Pengikut

Sabtu, 23 Februari 2013

BR1M 2.0 - Satu Pertikaian


“Orang yang menawarkan (wang) kepada orang lain, (sama seperti) kalau kita panggil ayam nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa, tabur padi. Kalau nak panggil lembu kita bubuh (bagi) jerami”,   Tok Guru Nik Aziz Nik Mat

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat berhubung pemberian BR1M oleh kerajaan Barisan Nasional adalah tidak lebih daripada perumpamaan atau bidalan yang sewajarnya dilihat secara positif. Berbanding dengan firman Allah swt mengenai sebilangan besar manusia yang diberi hati tetapi tidak memerhatikan, diberi mata tetapi tidak melihat (yang tersirat) dan diberi telinga tetapi tidak mahu mendengar (perkara yang baik-baik). Mereka ini dianggap oleh Allah swt sebagai binatang, bahkan lebih buruk dari itu.

Firman Allah swt di dalam Al Quran, Surah Al A’raf, ayat 179

“ Dan sesungguhnya Kami telah sediakan untuk neraka, beberapa banyak dari jinn dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu mengerti dengannya, dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya. Mereka itu seperti binatang, bahkan mereka lebih sesat, adalah mereka itu orang-orang yang lalai”.

Walaupun ‘asbabunuzul’ ayat ini diturunkan khas kepada orang-orang kafir di zaman Rasulullah saw yang enggan menerima Islam sebagai deen, tetapi ayat ini juga boleh ditafsirkan secara umum bagi orang-orang Islam yang mempunyai hati nurani, yang mempunyai mata ‘original’ dan mempunyai telinga asli tetapi tidak memanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Di dalam Al Quran terdapat juga beberapa perumpamaan yang mengaitkan perihal binatang seperti seseorang yang meninggikan suara apabila berkata-kata adalah dianggap tidak sopan dan diumpamakan seperti KHIMAR (keldai). Atau juga Allah swt telah mensifatkan seorang musuh Allah dan Rasulullah saw yang bernama Walid Al Mughirah sebagai binatang secara kiasan di dalam awal Surah Al Qalam.

Pada ayat 16 surah tersebut Allah swt berfirman “Kami akan tandakan dia (Walid Al Mughirah) atas belalainya”. Ayat ini bermaksud bahawa Allah akan memberi tanda bahawa beliau seorang yang jahat lagi sesat dengan akan dimasyhurkan sebagai memiliki hidung (khurtum) yakni belalai seperti gajah untuk tujuan menghina dan merendah-rendahkan martabatnya.

Saya berpandangan bahawa kenyataan Tok Guru Nik Aziz ini bersifat umum sebagai suatu misalan. Bukan bersifat khusus seperti mensifatkan anggota-anggota polis yang bertugas di dalam sesuatu perhimpunan besar oleh pihak Pakatan Rakyat sebagai anjing. Memanggil seseorang dengan panggilan-panggilan yang buruk sesama manusia adalah ditegah di dalam Islam.
Acara penyampaian BR1M 2.0 di Taman Greenwood
Terserah kepada penerima BR1M itu sendiri untuk melihat diri mereka sendiri sama ada sebagai haiwan atau sebagai manusia yang waras fikiran. Sekiranya penerima BR1M itu benar-benar berfikiran bahawa mereka berhak untuk menerima sumbangan tersebut biarpun dirasakan sedikit, maka wajarlah mereka menerimanya dengan rasa syukur atas nikmat kurniaan Allah swt.

Tetapi, sekiranya penerima BR1M itu merasakan bahawa pemberian dari kerajaan Barisan Nasional itu sebagai ‘rasuah’, maka sewajarnya mereka hindari dari mengambil pemberian tersebut bagi mengelakkan diri mereka dari terlibat atau syubhah dengan gejala ‘rasuah’.

Allah berfiman di dalam Al Quran Surah Ibrahim, Ayat 7,

“.....Sekiranya kamu bersyukur (atas nikmat yang diterima) niscaya Aku akan tambah dan sekiranya kamu kufur, (ketahuilah) bahawa azabKu amatlah pedih”,

Dan Allah swt berfirman lagi di dalam Surah Al Hujurat, Ayat 12,

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka kerana prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu cari-cari kesalahan orang lain........”

Namun begitu, pemberian BR1M oleh kerajaan Barisan Nasional seharusnya juga dilihat secara positif kerana biarpun jumlah RM500.00 dinilai tidak begitu besar oleh ramai orang, tetapi ianya amat bermakna bagi mereka yang miskin yang sangat-sangat memerlukan wang tersebut.

Kita dari kalangan rakyat biasa sama sekali tidak tahu sama ada pemberian sumbangan itu adalah ikhlas atau sebaliknya. Sama sekali kita juga tidak ketahui apa matlamat tujuan mereka melaksanakan inisiatif ini  biarpun banyak kedengaran dari kalangan orang-orang Pakatan Rakyat beranggapan ia sebagai tujuan memancing undi pada pilihanraya yang akan diadakan tidak lama lagi. Keputusan untuk mengundi pada PRU13 akan datang terletak pada diri masing-masing.

Tepuk kepala, gunakan fikiran.

Allahu 'alam

Selasa, 19 Februari 2013

Kursus Usahawan Warga Veteran ATM Tidak Berpencen


Untuk pertama kali setelah lebih dua puluh dua tahun meninggalkan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) saya telah menyertai kursus usahawan bagi bekas warga ATM pada 15hb sehingga 17hb Februari yang lalu selama 3 hari. Kursus bertempat di Pusat Komuniti Bukit Cheras, Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur anjuran bersama PERHEBAT dan Koperasi Kebajikan Bekas Tentera Malaysia Berhad yang bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 4.00 petang diberikan secara percuma khusus kepada warga veteran ATM yang tidak berpencen. Elaun kehadiran sebanyak RM50.00 sehari juga diberikan kepada setiap peserta. Tidak ketinggalan sajian makanan dan minuman turut disediakan tanpa bayaran.

Bilangan peserta yang hadir di dalam kursus ini lebih kurang 120 orang. Terdapat juga lebih kurang 10 peserta wanita yang turut mengambil bahagian. Mereka terdiri daripada warga veteran berumur seawal tiga puluhan sehingga ‘hujung usia’. Seorang peserta yang sempat saya berkenalan ialah saudara Abdul Rahman yang telah mencapai ‘hujung usia’ berumur 68 tahun.

Pada kursus ini saya dapati mereka yang mengambil bahagian mempunyai pelbagai tujuan masing-masing. Saya berkesimpulan bahawa sebahagian besar peserta yang mengambil kursus ini adalah kerana ingin melihat peluang-peluang perniagaan yang bakal disediakan oleh pihak penganjur. Ada juga peserta yang hadir bukanlah semata-mata untuk berniaga kelak tetapi hanya untuk mendapatkan elaun yang disediakan sebanyak RM150 pada akhir penutupan kursus. Walau apa pun terserah kepada pendirian masing-masing untuk memanfaatkan peluang dan kemudahan yang disediakan oleh pihak Kementerian Pertahanan khususnya pihak PERHEBAT.

Namun pada pandangan saya dan beberapa peserta lain tidak begitu berpuas hati terhadap pengisian modiul. Penceramah pertama yang membincangkan soal motivasi amat tidak menyerlah. Intonasi beliau ketika berucap di hadapan peserta kursus kelihatan tidak meyakinkan. Seolah-olah seperti penceramah amatur. Penceramah sekadar membaca sahaja apa yang dipaparkan pada skrin projektor tanpa huraian mendalam yang dapat memberikan semangat kepada peserta untuk menceburi industri perniagaan.

Saya berpendapat ini satu kelemahan pihak penganjur dalam menyediakan penceramah motivasi. Pihak penganjur seharusnya sedar bahawa persembahan awal (first impression) yang meyakinkan oleh penceramah amat mustahak dalam menarik minat peserta untuk terus tetap mengikuti kursus tersebut sehingga selesai. Oleh kerana kelemahan ini seorang peserta India (bekas anggota JLJ) yang duduk di sebelah saya telah ‘menghilangkan diri’ dan tidak meneruskan mengikuti kursus ini sehingga selesai kerana kecewa dengan pengisian modiul.

Persoalannya, apakah pihak penganjur ingin menjimatkan kos dengan mengambil khidmat dari penceramah yang tidak berkelayakan atau bertauliah.

Pada petang hari pertama pula setelah selesai solat Jumaat, pihak penganjur menampilkan seorang lagi penceramah wakil dari Akademi Latihan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Encik Kismadi Ishak untuk memberi penerangan tentang pelbagai perkara mengenai penubuhan sesebuah syarikat. Penerangan yang diberikan oleh beliau amat baik. Saya dapati beliau amat berpengalaman dan berpengetahuan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan SSM. Beberapa kemusykilan yang dikemukan kepada beliau oleh peserta kursus dapat dijelaskan dengan baik dan mudah difahami.

Pada hari kedua kursus, pihak penganjur telah menjemput wakil dari Koperasi Kebajikan Bekas Tentera Malaysia Berhad En. Luqman Bin Hassan untuk memberi penerangan tentang peluang-peluang yang boleh peserta kursus perolehi dengan mendaftar sebagai ahli koperasi dan seterusnya melayakkan peserta itu untuk menyertai program Clixster iaitu sebuah produk rangkaian telekomunikasi.

Pada hari kedua ini juga pihak penganjur menjemput peserta-peserta kursus yang mempunyai pengalaman perniagaan tampil ke hadapan untuk berkongsi pengalaman mereka dalam apa jua bidang perniagaan yang telah mereka ceburi. Salah seorang yang tampil ke hadapan ialah Encik Kamal Arifin Bin Mat Isa bekas anggota TLDM. Di dalam perkongsian pengalamannya, beliau telah mengemukakan sedikit masalah teknikal berkaitan pinjamannya dengan pengurusan TEKUN.

Selain saudara Kamal Arifin, seorang lagi peserta Encik Abdul Rahman turut berkongsi pengalaman cara-cara untuk berurusniaga di dalam Bursa Saham Malaysia. Walaupun sesi ini berjalan secara santai namun ianya mendapat perhatian dan menarik minat sebahagian peserta lain yang melontarkan beberapa pertanyaan.

Sesi sebelah petang disambung dengan sekali lagi menjemput Encik Luqman tampil memberikan penerangan yang lebih terperinci mengenai produk Clixster. Seorang lagi peserta kursus yang dikenali dengan nama Encik Puzan dari Syarikat Mainstream Ventures Sdn Bhd turut berkongsi dan memberi peluang perniagaan berkonsep pembiayaan yang dinamakan Al Qardhul Hassan. Sejenis produk memberi pinjaman kecemasan melalui sms.

Pada hari ketiga kursus ini diadakan, pihak penganjur telah mendatangkan seorang wakil dari Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) untuk memberikan penerangan kepada peserta-peserta kursus cara-cara serta syarat-syarat bagaimana seseorang itu ingin mendapatkan pinjaman.

Di akhir kursus hari ketiga ini para peserta di’anugerahkan’ sekeping sijil penyertaan dan tiga keping wang kertas bernilai RM50.00 kerana meramaikan program ini yang disampaikan oleh Encik Kamaruddin bin Surip seorang pegawai dari PERHEBAT. Saya percaya sekiranya insentif RM150.00 ini tidak diberikan niscaya sepilah dewan Pusat Komuniti Bukit Cheras ini.

Secara peribadi saya berpendapat bahawa kursus-kursus seperti ini yang diadakan oleh pihak-pihak penganjur adalah umpama ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja demi untuk menghabiskan peruntukan sebanyak RM50 juta yang diperuntukkan bagi tahun 2012 yang dikhaskan kepada bekas tentera tidak berpencen.

Namun begitu, saya juga percaya bahawa sekiranya bekas anggota tentera sama ada yang berpencen atau pun yang tidak berpencen diberi pendedahan dan tunjukajar menerusi sesi Program Pembangunan Sosio Ekonomi Veteran ATM di bawah kelolaan Bahagian Pengajian Pengurusan Sekolah IKS, Perhebat yang diadakan selama 6 bulan, besar kemungkinan peserta akan berjaya. Di dalam sesi program ini peserta akan diberi latihan dan tunjukajar bermula dari program ‘incubator’ sehinggalah peserta boleh berdikari.

Jumaat, 15 Februari 2013

Comms Gathering


Sebelum ini saya pernah mencatatkan mengenai pertemuan saya dengan seorang rakan lama bernama Ibrahim Bin Ali. Entri kali ini saya akan catatkan pula mengenai pertemuan saya dengan seorang lagi rakan lama yang juga bernama Ibrahim. Ibrahim Bin Awang @Ibrahim Koprak.
Ibrahim Awang
Koprak ialah nama ‘glamour’nya sejak di dalam TLDM lagi. Saya cuba mencari makna perkataan ‘koprak’ di dalam Kamus DBP, namun tidak menemui perkataan tersebut. Bagaimana beliau mendapat gelaran tersebut saya tidak pasti. Mungkin atas sebab identiti kerana di dalam ‘intake’ beliau bagi cawangan komunikasi terdapat tiga orang yang mempunyai nama yang sama. Dua orang lagi ialah Allahyarham Ibrahim Che Rose dan Ibrahim Mamat.

Memanggil seseorang dengan sesuatu gelaran yang tidak disukai oleh empunya nama tidak baik di sisi Islam dan dilarang sama sekali. Namun saya kira saudara Ibrahim tidak kisah dan barangkali menerima panggilan tersebut dengan redha. Ini kerana saya mendengar sendiri dari mulut beliau ketika memperkenalkan dirinya sebagai ‘Ibrahim Koprak’ kepada seseorang di dalam telefon bimbit.

Saya dipertemukan dengan Ibrahim oleh Ghazali pada 26hb Jan yang lalu di Melaka. Kebetulan saudara Ibrahim yang menetap di Johor Bahru sedang bertugas luar ‘outstation’ di Melaka selama sebulan. Saya pula sedang bercuti hujung minggu dengan isteri. Saya tidak pasti bila kali terakhir kami bertemu tetapi yang pasti begitu lama.

Kami bertemu di sebuah warong di Pelabohan, Melaka lebih kurang jam 11.30 malam. Banyak perkara silam yang kami bual dan mengimbau. Ibrahim memberitahu bahawa beliau sama sekali memang telah banyak terputus hubungan dengan rakan-rakan lama. Hanya beberapa rakan lama sahaja yang ditemui dan masih berhubungan.

Melihat pekerja-pekerja warong sudah mulai berkemas untuk menutup perniagaan kami tiada pilihan melainkan terpaksa beredar. Jam telah melebihi 1.00 pagi.

Di akhir pertemuan Ibrahim sempat mengesyorkan agar satu usaha untuk mengadakan pertemuan rakan-rakan ‘Comms’ dapat diadakan suatu hari nanti. Beliau juga berjanji untuk memberi sedikit sumbangan agar pertemuan ini dapat direalisasikan.

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Beberapa hari yang lalu saya dan Ibrahim telah berbual menerusi ‘facebook’. Di dalam perbualan tersebut kami telah sepakat untuk memulakan langkah awal dalam usaha untuk mengadakan pertemuan bekas-bekas anggota komunikasi TLDM bertempat di Melaka. Ini memandangkan ramai rakan-rakan tinggal di kawasan selatan tanah air seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Saya telah pun menghubungi saudara Ghazali dan saudara Haniff agar mereka dapat membantu untuk meninjau lokasi yang sesuai di mana pertemuan ini akan dapat di adakan.

In syaa Allah, dengan izin Allah swt hasrat kami untuk bertemu bagi mengeratkan silaturahim dari kalangan bekas-bekas anggota semboyan akan dimakbulkan.