Pengikut

Ahad, 13 Januari 2013

Perginya Seorang Sahabat


Terasa sebak dada ini melihat dan mendengar di hadapan mata seorang ibu membisikkan di telinga anaknya akan kalimah syahadah sebagai tanda kasihnya seorang ibu. Anak yang menderita sakit akibat kanser hati serta penyakit-penyakit kronik lain.
Ibu membisikkan kalimah syahadah .
Saudara 808921 bekas BKTMK Tarmizi adalah sahabat saya sewaktu sama-sama bertugas di Itali bagi membawa pulang kapal KD Jerai pada tahun 1985/86. Beliau seorang sahabat yang agak pendiam, tak banyak bercakap. Patuh pada arahan pegawai dan anggota atasannya.
Gambar tahun 1985/86 di Itali.
Saya telah tidak menemui beliau sejak saya ditukarkan dari kapal ke unit lain pada penghujung 1987. Pada hari Jumaat lalu, saya menerima sms dari Salim Jais menyatakan bahawa saudara Tarmizi sakit kuat di Hospital Seri Manjung dan tidak sedarkan diri. Mendengar berita ini saya bercadang untuk menziarahi beliau dan mengajak saudara Zainal Maulud serta Zainol pada esok harinya.

Dengan izin Allah, pada pagi semalam saya bertolak dari rumah menuju ke Manjong, Perak. Di dalam perjalanan saya singgah ke Rawang untuk mengambil Zainal yang mendiami di sana. Kami melalui jalan Kuala Selangor untuk bertemu pula Zainol yang sedang menunggu di sana bersama rakannya yang menaiki kenderaan lain bersama-sama menuju ke Manjong.

Apa yang membuatkan saya benar-benar ingin menziarahi saudara Tarmizi ialah kerana pada hari kami mengadakan majlis ‘reunion ex-crew MCMV’, saya tiada berkesempatan untuk menziarahinya di rumah kerana kesibukan mengawal-selia majlis tersebut, walaupun saya mengetahui bahawa beliau tidak sihat ketika itu. Hanya saudara Nodion dan Salim Jais beserta keluarga mereka sahaja sempat menziarahi beliau.

Di hospital, bekas coxn KD Jerai saudara Mohd Arshad, Yassin, Bunary dan beberapa sahabat lain sedang menunggu kami. Saya dapati ibu, isteri dan kaum keluarga terdekat saudara Tarmizi masih berada di sisinya. Saudara Tarmizi masih lagi tidak dapat berkomunikasi dengan orang-orang di sekelilingnya. Beliau dalam keadaan separuh sedar dengan mata masih lagi tertutup. Hanya sekali sekala sahaja membuka matanya, namun masih tidak menghiraukan keadaan di sekelilingnya.

Kami hanya mampu untuk melihat sahaja keadaan beliau yang sedang menderita menanggong kesakitan. Pada suatu ketika terasa sedikit sebak di dada saya melihat ibunya membisikkan kalimah syahadah sebagai tanda mengajar kepada anak yang disayangi untuk terus mengingati Allah swt pada saat-saat menghadapi sakaratul maut. Dan jelas saya dapat mendengar saudara Tarmizi membaca kalimah syahadah di selang seli dengan bacaan takbir, istighfar dan juga doa pendek bacaan iftitah. Selain bacaan-bacaan ini, beliau juga berkata ‘sayang.......sayang’.

Sesungguhnya saya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan perkataan tersebut (sayang). Namun peristiwa ini membuatkan saya teringat akan satu peristiwa di zaman Rasulullah saw yang telah saya coretkan melalui ‘post’ ini.

Allahu ‘alam.

Hampir satu jam kami berada di hospital ziarahi saudara Tarmizi. Oleh kerana saudara mara dan sahabat handai beliau mulai ramai mendatangi, kami meminta diri untuk pergi. Sebelum pergi kami titipkan derma bagi meringankan sedikit bebanan yang ditanggong oleh waris beliau.

Sebelum pulang ke Kuala Lumpur kami singgah di sebuah restoran bagi membincangkan perkara-perkara yang perlu dilakukan demi kebajikan saudara Tarmizi dan warisnya. Lebih kurang jam 6.00 petang, kami pulang ke Kuala Lumpur.

                                   -------------------------

Sebentar tadi lebih kurang jam 7.32 pagi, saya terima sms dari saudara Arshad PBS menyatakan bahawa saudara Tarmizi telah pulang ke rahmatullah pada waktu subuh. Semuga Allah swt ampuni beliau dan memasukkan beliau di dalam kalangan orang-orang yang diredhaiNYA. Amin....

8 ulasan:

  1. PakMail,

    Ucapan takziah saya pada keluarga arwah.
    Al-fatihah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara olrascal,

      Mudah2an Allah swt cucuri rahmat beliau.

      Padam
  2. Innalillahiwainnahirojiun..

    BalasPadam
  3. Salam Pak Mail,

    Alfatihah dan salam takziah saya ucapkan pd keluarga arwah Tarmizi ....

    Semoga Allah permudahkan segala urusan beliau disana...Insyaallah.

    BalasPadam
  4. Kisah sedih Pakmail. Hampir setiap hari kita mendengar kisah kematian. Bukan semastinya kita berduka dan duduk ditikar sembahyang menunggu detik yang pasti akan tiba. Biarlah kita membuat apa saja yang boleh kita tinggal sebagai'pesaka' kepada yang hidup. Itulah satu satu tugas kita sebagai 'khalifah'

    Semoga rohnya dirahmati Allah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tuan Al Manar,

      Setuju dengan pandangan tuan agar kita sebagai umat Islam berbuat apa sahaja kebaikan dan kebajikan selagi hayat di kandong badan.

      Padam
  5. Salam Pak Mail,
    moga roh arwah aman di sana.

    BalasPadam