Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan

Selasa, 24 Januari 2012

Masih Berbisa


Minggu lepas saya telah mulai bermain badminton setelah lebih kurang 6 bulan ‘menggantung’ raket. Kami bermain setiap hari Rabu di Dewan DBKL, Bangsar, Kuala Lumpur. Kebanyakan dari kami berusia dalam lingkungan 30an dan 40an. Dua orang sahaja yang telah agak berusia lebih 50 tahun iaitu saya dan seorang kawan berbangsa Cina yang mungkin berusia hampir 60 tahun.
Sebahagian dari kawan-kawan sepasukan badminton.
Namun, usia sedemikian, tidak menghalang kami untuk menyaingi mereka yang berusia jauh lebih muda dari kami.

Walaupun usia saya telah melebihi 54 tahun namun, pukulan-pukulan kilas serta ‘smash’ yang tajam walaupun tidak kuat tapi mengelirukan pihak lawan. Masih lagi mengancam. Cuma tak banyak ‘stamina’ sahaja.

Saya mulai bermain badminton apabila telah melangkah ke sekolah menengah. Mulai bermain di sebuah ‘court’ terbuka bersama kawan-kawan sekampung. Saya ditemani oleh seorang kawan setia yang sering mengikuti saya bermain ke mana sahaja saya bawanya. Ali namanya. Tetapi, sahabat saya ini telah pulang ke rahmatullah agak lama juga. Beliau seorang yang sangat baik dan menjadi ingatan saya sehingga ke akhir hayat. Insya’Allah.

Dari hari ke hari, mutu permainan saya semakin meningkat sehingga saya dapat mewakili sekolah sewaktu di dalam tingkatan 5. Saya masih ingat di antara rakan yang mewakili sekolah ini, terdapat seorang rakan yang bernama Hasni bin Ahmad yang berbadan besar. Beliau adalah pemain utama pasukan sekolah kami. Selain Hasni, Rahlim menjadi pemain perseorangan kedua. Saya dimaklumkan bahawa Rahlim telah menyertai pasukan TUDM sebaik sahaja tamat persekolahan sebagai seorang pegawai.

Namun, sehingga ke hari ini saya tidak pernah mendengar perkhabaran beliau. Begitu juga dengan Hasni. Hanya sekali sahaja setelah tamat sekolah, saya terbaca akhbar pada pertengahan tahun 70an mengenai  keputusan ‘Kejohanan Novis Selangor’ di mana Hasni telah berjaya mengalahkan Misbun Hj Sidek pada perlawanan akhir.

Selain dari mereka berdua, beberapa rakan lagi seperti Rawi yang bekerja di Institut Penyelidikan Getah di Jalan Ampang dan juga saudara Jamali. Terdapat lagi beberapa rakan sepasukan lain yang saya tidak dapat mengingati nama mereka.

Sewaktu berkhidmat di dalam TLDM, saya hanya sempat mewakili TLDM hanya pada tahun 1978 sahaja. Mutu permainan saya begitu merosot sekali. Saya tidak begitu pasti mengapa. Mungkin bebanan tugas serta sering belayar membuatkan saya tidak dapat fokus sepenuhnya ketika berlatih. Setelah itu, saya hanya sekadar mengisi masa lapang menjadikan sukan badminton sebagai sukan kegemaran sahaja.

Biar pun saya tidak dapat menempatkan diri saya di dalam pasukan ‘elit’ TLDM, namun khidmat saya sebagai ‘sparring partner’ masih lagi diperlukan oleh pengurus pasukan TLDM ketika itu Datuk Danyal Balagopal Abdullah (bekas Timbalan Presiden KOAM).

Sewaktu mewakili pasukan TLDM pada tahun 1978, saya digandingkan dengan PTI Mustapha. Sehingga ke hari ini saya masih berhubungan dengan beliau. Beliau seorang yang sangat baik. Sering memberi nasihat dan memperkatakan hal-hal agama.
POPTI Mustapa (kanan) dan ABWG Kamaruddin
Setelah saya tamat perkhidmatan di dalam TLDM pada tahun 1990, saya telah tidak lagi bermain badminton sehingga tahun 2007 apabila seorang rakan saya mempelawa saya untuk bermain bersama-samanya dan kawan-kawan lain di Bangsar. Dan dengan senang hati saya terima pelawaannya dan bermain sehingga kini, walaupun tidak dapat cergas seperti sewaktu zaman muda dahulu.

Namun MASIH BERBISA dan dapat menyaingi kawan-kawan lain yang lebih muda.

Menyentuh isu pasukan badminton negara yang semakin hilang daya saing di peringkat antarabangsa, saya berpandangan bahawa ini suatu perkara biasa yang juga dialami oleh negara-negara lain seperti Indonesia. Suatu ketika dahulu negara China juga mengalami masalah ini, namun tidak berpanjangan dan dapat segera mengembalikan prestij pasukan mereka.
Keratan akhbar Harian Metro
Saya tidak setuju pendapat  yang mengatakan bahawa BAM mengabaikan Piala Thomas dan terlalu menumpu memburu kilauan pingat emas Olimpik. Ini kerana sepanjang pengetahuan saya, banyak program telah dan sedang dilaksanakan oleh BAM dalam mencari bakat-bakat baru serta program menggilap pemain-pemain pelapis yang sedia ada.

Barangkali, apa yang saya dapati ialah pemain-pemain negara kita kurang mantap dalam soal ‘mental aptitude’. Sering sahaja mudah berputus asa apabila mendapati pihak lawan telah mula jauh ke hadapan di dalam sesuatu perlawanan. Saya tidak lihat begitu ketara perbezaan ‘physical aptitude’ di antara pemain-pemain negara kita dengan pemain-pemain negara lain. Ianya agak seimbang.

Apa yang kita boleh lakukan ialah mencari dan terus mencari serta menggilap pemain-pemain muda yang berbakat dan dedahkan mereka ke peringkat antarabangsa sebanyak mungkin agar mereka dapat menimba pengalaman dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada tanpa putus
asa. Insya’Allah, suatu hari nanti negara kita bakal dapat mencapai cita-cita untuk menjadi satu pasukan yang kuat dan digeruni pihak lawan.


Ahad, 7 Ogos 2011

Kanak-kanak 7 tahun ikat kontrak dengan Real Madrid


Menurut sumber dari agensi berita China's Xinhua, seorang kanak-kanak berasal dari Argentina berusia 7 tahun telah menandatangani kontrak dengan sebuah kelab bolasepak terkemuka Sepanyol, Real Madrid.
Gambar Hiasan
Pada hari Jumaat lalu Miguel Coira, bapa kanak-kanak tersebut berkata melalui sebuah stesen radio tempatan bahawa Leonel Angel telah mengikat kontrak dengan sebuah pasukan terkemuka dari Sepanyol.

Untuk berita lanjut sila ke sini.

Namun, berita ini masih belum ada lagi pengesahan dari pegawai atau pihak kelab Real Madrid.

Saya berpendapat sukar untuk dipercayai, namun perkara ini boleh dipercayai kerana rakyat negara Amerika Latin ini memang fanatik dan telah banyak melahirkan ikon-ikon bolasepak yang terkenal. Ikon-ikon bolasepak yang lahir di kebanyakan negara Amerika Latin ini dilatih dan dididik dari usia sebegini muda lagi.

Oleh itu tidak mustahil seorang kanak-kanak seawal usia 7 tahun ini telah menandatangani perjanjian untuk menyertai pasukan bolasepak gergasi dari Sepanyol itu. Berkemungkinan juga kanak-kanak ini memiliki fizikal tubuh badan yang besar dan sasa di bandingkan dengan kanak-kanak lain.

Sehubungan dengan itu saya tertanya-tanya mengapa negara kita tidak dapat melahirkan pemain-pemain yang berkualiti dan bertaraf dunia berbanding pasukan dari negara Korea Selatan, Jepun dan juga Arab Saudi yang telah berjaya memasuki sehingga ke peringkat pusingan akhir Piala Dunia. Negara kita juga seperti negara yang saya sebutkan itu mempunyai infrastruktur dan fasiliti yang hampir sama. Dari segi fizikal, saiz badan pemain-pemain juga saya lihat hampir sama. Akan tetapi, tahap prestasi pemain negara kita jauh lebih mundur dari pemain-pemain negara itu.

Di mana letaknya kelemahan dan kesilapan dalam isu ini.

Saya tiada jawapan terhadap persoalan ini kerana saya bukan seorang penganalisis sukan. Mungkin saudara/i pembaca boleh memberi pandangan. Sekadar untuk dikongsikan bersama.

Khamis, 10 Mac 2011

Pasukan Bolasepak KD Jerai 85/86

Pemain utama pasukan bolasepak KD Jerai 85/86

Berdiri dari kiri LRSM Nazri, MCPO Arshad, ABCK Ramlan,
PORM Sukumaran, LRRP Salim, Lt Rahman, POME XXX, Lt Malek.
Duduk dari kiri XXX, ABME Nordin, CPOSM Mohammed,
ABEM Awie, ABRG Zainol, Lt Rafique
Setiap anak kapal KD Jerai memiliki satu set 'tracksuit' yang ditempah khas dari jenama Ennerre, buatan Itali.
Berdiri dari kiri: LRSM Nazri, LRSM Arshad, LRRP Salim, ABSM Mokhtar, LTO Jamal
Duduk dari kiri: Yeoman Alili, CPOSM Mohammed, LRDiver Hamidon, ABCK Ramlan,
ABRG Quek Chek Chai, ABRG Ismail, ABRM Zulkifli, ABEM Awie, ABME Nordin