Pengikut

Selasa, 19 Februari 2013

Kursus Usahawan Warga Veteran ATM Tidak Berpencen


Untuk pertama kali setelah lebih dua puluh dua tahun meninggalkan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) saya telah menyertai kursus usahawan bagi bekas warga ATM pada 15hb sehingga 17hb Februari yang lalu selama 3 hari. Kursus bertempat di Pusat Komuniti Bukit Cheras, Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur anjuran bersama PERHEBAT dan Koperasi Kebajikan Bekas Tentera Malaysia Berhad yang bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 4.00 petang diberikan secara percuma khusus kepada warga veteran ATM yang tidak berpencen. Elaun kehadiran sebanyak RM50.00 sehari juga diberikan kepada setiap peserta. Tidak ketinggalan sajian makanan dan minuman turut disediakan tanpa bayaran.

Bilangan peserta yang hadir di dalam kursus ini lebih kurang 120 orang. Terdapat juga lebih kurang 10 peserta wanita yang turut mengambil bahagian. Mereka terdiri daripada warga veteran berumur seawal tiga puluhan sehingga ‘hujung usia’. Seorang peserta yang sempat saya berkenalan ialah saudara Abdul Rahman yang telah mencapai ‘hujung usia’ berumur 68 tahun.

Pada kursus ini saya dapati mereka yang mengambil bahagian mempunyai pelbagai tujuan masing-masing. Saya berkesimpulan bahawa sebahagian besar peserta yang mengambil kursus ini adalah kerana ingin melihat peluang-peluang perniagaan yang bakal disediakan oleh pihak penganjur. Ada juga peserta yang hadir bukanlah semata-mata untuk berniaga kelak tetapi hanya untuk mendapatkan elaun yang disediakan sebanyak RM150 pada akhir penutupan kursus. Walau apa pun terserah kepada pendirian masing-masing untuk memanfaatkan peluang dan kemudahan yang disediakan oleh pihak Kementerian Pertahanan khususnya pihak PERHEBAT.

Namun pada pandangan saya dan beberapa peserta lain tidak begitu berpuas hati terhadap pengisian modiul. Penceramah pertama yang membincangkan soal motivasi amat tidak menyerlah. Intonasi beliau ketika berucap di hadapan peserta kursus kelihatan tidak meyakinkan. Seolah-olah seperti penceramah amatur. Penceramah sekadar membaca sahaja apa yang dipaparkan pada skrin projektor tanpa huraian mendalam yang dapat memberikan semangat kepada peserta untuk menceburi industri perniagaan.

Saya berpendapat ini satu kelemahan pihak penganjur dalam menyediakan penceramah motivasi. Pihak penganjur seharusnya sedar bahawa persembahan awal (first impression) yang meyakinkan oleh penceramah amat mustahak dalam menarik minat peserta untuk terus tetap mengikuti kursus tersebut sehingga selesai. Oleh kerana kelemahan ini seorang peserta India (bekas anggota JLJ) yang duduk di sebelah saya telah ‘menghilangkan diri’ dan tidak meneruskan mengikuti kursus ini sehingga selesai kerana kecewa dengan pengisian modiul.

Persoalannya, apakah pihak penganjur ingin menjimatkan kos dengan mengambil khidmat dari penceramah yang tidak berkelayakan atau bertauliah.

Pada petang hari pertama pula setelah selesai solat Jumaat, pihak penganjur menampilkan seorang lagi penceramah wakil dari Akademi Latihan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Encik Kismadi Ishak untuk memberi penerangan tentang pelbagai perkara mengenai penubuhan sesebuah syarikat. Penerangan yang diberikan oleh beliau amat baik. Saya dapati beliau amat berpengalaman dan berpengetahuan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan SSM. Beberapa kemusykilan yang dikemukan kepada beliau oleh peserta kursus dapat dijelaskan dengan baik dan mudah difahami.

Pada hari kedua kursus, pihak penganjur telah menjemput wakil dari Koperasi Kebajikan Bekas Tentera Malaysia Berhad En. Luqman Bin Hassan untuk memberi penerangan tentang peluang-peluang yang boleh peserta kursus perolehi dengan mendaftar sebagai ahli koperasi dan seterusnya melayakkan peserta itu untuk menyertai program Clixster iaitu sebuah produk rangkaian telekomunikasi.

Pada hari kedua ini juga pihak penganjur menjemput peserta-peserta kursus yang mempunyai pengalaman perniagaan tampil ke hadapan untuk berkongsi pengalaman mereka dalam apa jua bidang perniagaan yang telah mereka ceburi. Salah seorang yang tampil ke hadapan ialah Encik Kamal Arifin Bin Mat Isa bekas anggota TLDM. Di dalam perkongsian pengalamannya, beliau telah mengemukakan sedikit masalah teknikal berkaitan pinjamannya dengan pengurusan TEKUN.

Selain saudara Kamal Arifin, seorang lagi peserta Encik Abdul Rahman turut berkongsi pengalaman cara-cara untuk berurusniaga di dalam Bursa Saham Malaysia. Walaupun sesi ini berjalan secara santai namun ianya mendapat perhatian dan menarik minat sebahagian peserta lain yang melontarkan beberapa pertanyaan.

Sesi sebelah petang disambung dengan sekali lagi menjemput Encik Luqman tampil memberikan penerangan yang lebih terperinci mengenai produk Clixster. Seorang lagi peserta kursus yang dikenali dengan nama Encik Puzan dari Syarikat Mainstream Ventures Sdn Bhd turut berkongsi dan memberi peluang perniagaan berkonsep pembiayaan yang dinamakan Al Qardhul Hassan. Sejenis produk memberi pinjaman kecemasan melalui sms.

Pada hari ketiga kursus ini diadakan, pihak penganjur telah mendatangkan seorang wakil dari Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) untuk memberikan penerangan kepada peserta-peserta kursus cara-cara serta syarat-syarat bagaimana seseorang itu ingin mendapatkan pinjaman.

Di akhir kursus hari ketiga ini para peserta di’anugerahkan’ sekeping sijil penyertaan dan tiga keping wang kertas bernilai RM50.00 kerana meramaikan program ini yang disampaikan oleh Encik Kamaruddin bin Surip seorang pegawai dari PERHEBAT. Saya percaya sekiranya insentif RM150.00 ini tidak diberikan niscaya sepilah dewan Pusat Komuniti Bukit Cheras ini.

Secara peribadi saya berpendapat bahawa kursus-kursus seperti ini yang diadakan oleh pihak-pihak penganjur adalah umpama ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja demi untuk menghabiskan peruntukan sebanyak RM50 juta yang diperuntukkan bagi tahun 2012 yang dikhaskan kepada bekas tentera tidak berpencen.

Namun begitu, saya juga percaya bahawa sekiranya bekas anggota tentera sama ada yang berpencen atau pun yang tidak berpencen diberi pendedahan dan tunjukajar menerusi sesi Program Pembangunan Sosio Ekonomi Veteran ATM di bawah kelolaan Bahagian Pengajian Pengurusan Sekolah IKS, Perhebat yang diadakan selama 6 bulan, besar kemungkinan peserta akan berjaya. Di dalam sesi program ini peserta akan diberi latihan dan tunjukajar bermula dari program ‘incubator’ sehinggalah peserta boleh berdikari.

1 ulasan:

  1. Kalau zaman dahulu ada satu raja susah nak tidur maka di nyanyi satu lagu oleh dayang'maka terlenajah ia.bergitu juga dengan janji-janji,berkas tertera tidak perpejen terlena apa yang saya tahu proses sahaja bila dapat xtahu merbuatkan saya tertanya-tanya.adakah duit 50juta tu habis dengan proses je.

    BalasPadam