Pengikut

Khamis, 16 Ogos 2012

Sumbangan Kuih Hari Raya Oleh BAKAT


Saya pasti ketika ini Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) dengan kerjasama ATM sedang sibuk menguruskan pengagihan sumbangan kuih raya kepada pegawai dan anggota-anggota ATM yang bertugas di perbatasan atau di laut dan udara demi negara.

Saban tahun BAKAT tidak lupa untuk menghulurkan sumbangan ini kepada anggota-anggota tentera yang terpaksa meninggalkan keluarga yang mereka sayangi demi tugas ketika yang lain bergembira menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Biarpun sumbangan kuih raya itu tidak sebesar mana, namun ianya amat berharga dan bermakna kepada anggota yang menerimanya. Kalau tidak banyak, ianya memberi juga sedikit ubat kedukaan sewaktu berjauhan dengan keluarga, anak dan isteri di hari yang mulia ini.

Namun begitu, ramai dari kalangan anggota tentera yang bertugas di kejauhan tidak menerima sumbangan kuih raya tersebut.

Mengapa?. Apakah BAKAT tidak cukup menyediakan jumlah bungkusannya.

Saya tidak fikir begitu.

Saya berpandangan banyak sumbangan kuih raya tidak sampai kepada mereka yang sepatutnya menerima sumbangan tersebut.

Tersasar.

Ini kerana ada sebilangan kecil dari pihak pengurusan ATM di peringkat unit tidak begitu jujur dalam mengagihkan sumbangan tersebut kepada yang sepatutnya menerima. Mereka mengambil mudah dalam mengagihkan kepada anggota-anggota yang terdekat agar tugas pengahihan segera diselesaikan. Atau pun ada dari kalangan mereka mengambil sumbangan tersebut untuk kepentingan peribadi.

Maka itu sewaktu saya masih bertugas di dalam ATM khususnya TLDM saya dapati ramai yang bertugas belayar di lautan semasa perayaan tidak menerima sebarang dari sumbangan tersebut.
Bekas sumbangan kuih hari raya dari BAKAT
Logo ATM masih terdapat di dalam bulatan
Sepanjang saya berkhidmat selama 13 tahun di dalam TLDM saya menganggap bernasib baik kerana pernah sekali menerima sumbangan kuih raya. Saya tidak ingat bila saya menerima sumbangan tersebut. Malah saya percaya ada sebilangan anggota tentera yang berkhidmat sehingga pencen tetapi tidak pernah sekali pun menerima sumbangan kuih raya sewaktu bertugas.

Sekali lagi saya tekankan biarpun sumbangan kuih raya itu kecil, tidak sebesar mana, namun ianya sangat bermakna buat anggota-anggota yang sedang bertugas ketika waktu yang sama anggota-anggota yang lain sedang riang bergembira di samping keluarga tersayang.

Kasihanilah mereka. Simpatilah kepada mereka. Berkhidmatlah dengan penuh kejujuran dan keikhlasan.

Saya berharap sifat mementingkan diri tidak berlaku lagi kepada anggota tentera generasi kini.

PakMail: Selamat Berhari Raya saya ucapkan kepada saudara/i  pembaca sekalian.

Jumaat, 10 Ogos 2012

Walimatul Urus

Bergambar bersama exLREM Nik Zainorden
Gambar ini diambil sewaktu kami sebahagian dari kru MCMV yang berada di Itali membuat lawatan sempena cuti musim panas ke Selatan Perancis seperti Cannes, Monte Carlo, Nice dan Monaco pada tahun 1985.

Di sebelah saya ialah saudara exLREM Nik Zainorden. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor.

Pada kesempatan entri kali ini saya diamanahkan oleh beliau untuk menjemput pembaca dari kalangan bekas anggota TLDM sekeluarga yang mengenali beliau sama ada dari pangkat pegawai dan/atau lain-lain pangkat ke Majlis Nikah dan Berinai Besar (Bersanding) anak ke-3 beliau pada hari Jumaat, 7hb Sept, 2012 jam 8.30 malam di kediamannya,
No. 6, Jalan Fatwa U2/46,
Taman Mayang Sutera,
TTDI Jaya, Shah Alam,
Selangor
Kad Jemputan
Peta ke rumah pengantin.
............. dan pada Majlis Resepsi bertempat di Hotel Palace of The Golden Horses pada hari Ahad 9hb Sept, 2012 jam 8.00 malam.
Peta ke Hotel Palace of The Golden Horses.

Saudara Nik Zainorden benar-benar berharap saudara/i yang mengenali beliau dan telah lama terputus hubungan dapat hadir bagi menyerikan majlis tersebut serta menyambung semula tali silaturahim.

Kehadiran saudara/i sangat dialu-alukan beliau.