Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Jihad. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jihad. Papar semua catatan

Ahad, 9 Jun 2013

Selasa, 2 Ogos 2011

Jalan Ke Kota Cemerlang Gemilang Terbilang


Akhir-akhir ini aku banyak memikirkan tentang diriku. Diriku yang mengaku sebagai seorang muslim. Tetapi tidak banyak, malah terlalu sedikit yang aku lakukan untuk kepentingan Islam. Untuk kesejahteraanku sebagai seorang Islam. Untuk kesejahteraan isteri dan anak-anakku sebagai orang beragama Islam. Begitu juga untuk kesejateraan masyarakat Islam di sekelilingku sebagai orang Islam sehingga kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia amnya.

Oleh itu izinkan saya mencoret dan menyampaikan kepada pembaca sekalian untuk difikirkan sejenak akan apa yang saya tuliskan. Sesuai dengan sabda Rasulullah saw, 'Sampaikanlah olehmu walaupun sepotong ayat'.

Hari ini ramai manusia mengaku beragama Islam, tetapi tidak mengerti matlamat arah ke mana tujuan mereka sebenar. Kebanyakan umat Islam di serata dunia leka dengan arus kepesatan kemajuan dunia yang mengasyikkan. Tanpa disedari mereka ditenggelami oleh badai kehancuran.

Pada tujuh abad pertama setelah kedatangan Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w dengan membawa risalah ketuhanan dari Allah azza wajalla, Islam telah berkembang dengan begitu pesat. Perkembangan pesat dari aspek pembangunan ummah dalam bentuk moral dan juga pembangunan duniawi. Begitu juga umat Islam ketika itu memainkan peranan politik yang amat jelas dan meyakinkan. Ini diakui oleh kawan mahupun lawan.

Tujuh abad kedua pula memperlihatkan kemerosotan dan seterusnya kejatuhan empayar Uthmaniah Turki hampir seratus tahun lalu. Pengaruh dan jajahan kerajaan Uthmaniah Turki dirobek-robek dan dibahagi-bahagikan kepada penguasaan barat. Sehingga kini umat Islam yang prihatin masih lagi tercari-cari formula kebangkitan Islam sejagat.

Anehnya penguasa negara-negara Islam, raja-raja Islam dari kerajaan bukan Arab atau raja-raja Islam Arab seperti buta mata hati mereka. Mereka tidak merasai takut dan bersalah terhadap Allah swt dengan membelakangkan kitab Al-Quran. Sebaliknya mendahulu dan melebihkan sistem demokrasi dengan berpandukan kepada berbagai-bagai jenis buku panduan sebagai perlembagaan yang mesti dipatuhi.

Amat nyata sekali formula yang dicari-cari itu terdapat di dalam Al-Quran dan jalan-jalan sunnah yang dilalui dan dipandu oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Sejarah Islam juga memperlihatkan bahawa zaman kekhalifan telah tamat sama sekali dengan kejatuhan Kesultanan Empayar Uthmaniah. Dengan kejatuhan itu berakhirlah zaman kegemilangan satu-satunya kerajaan Islam pada era moden ini.

Kronologi seperti ini memang telah diberitahu oleh Nabi Muhammad saw menerusi satu hadith diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Baihaqi yang memberi isyarat tentang tahap-tahap perjalanan sejarah umatnya.

Peringkat pemerintahan pertama adalah merupakan zaman Pemerintahan Nubuwwah iaitu zaman di mana umat Islam hidup bersama Rasulullah saw.

Peringkat pemerintahan kedua pula dinamakan Period Kekhalifahan. Sistem pemerintahan berkhalifah di atas manhaj nubuwwah (jalan-jalan kenabian), iaitu zaman Khulafah Ar Rasyidin.

Peringkat pemerintahan ketiga pula dinamakan Period Mulkhan Adhon, iaitu zaman di mana raja-raja atau penguasa memerintah dengan cara penindasan dan paksaan yang bersifat authoritatif walaupun pemerintahannya berlandaskan Islam.

Menurut sejarah pemerintahan ini bermula setelah pemerintah khalifah tamat sehingga kejatuhan pemerintahan Kerajaan Uthmaniah.

Peringkat pemerintahan keempat pula dinamakan Period Mulkhan Jabbariyah, iaitu zaman di mana umat Islam diperintah dengan sistem sekular. Sistem yang bukan berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah. Sistem yang sama sekali bertentangan dengan Islam.

Manakala peringkat terakhir yakni yang kelima, Islam akan kembali gemilang dengan pemerintahan kekhalifahan yang dinamai Period Khilafah 'ala Manhaj Nubuwwah.

Dewasa ini hampir seluruh umat Islam diperintah oleh raja-raja atau penguasa-penguasa dengan sistem pemerintahan Period Mulkhan Jabbariyah. Sistem sekular. Termasuklah kerajaan Malaysia yang memerintah mengikut sistem demokrasi berparlimen. Kecuali negara Arab Saudi yang pada pandangan penulis diperintah dengan sistem Period Mulkhan Adhon.

Oleh itu saya dengan keyakinan yang haq merasakan bahawa pasti suatu hari nanti Islam akan bangkit semula berdasarkan hadith dari Nabi Muhammad saw yang saya sebutkan di atas itu. Namun untuk merealisasikan kejayaan itu umat Islam yang benar-benar mengerti erti perjuangan Islam menerusi jihad fi sabilillah sahaja yang dapat melakukannya. Perjuangan yang memerlukan segala bentuk pengorbanan yang besar. Pengorbanan harta, wang ringgit malah nyawa sekalipun.

Insya'Allah akan saya tuliskan lagi pandangan dalam menuju kepada kejayaan hakiki pada entri akan datang untuk renungan kita bersama.