Pengikut

Rabu, 26 Disember 2012

Tayangan Gambar Kenangan


Hanya beberapa hari sahaja lagi, kita akan memasuki tahun baru 2013, in syaa Allah, dan akan mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 2012.

Alhamdulillah, aku gembira tahun ini. Allah swt Maha Penyayang. Tidak seperti tahun 2011, aku dalam kesedihan kerana kehilangan anak yang aku sayangi. Diganti pula dengan sedikit kegembiraan buat mengubati kedukaan apabila ditemukan dengan ramai rakan-rakan lama, khususnya rakan-rakan di dalam TLDM. Dan, in syaa Allah, hujung minggu ini, dengan izinNYA jua, aku akan dapat bertemu lebih ramai lagi rakan-rakan lama di dalam ‘Majlis Reunion Ex-crew MCMV’ di Pangkalan TLDM, Lumut.

Kelmarin, aku menerima beberapa album gambar kenangan milik Dato’ Ramli Samsuddin melalui Kdr (B) Abdul Rahman Husain. Album-album tersebut diambil sendiri oleh bekas juragan KD Jerai Mohd Arshad Abdullah dari Dato’ Ramli. Gambar-gambar kenangan ‘Pasukan Projek MCMV’ yang kesemuanya melebihi 200 keping gambar.

Sebelum itu, pada hari yang sama aku juga telah mengambil 26 keping gambar dari saudara Idrus, bekas BMPBS KD Mahamiru. Di dalam majlis ‘reunion’ itu nanti aku ditugaskan untuk membuat tayangan slaid akan gambar-gambar sewaktu kami berada di Itali dahulu.

Sedikit kebimbangan di hatiku apabila mempersembahkan tayangan slaid ini nanti. Gambar agak tidak jelas. Blur. Ini kerana gambar-gambar tersebut adalah hasil dari imbasan mesin pengimbas. Maka mutu gambar tersebut tidak akan menjadi gambar seperti yang diambil dari kamera digital.

Walau apa pun, itu yang terbaik dapat aku buat. Hasil dari seorang ‘orang tua’ yang tiada mempunyai latar belakang pengajian IT. Mudah-mudahan Allah swt permudahkan urusanku ini nanti. Amin...

Jumaat, 21 Disember 2012

Hari Yang Dinanti…


Hari Sabtu, 29hb Dis, 2012 adalah hari yang mungkin ramai menantinya. Terutama bagi pasangan pengantin baru atau orang lama yang sekali lagi menjadi pengantin baru. Pasti tidak sabar menanti harinya. Hari yang pasti juga menjadi sejarah mereka pada masa hadapan. In syaa Allah.

Namun, hari tersebut turut dinanti juga oleh ramai bekas pegawai-pegawai dan anak-anak kapal dari Skuadron Kapal Penangkis Periukapi, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah bersara dari perkhidmatan.

Satu majlis pertemuan semula iaitu ‘Majlis Reunion Ex-Crew MCMV’ akan diadakan di Dewan Datuk Sidek Shahabudin, KD Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut mulai jam 12.00 tgh. Mereka pasti menanti-nanti saatnya untuk bertemu teman dan rakan lama setelah begitu lama tidak bertemu.

Pada asalnya majlis ini dirancang khas untuk bekas pegawai-pegawai dan anak-anak kapal dari kru pertama sahaja. Namun, pada mesyuarat kedua, AJK Penyelaras Majlis telah bersetuju untuk membuka majlis ini agar turut disertai oleh semua pegawai-pegawai dan anak-anak kapal yang telah berkhidmat di dalam skuadron ini sejak pentauliahan kapal-kapal terbabit yang terdiri daripada KD Mahamiru, KD Kinabalu, KD Jerai dan KD Ledang. Usul untuk membuka majlis ini kepada bekas warga MCMV telah dicadangkan oleh Laksma (B) Datuk Ramli Samsuddin yang turut hadir pada mesyuarat tersebut yang diadakan di Concorde Hotel, Kuala Lumpur pada 12hb Dis baru-baru ini.
Laksma (B) Datuk Ramli Samsuddin (berbaju merah) sedang memberi pandangan beliau.

Ahli Jawatan Kuasa Penyelaras sedang berbincang
Laksma (B) Datuk Ramli Samsuddin merupakan Ketua Pasukan Projek MCMV sewaktu pembelian kapal-kapal ini oleh kerajaan Malaysia di Itali dahulu.

Pada asalnya juga majlis ini telah dirancang pada tanggal 8hb Dis, 2012. Namun, mesyuarat pertama AJK Penyelaras Majlis yang berkumpul pada 14hb Nov, 2012 untuk membincangkan perkara ini merasakan bahawa tarikh 8hb Dis terlalu hampir dan kesuntukan masa untuk membuat segala persiapan. Oleh itu tarikh 22hb Dis, 2012 telah ditetapkan dan dipersetujui oleh AJK tersebut.
Mesyuarat AJK Penyelaras pertama. Dari kiri: Zainal Maulud, Dato' Nik Zainorden,
Mohd Arshad Abdullah, Pak Mail dan Kdr (B) Abdul Rahman Husain.
Keesokan harinya, perkara ini telah disampaikan kepada Datuk Ramli yang juga bertindak sebagai Penasihat dan Penaung. Tarikh baru ini juga terpaksa ditunda sekali lagi kerana Datuk Ramli tidak dapat hadir atas urusan pekerjaan beliau yang sangat padat pada minggu tersebut. Beliau telah mencadangkan majlis tersebut diadakan pada tanggal 29hb Dis, 2012.

Pelbagai perkara telah dibangkitkan dan dibincangkan di dalam mesyuarat kali kedua. Antara isu penting ialah untuk mendapatkan dana bagi menjayakan majlis ini.

Datuk Ramli sendiri, secara peribadi telah bersetuju untuk menderma RM2,000. Saudara Zulkifli Ismail juga akan cuba mendapatkan sumbangan dari rakan niaga beliau seberapa banyak yang mungkin. Begitu juga dengan AJK yang lain akan cuba mendapatkan dana dari sumber-sumber yang mereka merasai boleh diperolehi.

Kdr (B) Abdul Rahman Husain selaku Pengerusi majlis ini menganggarkan bahawa RM15,000 diperlukan bagi menjayakan majlis ini dengan kehadiran seramai lebih kurang 500 warga MCMV beserta keluarga.

Pada mesyuarat pertama, AJK Penyelaras telah bersetuju untuk mengenakan bayaran sebanyak RM10.00 setiap orang dewasa bagi menampung perbelanjaan makanan dan minuman. Namun, atas saranan Datuk Ramli supaya tiada bayaran dikenakan maka bayaran tersebut telah dibatalkan.

Berikut adalah aturcara ringkas yang telah dirancangkan.

12.00 tgh     - Pendaftaran
12.45 tgh     - Ucapan aluan oleh Pengerusi Majlis
                  - Ucapan aluan oleh Laksma (B) Datuk
                     Ramli Samsuddin
                  - Bacaan Doa
1.00 tgh       - Jamuan tengahari
                  - Lawatan ke kapal MCMV
                  - Tayangan slaid gambar-gambar
                     kenangan sewaktu di Itali
                  - Minuman petang sambil berhibur
                     bersama Gelombang Biru

Majlis dijangka selesai pada jam 6.00 petang.

PakMail: Apa yang saya harapkan ialah agar semua bekas pegawai dan anggota warga MCMV yang hadir kelak akan dapat merasai suatu nikmat kegembiraan kerana dapat menemui sahabat lama mereka. Biarpun satu ketika dahulu mereka pernah berselisih faham, maka pada hari pertemuan itu nanti diharapkan agar mereka dapat menemui satu titik persefahaman yang membawa kepada kedamaian. Justeru, agar tali persahabatan sesama kita semua dapat dipereratkan lagi dan tidak sekadar habis pada hari pertemuan tersebut sahaja. In syaa Allah.

MCMV – Mine Counter Measure Vessel

Jumaat, 14 Disember 2012

Rakan Sebilik



Pada lewat tahun 1979 sehingga pertengahan tahun 1980, empat orang sahabat berkongsi menyewa sebuah bilik belakang rumah tiga tingkat di tepi jalan besar lebih kurang dua kilometer dari Berek TLDM, Woodlands, Singapura. Aku tidak mengingati nama jalan tersebut. Bilik yang selalunya dikhaskan untuk pembantu rumah.
Bilik tersebut berukuran lebih kurang 12 X 16 kaki, berserta sebuah bilik mandi/tandas. Rumah tersebut seperti rumah lama dibina sewaktu zaman pemerintahan British. Bilik ini kami sewa dari CRS Ananda. Aku tidak dapat mengingati nama penuh beliau. Aku difahamkan bahawa beliau juga menyewa rumah ini dari warga Singapura.
Empat sahabat tersebut terdiri daripada JABRG Fathil, JABRP Othman, JABRG Nordin dan saya JABRG Ismail. Fathil dan Othman ialah rekrut dari pengambilan 128. Manakala aku dan Nordin rekrut dari pengambilan 129.
Rekrut dari pengambilan 128 agak kurang bernasih baik kerana rekrut pengambilan 127 merupakan anggota TLDM yang terakhir setelah lapan belas bulan berkhidmat dinaikkan ke pangkat Able (L/Kpl) secara otomatis sekiranya cukup syarat-syarat yang ditentukan.
Mulai dari rekrut pengambilan 128 dan seterusnya, mereka dikenakan syarat baru iaitu mesti berkhidmat empat tahun untuk dinaikkan ke pangkat Able beserta dengan cukup syarat-syarat yang ditentukan. Sementara menanti sehingga empat tahun, mereka diberi sandang pangkat JAB (Junior Able) dari pangkat OD (Ordinary Rating) setelah lapan belas bulan.
                                                     -----------------------------
Pada 31hb Okt, 2011 tanpa aku duga, aku menerima panggilan telefon dari Nordin. Gembira hati ini dapat berbual seketika dengan sahabat yang begitu lama tidak ketahui khabar berita. Mungkin hampir 30 tahun. Nordin memberitahu bahawa beliau mendapat nombor hp aku dari Daljit Singh yang juga rakan satu pengambilan. Setelah itu kami sekadar berhubungan bertanya khabar melalui hp sahaja.
Baru-baru ini pada tanggal 4hb Dis, 2012 setelah lebih setahun hanya sekadar mendengar suara, dengan izin Allah swt kami dipertemukan semula. Kami bertemu di kawasan Masjid India sewaktu Hj. Nordin, isteri dan anak serta cucu dalam perjalanan pulang dari Bangi ke Kedah.
Aku melihat keadaan fizikalnya tidak banyak berubah. Rambut masih hitam. Tubuh badan masih lagi kelihatan sasa. Biarpun usia beliau lebih tua sedikit dari usiaku.
Barangkali inilah kelebihan beliau hidup di desa Durian Burung, Kedah. Kerja bertani di kampung membuatkan beliau hidup sihat. Saban pagi menghirup udara yang bersih dan nyaman.
Tidak seperti hidup di kota. Saban pagi menghirup udara yang tercemar. Saban pagi juga pasti terhidu asap kenderaan yang membawa penyakit. Di tambah pula dengan tekanan ketika mengharungi kesesakan lalu lintas menuju ke tempat kerja.
Sewaktu menyewa bilik bersama dahulu, tidak selalu kami dapat berkumpul. Pasti ada kurang seorang atau dua kerana belayar. Petang hari, atau selepas maghrib seringkali, aku, Fathil dan Nordin akan pergi ke warong makan masakan nasi campur seorang Makcik yang punyai seorang anak dara di Marsilling. Aku tak ingat nama anak dara ini. Orangnya cantik. Kami difahamkan Makcik ini berasal dari Pahang.
Apabila 'order' makanan, yang pasti diminta Nordin ialah telur goreng dadar. Paling kurang diminta lima biji. Pernah tidak cukup lima biji, ditambah lagi beberapa biji. Sehinggakan si anak dara dan ibunya sangat mengenali kami bertiga, walaupun bertemu di tempat lain.
Namun, itu kenangan waktu lalu. Kini, Hj. Nordin hidup di kampung dalam keadaan sederhana dan selesa dengan beberapa ekar tanah pokok getah yang dimilikinya. Beliau mempunyai tiga orang anak di mana dua dari mereka telah tamat pengajian dari universiti dan sudah pun bekerja. Aku difahamkan hanya tinggal seorang sahaja lagi yang masih menuntut di sekolah menengah.
Bergambar bersama Nordin
Apa yang kami harapkan pada usia yang semakin hari semakin terhakis adalah kesihatan yang berpanjangan dan limpahan kurniaan rezeki yang barakah dari Yang Maha Pemberi. Serta yang lebih utama dipimpin dengan petunjuk jalan yang benar dan diredhaiNya.
Amin..........