Pada pagi hari tanggal 1hb Sept yang lalu lebih kurang
jam 6.45 pagi, saya memulakan perjalanan seorang diri dari Umang-Umang Chalet,
Kuala Linggi, Melaka menuju ke Bukit Pasir, Muar untuk menemui dan mengambil
exLRSTN Salim Jais untuk pergi ke Pontian, Johor. Suasana pagi masih lagi
gelap. Matahari masih belum lagi menampakkan cahaya.
Tujuan saya menemui Salim adalah juga untuk menyerahkan kad
jemputan perkahwinan anak exLREM Nik Zainorden kepadanya dan kepada exRO Quek Chek
Chai yang juga menetap di Muar. Di samping itu Salim juga akan menemani saya
pergi ke Pontian untuk mencari dan menemui exLRSM Bakar Satiman salah seorang
anak kapal KD Sri Perak yang tenggelam di Laut China Selatan lebih 28 tahun
yang lalu.
Oleh kerana ini adalah kali pertama saya berada di kawasan Kuala
Linggi dalam menuju ke Muar, saya tidak begitu arif akan selok belok
perjalanannya. Oleh itu saya perlu berhati-hati melihat tanda arah ke destinasi
tersebut. Beberapa kali juga saya tersesat jalan dan terpaksa menghubungi Salim
melalui telefon bimbit untuk pengesahan perjalanan.
Saya tiba di Bukit Pasir, Muar hampir jam 10.00 pagi. Hampir 1
jam lewat dari jangkaan saya untuk tiba iaitu sekitar jam 9.00 pagi. Ini kerana
saya telah tersalah jalan dan terpaksa mengikuti jalan yang agak lebih jauh.
Seperkara lagi ialah saya memandu tidaklah begitu laju. Paling laju ialah 100km
sejam. Sekali-sekala mencecah juga 110km sejam. Itu pun apabila memotong
kenderaan lain di lebuhraya.
Pada asal perancangan saya bercadang untuk menemui Salim dan seterusnya
ke Pontian pada hari Jumaat 31hb Ogos. Dan pada 1hb Sept itu saya boleh
memenuhi undangan perkahwinan anak ex-PTI Nazar di Rembau, Negeri Sembilan. Namun,
oleh kerana kami lewat bertolak dari Kuala Lumpur segala perancangan terpaksa
berubah. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf sekali lagi
kepada ex-PTI Nazar kerana tidak dapat menghadiri ke majlis perkahwinan anak
beliau. Biarpun sebelum ini saya telah memohon maaf kepada beliau melalui
facebook.
Semuanya bermula apabila saya berjanji dengan exLRCK Bahaman
untuk menemui beliau pada malam 30hb Ogos untuk menyerahkan kad jemputan perkahwinan
anak exLREM Nik. Tetapi, oleh kerana Bahaman tiba Kuala Lumpur dari Johor Bahru
melebihi jam 12 tengahmalam, maka saya tidak dapat menyerahkan kad jemputan
tersebut. Bahaman mungkin kepenatan kerana berperjalanan jauh. Hanya pada
keesokan harinya saya dapat bertemu Bahaman dan menyerahkan kad jemputan
tersebut di dalam pertemuan singkat di Bangsar sebelum meneruskan perjalanan ke
Kuala Linggi.
Berbalik semula kepada perjalanan saya ke Muar.
Di Bukit Pasir, Muar, Salim telah sedia menunggu saya di stesen
bas di tepi jalan raya berdekatan rumahnya. Sebelum ini saya telah pun
menghubungi dan memberitahu Bakar Satiman bahawa saya dan Salim akan menziarahi
beliau. Bakar Satiman dengan sukacita mengalu-alukan kedatangan kami tetapi
jika boleh sebelum jam 12.00 tengahari. Ini kerana beliau mempunyai urusan lain
yang perlu dibereskan.
Oleh kerana waktu telah melewati jam 10.00 pagi kami terpaksa
cuba bersegera menepati waktu yang ditetapkan oleh Bakar. Sebelum kami
meneruskan perjalanan saya perlu singgah sebentar di R&R Pagoh untuk
mengisi perut. Sejak keluar dari chalet saya belum lagi mengambil sebarang makanan. Saya juga perlu ke bilik kecil untuk membuang hajat seketika.
Di R&R Pagoh, Bakar menghubungi saya bertanyakan di mana
kami berada. Setelah selesai sarapan dan melunaskan hajat kami bersegera
meneruskan perjalanan. Sememangnya saya tidak mengetahui perjalanan ke Pontian.
Saya mengharapkan Salim agar dapat ‘guide’ saya ke destinasi. Begitu pun Salim
tidak berapa pasti arah seterusnya apabila tiba di Parit Raja.
Jam 12.00 tengahari semakin hampir. Perjalanan ke Pontian masih agak jauh lagi. Saya memberitahu Salim, 'sekiranya Allah swt ingin menemukan kami semua pada hari ini, pasti Allah swt ketemukan jua'.
Memang sesungguhnya Allah swt Maha Mengetahui akan niat kami yang ikhlas ingin menemui sahabat lama demi untuk eratkan tali silaturahim keranaNya jua.
Bakar Satiman yang begitu prihatin dan memahami keadaan kami sanggup menunggu kami walaupun lewat. Bakar Satiman sanggup juga menundakan urusan beliau dan setia menanti kami sehingga kami tiba.
Berpandukan jalan yang diberikan oleh Bakar, akhirnya kami tiba di satu lorong tepi jalan besar di mana Bakar sedang menanti kami.
Alhamdulillah. Segala puja dan puji bagi Allah swt yang menemukan kami semula setelah lebih 27 tahun tidak bersua. Semuanya dengan kehendak dan kudrat serta izin Allah swt.
Pada pertemuan singkat ini tidak banyak yang dapat saya bertanya dan menyingkap kisah trajedi KD Sri Perak. Ini kerana kami sedar bahawa Bakar mempunyai urusan lain yang perlu diselesaikan.
Bakar dan Salim merupakan sahabat sepengambilan 'Intake 127'. Oleh itu mereka lebih saling mengenali antara satu sama lain berbanding saya yang hanya mengenali Bakar beberapa hari sahaja yang boleh dihitung. Mereka juga telah lebih lama tidak menemui antara satu sama lain. Saya difahamkan mereka lebih lama tidak bertemu berbanding saya selama lebih 27 tahun tidak bertemu Bakar.
Detik waktu berjalan dengan begitu cepat. Dalam pada itu seorang lagi sahabat yang sama sepengambilan dengan saya bernama Awang Bin Selamat menghubungi Salim. Kami pula merencana untuk bertemu di pekan Pontian untuk meneruskan perjalanan ke Pasir Gudang, Johor bagi memenuhi undangan perkahwinan anak Bakri. Bakri juga merupakan bekas seorang anggota TLDM dari cawangan Setor Teknikal.
Sebelum beredar isteri Bakar sempat menghidangkan kami makanan tengahari yang berupa nasi berlauk sayur serta ikan kerisik masak asam pedas. Walaupun berlauk ringkas namun saya memuji masakan asam pedas isteri beliau. Enak. Sungguh enak.
Hampir jam 2.00 petang kami meminta izin untuk berpisah sementara waktu bagi meneruskan perjalanan ke Pasir Gudang pula. Insya'Allah pada lain hari dan waktu dengan izin Allah swt, mudah-mudahan kami akan dapat bertemu sekali lagi dan lagi dan lagi....
 |
| Gambar terbaharu Bakar Satiman. |
 |
| Bersama Salim Jais dan Bakar Satiman. |