun tanpa menunggu lama terus membelasah ‘si penjaga
setor’ itu bagi melepaskan geramnya. Hati orang muda tentulah panas. Setelah
puas Sato San dan ayahku pun pulang.
PakMail: Begitulah antara pengalaman ayahku pada zaman pemerintahan Jepun.
Ahad, 3 Jun 2012
88 Tahun
Hari ini genap usia ayahku 88 tahun. Aku dan isteri ziarahi
beliau petang tadi. Aku mengisi masaku berbual-bual dengannya sehingga hampir jam
10.30 malam. Seandainya aku bersendirian, sehingga jam 2.00 atau 3.00 pagi pun
tak selesai kami berbual.
Sewaktu ayahku masih kuat dan aku juga masih agak muda
seringkali aku berbual-bual bersama sehingga jauh malam. Ada beberapa kali
terlajak sehingga ke subuh.
Berbagai-bagai kisah kami bualkan. Dari topik kekeluargaan,
kenangan silamnya, topik agama sehingga kepada hal-hal politik.
Daya ingatan ayahku sangat baik. Beliau dapat mengimbau kembali
kisah-kisah lama sewaktu suka dan duka. Senang dan susah. Serta berbagai-bagai
liku-liku kehidupan.
Antara perbualan dengan ayahku sebentar tadi adalah mengenai
kisahnya di zaman pendudukan Jepun di Malaya. Sewaktu Jepun memerintah ayahku
yang ketika itu berusia remaja diambil bekerja dengan Jepun sebagai pemandu
kepada seorang pegawai tentera Jepun.
Satu sahaja pengalamannya yang ingin aku kongsi bersama dari
banyak-banyak pengalaman beliau diwaktu itu.
Ayahku bekerja dengan pegawai tentera Jepun bernama Sato. Atau
dalam panggilan Jepun Sato San (Mr Sato).
Satu hari Sato San melihat ayahku memakai terompah baru di
tempat kerja. Lalu Sato San memanggil ayahku dan bertanya di dalam bahasa
Jepun. Ayahku pandai berbahasa Jepun di waktu itu.
‘Di mana kamu dapat terompah ini’, sambil menunjuk kearah terompah
yang dipakai oleh ayahku.
‘Saya beli Sato San’, jawab ayahku.
‘Kamu beli di mana’.
‘Saya beli di kedai Cina’.
Pangggggggg... satu hayunan pelempang singgah di muka ayahku. Ayahku
terpinga-pinga. Tanpa sempat ayahku bertanya Sato San berkata.
‘Buat kayakan Cina sahaja’.
Lalu Sato San menyuruh ayahku mencari kayu dan apa-apa getah
seperti getah tiub kereta serta beberapa batang paku untuk dibuat terompah
sendiri.
Setelah selesai ayahku membuat terompah tersebut walaupun tidak
cantik, Sato San tersenyum dan berkata.
‘Bolehpun kamu buat. Untuk apa buang duit membeli sesuatu yang
kita boleh buat sendiri’.
Dari peristiwa yang dialami oleh ayahku, aku percaya terdapat
pengajaran yang boleh kita pelajari dan difikirkan.
Namun begitu ayahku memberitahu Sato San amat baik terhadap
ayahku. Banyak kemudahan dan bantuan dari segi keperluan makanan dan perubatan
diberikan kepada ayah serta datuk dan nenekku.
PakMail: Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran ayah. Semuga Allah
swt merahmati sisa-sisa kehidupan ayah hendaknya. Dan semuga sihat selalu.
Amin......
Sabtu, 2 Jun 2012
Kekesalan Seorang Jeneral ATM
Malam semalam baru sahaja saya berbual-bual
menerusi fb mengenai KVTTB dengan kawan saya Q. Katanya ‘PERHEBAT, JHEV dan
PBTM pun mahu itu duit 50 million.......’.
Betul juga kata beliau.
Ramai yang kecewa dan kesal dengan
penubuhan KVTTB. Kerana apa mereka kecewa dan kesal.
Q dah beri jawapannya.....
| Beberapa foto sewaktu ahli KVTTB berhimpun di Putrajaya. |
Tanya, Jangan Tak Tanya
Saya ingin bertanya kepada pembaca sekalian khusus buat
bapa-bapa dari kalangan orang Islam sahaja.
Berapa ramaikah di antara tuan-tuan pernah atau merasai
bertanggung jawab untuk bertanya kepada anak-anak lelaki tuan-tuan tentang ‘MANDI
JUNUB’.
Tahukah mereka bagaimana tatacara mandi junub yang sebetulnya.
Saya percaya tidak ramai ‘orang-orang kita’ mengambil berat
untuk bertanya anak-anak mereka persoalan ini. Biarpun sehingga sang anak itu akan
mendirikan rumah tangga.
Barangkali sang bapa merasa ini perkara kecil. Atau juga sang
bapa berfikir sang anak boleh belajar sendiri sama ada di sekolah atau pun
dengan ustaz di sekolah agama. Barangkali ada juga sang bapa yang berkata.
‘Itu tanggung jawab ustaz untuk mengajar anak-anak di sekolah
agama’.
Ataupun ada diantara sang bapa merasa persoalan ini terlalu
peribadi.
Atau juga apabila sang anak telah meningkat dewasa, sang bapa
beranggapan bahawa sang anak telah mengetahuinya. Lantas tidak perlu bertanya
lagi.
Saya mempunyai tiga orang anak lelaki termasuk seorang yang berusia
18 tahun yang telah meninggal dunia tahun lalu. Kepada ketiga-tiga anak lelaki
saya ini saya telah bertanyakan soalan ini kepada mereka. Dan sama ada mereka
menjawab tahu atau tidak tahu, saya akan tetap memberitahu dan tunjukajar
kepada mereka tatacara yang betul di sisi agama.
Perkara ini kelihatan remeh. Tetapi ia amat penting dan mustahak
untuk diajar kepada anak-anak. Jangan sampai nanti apabila sang anak telah
meningkat dewasa dan akan mendirikan rumah tangga, mereka masih tidak
mengetahui cara-cara untuk mandi junub dengan betul.
Siapa yang akan dipersalahkan.
Si anak atau si bapa....
Renungkanlah......
Pak Mail: Kepada anak perempuan saya serahkan tugas ini kepada si isteri lah...
Jumaat, 1 Jun 2012
Seseorang yang kukenali...
Pada hujung tahun 1989 saya mengikuti satu kursus motivasi yang
dianjurkan oleh PERHEBAT di Kem Sg. Buloh, Selangor sebelum menamatkan
perkhidmatan dengan TLDM. Kursus selama 2 hari itu dihadiri oleh 40 peserta dan
dikendalikan oleh Quad Management Services sebuah syarikat perunding motivasi.
Kebanyakan peserta terdiri daripada mereka yang akan tamat perkhidmatan
dan juga mereka yang telah pun tamat perkhidmatan di dalam ATM. Kursus bermula
dari jam 8.00 pg sehingga jam 5.00ptg.
Apa yang menarik perhatian saya sepanjang kursus tersebut ialah
kebolehan Tuan Haji Mohd Thani Hj Pilus selaku pengurus syarikat tersebut dan
fasilitator menyampaikan mesej dan intipati modiul kursus tersebut dengan jelas
dan berkesan. Di dalam nada serius beliau menyampaikan syarahan diselitkan juga
lawak jenaka agar peserta tidak bosan dan mengantuk.
Pada pagi hari pertama beliau memulakan sesi dengan meminta
setiap peserta bangun dan memperkenalkan diri masing-masing secara ringkas.
Beliau kelihatan seperti bersahaja mendengar setiap peserta bangun dan
memperkenalkan diri mereka. Saya juga tidak ketinggalan memperkenalkan diri
saya secara ringkas. Namun hakikatnya beliau mendengar dengan penuh konsentrasi
dan fokus atas apa yang kami perkatakan terutama pada setiap nama-nama kami.
Modiul sesi pagi dan petang banyak diisi dengan pembahasan soal
jati diri serta matlamat arah tuju setiap pesara ATM setelah tamat perkhidmatan
nanti.
Pada pagi hari kedua kursus kami dikejutkan dengan kebolehan daya
ingatan Tuan Haji Mohd Thani mengingati setiap nama kami seramai 40 orang itu.
Beliau berjalan ke setiap tempat kami duduki di dalam kelas sambil menyebut
setiap nama kami dengan tepat tanpa sebarang bahan rujukan. Ini yang
mengagumkan saya akan kebolehan beliau. Beliau mampu mengingati nama-nama kami
hanya dalam sehari sahaja. Bukan seorang. Bukan dua orang atau sepuluh orang.
Tetapi 40 orang semuanya. Di penghujung sesi kursus kami diberi ‘business card’
untuk dihubungi sekiranya ada keperluan.
Beberapa tahun kemudian (mungkin tiga tahun) dengan izin Allah
swt kami dipertemukan semula. Beliau masih lagi menjalankan perniagaan
perunding motivasi. Manakala saya pula telah lebih setahun menjalankan
perniagaan pembersihan bangunan. Persahabatan kami kian bertambah baik. Saya
juga sering menziarahi beliau di pejabatnya.
Suatu hari beliau pernah mempelawa saya agar dapat memberikan
ceramah tentang industri perniagaan mencuci bangunan kepada sekumpulan kecil
pesara TNB dan bakal pesara TNB di Bayu Beach Resort, Port Dickson, Negeri
Sembilan. Saya bersetuju atas pelawaan beliau dan saya juga membawa seorang teman
rapat saya Saudara Jaizerul yang lebih berpengalaman dalam industri ini untuk
membantu saya.
Alhamdulillah, kursus pendek sehari itu berjalan dengan lancar.
Satu perkara yang Tuan Haji Mohd Thani pernah memberitahu saya
yang masih saya ingati pada waktu rehat tengahari sebelum mengerjakan solat Dzuhur.
‘Ismail, saya boleh menyampaikan ceramah atau syarahan di
hadapan beratus atau beribu orang tanpa rasa takut dan gementar. Tetapi saya
berasa gugup dan gementar apabila diminta untuk menjadi imam dalam solat jemaah.
Lebih-lebih lagi pada solat maghrib atau isya’ yang memerlukan bacaan dengan
nyaring’.
Inilah hakikatnya insan-insan ciptaan Allah swt. Sebahagian
mereka diberi kelebihan dari sebahagian yang lain. Begitu juga sebahagian
mereka dikurangkan dari sebahagian yang lain.
Hari demi hari berlalu. Kami disibukkan dengan tugas dan
komitmen masing-masing sehingga kami lupa untuk menyiram suburkan keakraban
persahabatan kami. Kami membawa haluan masing-masing. Kini saya tidak ketahui di mana
Tuan Haji Mohd Thani berada. Saya pernah juga mencari beliau di
pejabatnya. Namun pejabat tersebut telah dihuni oleh orang lain.
Pak Mail: Mungkin beliau sudah bersara dan balik kampong. Usia beliau
jauh lebih tua dari saya.
Langgan:
Catatan (Atom)


.jpg)
