Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Masjid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Masjid. Papar semua catatan

Khamis, 25 Julai 2013

Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia


Akhbar Harian Metro bertarikh 15hb Jul baru-baru ini telah menyiarkan 10 Masjid terbesar di dunia. Masjid Istiqlal, Jakarta merupakan salah satu masjid yang tersenarai di dalam senarai tersebut. Masjid ini dikatakan boleh menampong lebih 120,000 jemaah telah disenaraikan di tempat ke-5 dan adalah masjid yang terbesar di Asia Tenggara.

Sehubungan dengan itu saya suka untuk berkongsi sedikit maklumat yang terdapat di dalam simpanan saya untuk pengetahuan kita bersama. Maklumat yang berupa gambar lama dan catatan dua muka surat yang diambil dari majalah Gema Islam, Edisi ke-2, Tahun Pertama bertarikh 1hb Feb, 1962 bersamaan 25hb Sya'ban 1381H. Majalah Gema Islam ini diterbitkan oleh Yayasan Perpustakaan Islam Pusat, Indonesia yang dipimpin oleh Brig. Jen. Soedirman.

Namun begitu pembaca boleh juga melayari pautan ini untuk mengetahui dengan lebih terperinci mengenai sejarah Masjid Istiqlal, Jakarta.



Jumaat, 23 Mac 2012

Sejarah Mimbar


Perkataan mimbar bererti tempat duduk, takhta atau kerusi. Kini perkataan mimbar diertikan khusus sebagai tempat imam khatib membaca atau memberi khutbah pada solat di hari Jumaat atau solat eidul fitri dan eidul adha di masjid-masjid atau di surau-surau.
Mimbar Masjid Ubuddiah, Kuala Kangsar, Perak. (Gambar Hiasan)
Sebenarnya, sebelum kedatangan Islam lagi telah menjadi kebiasaan bangsa Arab apabila ingin berbicara, mereka akan berdiri di atas lantai dan memegang pada sebatang tombak atau panah. Adakala mereka juga duduk di atas kuda sekiranya kebetulan sedang berkuda sambil berbicara.

Kedua-dua cara ini pernah dilakukan oleh Rasulullah saw ketika baginda sedang menyampaikan khutbah. Di Arafah Rasulullah saw pernah duduk di atas untanya apabila baginda menyampaikan amanatnya kepada orang ramai. Rasulullah saw juga pernah berkhutbah di Madinah pada hari Jumaat sambil berdiri bersandar pada sebatang pohon kurma yang dijadikan sebagai tiang masjid.

Suatu ketika para sahabat dari kaum Anshar telah membina sebuah mimbar kecil dan sederhana untuk kegunaan baginda Nabi Muhammad saw.

Sejurus apabila Rasulullah saw memberi khutbah atau pengajian kepada sahabat-sahabat, terdengar suara tangisan terisak-isak seperti anak kecil sedang menangis yang datang dari pohon kurma yang menjadi tempat di mana Rasulullah saw sering bersandar.

Pohon kurma tersebut merintih kerana ianya tidak akan dipergunakan lagi oleh Rasulullah saw. Seketika itu juga Rasulullah saw datang kepada pohon kurma tersebut lalu memeluknya. Sejurus kemudian pohon kurma tersebut pun diam dan berhenti menangis.

Mimbar yang dibina oleh sahabat-sabahat itu merupakan mimbar yang diperbuat daripada kayu yang mempunyai tiga anak tangga. Baginda Rasulullah saw berdiri di atas tangga yang ketiga iaitu di atas sekali. Adakala baginda bertopang atau duduk di atas pedangnya dan adakala juga baginda duduk di atas panahnya sambil berkhutbah.

Banyak riwayat menegaskan bahawa mimbar itu asalnya dimaksudkan untuk berkhutbah agar isi khutbah dapat didengari oleh sekalian orang yang hadir.

Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah saw pernah melaksanakan solat di atas mimbar, tetapi pada waktu sujud baginda saw turun dari mimbarya. Tentu sekali solatnya yang sedemikian itu diandaikan untuk memperlihatkan bagaimana tatacara bersembahyang dengan betul dan sempurna pada awal permulaan ibadat solat diwajibkan.

Sahabat-sahabat juga pernah meminta kepada Rasulullah saw supaya mimbar dijadikan tempat duduk khas ketika utusan-utusan dari kabilah atau kepala negara luar datang mengadap baginda Rasulullah saw.

Keterangan ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadis lain yang menerangkan bahawa ketika Rasulullah saw dikunjungi oleh seseorang yang bernama Tamim, baginda Rasulullah saw duduk di atas mimbar dan berbicara dengannya.

Dengan kejadian ini dapatlah kita ketahui bahawa mimbar itu dianggap sebagai takhta atau singgahsana kepala negara.Memang tidak dinafikan bahawa Nabi Muhammad saw itu sendiri seorang kepala negara lagi seorang Rasul.

Mimbar Nabi Muhammad saw seringkali dinamakan a’wad kerana mengambil sempena bahan kayu yang dipergunakan itu.

Setelah Rasulullah saw wafat, Saidina Abu Bakar ra berdiri pula pada anak tangga yang kedua yang lebih rendah dari anak tangga yang selalu Rasulullah saw berdiri ketika berkhutbah.

Begitu pula setelah Saidina Abu Bakar ra wafat, Saidina Umar Ibnul Khattab ra pula berdiri pada anak tangga yang lebih rendah dari tempat Saidina Abu Bakar ra selalu berdiri ketika berkhutbah.

Setelah Saidina Umar Ibnul Khattab ra wafat, Saidina Utsman Bin Affan ra berdiri pula mengambil tempat di anak tangga yang terendah sekali apabila memberi khutbah sehingga enam tahun sebelum kewafatannya.

Pada zaman pemerintahan Marwan, beliau menambah enam lagi anak tangga dari bahagian bawah mimbar Rasulullah saw menjadikan sembilan anak tangga semuanya. Jika sekiranya khalifah-khalifah dari pemerintahan Bani Umaiyah ataupun pemerintahan Bani Abassiah ingin berkhutbah, mereka berdiri di bawah anak tangga tempat Saidina Utsman ra berdiri ketika berkhutbah. Keadaan ini berlaku sehingga tahun 654H apabila masjid ini mengalami kebakaran.

Pada tahun 656H, sebuah mimbar baru dibina oleh Al-Muzaffar dari Yaman dan digunakan sehingga tahun 797H apabila Az-Zahir Baibar menggantikannya pula. Kemudian pada tahun 820H, Sultan Barkuk telah menggantikannya pula dan dipergunakan sehingga tahun 886H sebelum ianya mengalami kebakaran dan hangus sekali lagi.

Setelah kejadian kebakaran ini, penduduk Madinah telah membina sendiri mimbar baru yang kemudiannya telah dipindahkan pula ke Masjid Quba oleh Qaibat pada tahun 888H.

Mimbar yang kini terdapat di Masjid An-Nabawi yang dikirimkan oleh Sultan Murad ke-3 dari Dinasti Usmani pada tahun 998H adalah sebuah mimbar yang mempunyai  dua belas anak tangga. Tiga dari anak tangga itu keluar dari pintunya manakala, sembilan lagi anak tangga masuk ke dalam mimbar itu. Mimbar ini merupakan antara mimbar yang tercantik di dunia.

Menurut sejarah, pohon kurma yang menjadi mimbar Rasulullah saw yang pertama itu telah ditanam di antara mimbar sekarang ini dan tempat di mana Rasulullah saw selalu bersembahyang.

Hari ini terdapat banyak mimbar yang cantik dan indah. Perkara ini tidak dapat dielakkan oleh kerana kepesatan perkembangan arus kesenian dan kebudayaan semasa.

Oleh yang demikian, mimbar yang telah didapati menjadi sunnah Rasulullah saw harus dihormati dan dijagai sebagai antara tempat yang suci dengan menjadikannya sebagai satu wadah pengajian dan ilmu yang bermanfaat kepada sekalian manusia.

Jangan hendaknya ianya dijadikan sebagai tempat untuk beradu domba dan tempat umpatkeji sesama manusia. Mimbar seharusnya menjadi tempat untuk menyampaikan ma’ruf dan mencegah kemaksiatan. Biarpun pesanan dan nasihat itu merupakan  sesuatu yang pahit kepada sesiapa yang mendengarnya.

Khamis, 22 Mac 2012

Masjid Nabawi, Madinah Al Munawarrah

'Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat......' Surah At-Taubah, Ayat 18

Entri saya kali ini sekadar untuk berkongsi memaparkan gambar-gambar Masjid Nabawi dahulu dan sekarang. Saya pasti ramai yang tidak mempunyai gambar-gambar lama seperti ini.

Masjid Nabawi, Madinah sekitar tahun 1900

Lorong ke Masjid Nabawi, Madinah

Babus Salam Masjid Nabawi, Madinah

Masjid Nabawi, Madinah hari ini (Gambar ehsan google)


Selasa, 20 Mac 2012

Masjid Islam Pertama

'Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat......' Surah At-Taubah, Ayat 18

Umumnya ramai orang memahami masjid sebagai sebuah bangunan tempat orang-orang Islam sama ada lelaki mahupun wanita menunaikan solat. Perkataan masjid diambil dari perkataan sujud.
Oleh yang demikian, di mana sahaja seseorang itu ingin meletakkan dahinya sujud menyembah Allah s.w.t. untuk mengerjakan solat, tempat itu dinamakan masjid. Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dari Abi Sa'id Al Khudri,

'Tiap-tiap potong tanah itu adalah masjid'

Begitu juga terdapat banyak hadis-hadis lain yang seimsal dengannya.

Dengan keterangan ini jelas menunjukkan bahawa masjid ataupun surau bukan hanya sekadar sebuah bangunan tempat umat Islam beribadat mengerjakan solat lima waktu, solat Jumaat atau solat Eidul Fitri/Adha.

Akan tetapi pengertian masjid secara lebih luas ialah di mana sahaja kita ingin mengerjakan solat asal sahaja tempat itu bersih dari najis.

Saya tidak berhasrat untuk memaparkan masjid-masjid besar sama ada masjid dari dunia luar atau pun di negara ini kecuali beberapa masjid yang berkait rapat dengan sejarah Islam. Kerana masjid besar dan ternama yang lain boleh sahaja maklumat mengenainya didapati menerusi internet.


Masjid Quba, Madinah tahun 1900M bersamaan 1321H.
Masjid Quba, Madinah tahun 2011M (Gambar ehsan google)
Entri kali ini dan seterusnya akan datang, Insya'Allah saya akan paparkan beberapa gambar masjid-masjid atau surau-surau yang telah saya kunjungi.
Masjid pertama yang ingin saya paparkan ialah Masjid Quba di Madinah. Masjid ini merupakan masjid pertama di dalam sejarah Islam dan juga merupakan masjid yang dibina sendiri oleh Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya dari golongan Anshar dan Muhaajirin. Masjid Quba ini dibina pada hari Isnin 12 Rabi'ul Awal Tahun Pertama Hijrah iaitu bertepatan pada 28hb Julai 622M.

Walaupun masjid yang didirikan ini begitu sederhana sekali, namun ia dapat memberikan sedikit perlindungan dari keadaan cuaca panas matahari di tengah-tengah kampung yang dikelilingi padang pasir. Masjid ini didirikan daripada pelepah-pelepah dan daun-daun kurma serta batu-batu gurun untuk dipagari.

Tidak jauh dari masjid ini terdapat pula sumur untuk membersihkan diri dan berwudhu'.

Biarpun masjid ini kecil bersegi empat tanpa menara dan tidak seindah rupa, namun ia dianggap sebagai contoh dari aspek rupabentuk kepada masjid-masjid yang didirikan kemudiannya.

Dari masa ke semasa, masjid ini mengalami banyak proses pengubahsuaian sesuai mengikuti keperluan semasa.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, masjid ini telah diperluaskan dan diperindahkan dengan hiasan batu marmar pada dinding-dinding masjid serta didirikan satu batang menara.