Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Renungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Renungan. Papar semua catatan

Khamis, 10 Julai 2014

Budaya yang dilupakan


Alhamdulillah. Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt kerana sehingga ke hari ini hari ke-12 saya dapat menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan bersama-sama seisi keluarga. Bulan yang penuh barokah ini sewajarnya diisi dengan amalan-amalan kebaikan disertai pula dengan niat yang penuh tulus ikhlas hanya kerana Allah swt agar segala amalan diterima oleh Allah Rabbul Jalil.

Namun demikian saya dapati ada sesuatu kekurangan atau kealpaan budaya dari kalangan masyarakat kita yang semakin dilupakan khususnya penduduk-penduduk di persekitaran taman-taman di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur atau yang berhampiran.

Sewaktu saya masih kecil hampir setiap hari ada sahaja jiran-jiran sekeliling 'bertukar-tukar' sepinggan atau sepiring 'menu' untuk dirasai bersama. Amalan sebegini walaupun kecil tetapi amat memberi kesan dalam mempereratkan tali silaturahim sesama insan. Tetapi sayangnya amalan seperti ini tiada lagi dibudayakan di dalam masyarakat kita. Justeru 'menjauhkan' ikatan silaturahim dalam beramah mesra sesama kita.

Di mana silapnya. Apakah dengan wujudnya penjualan segala macam juadah makanan di bazaar-bazaar Ramadhan mengikiskan sifat sedemikian.

Atau mungkinkah sebahagian besar warga kota suami dan isteri berkerjaya dan tiada masa untuk masak. Ada juga kebenaran faktor ini. Namun, bagaimana pula pada hujung minggu di mana sebahagian besar warga kota dapat ke pasar untuk memasak masakan 'istimewa hujung minggu'.

Beberapa kali juga saya berperasan dan menegur isteri saya kerana saya dapati masakan terbuang kerana berlebihan. Kenapa tidak diberikan sedikit kepada jiran sebagai penambahan juadah berbuka mereka.

Oleh yang demikian, hanya satu sahaja sikap yang dapat saya rumuskan yang membuatkan amalan baik seperti ini hilang atau terhakis. Yakni sifat kurang keprihatinan dalam kehidupan berjiran. Kehidupan hari ini khususnya di bandar-bandar adalah 'engkau dengan kehidupan engkau, aku dengan kehidupan aku'. Susah atau senang jiran tidak diketahui.

Maka itu tidak hairanlah sekiranya ada keluarga yang hidup mereka susah, saban hari berbuka puasa dengan nasi bubur dan air kosong seperti yang terjadi di Melaka baru-baru ini di mana seorang remaja mati dibelasah oleh ayahnya gara-gara ingin keluar mencari pekerjaan untuk membantu memberi makanan yang lebih baik buat hidangan berbuka puasa. Keperitan hidup yang mereka alami tiada siapa ketahui biarpun jiran setempat.

Oleh yang demikian marilah kita membudayakan semula amalan baik ini dalam memeriahkan suasana bulan Ramadhan, bulan yang penuh barokah, bulan yang menuntut agar diperbanyak melakukan sedekah. Walaupun semangkuk bubur kacang. Amalan yang juga begitu asing bagi generasi kini agar mereka dapat mencontohi demi kesinambungan budaya yang semakin dilupakan.

Pautan: http://www.hmetro.com.my/articles/2014070803152320140708031523/Article

Ahad, 12 Januari 2014

Andai Aku Kayaraya...


Andai aku kayaraya. Bukan setakat kaya sahaja. Kalau setakat kaya sahaja, tidak cukup untuk laksanakan impian dan harapan. Akan tetapi kayaraya di mana harta kekayaan melimpah ruah. Sehingga tidak tahu apa yang hendak dibelanjakan lagi.

Barangkali itulah apa yang diimpi dan diangan-angankan oleh sebahagian daripada insan-insan kerdil yang sering dilanda kesempitan dan kesusahan didalam menghadapi kehidupan di dunia ini. Kehidupan yang penuh dengan ranjau dan duri.

Justeru, dengan melimpahnya harta kekayaan ianya dapat menyelesaikan segala kerumitan dan masalah yang dihadapi berkaitan dengan kewangan. Dengan harta kekayaan bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah kewangan malah dapat juga 'membeli dunia'. Apa sahaja kemahuan bisa didapati. Tiada timbul lagi masalah untuk mengumpulkan wang sedikit demi sedikit untuk mendapatkan sesuatu. Inginkan rumah besar, kereta cantik dan mewah atau ingin melancong seluruh dunia. Semuanya tiada masalah lagi.

Ada juga yang bercita-cita 'seandainya aku kayaraya, aku mahu membuat kebajikan. Aku mahu bantu orang-orang fakir, miskin dan orang-orang melarat. Aku juga akan infaqkan sebahagian harta untuk anak-anak yatim dan mereka yang benar-benar memerlukannya seperti mereka yang sakit kronik yang tiada sumber kewangan untuk membiayai ongkos perubatan'.

Persoalannya, apakah benar apabila mereka telah dikurniakan harta kekayaan berupa wang, mereka akan laksanakan impian dan cita-cita mereka. Apakah mereka akan komited dalam usaha membantu orang-orang yang mengalami kesusahan.

Umumnya, kebanyakan manusia apabila telah kaya, kayaraya akan lupa segala apa yang dicita-citakannya. Cita-cita hanya tinggal cerita sahaja. Mereka leka, alpa dengan segala kemewahan yang dinikmatinya.

Saya tertarik untuk menulis hari ini berikutan terbaca tulisan saudara Syahril A. Kadir dan menonton klip video yang dimuatnaikkan oleh beliau tentang Dr. Richard Teo, seorang jutawan muda dari Singapura yang telah meninggal dunia akibat sakit kanser. Beliau seorang yang kayaraya. Namun, menjelang di akhir kehidupan, beliau sempat merakamkan betapa beliau di dalam keadaan kerugian lantaran tidak melakukan sesuatu kebajikan untuk manfaat orang lain di atas apa yang beliau miliki.

Oleh yang demikian, sebagai seorang muslim adalah lebih wajar untuk memiliki sifat 'qanaah' yakni bersyukur di atas apa sahaja yang dikurniakan oleh Allah swt disamping berusaha di dalam meningkatkan taraf kehidupan seharian. Tidak salah untuk bercita-cita dan berangan-angan. Asal sahaja ianya sesuatu yang realistik.

Sama-sama kita tontoni dan hayati apa yang disampaikan oleh mendiang Dr. Richard Teo.


Sekadar satu perkongsian.

Sabtu, 12 Oktober 2013

Wanita Tua


Hampir jam 10.00 malam. Aku singgah sebentar di stesen minyak Petronas untuk ke tandas. Aku berjalan melalui 'McDonald Drive Thru' bersebelahannya.

Aku terhenti seketika sambil melihat seorang wanita tua berbangsa Melayu yang mungkin telah berusia hampir 70 tahun sedang berdiri menjaja anika jenis kerepek. Wanita tua itu menyapa dan menawarkan jualannya kepada setiap pemandu yang berhenti seketika sementara menunggu pesanan mereka siap.

Hatiku tersentuh. Benar-benar tersentuh melihat seorang wanita yang pada usia sedemikian masih lagi terkial-kial berusaha mencari rezeki demi keperluan hidup. Andainya wanita tua itu ibuku, aku tidak sanggup untuk melihat keadaan sedemikian. Wanita tua itu sewajarnya berada di rumah pada waktu begini sedang beristirehat.

Namun inilah realiti kehidupan. Berbagai kemungkinan yang menyebabkan wanita tua itu terpaksa berkerja, berusaha, menjaja jualan demi kelangsungan kehidupannya. 

Mudah-mudahan Allah swt memudahkan segala urusan wanita tua itu.

Amin....

Jumaat, 2 Ogos 2013

Jangan kedekut


Khutbah solat Jumaat minggu lalu yang disampai oleh khatib di Masjid Greenwood amat memberi kesan pada diri saya. Justeru, saya perlu muhasabah diri ini apakah sifat-sifat yang dinyatakan oleh khatib itu ada pada diri ini.

Setelah 'melihat' secara zahir, tidak pula kedapatan bahawa saya mempunyai sifat-sifat sedemikian.

Alhamdulillah, dengan izin Allah setiap minggu di hari Jumaat ataupun seringkali apabila melangkah masuk ke masjid saya tidak lupa untuk 'menyelitkan' sekeping dua wang kertas di tabong masjid atau surau.

Manakala peminta sedekah di tepi jalan atau di pasar malam juga saya tidak lupa untuk menghulurkan sekeping dua wang seringgit.

Namun setelah memperamati dan 'melihat' diri ini dengan saksama maka ada kebenaran bahawa diri ini ada ciri-ciri bakhil.

Apa yang dimaksudkan oleh khatib di dalam khutbahnya adalah bahawa kita seringkali apabila berdoa meminta sesuatu kepada Allah ArRahman di kala sendirian hanya meminta untuk kepentingan diri dan keluarga sendiri sahaja.

Kita sering meminta kesihatan, kebahagiaan, limpahan rezeki yang banyak, anak cucu yang berjaya serta soleh dan sebagainya hanya untuk diri dan keluarga sendiri sahaja.

Kita sering lupa atau jarang sekali berdoa meminta kebaikan untuk umat Islam yang lain. Kalau berdoa pun untuk mereka hanya sekadar atas perkara-perkara umum sahaja.

Di dalam khutbah tersebut khatib menekankan betapa pentingnya umat Islam berdoa untuk kemenangan para Mujahidin yang berjuang demi agama untuk menegakkan haq di bumi Syria, di bumi Mesir, di bumi Palestin dan di mana jua pejuang Mujahadin berjuang.

Umat Islam di banyak negara ditekan, ditindas dan dibunuh sewenang-wenangnya tanpa belaan. Kita jangan fikir bahawa kita tidak akan ditanya di akhirat nanti tentang peranan yang telah kita mainkan. Tentang bantuan yang telah kita hulurkan.

Apakah kita tidak punyai perasaan ehsan sehinggakan sekeping doa yang tulus dan ikhlas untuk mereka pejuang Islam tidak juga kita pohon dan pinta.

Ingatlah bahawa umat Islam adalah seumpama anggota tubuh badan. Kesakitan di kiri badan dirasai juga oleh di sebelah kanan.

Sekeping doa sekiranya didengari oleh pejuang Mujahidin memberi harapan besar, memberi dorongan dan sokongan besar di atas pengorbanan dan perjuangan mereka.

Marilah sama-sama kita umat Islam sekalian jangan lupa berdoa untuk mereka setiap kali kita menadahkan tangan berdoa kepada Rabbul Jalil.

Mudah-mudahan dengan doa yang tulus dan ikhlas dari jauh ini didengari oleh Allah swt dan dimakbulkan demi untuk kemenangan umat Islam sejagat.

Amin....


Ahad, 14 Julai 2013

Untuk Renungan


'Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal.

(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) "Ya, Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka perliharalah kami dari siksa neraka"'.

               Surah Ali Imran, Ayat 190 -191

Isnin, 8 Julai 2013

Peringatan Bersama Menjelang Ramadhan AlMubarak




Mudah-mudahan ada manfaatnya. Selamat berpuasa kepada semua pembaca kaum muslimin dan muslimat sekalian. Semuga amalan kita di bulan yang mulia ini diterima dan diberkati Allah swt hendaknya.

Amin.....

Sabtu, 22 Jun 2013

Jerebu



Firman Allah swt di dalam Al Quran Surah Ad Dukhan ayat 10,
"Oleh itu, tunggulah hari yang langit akan membawa asap yang nyata".

Sejak pertama kali jerebu melanda negara kita mungkin lebih sepuluh tahun yang lalu ramai orang bijakpandai dari kalangan berbagai bidang kepakaran telah memberi pendapat dan pandangan mereka.

Orang-orang dari kalangan agamawan memberi pandangan dari sudut agama berpandukan Al Quran dan hadith. Manakala orang dari kalangan pakar saintis dan ilmu geografi pula memberi pandangan dari sudut kefahaman mereka pula.

Pandangan ahli ilmu geografi dan pakar saintis membawakan pandangan-pandangan bersifat fakta yang sama sekali tidak dapat juga dinafikan akan kebenarannya. Hujjah mereka ada sandarannya.

Manakala hujjah dari ahli agamawan pula membawa suatu tafsiran yang hanya keyakinan diri atas meyakini bahawa segala sesuatu kejadian berlaku berpunca dari kerakusan sifat manusia yang membawa kepada kerosakan alam.

Namun hakikatnya jerebu yang terhasil dari kebakaran 'bumi' membawa 'adzab' kepada manusia lain. Manusia beriman dan manusia tidak beriman.

"Hai Tuhan kami, lepaskanlah 'adzab' itu dari kami. Sesungguhnya kami (akan) beriman".
                   Al Quran Surah Ad Dukhan, Ayat 12

Sama ada kita sedari atau tidak bahawa jerebu ini adalah suatu petanda 'adzab' buat manusia sekalian. Adzab kecil yang diambil begitu ringan oleh umat Islam di rantau ini. Suatu bencana yang juga merupakan suatu peringatan buat manusia.

"Ya Allah, ampunilah kami dan lindungilah kami dari 'adzab' mu, sama ada yang nyata mahupun yang terselindung. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui".

Amin ....Ya Rabbal Alamin.

Ahad, 3 Jun 2012

88 Tahun


Hari ini genap usia ayahku 88 tahun. Aku dan isteri ziarahi beliau petang tadi. Aku mengisi masaku berbual-bual dengannya sehingga hampir jam 10.30 malam. Seandainya aku bersendirian, sehingga jam 2.00 atau 3.00 pagi pun tak selesai kami berbual.

Sewaktu ayahku masih kuat dan aku juga masih agak muda seringkali aku berbual-bual bersama sehingga jauh malam. Ada beberapa kali terlajak sehingga ke subuh.

Berbagai-bagai kisah kami bualkan. Dari topik kekeluargaan, kenangan silamnya, topik agama sehingga kepada hal-hal politik.

Daya ingatan ayahku sangat baik. Beliau dapat mengimbau kembali kisah-kisah lama sewaktu suka dan duka. Senang dan susah. Serta berbagai-bagai liku-liku kehidupan.

Antara perbualan dengan ayahku sebentar tadi adalah mengenai kisahnya di zaman pendudukan Jepun di Malaya. Sewaktu Jepun memerintah ayahku yang ketika itu berusia remaja diambil bekerja dengan Jepun sebagai pemandu kepada seorang pegawai tentera Jepun.

Satu sahaja pengalamannya yang ingin aku kongsi bersama dari banyak-banyak pengalaman beliau diwaktu itu.

Ayahku bekerja dengan pegawai tentera Jepun bernama Sato. Atau dalam panggilan Jepun Sato San (Mr Sato).

Satu hari Sato San melihat ayahku memakai terompah baru di tempat kerja. Lalu Sato San memanggil ayahku dan bertanya di dalam bahasa Jepun. Ayahku pandai berbahasa Jepun di waktu itu.

‘Di mana kamu dapat terompah ini’, sambil menunjuk kearah terompah yang dipakai oleh ayahku.

‘Saya beli Sato San’, jawab ayahku.

‘Kamu beli di mana’.

‘Saya beli di kedai Cina’.

Pangggggggg... satu hayunan pelempang singgah di muka ayahku. Ayahku terpinga-pinga. Tanpa sempat ayahku bertanya Sato San berkata.

‘Buat kayakan Cina sahaja’.

Lalu Sato San menyuruh ayahku mencari kayu dan apa-apa getah seperti getah tiub kereta serta beberapa batang paku untuk dibuat terompah sendiri.

Setelah selesai ayahku membuat terompah tersebut walaupun tidak cantik, Sato San tersenyum dan berkata.

‘Bolehpun kamu buat. Untuk apa buang duit membeli sesuatu yang kita boleh buat sendiri’.

Dari peristiwa yang dialami oleh ayahku, aku percaya terdapat pengajaran yang boleh kita pelajari dan difikirkan.

Namun begitu ayahku memberitahu Sato San amat baik terhadap ayahku. Banyak kemudahan dan bantuan dari segi keperluan makanan dan perubatan diberikan kepada ayah serta datuk dan nenekku.

PakMail: Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran ayah. Semuga Allah swt merahmati sisa-sisa kehidupan ayah hendaknya. Dan semuga sihat selalu.

Amin......

Sabtu, 2 Jun 2012

Tanya, Jangan Tak Tanya


Saya ingin bertanya kepada pembaca sekalian khusus buat bapa-bapa dari kalangan orang Islam sahaja.

Berapa ramaikah di antara tuan-tuan pernah atau merasai bertanggung jawab untuk bertanya kepada anak-anak lelaki tuan-tuan tentang ‘MANDI JUNUB’.

Tahukah mereka bagaimana tatacara mandi junub yang sebetulnya.

Saya percaya tidak ramai ‘orang-orang kita’ mengambil berat untuk bertanya anak-anak mereka persoalan ini. Biarpun sehingga sang anak itu akan mendirikan rumah tangga.

Barangkali sang bapa merasa ini perkara kecil. Atau juga sang bapa berfikir sang anak boleh belajar sendiri sama ada di sekolah atau pun dengan ustaz di sekolah agama. Barangkali ada juga sang bapa yang berkata.

‘Itu tanggung jawab ustaz untuk mengajar anak-anak di sekolah agama’.

Ataupun ada diantara sang bapa merasa persoalan ini terlalu peribadi.

Atau juga apabila sang anak telah meningkat dewasa, sang bapa beranggapan bahawa sang anak telah mengetahuinya. Lantas tidak perlu bertanya lagi.

Saya mempunyai tiga orang anak lelaki termasuk seorang yang berusia 18 tahun yang telah meninggal dunia tahun lalu. Kepada ketiga-tiga anak lelaki saya ini saya telah bertanyakan soalan ini kepada mereka. Dan sama ada mereka menjawab tahu atau tidak tahu, saya akan tetap memberitahu dan tunjukajar kepada mereka tatacara yang betul di sisi agama.

Perkara ini kelihatan remeh. Tetapi ia amat penting dan mustahak untuk diajar kepada anak-anak. Jangan sampai nanti apabila sang anak telah meningkat dewasa dan akan mendirikan rumah tangga, mereka masih tidak mengetahui cara-cara untuk mandi junub dengan betul.

Siapa yang akan dipersalahkan.

Si anak atau si bapa....

Renungkanlah......

Pak Mail: Kepada anak perempuan saya serahkan tugas ini kepada si isteri lah...

Jumaat, 25 Mei 2012

Pagi ini...


Aku terjaga dari tidur
Aku renungi diriku ini

Aku kira...
Banyak kekurangan berbanding kelebihan
Banyak kelemahan berbanding kekuatan
Banyak kealpaan berbanding kesedaran
Banyak keinginan berbanding kesyukuran

Namun, aku kira...
Aku miliki suatu kenikmatan
Sedikit kefahaman agama yang kuharap akan berkekalan

Begitu pun jua...
Aku tidak punyai kekuatan
Untuk mengamalkan dengan penuh kemampuan

Bantuku Ya Allah...bantuku

Rabu, 25 April 2012

Renungan Hari Rabu - 1


Hari ini baru saya ketahui bahawa anak orang kedua terkaya negara kita seorang sami buddha dan giat menjalankan aktiviti keagamaannya.

Secara peribadi saya kagum dengan kesungguhan beliau meninggalkan kemewahan dunia yang dimiliki oleh bapanya yang bernilai billion ringgit dan bergiat untuk kepentingan agama yang diyakini beliau.

Bukan calang-calang orang sanggup berbuat demikian. Sanggup meninggalkan segala kemewahan dan kekayaan yang menjadi kegilaan manusia tua dan muda serta rela hidup ala kadar.

Namun, saya masih ingat suatu ketika guru agama saya pernah berkata dalam satu pengajian,

‘Suatu hari sewaktu Amirulmukminin Saidina Umar ra dan sahabat sedang berjalan di kota, mereka terserempak (melihat) beberapa orang rahib dalam keadaan tidak terurus’.

‘Saidina Umar ra. lantas berkata dengan petikan firman Allah swt, 
88:3
88:4

‘Yang bekerja, berpenat lelah,
Akan terpanggang di api yang sangat panas’
(Quran Surah Al Ghasiyah, Ayat 3 dan 4)

Saya kira banyak pengajaran yang boleh kita dapati dari ulasan Saidina Umar Al-Khattab ra. Sama-sama kita fikirkan.